PELIHARAAN MOYANG

Sepanjang aku bersahabat dengan Yunus, aku sudah faham pola pemakaiannya. Entah kenapa, Yunus tidak suka dan akan mengelak dari memakai baju yang berwarna terang. Kalau tidak kelabu gelap atau biru tua. Warna hitamlah yang warna yang sangat sering dipakainya. Jika keluar membeli baju, bila dihulur baju terang, keningnya akan berkerut, mulutnya akan muncung, tanda dia tidak suka.

Hari itu, entah apa anginnya, Yunus datang ke rumah aku dengan memakai baju-t berwarna merah terang. “Aih Yan, raya cina ka?” kata aku mengusik. “Merah sangatlah mak ngah” usik Bakri, kawan kami yang datang kerana hendak mengupah kami memetik rambai, langsat dan pulasan yang musimnya sampai ketika itu. “Alah, sekali sekala apa salahnya” kata Yunus cuba mengelak. Untuk menjaga hatinya, bila Bakri ke motorsikalnya mengambil rokok, aku berbisik pada Yunus “Baju hang semua basuh kan? Omakngah dah hingaq (hingar / bising) kan?”. Yunus hanya ketawa dan mengangguk.

Aku seperti biasa akan mengenakan baju-t berlengan panjang. Kulitku tidak tahan cahaya matahari terik, pedihnya kulit digigit matahari, hanya aku yang tahu. Topi juga tidak lekang dari kepalaku. Silau matahari pulau juga sangat menyeksakan mataku. “Awat hang mai cari kami?” tanya Yunus sambil menghembus asap rokok. “Saja lah, aku pun lama tak lepak ngan hangpa. Lagipun buah dah tak banyak dah. Aku ingat nak sedekah buah-buah tu, bukan nak juai” kata Bakri. “Kalau nak, jomlah, sebelum asaq (Asar) habihlah kot” kata Bakri. Hari itu, hari Ahad, kami tidak bekerja.

Perjalanannya tidak lama, kerana kami sudah sangat biasa dengan jalan itu, tapi aku dan Yunus tidak pernah sampai ke dusun moyang Bakri. Rupanya, jalan hendak ke dusun atas bukit itu juga tidak berapa kelihatan dari jalan yang biasa orang lalui. Sekali pandang memang tidak akan perasan ada jalan naik ke atas. Jalannya mendaki muat sebuah kereta, tapi bila sampai ke dusun yang berpagar itu, cantik pula pemandangannya. Dusunnya bersih luar biasa. Pintu pagar senget bercat coklat dibuka Bakri. Ada bangsal di mana raga-raga buluh diletakkan, beberapa buah kereta sorong lipat dan tangki m******h rumpai diletakkan. Mesin pemotong rumput beberapa batang juga ada di bawah bangsal dengan satu tong besar petrol. Moyang Bakri bijak, dia menggunakan air bukit untuk menyiram pokok-pokok seperti cili dan halia yang banyak ditanam.

Banyak sungguh pokok betik sedang berbuah. Besar-besar, semuanya langsung tidak rosak atau dimakan burung, tupai, atau lebih teruk, kera yang banyak di atas bukit itu. Ke depan sedikit, berjajar pokok cili burung, rimbun dengan buah yang merah. Rajin sungguh moyang Bakri mengusahakan tanahnya. Kata Bakri, buah palalah yang paling banyak membawa keuntungan pada moyangnya. Pokok-pokok pala dijaga dengan rapi dan tumbuhnya nun di atas, ada lebih kurang 30 pokok. Pokok pala tidak asing bagi kami di kampung. Sudah menjadi kebiasaan keluarga Bakri akan bersedekah buah sebagai tanda bersyukur dengan rezeki mereka yang melimpah ruah.

“Kita kait rambai dan pulasan. Moktan (rambutan) kuning pun banyak dah aku tengok. Rezeki tahun ni, buah bagoih” kata Bakri berjalan masuk ke dusun yang luas dan meninggi mengikut bukit. Tidak sangka, luas betul dusunnya. Padanlah kehidupan Bakri senang, sentiasa berduit dan tidak perlu bekerja seperti kami. Tidak hairanlah rumah moyangnya besar, kereta bersusun. Bukan itu saja, dengar ceritanya, deretan rumah sewa, ladang getah, rumah kedai dan ladang kelapa di Perak juga menyumbang kepada kekayaan moyangnya yang sudah terlalu tua. Semuanya bermula dengan usaha moyangnya mengusahakan dusun dan menjual buah.

