Nurhan: Hantu Pak Aji Makan Hidung

#Hantu Pak Aji Makan Hidung

Beratus tahun dahulu. Rumah zaman pada zaman dahulu jika namanya kampung seolah-olah duduk di dalam hutan. Jarak antara rumah dengan jiran bukan seperti sekarang, jauh berbatu-batu. Tiada kemudahan elektrik, semuanya pakai lampu minyak tanah tatkala malam menjelma. Serba serbi kurang. Maimun memegang anaknya yang sedang tidur sambil memandang langit petang. Suaminya tiada kerana pergi belayar. Tinggallah dia dengan mak dan datuknya sahaja.

Hatinya hari ini sedikit mendung. Matanya memandang semula ke arah jenazah atuk yang di selimut kain batik . Baru tengah hari tadi atuk di jemput ilahi. Mak pula pergi ke rumah jiran untuk meminta tolong. Orang kampung mungkin akan datang esok sahaja. Hari pun sudah lewat. Dua jam lagi akan muncul senja. Maimun memandang ke arah anaknya yang tiba-tiba merengek.

Sedang dia memujuk anaknya yang meragam itu, kedengaran ada orang berjalan menghampiri perkarangan rumahnya. Dia bangun mahu melihat gerangan orang yang datang. Kelihatan seorang lelaki tua dengan berjubah datang. Tanpa berkata apa-apa Pak Aji itu naik ke rumahnya tanpa memberi salam. Lega rasanya ada orang lain bersamanya di rumah.

“Mana mak saya Pak Aji?”

“Mak kau, barangkali masih di rumah Abu.”

Maimun mengangguk sahaja, Pak Aji pula sebaik sahaja masuk terus duduk bersila menghadap jenazah atuk sambil mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu, badannya pula bergerak kiri dan kanan seolah-olah sedang berzikir. Anak Maimun yang berusia setahun terdiam tiba-tiba sambil menyembam wajahnya di bahu Maimun. Lega hati Maimun anaknya kembali diam.

Pak Aji makin galak meratib. Khusyuk membaca sesekali dia membuka kain batik yang menutup wajah atuk. Pada mulanya Maimun tidak mengesyaki sesuatu, hinggalah perbuatan Pak Aji berulang kali membuka kain batuk yang menutup wajah jenazah membuatkan dia berasa hairan. Pak Aji seolah-olah tahu Maimun memandangnya. Dia memandang Maimun kembali. Mata bertentang mata.

“Pak Aji, bila kita mau kebumikan jenazah? Esok kah?” Soalan itu di aju supaya menutup rasa hatinya yang sebenarnya makin takut dengan tingkah Pak Aji.

“Esok saja..” Ujar Pak Aji sambil mengunyah sesuatu kemudian kembali mengulang perbuatannya.

Maimun Cuma diam. Dia tidak berani memandang Pak Aji lagi. Dari ekor matanya, kelihatan Pak Aji sedang menggigit hidung atuk sedikit demi sedikit. Tahulah dia Pak Aji mungkin manusia jelmaan. Maimun mencapai kacip buah pinang yang berada tidak jauh dari kedudukannya. Lantas tindakannya itu di renung oleh Pak Aji. Maimun sengaja berlakon mahu mengacip buah pinang kerana ingin makan sirih. Tidak mahu Pak Aji mengesyaki bahawa Maimun sudah sedar siapa gerangan lelaki tua itu.

Lalu Maimun menjatuhkan kacip ke bawah rumah melalui celahan lantai kayu yang renggang.

“Pak Aji sebentar ya, saya mau ambil kacip terjatuh.”

Pak Aji Cuma mengangguk tanpa memandang Maimun. Kusyuk melakukan perbuatannya. Tatkala melangkah ke pintu, Maimun sempat menoleh. Hidung dan telinga atuk sudah tiada di mamah Pak Aji. Bergegas lah Maimun sambil mendukung anaknya berlari keluar dari rumah mahu meminta pertolongan.

Setelah hampir sejam berjalan, Maimun sempat bertemu mak dan jiran terdekatnya Abu dan beberapa orang kampung lain yang sedang menuju ke arah rumah mereka. Mendengar cerita Maimun, mereka semua bergegas menuju ke rumahnya.

Sampai sahaja di sana Pak Aji sudah tiada. Mereka membuka kain batik menutup jenazah atuk. Yang tinggal cuma tulang temulang. Habis jenazah atuk dibaham Pak Aji. Siapa Pak Aji? Tiada siapa tahu. Mungkin manusia pengamal ilmu salah atau jim yang menjelma sebagai manusia.

