Pendosa #2

Salam, admin FS yang dikasihi. Kisah ni adalah kisah mental illness. Harap admin dan warga FS terhiburlah membacanya. Terima kasih, admin kerana sudi siarkan cerita saya ni.

#2

JON menunggu dengan dada berdebar. Macai-macainya rancak bersembang tetapi Jon tidak mempedulikan mereka. Sejak mengambil posisi yang ditetapkan, dia jadi pendiam. Dadanya terlalu gemuruh untuk ikut berjimba dengan pengikutnya tetapi sampai m**i dia tidak akan memperlihatkan kelemahannya itu pada mereka. Cukuplah sekali tadi dia diperbodohkan oleh seorang lelaki gila di hadapan macai-macainya.
Pada mulanya Jon hendak menolak tawaran lelaki itu. Mereng betul kehendaknya, namun tidak dinafikan dia teruja dengan spesifikasi tugasan yang lelaki itu mahu dia lakukan. ‘Melapah’ orang, weh! Sedap, oiii tetapi… ah, kerja terlalu gila! Tidak pernah dibuat orang.
Namun begitu, lipatan tebal duit not lima puluh ringgit yang lelaki itu keluarkan dari poket seluar jeannya telah membuatkan Jon menukar keputusan. Perasaan tamak menguasainya, lantas dia bersetuju.
Kini, Jon menyesal.
“Jon!”
Serentak, bahu Jon ditepuk orang. Jon mengangkat mata dan terus ternampak apa yang cuba diberitahu oleh Kob, orang kanannya. Melihat sepasang lelaki dan perempuan berjalan sambil berbual mesra, Jon berdiri. Mangsanya sudah tiba. Lelaki itu. Itulah mangsa yang bakal dilapahnya.
Dada Jon berdebar lain macam. Penyesalannya hilang. Kini, dia teruja.
“Iqram!” laung Jon tanpa teragak-agak. Dia sudah tidak sabar lagi hendak ‘bermain’ dengan mangsanya.
Lelaki dan perempuan itu berhenti melangkah, memandang ke arah Jon dan macai-macainya dengan keliru serta penuh curiga. Mereka berpandangan sesama sendiri buat seketika sebelum memandang semula ke arah Jon yang sedang melambai pada mereka.
“Errr… encik panggil saya ke?” tanya lelaki bernama Iqram itu. Mukanya sendat dengan kekeliruan.
“Iqram…” Meleret suara Jon. Meleret juga tawanya. “Apahal berencik-encik pulak dengan aku ni? Aku tahulah kau jalan dengan makwe. Tak payahlah buat-buat tak kenal pulak!”
Jon menghampiri Iqram dan perempuan muda itu. Dia menghulurkan tangan. Teragak-agak Iqram bersalam dengannya. Jon ketawa lalu menarik keras tangan Iqram yang digenggamnya. Dia memeluk Iqram dan menepuk bahu Iqram beberapa kali sebelum mengunci tengkuk Iqram di celah siku. Rambut Iqram dikocak-kocak hingga serabai, menayangkan kemesraan.
“Kau hilang ke mana, bro? Lama aku tak nampak. Kau lari dari aku ke?” soal Jon. Tengkuk Iqram dibebaskannya. “Kau malu makwe kau tahu kita berkawan ke apa, bro?” Jon ketawa lagi sambil merenung perempuan yang berdiri di sebelah Iqram dengan pandangan galak. “Hai, aku Jon.” Dia memperkenalkan diri pada kawan perempuan Iqram. Matanya menjilat seluruh tubuh perempuan itu dari atas ke bawah. Lidahnya dileretkan di atas bibir, membuatkan perempuan itu sakit hati lantas memalingkan mukanya ke arah lain.
“Err… encik.” Iqram menempatkan dirinya di hadapan teman perempuannya, menghadang pandangan Jon dari ‘menyentuh’ tubuh badan perempuan itu lagi. “Encik salah orang.”
“Nama kau Iqram kan?”
