Pendosa #1

Assalam, admin. Ni pula saya hantar cerita dalam novel Pendosa. Harap admin sudi membaca dan menyiarkannya. Terima kasih awal-awal diucapkan. Hai, warga FS, harap sukalah baca cerita psycho-thriller saya.

#1

BERDIRI di balik dinding, aku merunggas oksigen berkali-kali. Mata terpejam rapat, tubuh kejang melainkan bahagian dadaku yang turun naik dengan kasar, sekasar bunyi nafas panas yang tersembur keluar melalui lubang hidung dan mulutku.
Sumpah! Semasa itu aku langsung tidak mengenali diri sendiri yang tiba-tiba sahaja tergamak jadi pengecut, menyorok begitu di balik dinding. Huh, memalukan! Padahal aku bukan seorang bacul. Aku anak jantan yang tidak pernah lari dari masalah walau segetir mana sekalipun masalah yang datang menyerang.
Namun, di saat itu aku akui aku kimput. Kau tidak kimputkah berdepan dengan ‘binatang buas’? Kau tidak kimputkah bila kau tahu ‘binatang’ itu akan melapah jasadmu sedangkan kau masih bernyawa? Kau tidak takut?
Aku tahu kalian juga kimput. Dari sini lagi aku dapat mencium bau ketakutan yang merembes keluar dari setiap rongga yang ada pada tubuh badan kalian, bila mata minda kalian mengintai semula peristiwa ngeri yang pernah berlaku pada kalian suatu masa dahulu, semasa kalian bermati-matian mempertahankan nyawa bertarung dengan ‘binatang buas’ sepertinya.
Kalian pernah menjadi mangsa yang dikoyak-koyakkan semangat dan kekentalan mental oleh ‘taring’ dan ‘kuku tajamnya’. Semasa itulah kalian bagaikan baru tersedar dari mimpi indah. Baru sedar bahawa kedudukan dan kekayaan yang kalian miliki tidak langsung mampu menyelamatkan kalian dari ‘dilapah’ oleh ‘binatang buas’ sepertinya kerana dia bukannya kira kalian siapa, pangkat apa, miskin atau kaya. Dia tidak kira! Kalau dia mahu kalian menjadi mangsanya, kalau dia sudah ‘mengunci’ kalian dalam radar sasarannya, kalian larilah seputar alam sekalipun, kalian tetap akan menjadi mangsanya. Tetap akan dikerjakan sehingga hampir ‘m**i’, kemudian kalian ditinggalkan dalam keadaan nazak, dibiarkan mengutip sisa-sisa hidup yang sudah jahanam dengan penuh tragis, sambil dia memerhati dari jauh.
Tetapi kali ini bukan dia yang memburu mangsa, malah mangsa itu sendiri yang bodoh datang menyerah nyawa. Gila tak gila? Ah, lantaklah apa orang hendak kata.
Sudah hampir sedekad aku mencari ‘binatang’ sepertinya. Hampir sepuluh tahun aku memburu si pemburu gila. Sesudah dia kutemui, takkanlah aku hendak melepaskan peluang bersemuka dengannya berlalu begitu sahaja? Kimput atau tidak, aku tetap akan berdepan dengannya.
“Kau sengaja cari fasal kenapa?”
Mungkin soalan itulah yang kalian lontarkan kepadaku. Memang betul pun. Aku pun tahu aku memang sengaja mencari fasal dengan mencari dia. Namun, aku buat semua itu bukan kerana suka-suka. Aku bukan gila sengaja mencari celaka tetapi aku terpaksa. Aku kena cari dia. Kena! Sudah penat aku memerah otak mencari jalan lain, namun jalan yang satu ini juga yang cerah. Yang aku nampak potensinya. Yang mampu memenuhi kehendakku. Aku menganggap jalan menuju ke dia itu sudah Allah lorongkan padaku. Tentu ada hikmahnya. ‘M**i’ belakang cerita. Atau… mungkin juga ‘kematian’ itu perlu. Pengakhiran yang akan membuka permulaan baharu bagiku!