Cerita Kedua : Orang Kerinci

Ada seorang lelaki kematian isteri, dia ada tiga orang anak Dua perempuan seorang lelaki yang paling kecil berumur 10 tahun. Kerana kesedihan isterinya meninggal si ayah kemurungan, dia tertekan, sakit rindukan isterinya. Anak-anak pula tiada siapa dapat menjaga. Hidup mereka susah, jika ada rezeki adalah benda untuk mereka makan. Jika tidak berlapar lah mereka beberapa hari. Satu hari si ayah membawa anak-anaknya masuk ke hutan mencari kayu api. Laur dari kebiasaan ayah, kali ini ayah membawa mereka jauh ke dalam hutan. Makin lama makin dalam. Hinggalah sampai ke satu pokok. Di atasnya ada rumah kecil muat untuk mereka bertiga.

Kata ayah rumah itu dibina untuk mereka sementara menunggu ayah pulang mencari kayu api. Ayah menyuruh mereka naik ke atas rumah tersebut. Lalu hilang di balik pokok-pokok hutan. Tanpa mereka sedar, sebenarnya niat ayahnya mahu meninggalkan mereka di situ, dia tidak lagi mampu menjaga anak-anaknya. Tunggu lah si anak di atas rumah. Si kakak menjenguk ke luar, hari sudah melabuh senja. Bergelap lah mereka di dalam rumah kecil itu. Tiba-tiba ada suara garau memberi salam. Ada kepala milik seorang lelaki menjenguk dari luar.

Lelaki itu menggalas kain sambil memegang kapak.

“Assalamualaikum, anak-anak. Bolehkah pak cik menumpang tidur?”

Mereka cuma mengangguk, mengizinkan lelaki itu masuk ke dalam rumah. Lelaki itu lalu meminta untuk tidur di tepi tingkap. Katanya dia demam panas, menjelang pagi esok sahaja dia akan meneruskan perjalanannya. Tetapi sebelum tidur lelaki ada berpesan dengan pesanan aneh.

“Nanti bila pak cik sudah ketiduran, ada tali muncul di belakang Pak cik. Tolonglah, kamu ikatkan tali itu di sebalik lubang lantai ini ke dahan bawah sana itu ya.”

Mereka memandang ada sedikit lubang kecil sebesar syiling 50 sen di atas lantai, di bawah itu pula ada dahan pokok berdekatan lantai rumah mereka. Tidak beberapa lama kemudian, kedengaran bunyi pap…. Pap.. pap seperti ada sesuatu sedang mengetuk lantai rumah.

Mereka memandang antara satu sama lain. Dari mana pula bunyi itu datang? Si kakak ke dua terpandang ada tali berbulu sedang bergerak di belakang lelaki asing yang sedang tidur mengiring menghadap mereka. Dari situlah bunyi itu datang. Selepas beberapa minit kedengaran pula bunyi menderam seperti seekor kucing besar sedang tidur. Bunyi itu juga dari arah lelaki asing.

Samar-samar cahaya bulan dari satu tingkap yang tidak di tutup, kelihatan lengan lelaki itu ada bulu-bulu halus yang makin menumbuh. Tahulah mereka lelaki itu adalah manusia kerinci. Terketar-ketar tiga beradik itu berpelukan sesama sendiri. Ekor lelaki itu yang makin memanjang mula menjalar kea rah mereka. Sementara lelaki itu pula masih tidur, memejam mata.

Sikit demi sedikit lelaki itu berubah rupa menjadi seekor makhluk berbulu. Tetapi masih lagi tidur dan matanya terpejam rapat. Hanya bunyi menderam sahaja masih kedengaran. Si adik lelaki lantas teringat akan pesan lelaki itu lalu mencapai ekornya dan memasukkannya ke dalam lubang lantai, lalu si adik turun ke bawah dan mengikat tali tersebut di dahan yang berhampiran.

Hampir sahaja selesai, lelaki itu bangun daripada tidurnya lalu menyeringai menampakkan taringnya. Kini dia bukan lagi manusia tetapi seekor harimau jadian yang sangat besar. Dia menderam, tajam merenung tiga beradik. Tetapi pergerakan dia terbatas, kerana ekornya sudah diikat di dahan bawah. Bergelut lah harimau itu untuk melepaskan ekornya. Sementara tiga beradik keluar daripada rumah mereka dan memanjat dahan pokok yang lebih tinggi lagi. Bermalamlah mereka di situ sambil ditemani bunyi harimau yang tidak penat-penat bergelut mahu melepaskan dirinya.