Yunus yang tersengih-sengih, sudah bersedia dengan galah yang berat di tangannya. Galah itu memang berat, bertali yang bersangkut dengan alat seperti gunting di hujung. Di bawah sedikit dari alat pemotong itu, ada raga dengan dawai tebal sebagai mulut. Buah yang dikerat akan jatuh ke dalam raga, tidaklah banyak buah yang lerai dari tangkai. Kata Bakri, buah yang masih bertangkai akan lebih tahan segar lebih lama dari buah yang terlerait dari tangkai. Hendak memberi, biarlah barangnya elok, kata Bakri.

“Wei Keri, aku kait kat sana, na!” kata Yunus yang sudah melangkah. “Ha lah, suka hati hang la Yunuih” kata Bakri. Aku mengikut Bakri kerana mahu melihat orang yang pakar memetik rambai di dahan yang tinggi. Sampai saja di bawah pokok rambai, tangkai-tangkainya bergugus buah, semuanya tinggi-tinggi. Menurut kata Bakri, buah di tangkai rendah mereka petik dengan memanjat pokok nya. Seronoknya lain macam, tidak sama dengan mengait. Yunus sudah hilang dari pandangan kami. Memang begitulah fi’il Yunus, suka melakukan kerja sendiri. Rimas katanya kerjanya diperhati.

Aku mengikut Bakri ke deretan pokok rambai yang tidak jauh dari pondok teduhan. Suka aku di situ kerana ada lopak air, yang airnya sangat sejuk laksana air dari peti ais. Air bukit yang murni, boleh terus diteguk jika dahaga. Bakri pun mula mengait tangkai-tangkai rambai yang bergugus buahnya dengan cekap dan cermat. Bila buah yang bergugus jatuh di dalam raga dalam 3 tangkai, Bakri akan turunkan dan aku akan meletakkannya dengan cermat di dalam raga buluh yang sudah dialas dengan suratkhabar.

Aku bertanya Bakri, bolehkah aku merasa sebiji dua rambai. “Ehh awat pulak tak buleh haih, makan la selagi hang lalu. Aku tengok pun dah muak. Melugai (mual) dah” kata Bakri tergelak. Aku pun ambil setangkai rambai dan mula mengopek kulitnya. Dengan lafaz Bismillah, aku menyuap rambai ke mulut. Rasa masam manis yang seimbang dan sempurna, Allah letakkan dalam buah sekecil itu. Kulitnya aku buang ke tanah. Bakri tidak melihat, sibuk mengait rambai di dahan agak tinggi. Lepas sebiji, sebiji rambai aku makan, kulitnya aku buang ke tanah.

Hampir habis setangkai rambai, bila buah yang terakhir aku kopek dan kulitnya aku buah ke tanah, terdengarlah suara berdehem dari belakang pokok rambai yang beberapa batang di belakang. Dalam dan garau suaranya, seperti marah bunyinya. Serta merta aku berpaling, dan sosok yang aku lihat itu hampir-hampir menghentikan jantungku.

Pernah tonton filem Star Wars, heronya dengan seekor makhluk bernama Chewbacca? Apa yang aku lihat terhendap-hendap di belakang dahan rambai, mirip dengan sosok khayalan itu. Tapi di depan mataku, makhluk berbulu lebat berwarna hitam dengan mata merah yang menusuk, sedang tepat memerhatikan aku di belakang batang pokok. Matanya merah, dan kukunya dari tangan yang berbulu panjang itu, mencecah ke tanah. Takutnya aku bukan kepalang. Aku yang tidak sempat berfikir secara waras, hanya mampu beristighfar, sambil bertentang mata dengan makhluk menakutkan itu.