Sesudah menemukannya, aku jadi pemerhati yang setia. Perhati jauh-jauh dahulu, tidak berani terus mendekati. Aku dapati dia tidak gemar bermastautin di satu-satu kawasan. Paling lama pun dua hari. Kemudian, ibarat sang gipsi dia akan membawa pengikutnya bergerak ke tempat baharu.
Pada mulanya cemas juga bila aku kehilangannya. Seperti orang gila aku mencarinya. Namun, berjaya juga aku menemuinya semula di tempat lepak baharu, dan aku juga mula memahami sesuatu; dia ada rutin, sering bergerak tetapi tidak pernah keluar dari kawasan jajahan. Bermakna dia hanya berpusing-pusing dalam daerah itu sahaja.
Setelah berbulan berlalu, barulah aku berjaya mengumpul sekelumit semangat untuk mengambil langkah pertama. Berbekalkan kekuatan yang sekelonet itulah pada suatu hari aku gagahkan tubuh yang menggeletar dan kaki yang sudah lembik ini melintasinya. Aku kena tahu permainannya sebelum tergamak menghulurkan tengkukku untuk dibahamnya.
Allah! Longlai langkahku semasa melewati tempat di mana dia dan macai-macainya berhimpun, namun aku wajakan dua kakiku ini agar tidak rebah di hadapannya. Punah segala rancangan jika dia dapat menghidu niatku.
Sejak hari itu, beberapa kali aku melintasinya. Mendengar celotehnya. Belajar memahami rentak tingkahnya. Berminggu juga aku berseliwiran di hadapannya tanpa dia menyedari tindak tandukku. Yalah! Siapalah aku untuk mencuri perhatiannya? Akhirnya, aku memberitahu diri bahawa aku sudah bersedia untuk berdepan dengannya. Dan hari ini adalah hari itu. Hari aku menyerahkan nyawa kepada ‘binatang buas’ itu.
Nafas kurunggas lagi. Nazak lakunya lantaran oksigen enggan berpeleseran di dalam salur pernafasanku. Sakitnya, ya Rabb… sendat dadaku, sendat kepalaku, berkecamuk perasaanku. Pada saat itu aku lebih rela m**i di balik dinding itu daripada berterusan diagah dengan ketakutan sebegitu, namun, aku juga masih mahu hidup!
Kurunggas nafas sekali lagi seraya merayu udara bekerjasama dengan trakea di dalam dadaku. Agak lama juga barulah pernafasanku menjadi lancar semula, lalu kugenggam kesempatan itu dengan menghimpun segenap kekuatan yang masih tinggal.
Aku cekalkan semangat. Aku heret tubuhku yang terasa berat itu keluar dari balik dinding tempatku bersembunyi, lalu aku hayunkan kakiku ke arahnya. Kutalakan pandangan padanya – hanya padanya – agar hatiku tidak berbolak-balik. Hendak ubah fikiran pun tidak boleh. Sudah terlambat. Kewujudanku sudah dikesan oleh radarnya!
Dia melekatkan perhatiannya padaku dengan renungan yang sarat dengan ancaman. Dia. Macai-macainya. Merenungku dengan tajam. Tubuh masing-masing memejal, bersedia menghadapi serangan.
Serangan daripada aku? Ha ha ha ha… lelucon!
“Relaks… aku bukan nak serang korang.”
Aku terdengar suara yang mirip suaraku melantun dalam ruang udara antara aku dengan dia. Sangsi aku seketika. Namun, pergerakan otot bibirku menamatkan kesangsianku.
Memang suaraku yang aku dengar tadi. Memang bibirku yang menuturkannya. Huh! Memandai-mandai sahaja.
Halkumku bergerak-gerak menelan liur. Bunga-bunga kimput yang telah padam, kembali memercik dalam dada.
‘Bukan main berani lagi kau,’ tutuh hatiku, memarahi diri sendiri.
Hakikatnya, aku memang terpaksa tunjuk berani supaya dia tidak dapat menghidu ketakutanku. ‘Binatang buas’ sepertinya sangat cepat menghidu ketakutan yang dizahirkan oleh mangsa. Aku kena berlagak tenang, berlagak yakin, seolah-olah tahap kehebatanku lebih gah berbanding dia.