Hingga menghampiri subuh, bunyi harimau itu sudah tiada. Dari celahan dinding si kakak mengintai ke dalam rumah. Kelihatan lelaki itu sudah bertukar manusia dan nyenyak tidur. Peliknya pakaiannya tidak terkoyak dek bertukar rupa pada malam semalam. Tidak beberapa lama kemudian lelaki itu bangun. Dia berasa lega, anak-anak itu tidak menjadi habuannya.

Katanya dia manusia kerinci, dia terlanggar sumpah ilmu warisan moyangnya turun temurun. Disebabkan itu dia menderita menjadi harimau jadian. Dia mengucap terima kasih sebelum menghilangkan diri meneruskan perjalanannya untuk mengubati diri.

Sebaik sahaja lelaki itu hilang, dari jauh mereka terlihat ayah mereka tiba. Ayah mana tergamak mahu membuang anaknya. Si ayah tidak sampai hati mahu meninggalkan zuriatnya. Mujurlah anak-anaknya selamat bermalam di dalam hutan. Ayah memeluk anak-anaknya membawa mereka pulang ke rumah.

Cerita Ketiga : Pari

Ali umurnya sudah meningkat remaja. Kini tugas mencari kayu api dan bahan makanan telah ayah serahkan kepadanya. Hanya Ali satu-satunya anak lelaki di dalam keluarga mereka lagi lima orang adik beradiknya adalah perempuan. Hari ini atuk dan ayah akan ke sungai, mencari siput dan ikan untuk dijual dan lebihnya untuk di masak.

“Ingat Ali, jika kau bau yang aneh-aneh di hutan, jangan kau tegur ya.” Pesan nenek sambil mengunyah sirihnya

Ali hanya mengangguk mendengar pesan nenek sambil mengasah kapak.

“Jaga-jaga abang sama jin pari, dia suka sama orang laki-laki. Hari itu abang Jeman sudah terkena.”

Ali masih mengangguk. Endah tidak endah sahaja pesan adiknya itu. Biar padan muka si Jeman, memang patut dia kena. Dasar lelaki berhidung belang. Gatal.

Masuklah Ali ke dalam hutan di atas bukit Tok Aceh. Bukit yang banyak cerita mistiknya, terutama kisah jin pari. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja dia terbayang tentang makhluk itu. Cantikkah? Bagaimana rupanya?Kalau tidak cantik masakan lelaki mudah tergoda?

Sambil tangan menebas pokok-pokok hutan, sambil matanya mencari barang yang di pesan mak dan nenek. Waktu itu matahari sudah menegak di kepada, tanda sudah tengah hari. Ali duduk merehatkan diri di perdu pokok sambil meneguk air dari bekas buluh yang diikat di pinggangnya. Dahaga masih belum hilang, air pun sudah habis di teguk. Tiba-tiba Angin lembut sahaja, datang meniup wajahnya. Sesekali hidungnya menangkap bau aroma kari ayam. Enaknya bisik hatinya. Perutnya makin lama makin berkeroncong tergoda dengan aroma kari.

Ali mula teringat sesuatu. Mustahil ada orang tinggal di sini. Tidak pernah pula dia tahu. Ali bangun meninjau kawasan. Kuat juga bau kari ini. Sudah pasti dekat sahaja dengan rumah tuan kari ayam ini. Boleh juga dia mintakkan air menghilang dahaga.

Selepas beberapa langkah, tiba-tiba dari celahan daun, Ali nampak ada sebuah rumah kayu di tengah hutan. Makin lama dekat, makin kuat bau kari ayam. Ali memberi salam. Sunyi sahaja rumah itu. Tidak beberapa lama kemudian ada seorang wanita lembut wajahnya keluar daripada rumah, tersenyum simpol.

“Waalaikumusalam.. Marilah naik dulu.” Pelawa gadis itu

Ali tanpa berfikir naik lalu duduk di beranda luar sahaja. Gadis itu kelihatan malu-malu dan manis dengan senyuman sambil bersimpuh di hadapannya.

“Jika tak keberatan, saya mau minta sedikit air penghilang dahaga.”

Gadis itu Cuma mengangguk, lalu bangun masuk ke dalam rumah. Tidak beberapa lama kemudian muncul membawa sedulang makanan dan air. Kari ayam terhidang di depan mata Ali. Wangi sungguh nasi putihnya.

“Jemputlah makan, alang-alang sudah di sini.”

Ali tanpa berfikir panjang lantas mula menyuap makanan ke dalam mulutnya. Bukan senang mahu makan ayam. Sebulan sekali pun belum tentu dapat.
“Saudari tinggal dengan siapa.” Soal Ali

“Saya tinggal seorang sahaja disini. Saya sebatang kara.” Sayu sahaja nadanya.

