PASTI

Kisah 20 tahun lepas, sewaktu Omar mula-mula bertugas sebagai pengawal keselamatan di hospital itu. Sebaik sahaja pencen askar, Omar memohon menjadi pengawal keselamatan demi meneruskan kelangsungan hidup.

Minggu pertama, Omar bertugas ‘shif’ siang. Semuanya berjalan lancar, hampir 20 tahun dalam perkhidmatan tentera, disiplin dan gerak kerja Omar sangat cemerlang.

Minggu kedua, Omar bertugas shif malam. Walaupun ada usikan dari rakan sekerja, tentang situasi hospital waktu malam tak sama dengan waktu siang, Omar sekadar senyum.

Dia pernah tidur berbulan lamanya di dalam hutan sewaktu menjadi askar, bermacam ‘benda’ telah dijumpai dan dilalui, jadi istilah takut tiada di dalam kamus hidupnya.

Namun Omar tidak bercakap besar, meninggi diri, kekal ‘humble’ dan cukup tenang.

Omar ketika itu berada di pos pengawal pintu belakang. Suasana agak sunyi, hanya berteman radio kecil. Sesekali terdengar bunyi cengkerik dan siulan burung hantu serta lolongan anjing sayup-sayup.

Rasa sejuk mula mencengkam. Omar tahu ada banyak ‘benda’ yang mula berkeliaran, jam tangan dipandang sekilas, Omar tersenyum mengerti.

Sudah masuk jam 12 malam, Omar mahu keluar meronda, baru berapa tapak dia berjalan keluar dari pos pengawal, seseorang menegurnya.

Omar berpaling, kelihatan seorang lelaki bertanya kemana kah arah letaknya bilik mayat. Omar yang kebetulan mahu meronda, menawarkan diri untuk mengiringi serta menunjukkan lelaki itu di mana bilik mayat. Sambil berjalan mereka berbual-bual kosong.

Sebaik tiba di bilik mayat, Omar meninggalkan lelaki itu dan berlalu meneruskan tugas rondaan dari satu chekpoint, ke satu yang lain.

Di sebuah lorong, Omar bertembung dengan salah seorang kenalannya yang bertugas sebagai atendan hospital, rakannya itu sedang menolak troli menuju ke bilik mayat.

Sempat mereka bertegur sapa dan berbual seketika. Sedang asyik berbual, kain selimut yang menutupi mayat itu tiba-tiba tersingkap ditiup angin yang entah dari mana.

“Aku dah agak dah hehe” ujar Omar sedikit ketawa.

“Kenapa?” Soal Kudin rakannya itu, seraya menutup kembali wajah jenazah itu dengan selimut.

“Tadi aku iring dan bawa ‘dia’ ni, dari pos belakang sampai depan bilik mayat” jelas Omar bersahaja.

“Haha, biasa la Omar, salam perkenalan lah tu” usik Kudin. Omar hanya ketawa mengiyakan.

Kemudian mereka kembali meneruskan tugas masing-masing. Omar berhenti melepak seketika dengan rakan sekerja di kaunter pengawal dalam kawasan lobi.

Asyik berbual, muncul Kudin dari arah lif.

“Selesai dah ke tugas ko tadi Din?, cepat juga ya” sapa Omar.

“Eh! Omar, tugas apa tu, aku baru je turun ni, nak kena pegi ambik d***h untuk bawak ke wad” jawab Kudin terpinga-pinga.

“Aik, bukan kau hantar jenazah ke bilik mayat ke tadi?” Soal Omar tergaru-garu kepala.

“Mana ada Omar, ada-ada je ko ni, eh aku gerak dulu ye, nak kena cepat ni” ujar Kudin.

Omar menarik nafas dan menggelengkan kepala.

“Hahaha, tu salam perkenalan tu Omar” Jani rakan sekerja Omar ketawa.

“Ye, tu lah ayat ‘benda’ tu cakap kat aku tadi, dua kali aku kena ‘main’ rupanya hahaha”

Mereka ketawa bersama. Seketika Omar beredar menghabiskan rondaan dan kembali semula ke pos belakang.

Saat melintas kawasan hadapan bilik mayat, ada dua makhluk menyeringai samar-samar bersembunyi.

“Oooo tadi bukan main korang menyakat aku, ni takut-takut pulak ye, dah tau la tuu hihi” sindir Omar dan berlalu pergi. Makhluk-makhluk itu lenyap menghilang.

Saat tiba di pos pintu belakang, sayup-sayup suara merintih seolah menangis, meremang juga tengkok Omar, namun diendahkannya.