Nampaknya lakonanku menjadi. Perlahan-lahan kimputku hilang dan perlahan-lahan juga kulihat keyakinan pada wajahnya mula diserabuti kekeliruan.
“Aku nak bincang sesuatu dengan kau.”
Jari kutuding ke arahnya, mengambil kesempatan tatkala dia berada di persimpangan. Mencerlung matanya diperlakukan seperti kuli.
“Ya! Kau!” kataku lagi, menjawab soalan yang dipanahkan oleh renungannya. “Tolong bagi perhatian. Aku takkan ulang apa yang aku cakap!” arahku kepada dia dan macai-macainya, persisnya aku pula yang menjadi ketua mereka.
Ajaibnya, mereka mematuhi arahanku.
Tanpa menunggu lagi, aku terus membentangkan kemahuanku. Ayat bersambung ayat. Ayat yang telah aku hafal selama dua dekad. Yang telah aku gubah intonasinya supaya kedengaran tabii. Aku terus bersuara tanpa mempedulikan riak wajahnya dan macai-macainya yang merenungku dengan kekeliruan yang maha dahsyat. Namun, di kalangan macai-macainya ada seorang yang tidak terkesan dengan kehendak gilaku. Dia tersenyum sahaja semasa mendengar peneranganku. Aku terus mencurigainya.

BERDIRI lagak samseng di hadapannya sementara menunggu dia mencerna spesifikasi tugas yang aku mahu dia lakukan. Air mukanya serabut. Kerutan kasar pada dahinya menandakan dia masih belum berjaya merungkai soalan dalam teka silang kata yang aku berikan.
Aku tersenyum dalam hati. Dia tidak sepatutnya memerah otak yang kurang bijak itu untuk cuba menyelesaikan masalahku. Dia hanya perlu bersetuju untuk melakukan kerja yang aku mahu dia lakukan sahaja. Yang selebihnya tidak relevan pun untuk dia ambil tahu.
“Setuju?” Aku mendesak jawapannya.
Dia tenung aku seolah-olah aku gila.
Mungkin benar aku gila. Permintaanku sememangnya pelik dan belum pernah dibuat orang tetapi itulah kehendakku. Dia boleh menerima atau menolak. Terpulang.
Namun, jauh dalam hati aku berharap dia bersetuju. Aku memerlukan bantuannya. Sangat memerlukan. Tidak akan ada manusia lain yang mampu menggalas tanggungjawab itu seperti dia. Tidak akan ada manusia yang berpotensi dan mampu memberikan hasil yang terbaik kecuali dia. Dan tidak akan ada manusia maha kejam yang tidak pernah menyesali perbuatannya selain dia. Aku mahukan dia.
Dia terus termangu-mangu, mengambil masa yang agak lama juga untuk menghadam permintaanku. Keyakinan yang selama ini tersarung pada mukanya rabak. Kekeliruan yang maha dahsyat menular di atas raut wajahnya, menukarkannya dari seekor ‘binatang buas’ kepada seorang lelaki yang lemah. Dia kembali kepada fitrah, menjadi dia yang sebenar-benarnya, iaitu seorang lelaki pengecut yang menjana kekuatan dengan memuntah kedarah ketakutan orang lain. Tenaganya datang dari situ. Dari ketakutan yang ditimbulkannya pada setiap mangsa. Aku kenal sangat spesisnya kerana suatu masa dahulu, aku pernah menyarung kulit yang sama.
Halkumku bergerak menelan liur. Terasa kesat, terasa pahit, risau memikirkan condong ke arah mana keputusannya. Sekiranya dia tidak bersetuju, mampus aku hendak mencari pemangsa yang lain, sedangkan aku sudah berdiri betul-betul di pinggir gaung putus asa. Beberapa kali kakiku nyaris tergelincir.
Seandainya dia menolak kehendakku, terpaksalah aku membiarkan diriku melayang jatuh lalu terperosok di dasar gaung yang maha dalam itu lantaran aku sudah terlalu penat untuk memulakan pencarian yang baharu. Membatalkan niat dan membuka lembaran hidup tanpa dendam itu adalah tidak mungkin kerana mustahil kebencian itu akan padam dan mustahil juga aku sanggup meneruskan kehidupan dengan menanggung kesakitan dari api kesumat yang telah sekian lama membakar diriku ini. Jalan terakhir, membiarkan diri ini ditelan bumi, seandainya dia menolak kehendakku.