Cepat-cepat aku berpaling dan menghampiri Bakri yang terbongkok-bongkok menyusun rambai bertangkai di dalam raga buluh yang luas mulutnya itu. Aku rasa, semangatku lari entah ke mana. Bakri yang mungkin telah tahu apa yang aku nampak, memekik “Haih!! Celaka sungguh! Siang-siang buta pun nak mengacau! Aku ni bukan orang lain, anak cucu dia! Aku yang ajak depa mai, kalau aku tak ajak, depa tak mai sini aihh!!” laung Bakri ke arah pokok-pokok rambai. “Sabaq..sabaq. Tenang, Ku” kata Bakri sambil menghampiri dan menepuk-nepuk bahuku. Aku hanya mampu mengangguk dengan debaran jantung kencang waktu itu.

Bakri mengambil ranting yang gugur, dan dibalingnya ke arah pokok-pokok rambai di belakang. Serta merta aku rasa mulutku kering. Rasa masam manis rambai tadi seolah tawar. Seolah aku sedang mengulum pasir. Hendak meludah, aku rasa takut. Bimbang perkara lain akan terjadi. Serta merta aku merasa mual, dan mengajak Bakri ke pondok berteduh yang lebih kurang 15 meter dari situ. Sampai sahaja, aku ke tempat air bukit yang mengalir dan berkumur-kumur, membuang rasa pasir dan tanah di mulut. Yunus pula, tidak nampak bayangnya dari tadi.

Bakri yang risau, sibuk bertanya. “Aku okay, Keri. Tak dak apa aih. Aku dah besa (biasa) kena usik lagu ni” kataku menenangkan Bakri yang sudah nampak cuak dan risau. “Hang tok sah risau. La ni aku risau kat Yan, ntah mana dia pi” kataku jujur pada Bakri. Aku mula membaca Bismillah Lima berulang kali dalam hati. Kemudian, aku ulang membaca Ayatul Qursi. Pondok berteduh itu terbuka, dibuat dengan kayu dan bertiang rendah. Muatlah dalam lima orang jika bersolat berjemaah. Pangkin juga dibina, mungkin untuk melunjukan kaki yang lenguh, atau melelapkan mata sebentar di situ.

Ketenangan yang sekejap itu dikejutkan dengan bunyi suara seperti orang sedang mengomel, marah-marah. Walau pondok teduhan itu tidak berdinding, ada plastik hitam direntangkan mungkin untuk menutup silau matahari. Bunyi omelan itu terdengar dari belakang plastik hitam itu, yang hanya beberapa depa sahaja di belakang kami. Bakri nampak sangat marah, meluncur keluar dari pondok dan pergi ke belakang. Segala maki hamun, terhambur dari mulutnya. Aku hanya mengendahkannya, kerana aku tahu, mahkluk yang mengganggu itu tidak akan beredar dari situ sehinggalah kami angkat dari dari dusun buah itu.

Bakri yang nyata berang, datang duduk di tepiku. “Hang berani noh, Ku. Tadi saja muka hang pucat lesi, la muka hang dah macam besa” kata Bakri. “Muhong (bohong) makalau kata aku tak tak tekejut. Awat dia marah sangat, noh?” tanyaku. “Kalau kata aku buang kulit rambai merata, bawah pokok tu banyak kulit rambai kering” kataku pada Bakri. Bakri kehairanan dan berkata “Ya ka? Aku tak perasan pun. Mungkin la, bukan hang sorang saja yang makan buah, hat mai tulong aku petik pun makan. Beza ngan hang, hang mintak izin dulu” kata Bakri, semakin risau.

Habis saja Bakri berkata, dahan pokok rambai yang kami petik tadi bergoncang keras. Serentak kami terbangun kerana terperanjat. “Ish b**i sungguh haih menatang ni, cari pasai sungguh dia hari ni. Awat tak tau!” Semakin kuat dahan rambai itu bergoncang. Aku sudah tidak takut melihat keadaan itu. Aku tahu, makhluk itu hanya hendak mengusik supaya kami meninggalkan dusun itu secepat mungkin. Dalam hati, mesti ada sesuatu yang Yunus telah lakukan. Semberononya tidak habis-habis.