“Ya. Betul. Itu nama saya tapi…”
“Tapi kau tak kenal aku kan? Kan?” Jon ketawa. “Okeylah, okeylah, okeylah. Aku faham, bro. Kau malu ngaku kita kawan depan makwe. Okey takpe. Takpe.” Jon kembali ke tempat macai-macainya berkumpul. “Eh, Iqram!”
Iqram yang baru sahaja berpusing untuk berlalu, menoleh semula ke arah Jon. Debaran dadanya semakin tidak sekata.
“Belikan kitorang 100 Plus. Lime punya, okey. Lime!”
Bulu roma pada tengkuk Iqram berdiri tegak. Sambil merenung Jon dengan tajam, Iqram berfikir, kebetulan sahajakah Jon menyebut 100 Plus atau dia sememangnya tahu?
Pucat lesi muka Iqram. Ketakutan memeluknya dengan erat. Macam mana Jon tahu, soalnya bertubi-tubi dalam hati. Urat lehernya berasa tegang. Jari-jemari runcing yang sering menyakitinya muncul kembali lalu mencengkam jantungnya dengan kuat, membenamkan kuku-kuku tajam ke dalam tisu organ itu.
Segera Iqram mengajak teman perempuannya pergi dari situ. Ketika melangkah, beberapa kali dia menoleh ke belakang, merenung Jon dengan kekeliruan yang maha dahsyat.
“Siapa tadi tu?” soal perempuan yang bersama Iqram.
“Entah.”
“Tapi dia kenal awak. Dia panggil awak Iqram. Mesti dia kenal awak.” Curiga mula menghasutnya.
“Awak tak percaya cakap saya?” Iqram bertanya. Penuh dengan kesal nada suaranya.
Perempuan itu diam tetapi dalam hatinya sudah terasa lain macam bila dia melihat Jon. Iqram tidak mengakui mengenali Jon tetapi Jon kenal Iqram. Jon memeluk Iqram dengan lagak mesra yang sering dilakukan oleh seorang kawan baik. Siapa yang menipu?
Dia menjeling Iqram. Bila nampak betapa pucatnya muka Iqram, hatinya jadi panas. Dia sudah dapat jawapan yang dicari.
Mereka meneruskan langkah tanpa sepatah kata menuju ke arah sebuah restoran. Ibu bapa perempuan itu sedang menunggu mereka di situ. Ibu bapanya menyambut mereka berdua dengan gembira tetapi perempuan itu sudah berasa tidak enak. Sudah timbul niat dalam hatinya untuk membatalkan majlis kecil itu, namun dia berasa tidak tergamak pula menyatakan apa-apa di hadapan ibu bapanya.
“Abah dah order. Takdelah lama sangat kena tunggu.” Bapa perempuan itu bersuara sebaik sahaja Iqram dan anak perempuannya melabuhkan p******g di hadapan mereka suami isteri. Puas hati benar dia dengan inisiatif yang diambilnya.
“Minta maaf kami lambat sikit, pak cik,” ujar Iqram.
“Takde lambatlah. Kami pun baru je sampai. Abah kau ni yang tak sabar-sabar. Bukannya ramai orang pun,” kata emak perempuan itu pula.
“Order siap-siaplah senang,” balas suaminya. “Ni kenapa diam je ni?”
Dia memandang anak perempuannya. Selepas itu matanya beralih pada Iqram yang agak tegang raut wajahnya. Dapat rasa ada sesuatu yang tidak kena antara mereka. Bergaduhkah? Belum bertunang sudah bergaduh, sudah berkahwin nanti bagaimana, bisik hatinya.
“Takde apa,” jawab perempuan itu yang sedang tunduk menikmati laici kang yang diletakkan oleh pelayan restoran itu di hadapannya.
“Ai, macam tak pernah minum laici kang,” tegur emaknya pula.
“Dahaga,” jawab perempuan itu lagi.
Sebenarnya dia hendak menyejukkan hati yang panas kerana berasa ditipu oleh Iqram. Kawan Iqram ternyata bukan orang baik. Cara Jon memandangnya tadi sangat menyakitkan hati. Dia sedar pakaian yang disarungkan ke badan menonjolkan asetnya tetapi bukan untuk santapan mata Jon dia memakai baju ketat dan seluar sendat itu. Untuk Iqram. Sekarang dia menyesal. Iqram pun tidak layak menatap kecantikan tubuh badannya!