“Siapa nama kau?” soalku, ingin meredakan gementar yang mula menggoncang jasadku. Jedanya terlalu lama. Menggelisahkan. Namun, egoku menemui harapan baharu bila aku lihat warna kulit mukanya berubah dengan drastik. Kalau tadi dia sekadar keliru, kini dia kimput.
Dia takut? Hatiku ketawa terbahak-bahak. Aku menggerunkannya? Aku? Lelucon.
“Nama kau. Siapa?” ulangku, semakin berani. Isi pipi kusedut biar terasa sakit. Tidaklah aku tersenyum.
“J-Jon.”
Berani juga dia menyerahkan namanya biarpun tergagap-gagap. Syabas, Jon. Syabas juga untuk diriku.
“Kau tahu kenapa aku pilih kau, Jon?” Aku pakukan mataku pada matanya.
Dia menggeleng. Kecil pergerakannya tetapi kasar. Ego masih belum habis terhakis.
“Sebab kau yang terbaik.” Aku mengampu. Terpaksa. Persetujuannya mustahak bagiku. “Kau sorang je yang boleh buat kerja ni.”
Itu adalah hakikat, bukan pujian kosong. Aku pernah menyaksikan kehebatannya ‘melapah’ mangsa dengan kejam sehingga tidak ada apa-apa lagi yang tinggal. Dan Jon, seperti biasa dia tidak pernah menyesali perbuatannya. Dia tidak pernah rasa berdosa. Orang tidak berhati perut seperti inilah yang aku cari supaya di akhir perjalanan ini, dia tidak akan mencariku untuk menebus dosa-dosanya pula.
“Kau cari orang lainlah!” kata Jon.
Hampir terbang semangat yang baru hinggap bila mendengar jawapannya. Namun, apabila aku lihat riak pada muka yang dipalingkan, aku tahu dia masih berada di persimpangan. Masih ada harapan. Dia malu kerana menolak sebelum mencuba, sedangkan permintaanku itu terlingkung dalam kepakarannya. Dia masih mahu melakukannya kerana tawaranku menyeronokkannya. Sejenis aktiviti yang sememangnya sering mendatangkan keterujaan yang maha hebat dan memuaskan hatinya. Namun, tugasan itu mengelirukannya. Dia tidak memahami niatku atau agenda di sebalik kemahuanku, oleh sebab itulah dia berat hati untuk bersetuju. Mungkin sedikit insentif mampu mengubah fikirannya.
“Seratus ringgit tak nak?” Aku mengumpan sambil menyeluk poket seluar jeanku, mengeluarkan berpuluh keping not lima puluh ringgit yang aku lipat dua dan aku klipkan bersama.
Halkum Jon bergetar. Belum sempat turun sepenuhnya, sudah naik semula ke atas, melawan tamak haloba yang mengasak dadanya. Aku tahu dia terliur dengan upah yang ditawarkan, namun hatinya masih berbolak-balik.
Perlahan-lahan Jon memulas lehernya. Matanya masih pada wajahku semasa mukanya digerakkan ke belakang. Aku meneka, dia hendak tengok aku ghaib dengan tiba-tiba dan perbualan yang terjadi antaraku dengannya sebentar tadi hanyalah khayalannya semata.
“Jangan risau, Jon. Aku takkan ke mana-mana sampai kau bersetuju memenuhi kehendakku!” Senyuman menyusul selepas ayat itu kututurkan. Jon menelan liur. Mukanya semakin pucat. Benarlah tekaanku tadi.
Renungan Jon meninggalkan mukaku, lalu berbalas isyarat mata dengan macai-macainya, yang sepertinya, tersangat keliru dengan permintaanku, kecuali yang seorang itu. Aku tidak menyalahkan mereka. Sesiapa pun pasti akan diserang perasaan itu. Selama ini mereka melakukan perbuatan itu secara suka-suka untuk menghilangkan kebosanan. Kali ini, aku ingin membayar.
“Kawkaw masa kau nganjing nanti. Bayarannya pun kaw-kaw. Seratus ringgit tu permulaan je. Paling penting, kau sebut 100 Plus.”