Dalam kami terpaku memandang dahan yang bergoncang itu, turunlah Yunus dengan selamba, dengan tangan kosong. “Sini rupanya hang nohh..” katanya yang memandang dahan, yang tidak lagi bergoncang saat munculnya Yunus di situ. “Laaah… awat lari, takut ka?” katanya yang memandang apa yang kami tidak nampak. Pandangan Yunus seolah mengikut sosok yang tidak kami nampak, sehingga ke atas di mana pokok-pokok pala hidup merimbun. “Maaf na, yang mulia raja doktor professor tengku. Aku lalai” kata Yunus yang cuba menggeletek hati aku.

Tergelak Bakri. Yunus senyum sahaja. “Eh Keri, batu belah tu, bukan tanah moyang hang ka?” Aku tidak faham apa yang Yunus maksudkan. Ha, tu tanah moyang aku sampai ataih, tapi kami tak tau pasai apa moyang aku tak tanam apa di sana. Biaq semak macam tu, sentuh pun dak” kata Bakri. “Awat ada pagaq?’ tanya Yunus. “Hang cakap apa ni Yan? aku bertanya. “hang nak tengok? Jom la. Menarik sangat” kata Yunus sambil bangun. Bila aku beriring dengannya, sempat Yunus menggosok-gosok belakang aku. “Dia tak suka aku ada sini” kata Yunus. “Sapa?” tanyaku. Bakri hanya tunduk sambil mengikut kami ke atas.

“Aku rasa, tok sahlah kita pi” kata Bakri tiba-tiba menghentikan langkah Yunus. “Hang takut dia kacau hang kan? Tak pa aih, aku nak suruh Ku tengok, sebab yang dok jaga dusun ni dah memperkenalkan diri pada kawan kita ni” kata Yunus menepuk bahuku. “Hang tau noh? Aku walau selalu ada sini, aku tak pernah mai sorang. Takut macam rasa ada orang lain ada sama” mengaku Bakri. “Awat pulak aku tak tau, tadi bukan main dia dok lambai aku dari belakang batu belah tu” kata Yunus. Terbeliak mata Bakri. Aku juga sedikit terperanjat. Dari bawah, nampaklah seketul batu yang tertonjol, dipagar dengan pagar membulat. Batu itu di tengah-tengah, antara kawasan berpagar dengan tidak.

“Dalam hidup kita ni, kepada Allah sajalah kita patut takut. Sedangkan gunung pun runtuh berderai takutkan Allah, kita buleh takut kat hantu” kata Yunus seolah memerli kami. “Tak payah takut lah, kalau Allah tak beri izin, dia kacau sampai dunia dia terbalik pun kita masih buleh hidup, makan tidoq semua” kata Yunus. Aku dan Bakri berpandangan. Aku mula mengikut Yunus yang telah ke depan, diikuti Bakri yang nampak tidak pasti hendak mengikut atau tidak.

Keadaan jadi hening. Tadi bukan main reriang berbunyi. Kami sudah sampai ke pagar dan aku nampak batunya di dalam pagar itu. Mana belahnya, tanyaku dalam hati. Batu bukit yang biasa kita lihat, bentuk seperti muncung ikan paus, tertonjol dari tanah. Sekeliling batu itu, sehelai rumput pun tiada. Kawasannya bersih, seolah rumput dan rumpai baru saja ditebas dan dibuang. Bila kami berjalan sedikit ke atas, nampaklah batu itu seolah terbelah. Ruang di antaranya mungkin seinci sahaja lebarnya. Kenapa batu ini berpagar, tanya aku dalam hati.

“Ha, aku yang pakai baju merah dah sampai. Awat? Cantik ka warna baju aku?” kaya Yunus kepada batu itu. “Tadi hang kata baju aku silau sangat. Ni aku mai dekat, silau ka?” kata Yunus seolah mengejek. Tiba-tiba kami rasa seperti angin melucur keluar ke arah hutan tebal di atas. Dari dalam hutan, dengar seperti bunyi kaki berlari membelah hutan. Bunyinya seperti yang sedang berlari itu bersaiz besar. Yunus hanya ketawa. “Laahh.. lari lagi. Awatnya?” laung Yunus ke dalam hutan. Aku dan Bakri hanya berpandangan, pegun berdiri.