Perempuan itu berhenti minum. Bila mukanya diangkat, dia yang duduk menghadap ke luar membulatkan mata sebaik sahaja ternampak Jon dan dua orang macainya sudah berdiri di kaki lima restoran itu. Spontan lututnya dilagakan pada lutut Iqram.
Iqram sudah nampak sebenarnya. Dia tidak berhenti memantau Jon sejak dari tadi lagi. Dia berdoa agar Jon akan pergi ke kedai sebelah atau pergi ke mana-mana selain daripada situ tetapi jatuh mukanya bila melihat Jon dan dua orang macainya masuk ke dalam restoran itu. Degupan jantung Iqram semakin laju. Dia bertambah gelisah bila melihat mata Jon melekat padanya. Dia tahu Jon masih ingin mencari fasal dengannya.
“Macam mana kerja kamu, Iqram? Okey?” soal bapa perempuan itu. Matanya memantau dengan gelojoh lauk-pauk yang sedang dihidangkan di atas meja.
“Alhamdulillah, pak cik.” Peluh dingin meleleh pada pelipis Iqram. Bertali arus. Terpaksa dia lap dengan sapu tangan. Duduknya pun tidak senang. Bak cacing kepanasan.
“Dah naik pangkat belum?” Bapa kawan perempuan Iqram menyoal lagi. Senyumannya merekah melihat Iqram begitu gelisah. Sangkanya dia yang menjadi penyebabnya.
“Belum lagi, pak cik.” Iqram mengelap peluh dengan tangan yang menggeletar.
“Bila nak naik pangkatnya? Kerjalah kuat sikit barulah orang naikkan pangkat kamu.” Semakin bingar sora bapa perempuan itu. Nasihatnya berbaur buli. Dia berasa seronok dapat menakutkan bakal menantunya. Rasa berkuasa. Di fikirannya sudah terbentuk angan-angan untuk menghambakan Iqram selepas anak muda itu sah menjadi menantunya.
“Kau nak naik pangkat, Iqram? Tak cakap kat aku pun.” Jon mencelah. Dia sudah berdiri di belakang Iqram, memicit-micit bahu Iqram dengan mesra.
Iqram menggeleng kesal. Kemarahan berleluasa dalam dadanya. Satu demi satu jari Jon yang mencengkam bahunya dicabut.
“Awak ni siapa? Dia dah kata dia tak kenal awak tapi awak kacau dia lagi pasal apa?” Perempuan di sebelah Iqram memarahi Jon, meskipun dalam relung hatinya dia sebenarnya ingin sangat tahu sejarah hubungan antara Iqram dengan Jon. Dia kenal perangai Iqram. Hati batu. Sekali Iqram berkata dia tidak mengenali Jon, sampai m**i Iqram akan berpegang pada kata-katanya itu.
“Siapa ni?” soal bapa perempuan itu, merenung Jon dan Iqram silih berganti.
“Entah! Tiba-tiba je mengaku kawan padahal Iqram tak kenal pun dia.” Perempuan itu membalas cakap bapanya sambil merenung Iqram, hairan kenapa teman lelakinya itu masih belum bersuara, malah membiarkannya seorang diri bermati-matian membela maruah lelaki itu di hadapan orang tuanya.
Hatinya semakin panas, marah pada Iqram dan marah pada Jon kerana memilih hari itu untuk memalukan Iqram, sekali gus memalukannya. Cari masa lain tidak bolehkah? Kenapa mesti di hadapan orang tuanya? Jon bukan sahaja menjatuhkan maruah Iqram, Jon juga menjatuhkan maruahnya kerana tersalah pilih bakal suami!