“Kesiannya saudari.” Terbit perasaan simpati.

Tanpa pengetahuan Ali, di rumah orang kampung sudah kecoh. Ibunya kelihatan gelisah. Nenek pula meninjau ke luar menanti anak dan suaminya yang masih belum pulang. Sudah dua malam mereka mengadakan majlis membaca doa di rumah, tetapi Ali masih belum dapat di temui. Ke manakah anaknya berada.

Ali memandang ke langit, hari masih lagi awal. Kira-kira mungkin baru pukul 2 petang ketika itu, sempat juga dia meminta izin Cempaka untuk tumpang solat di rumahnya. Seronok pula dia berbual dengan Cempaka. Tanpa sedar hatinya sudah berkenan dengan gadis itu. Kalaulah Cempaka sudi, akan dia menikahi Cempaka dan membawanya gadis itu duduk bersama keluarganya.

“Cempaka, suka sama Ali?” tanpa berselindung Ali mengaju soalannya.

Cempaka terdiam, wajahnya hilang senyuman.

“Benarkah Ali suka Cempaka?”

“Ya, jika sudi, Ali mahu memperisterikan Cempaka. Ali akan panggil mak ayah datang meminang.”

Cempaka diam. Mungkin dia tidak ada hati dengan Ali. Ali sedar siapalah dia. Tubuhnya kurus sahaja. Rupa pun tidak sekacak putera raja. Harta pula tiada.

“Cempaka tidak kisah jika Ali tiada harta dan rupa, asalkan Ali hatinya ikhlas. Tapi Ali belum kenal Cempaka. Cempaka bukan orang sini.”

Cempaka memusingkan badan membelakangi Ali, tiba-tiba ada ekor muncul di sebalik kain Cempaka. Seperti ekor ikan pari. Di belakangnya ada isi kian menumbuh berbentuk sayap seperti sayap kelawar. Ali berundur ke belakang. Tangannya memegang kapak yang tergantung di pingang. Cempaka menoleh kearah Ali. Mujurlah wajahnya masih cantik, Cuma ada taring kecil di antara gigi bawah.

“Siapa kau sebenarnya ha?” Ali meninggi suara.

“Saya Cempaka. Ali bersabar, aku tidak akan apa-apakan kau. Aku jin yang menetap di bukit ini. Aku tidak akan melukakan mu, bahkan tidak akan melukakan manusia melainkan manusia berhati jahat.”

Kedengaran sayup-sayup suara unggas bersahutan. Dia bangun dari pembaringan sambil tercari-cari kelibat Cempaka dan rumahnya. Namun tiada. Dia cuba mengingati segala kejadian yang menimpa dirinya. Namun tidak dapat ingat sepenuhnya. Dalam kesuraman cahaya langit subuh yang hampir pagi, kedengaran bunyi esakan dan bau wangi milik Cempaka.

“Maafkan aku Cempaka, jin manusia tidak boleh bersama walau hatiku sangat sayang padamu.” Bisik hati Ali meninggalkan tempat itu. Dalam hidupnya inilah kali pertama dia bertemu jin yang baik dan beragama islam. Sempat Cempaka menjadi makmumnya ketika solat. Cempaka kau tiada ganti. Wanita pertama suri hati.

Sekian.

Panggil aku Nurhan, aku da cerita pasal Hantu Pak Tonggek yang korang rasa lawah tu, hahaha. Maaf cerita aku tak seram. Saja kongsi dengan korang. Betul atau tidak segalanya di cerita oleh nenek kat aku. Okey sampai sini saja. Kalau korang suka nanti aku tulis lagi. Kalau tak suka sampai sini sahaja lah aku kongsi cerita nenek aku. Ha aku Carlitorocker, pernah tak jumpa jin Pari. Kot la kau pernah jumpa. Sebab mak aku, atuk aku dan beberapa org pernah cakap pasal benda ni. Dia ada ekor macam ikan pari kat belakang. Kadang tertnya juga cerita ni rekaan atau betul. Aku dok tunggu cerita kakya tu. Apa jadi dia dengan adik dia. Moga korang dilindungi Allah selalu. Okey bye.

Nurhan

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

8 thoughts on “Nurhan: Hantu Pak Aji Makan Hidung”

  1. bestt, lagi best kalau dgar tok hang yg cerita kann
    share la lgi, ala2 kisah dongeng org dulu2
    #carlitorocker, org dah seruu ni, timbuii laa si ikan kaloii

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.