“Jomlah turun. Dia tak jahat kalau tau niat orang yang mai. Kerja dia macam tu, nak kata apa?” kata Yunus menggamit kami. Tidak buang masa, aku dan Bakri cepat berlari beriring dengan Yunus. Sambil berjalan, Yunus berkata, makhluk itu ditugaskan menjaga dusun itu. “Lama dah dia ngan moyang hang. Ada perjanjian antara depa” kata Yunus. “Batu tu, rumah dia, moyang hang betoi jaga peliharaan dia kan, Keri?” kata Yunus memandang Bakri. Bakri tidak menjawab, kepalanya tunduk sahaja.

Sampai saja kami di pondok teduhan, Yunus berkata “Hang toksahlah bimbang, Keri. Rahsia hangpa tetap jadi rahsia. Cuma cara ni salah di sisi agama. Allah tanya esok, apa nak jawab? Eh kita nak sambung petik buah ni bila?” kata Yunus yang melihat jam tangannya. “Tak payahlah, aku suruh orang lain. Aku segan pulak kat hangpa” kata Bakri jujur. “Dia cuma usik kawan kita ni tadi. Tempat dia jaga, dia tak mau orang sepah-sepah” kata Yunus. “Kalau lagu tu, biaq aku kutip kulit rambai tadi” kataku, rasa bersalah. “Eh takpa, biaq aku yang buang” kata Bakri. Aku tengok apa yang dibuat Bakri serba tak kena.

Sementara Bakri sedang menyapu kulit-kulit rambai, kami melihat keadaan dusun yang permai itu. Memang cantik kerana nampak pemandangan laut lepas. “Selesai, jom aku belanja mee udang kat kedai tepi sungai” kata Bakri. Kami mengikut sahaja. Kedai masa itu tiada orang, mungkin kerana masa menunjukkan hampir jam 3.30 petang. Bakri lebih banyak diam dan termenung jauh. Yunus hanya memerhati tingkah Bakri, tidak berkata apa. Aku pula salah tingkah, tidak tahu perkara apa hendak dibualkan.

“Alah Keri, hang tenang saja, semua Allah dah tulis di Lauh Mahfuz. Manusia boleh berubah dengan doa yang Allah makbulkan. Dalam hai (hal) ni, hang sekuman pun tak salah. Awat nak segan” kata Yunus tanpa menapis apa yang hendak dikata. “Tu la Yunuih, aku bukan apa, kadang-kadang kesian aku tengok moyang aku. Dah la tua, kuruih kering. Kami bukan tak nasihat moyang aku, tapi dia ketegaq. Tok aku selalu cerita dulu masa mula dia usahakan kebun pusaka aku, dia suruh wan aku masak pulut kuning ayam sekoq. Anak-anak dia telioq (terliur) tengok pulut kuning dan ayam, sikit pun dia tak peduli. Sebiji pulut pun anak-anak dia tak merasa. Dia bawak makanan tu pi ataih bukit, senja baru balik. Bila balik dia letih ja, apa dia buat, tak dak sapa tau” kata Bakri.

Kami hanya dapat mendengar. Yunus memilih untuk diam. Bakri menyambung “Kalau la moyang aku lupa ka lambat ka, dia mai sampai rumah. Hitam berbulu tinggi sama paghaih (paras) dengan alang rumah, minta makan. Sedia-sedia la moyang aku bergaduh. Tapi tu la, dusun terjaga, buah tak rosak, dusun elok bersih. Anak cucu dia kalau pi tak pernah jadi apa, tapi kalau orang luar cuba, hidup tak aman. Pernah ada orang putih sesat sampai ataih, dia nampak betik dok masak ranum, dia ambik sebijik makan. Macam nak gila juga orang putih tu kena kacau, menjerit meracau. Bila moyang aku halaikan, teruih mat saleh tu elok” kata Bakri.

“Entahlah Keri, elok hang tanya ustat (ustaz). Macam aku kata, ini dah langgaq hukum agama. Rezeki semua di tangan Allah yang Memberi” kata Yunus.

Selepas dari itu, Bakri jarang sangat terserempak dengan kami. Dia sudah berkahwin dan memilih untuk tidak tinggal di kampung walaupun semua sudah tersedia untuknya. Dia memilih untuk bekerja di ladang kelapa sawit di Jempol, Negeri Sembilan, hidup sangat sederhana dengan anak isterinya.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 91 Average: 4.8]

1 thought on “PELIHARAAN MOYANG”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.