“Betul kau tak kenal aku, Iqram?” Jon menyeret bangku dari meja belakang, meletakkannya di belakang Iqram, lalu duduk. “Kau jangan buat aku bengang, Iqram. Ni, baju yang kau pakai ni bukan baju aku ke kau pinjam? Makanan yang kau order banyak-banyak ni, dengan duit siapa kau bayar nanti?” soal Jon lagi, tersenyum puas hati bila melihat bapa perempuan itu sedang melapah Iqram dengan pandangan sinikal. “Dia mintak pinjam duit tadi. Nak belanja korang makan sedap-sedap katanya. Takde duit buat cara takde duit, Iqram. Jangan nak tunjuk lagak.” Jon kembali mencengkam bahu Iqram. Suaranya keras menuntut perhatian sehingga semua orang yang berada di dalam restoran itu dapat mendengarnya dengan jelas.
Iqram tunduk tetapi pandangannya menjalar ke mana yang tercapai, melihat semua mata tertumpu padanya, termasuklah mata teman perempuannya dan ibu bapa perempuan itu. Semuanya menjatuhkan hukuman. Semuanya mempercayai cakap Jon, sedangkan Jon itu siapa? Dia sendiri pun tidak mengenali Jon tetapi nampaknya tidak ada yang mempercayainya.
Marah dimalukan di khalayak ramai, Iqram berdiri. Tubuhnya menggogoh.
“Huh! Sekarang baru awak nak bersuara!” tempelak kawan perempuan Iqram.
Iqram tidak mempedulikannya walaupun dia sangat kecewa dengan sikap perempuan itu. Dia fokus pada Jon yang sudah berdiri berdepan dengannya. Muka Iqram tegang. Berpeluh. Habis lencun.
Jon tersenyum sinis sambil merayapkan pandangan pada wajah Iqram, menganalisa mangsanya. Kemudian, Jon merenung ke dalam anak mata Iqram. Senyumannya semakin melebar.
Iqram bertambah sakit hati. “Aku dah cakap tadi aku tak kenal kau…”
“Kamu tak kenal dia tapi dia kenal kamu. Dia panggil kamu dengan nama kamu.” Bapa rakan perempuan Iqram memotong cakap Iqram dengan suara menuduh. Dia juga sudah mengesyaki Iqram, sama seperti anaknya.
“Entahnya. Siap peluk-peluk lagi tadi,” gumam anaknya pula. Suaranya perlahan, namun tetap sampai ke telinga Iqram.
“Pandai pun pak cik. Kalau aku tak kenal dia, macam mana aku tahu nama dia kan, pak cik?” Jon merenung Iqram dengan tajam. Dia tidak tersenyum lagi. Suasana semakin tegang. “Yang kau marah sangat ni kenapa, Iqram? Sebab aku mintak kau belikan 100 Plus tadi ke? 100 Plus pun kau tak mampu beli, ada hati kau nak belanja diorang ni makan besar.”
Iqram bertarung pandangan dengan Jon. Dadanya turun naik dengan laju. Kenapa Jon sebut fasal 100 Plus lagi? Apa yang Jon tahu?
“Jangan menyombong sangat, Iqram.” Jon menyucuk hujung jari telunjuknya pada dada Iqram. “Ingat! Aku sorang je kawan yang kau ada. Aku sorang je yang nak tolong kau. Ingat tu,” katanya lagi dengan lagak mafia.
Jon kembali ke mejanya di mana dua orang pengikutnya sedang menunggu. Iqram kaku di tempatnya berdiri, tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Kawan perempuannya bangkit dari duduk sambil memberi isyarat pada ibu bapanya.
“Jom!” kata perempuan itu dengan wajah muram. Dia marah kerana dimalukan di khalayak awam.
“Ni dah order ni!” Bapanya cuba membantah. Lauk-pauk kegemarannya sudah terhidang di depan mata, takkanlah hendak ditinggalkan begitu sahaja.
“Kita makan kat kedai lain,” jawab perempuan itu. “Jom.”
Ibu bapa teman perempuan Iqram terpaksa mengikut kehendak anak mereka. Iqram tidak menghalang. Hendak pergi, pergilah tetapi jangan cari dia lagi selepas itu.
“Hei, Iqram,” laung Jon sedang kawan perempuan Iqram baru hendak memulakan langkah bersama ibu bapanya. “Cari perempuan lain. Betina macam tu tak layak dibuat bini!”