Itu lah kejadian salam perkenalan buat Omar, selepas pada itu, setiap kali shif malam, macam-macam Omar jumpa dan lalui, dah naik lali. Ada juga yang menyeramkan, yang melucukan juga ada.

Pernah satu hari, Omar mendapat panggilan dari ‘walkie talkie’ nya, menyatakan ada pesakit wanita terkunci di dalam kubikal tandas. Omar segera naik ke tingkat 9.

Sewaktu tiba, rakan sekerja yang memanggilnya tadi tidak kelihatan. Omar terus sahaja masuk dan melihat kubikal di bahgian hujung, pintunya tertutup.

“Kunci patah ke?” Soal Omar sambil cuba menolak pintu.

Suasana diam, tiada sebarang bunyi. Omar menelek seketika di bawah.

“Haa ada orang, ingat tak ada, jangan takut, saya pengawal keselamatan. Macam mana, kunci patah ke?” Soal Omar semula.

“Ohh, saya ingat siapa, ya, saya nak tarik selak dia, patah pulak” jawab pesakit itu sedikit gementar.

“Awak boleh panjat tak?”

“Tak boleh, tangan saya bersimen”

Omar mengangguk dan cuba melihat sekeliling mencari apa yang boleh dilakukan untuk mengumpil pintu.

“Kenapa tak guna tandas dalam wad, awak duduk wad mana?” Omar menyoal sambil mengumpil pintu menggunakan batang mop.

“Saya dari wad 13, tandas wad ada orang, saya dah tak tahan hehe”

Pesakit wanita itu sedikit ketawa.

“Ok, awak pusing mengadap dinding, saya nak rempuh sikit pintu ni, tak boleh buat apa dah, sedia ya, 1,2,3…”

“Pammm!!”

Omar merempuh pintu kubikal tandas itu. Anehnya tiada sesiapa di dalam. Dia merasa keliru seketika. Walkie talkie di gunakan memanggil rakannya.

“Adam masuk..Adam masuk” ujar Omar pada walkie talkie nya.

“Ya Omar, lapor” sahut Adam.

“Tandas kosong, tak ada orang!! Lapor”

“Tandas? Kes apa?? Lapor”

Omar mengetap bibir. “Ok tak apa, aku turun jap, out”

Sebaik sahaja turun dan tiba di pos Adam bertugas, Omar menceritakan kejadian yang berlaku tadi.

Adam menafikan, dia tiada memanggil Omar. Dan lagi, tandas di tingkat 9 tak pernah dibuka. Omar sekadar mengeluh, kena lagi kali ini.

Antara kejadian lain, beberapa tahun kemudian, Omar terjumpa seorang remaja lelaki menangis di bawah tangga sewaktu membuat rondaan.

Mulanya dia menyangka makhlus halus mahu mengusik, rupanya budak itu adalah manusia. Omar membawa budak itu ke kaunter pengawal di lobi, tempat Omar bertugas malam itu.

Budak itu bernama Sufian, sedang menemani datuknya yang sakit tua di wad.

Sufian mahu turun ke kedai 24jam di lobi, mencari makanan untuk mengalas perut yang lapar.

Sufian menuju ke bahagian lif di tingkat 7, namun lama menunggu, lif nya tak kunjung tiba. Tak betah menunggu, dia nekad turun melalui tangga.

Sebaik tiba di tingkat 5, Sufian mendengar suara datuknya memanggil, tanpa berlengah Sufian menolak daun pintu dan keluar.

Suasana hening tiada seorang pun, Sufian mengerutkan muka, seketika dia kembali menuruni tangga. Di beranggapan mungkin salah dengar atau terkhayal.

Sedang asyik berjalan menuruni tangga, Sufian merasa hairan, mengapa masih belum tiba di lobi. Sepertinya sudah berpuluh tingkat dia turun, badan sudah bermandi peluh.

Sufian menyedari, dia berulang-ulang di tingkat 4. Selaju mana pun dia turun, tetap di tingkat 4.

Sufian mula panik, tiada pilihan, dia keluar dari ruangan tangga lalu ke bahagian lif.

Sufian menekan-nekan butang lif, hatinya dipagut resah.

“Tingg!!”

Akhirnya lif tiba, Sufian sedikit lega. Namun sebaik pintu lif terbuka, Sufian menjerit dan terduduk.

Ada lembaga yang hanya berkaki di dalam lif itu, tiada badan dan kepala.

“Ting!!!”

Lif kedua berbunyi, Sufian bergegas bangun mahu melarikan diri, namun lengkahnya terhenti.