Sengaja aku menabur umpan yang lebih besar untuk memutuskan gelombang isyarat yang sedang bertukar di antara Jon dengan macai-macainya, sambil mengasingkan dua keping wang kertas lima puluh ringgit dari klipnya. Selebihnya aku simpan semula ke dalam poket.
Sekeping not lima puluh ringgit itu aku genggam dalam tangan kiri. Sekeping lagi aku lipat memanjang, lalu aku selitkan antara jari telunjuk dengan jari hantu tangan kananku. Wang itu kuhulurkan pada Jon, menjerut sifat tamak halobanya yang semakin memuncak.
“Lepas duit rokok hari ni.” Bahu kuhenjut dengan penuh konfiden.
Jon termangu-mangu seketika. Renggang bibir hitamnya. Matanya turun merenung duit lima puluh ringgit yang terselit antara dua jariku. Mulutnya terkatup dan bunyi selambak liurnya ditelan rakus, dapatku dengari dengan jelas.
Rasanya telahanku ini betul, ketika itu Jon sedang berangan-angan menghisap rokok kegemarannya yang dibeli dengan duit yang kuunjukkan kepadanya.
Pelan-pelan tangan Jon menjulur hendak mengambil duit lima puluh ringgit itu. Macai-macainya berpandangan sesama sendiri. Muka masing-masing dipenuhi bintik-bintik peluh. Tindakan Jon itu menyebabkan mereka semakin gelisah, termasuklah macai yang kucurigai tadi. Dia gelisah sebab apa pun aku tidak tahu. Namun, tidak ada seorang pun berani bersuara kerana aku tahu, seperti Jon, mereka juga sedang diamuk dilema.
Teruja pula hatiku hendak tengok yang mana satu akan menang; duit mudah yang aku janjikankah atau keputusan tidak menyebelahiku yang sedang bergolak dalam hati mereka?
Yang mana satu, Jon?
Bila hujung jari Jon hampir menyentuhi wang kertas itu, aku merentap tanganku menjauhinya. Dia terkejut. Terkebil-kebil matanya merenungku. Kemudian air mukanya berubah. Dadanya berombak ganas. Dia berasa dipermainkan. Maruahnya tercabar. Aku panik. Menyedari kesilapanku, dengan segera aku bersuara sebelum Jon menarik tangannya dan seterusnya menarik diri dari bersekongkol denganku.
“Fokus, Jon! Aku nak kekejaman yang kawkaw. Kau faham tak? Kawkaw!” kataku dengan suara autoriti, menyembunyikan rasa gelabah lantaran takut dia berubah fikiran dan terus meninggalkanku di situ. Aku mahu dia tahu aku serius. Tadi itu bukan apa, aku tidak sengaja. “Jon! Kau faham tak?”
Jon pandang aku dengan lama. Bahagian bawah mata kirinya terkuit-kuit semasa dia menilai keikhlasanku. Bila dia merunggas nafas yang agak dalam, aku tahu dia sudah membuat keputusan, namun aku belum boleh berasa lega lagi kerana aku tidak tahu keputusannya itu menghala ke arah mana. Memihak pada akukah atau sebaliknya?
“Jon!” desakku. Masa sudah suntuk sedangkan tugas pertama perlu dijalankan dalam masa sejam lagi.
“Aku faham,” bisik Jon.
Dalam suaranya. Penuh amarah. Separuh mata hitamnya tenggelam ditelan kelopak atas matanya, merenungku dengan penuh dendam. Dia marah kerana didesak selepas dipermainkan. Dia juga marah kerana masih dihurung kimput. Pertembungan dua perasaan itu dapat aku baca dengan jelas pada air mukanya. Kagum sungguh aku dengan diri sendiri kerana berjaya menakutkan ‘binatang buas’ sepertinya.
“Aku nak kau sorang je buat kerja tu, Jon. Yang lain kau boleh bawak tapi jangan sepatah pun diorang bercakap,” kataku dengan tegas. “Dua ratus lima puluh ringgit lagi menanti kalau kau berjaya bagi kemusnahan yang aku mahukan.” Aku terus menabur umpan yang tidak perlu, sedangkan dia sudah bersetuju.
Sebuah keluhan kulepaskan dalam diam. Menyesal? Hanya Tuhan yang tahu. Salahku sendiri menaikkan upah, sedangkan tugasan pertama itu ringkas sahaja. Seratus ringgit memang lebih daripada cukup.
Tugasan yang selanjutnya memerlukan Jon melakukan sesuatu yang lebih berat. Lebih dahsyat. Jahanam aku jika dia memerah upah yang lebih mahal.
Ketika aku membelasah diri sendiri, dua ulas bibir Jon renggang sekali lagi. Ternyata dia tidak menyangka aku sanggup menggandakan upah. Sisi tamak Jon semakin menyerlah.
Aku hulurkan semula duit lima puluh ringgit itu kepadanya, biar menjulang balik semangatnya yang telah berjaya aku humban ke tanah sesaat tadi. Selepas duit bertukar tangan, aku bingkas pergi lalu duduk di gerai tidak jauh dari situ. Aku tahu dia memerlukan masa untuk mencari semula ‘binatang buas’ yang menjadi topengnya selama ini, yang sudah menyorok entah di balik semak mana sejak aku menegurnya tadi. Sepertinya, aku juga memerlukan masa untuk menyediakan diri sebelum menyaksikan kejahanaman yang bakal dilakukannya.
“Minum apa, bang?” soal budak lelaki pengambil pesanan di gerai itu.
“100 Plus. Botol. Sejuk. Tak nak ais ya, bos.”
“Makan?”
Aku menggeleng. Budak lelaki itu pergi menyiapkan permintaanku. Aku pacakkan siku pada permukaan meja, lalu membenamkan mulutku pada jari-jemari dua tanganku yang aku anyam serapat-rapatnya. Di situ aku berteleku.
Ya! Memang tepat tekaan kalian. Apa yang aku lakukan ini adalah kerana dendam yang tidak sudah. Dendam yang semakin parah. Hatiku masih sakit. Masih marah. Masih… arghhh! Tangan mengepal penumbuk, lantas tangan itu aku tekankan pada dada kiri yang mendabak perit dengan tiba-tiba. Sesuatu yang runcing sedang menyucuk jantungku dengan bertalu-talu. Tiada langsung belas kasihan. Argh! Sakit… tetapi tanganku tidak mampu menghentikan serangan tusukan ghaib itu. Argh!
‘Bukan sekarang. Bagi aku masa. Bagi aku balas dendam dulu. Lepas tu nak m**i, matilah.’ Suaraku bergaung dalam kepala.
“Kenapa, bang? Muka abang pucat. Sakit dada ke?”
Budak pengambil pesanan mengejutkanku. Sambil meletakkan botol minuman 100 Plus di hadapanku, dia pandang aku. Kemudian dia pandang penumbuk yang masih melekat pada dada kiriku dengan mata yang risau.
“Angin,” jawabku sambil sendawa. Dada yang sakit kutumbuk-tumbuk lagi.
“Kena makan, bang. Baru hilang angin dalam badan tu. Abang nak order apa?” Budak lelaki itu mengeluarkan kertas dan pen untuk mengambil pesanan.
“Nak minum je, bos. Terima kasih.”
Budak lelaki itu merenungku, kemudian dia tersengih-sengih sambil berlalu. Pandanganku mengekori langkahnya. Pandai budak ini berniaga. Pasti aku memesan nasi goreng kampung kegemaranku tadi jika dadaku ini tidak sakit.
Bila aku lihat dia sedang sibuk mengambil pesanan di meja lain, aku kembali menumbuk dada kiri yang semakin berdenyut. Berhati-hati aku menumbuk supaya dia tidak nampak. Nafasku kian pendek dan sendat. Suhu badanku pula mendadak naik. Bintil-bintil peluh mula merenik pada dahi, pada hidung dan di bawah mataku yang terpejam.
Aku membiarkan peluh dingin meluncur di atas kulitku sehingga bebola air jernih itu berjuntaian di hujung dagu bak butir-butir air hujan yang melandut di hujung bumbung sebelum satu demi satu berguguran ke bumi. Aku sedar nyawaku dalam zon bahaya. Aku tahu aku perlu menstabilkan injap yang mengepam darahku jika aku mahu agendaku hari itu dan esok, dan hari seterusnya berjalan dengan lancar.