Di dalam lif kedua ada lembaga tanpa kepala dan kaki, hanya tangan dan badannya.

“Ting!!!”

Lif ketiga di sebelah pula berbunyi. Sufian yang masih berdiri membeku sekadar melihat, ada kepala tanpa badan di dalam lif ketiga, lidahnya terjelir dan menitiskan air liur.

Sufian menjerit sekuat hati, bukan sahaja kerana takut, tapi terkejut, kepala di dalam lif itu adalah kepala datuknya.

Sufian berlari macam orang gila ke arah tangga. Namun keadaan masih sama, dia berlegar di tingkat 4 sahaja.

Penat berlari Sufian duduk dan menangis teresak-esak hinggalah dijumpai oleh Omar.

“Dah berapa lama datuk kamu sakit?” Soal Omar menghulurkam sebotol air kepada Sufian.

“Dah lama, tapi..”

“Tapi apa? Cuba kamu cerita” pinta Omar.

Beberapa bulan lepas datuk jatuh sakit. Saya memang duduk dengan atok. Jadi bila atok masuk hospital, saya la yang kena jaga.

Keadaan atok sangat tenat, semua anak cucunya datang apabila dimaklumkan atok semakin nazak.

Tapi tengah malam itu, atok tiba-tiba bangun dan sihat seperti biasa. Jadi keesokannya atok dibenarkan keluar.

Sepanjang balik di rumah itu, keadaan atok bersilih ganti, siang terlantar tak bermaya seperti mahu m**i, bila malam menjelma, atok sihat dan makan dengan banyak.

Anak-anak atok dah malas dan penat berulang alik kerana atok sentiasa begitu.

Sampailah minggu lepas, atok terlantar siang dan malam.

“Kamu ada mimpi apa-apa tak? Macam orang bagi barang ke, anak kecik mintak susu ke?” Soal Omar.

“Ntah, macam ada, saya tak berapa ingat pak cik” jawab Sufian polos.

Omar mengangguk kepala mengerti. Kemudian Omar menghantar dan menemani Sufian ke wad.

Sempat Omar memberikan sebotol air yang dibaca ayat suci AlQuran sebagai penawar.

Sufian diminta memberi datuknya minum sedikit dan lebihannya disapu seluruh badan.

“Pehh, cerita pak Omar memang A lah..” ujar Daim membuat isyarat tabik. Rosli ternganga mulut.

“…lepas tu apa jadi pak Omar?” Soal Daim.

“Ermm, esoknya Sufian m**i”

“M**i!!!” Daim dan Rosli bersuara serentak.

Pak Omar bangun menggeliat. “Ya, mayatnya dijumpai atas jalan depan lobi tu, jatuh dari tingkat 7”

“Lohh, kok gitu” melopong mulut Daim akibat keliru.

“Itu la, pak Omar rasa saka datuk dia lempar, telahan pak Omar silap, saka tu bukan nakkan pengganti, atau tuan baru, saka tu nak nyawa dia je”

Jelas pak Omar seraya merenung Daim dan Rosli.

“Kenapa pak Omar tengok kitorang macam tu?” Soal Daim tersengih-sengih.

“Esok hari raya dan..ermm” terhenti kata-kata pak Omar.

“Dan apa?? Lain macam pulak hehe” Daim ketawa namun merasa pelik dengan keseriusan wajah pak Omar.

“Tak ada apa lah, penat je, ermm..ok, pak Omar nak meronda kejap, nak ikut ke?” Soal Pak Omar, Daim menggelengkan kepala.

Seketika Daim dan Rosli berjalan sambil berbual, kelibat pak Omar telah hilang pergi meronda.

“Bukan biasa-biasa ye pak Omar tu” ujar Rosli kagum.

“Ye la tu, banyak dah cerita dia aku dengar, memang hati kering dia tu” Daim ketawa.

“Aku mula-mula tadi terkejut jugak dia nampak kita, siap boleh berbual lagi, tinggi kebolehan dan ilmu dia” puji Rosli yang masih merasa kagum.

“Sama la aku dulu, terkejut masa dia tegur aku, tapi dia la yang banyak bagi semangat dan tunjuk ajar dekat aku” jelas Daim sedikit terharu.

Mereka terus berjalan, bunyi lolongan anjing sayup kedengaran.

“Kita pegi bilik mayat nak?” Cadang Daim dengan senyuman teruja.

“Hah!! Nak buat apa??”

“Ni kan malam raya, mesti meriah sana, jom laa”..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 106 Average: 4.8]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.