Penutup botol 100 Plus aku pulas lalu isinya aku teguk. Kemudian, aku kembali menumbuk dadaku sambil merunggas oksigen dalam-dalam. Berulang kali aku melakukannya seiring istighfar, sehingga sakitku berkurangan. Perlahan-lahan sakit itu pudar dan akhirnya sirna. Sekarung nafas kelegaan kulepaskan.

Maafkan aku. Izinkan aku berjeda seketika untuk menghilangkan lelah.

Jedaku bukan seketika, agak panjang daripada yang kujangkakan. Dalam masa beberapa minit itu aku menilai diri sendiri. Apakah aku layak hidup di atas muka bumi ini? Spontan kepalaku menggeleng, memberikan jawapan ikhlas yang terbit dari hati. Terasa ingin menangis bila sedar diri seorang pendosa. Dulu, kini – berjeda lagi dengan mata terpejam – selamanya…
Bila akhirnya aku berani membuka mata, aku ternampak Jon. Automatik nafasku terhenti. Tajam aku merenungnya yang berdiri dengan badannya membelakangkan gerai tempat aku duduk mencari kekuatan. Nekadku terasa mengendur. Patutkah aku meneruskan rancangan? Sanggupkah aku berdepan dengan natijahnya?
Dan hati pun mula membuka pilihan kedua. ‘Cari jalan lain jelah untuk balas dendam. Bayar duit Jon dan pergi dari situ. Mulakan hidup baru,’ detik hatiku.
Aku mengeluh perlahan. Sepuluh tahun bukan sekejap. Penat aku mencari Jon, penat aku menyusun rancangan, penat aku menghafalnya, bila semuanya sudah lengkap, bila sudah sampai masa untuk melaksanakannya, boleh pula fikiranku berubah!
Namun, pilihan kedua itu bergema tanpa henti dalam kepalaku dan dalam hatiku. Kuat suaranya, menghalangku membandingkannya dengan pilihan pertama. Perlahan-lahan aku dapat rasakan diriku sudah berjaya ditaklukinya.
“Bos!” panggilku dan budak lelaki pengambil pesanan itu menghampiriku. “Berapa?”
“RM2.50, bang.”
Aku berdiri, membayar harga minuman dan mula melangkah menuju ke arah Jon, hendak memberitahunya bahawa aku sudah berubah fikiran. Baculkah aku? Mungkin. Namun, aku hendak kalian tahu bahawa hatiku berasa lega.
Melangkah ke arah Jon sambil merenungnya. Dia masih berdiri membelakangkanku. Tiba-tiba Jon berpusing. Matanya terpacak padaku. Sepantas kilat langkahku terhenti. Aku merenungnya dengan dada yang berdebar laju.
Rasa legaku sudah berdesup hilang entah ke mana dan sejenis perasaan yang sudah sebati kembali menyelubungi hatiku bila satu semangat hitam menyelinap masuk ke dalam tubuhku.
Nampaknya pilihan pertama berjaya menawan semula kubu mereka yang telah dirampas oleh pilihan kedua beberapa minit tadi. Belenggunya menggenggam terlalu kuat kali ini, tidak mahu terlalai lagi. Tuntutannya tertayang pada kanvas mindaku, memaksa dendamku bangkit kembali.
Jon, yang tidak menyedari apa yang sedang kualami, mengangguk kecil. Isyarat tanpa lisan itu memaklumkanku bahawa dia sudah bersedia. Masanya sudah tiba. Kepalaku membalas anggukannya dengan anggukan juga, memberikan lampu hijau kepadanya untuk meneruskan niat.
“Light. Camera. Action,” kata Jon, bersahaja.
Buat seketika aku merenungnya. Berani pula dia. Kukira binatang buas dalam dirinya sudah merasuknya semula. Sekali lagi kepalaku mengangguk kecil. Kemudian, aku kembali melangkah meninggalkan tempat itu dengan bulu roma pada tengkukku meremang habis!

Tajul Zulkarnain

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

6 thoughts on “Pendosa #1”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.