Kawan perempuan Iqram berpusing, merenung Jon dengan penuh amarah kemudian matanya jatuh pada Iqram. Tajam betul renungannya, menuntut Iqram membela maruahnya dan maruah ibu bapanya. Namun, Iqram diam sahaja. Selepas nampak sikap sebenar perempuan itu dan bapanya tadi, Iqram sepakat dengan Jon.

MENUNGGU Jon datang untuk mengutip saki baki upahnya sangat melemaskan. Sudahlah paluannya di restoran tadi mengecewakanku, dia dan pengikutnya membuat keputusan untuk makan-makan pula dahulu di restoran itu, mendera aku dengan membiarkan aku menunggunya di bawah terik matahari sementara dia berjimba dengan duit pendahuluan yang aku berikan padanya sebentar tadi.
Sudah 20 minit aku menunggunya, memberikan kesempatan pada otakku merumus pelbagai andaian mengenai tingkah lakunya yang tiba-tiba berubah terhadapku. Aku rasa aku tahu apa yang sedang Jon lakukan. Dia sedang memberitahuku bahawa kuasa sudah bertukar tangan.
Sesuatu berlaku di restoran tadi. Sesuatu yang telah memberikannya persepsi itu. Apa dia? Bulu tengkukku meremang.
Setelah 20 minit lagi berlalu, barulah Jon dan pengikutnya muncul di hadapanku, tersengih-sengih kerana mereka tahu habuan yang sedang menunggu. Telahanku tadi juga bukan imaginasi. Aku dapat lihat dengan jelas rasa hormat dan ketakutan Jon terhadapku sudah hilang.
“Jon!” Aku kesat peluh yang mengalir di pipiku dengan sapu tangan. Tidak sedikit pun aku memandang mukanya. Aku kena rampas semula kuasa itu daripadanya. “Aku kecewa dengan kau, Jon. Aku dah cakap bagi kawkaw…”
“Heh?!” Jon terkejut, memotong cakapku sambil menabur tawa tidak puas hati. “Tak kawkaw ke tadi?”
“Tak cukup kawkaw. Kau dah hilang taring, Jon.”
Wajah Jon berubah mendengar penghinaanku. Merah padam air mukanya kerana aku bagi dia kawkaw di hadapan pengikutnya. Aku juga tahu dia takut aku tidak mahu melunaskan baki upahnya. Jatuh lagi maruahnya jika dua ratus lima puluh ringgit itu tidak menjadi miliknya.
“Jangan risau, Jon. Aku tak pernah mungkir janji.” Baki dua ratus lima puluh ringgit itu aku serahkan padanya. “Lain kali bagi apa yang aku nak.”
“Lain kali?” Jon terpinga-pinga.
Ah, reaksi inilah yang aku nantikan. Aku tersenyum tetapi tidak mempamerkannya pada muka. Baki yang kulunaskan dan janji untuk terus mengupahnya telah berjaya mengikat lehernya, dan dia kembali menjadi ‘binatang belaanku’, yang akan menurut segala perintahku tanpa berani membantah lagi. Kuasa sudah kembali ke tanganku. Murah betul harga dirinya.
“Kau nak upah aku lagi?” soal Jon, tidak pasti dengan apa yang didengarinya.
“Ini baru permulaan, Jon,” kataku. Dendam yang perlu aku balas bukan satu ini sahaja. Masih banyak lagi. “Lepak kat sini je. Jangan ubah-ubah tempat lagi. Senang aku cari kau nanti.” Aku melangkah pergi dari situ.

SELESAI mengerjakan solat taubat, Iqram duduk antara dua sujud. Dia berteleku buat beberapa ketika, menanam pandangan pada motif bunga yang bertaburan di atas sejadah sambil menyelam ke dasar hati sendiri, menggali perasaan yang terkubur di situ. Fokusnya terlalu mendalam, sehingga ke suatu saat dia berjaya menghilangkan diri dari masalah yang dihadapinya.
Iqram memejamkan mata. Perasaannya jadi sangat tenang. Pernafasannya juga sentosa. Dia menyukai apa yang dirasainya, tenang, damai, sejuk dan rasa bahagia yang terasa seperti tidak berpenghujung. Kalau boleh, dia tidak mahu keluar dari daerah yang baru ditemuinya itu. Dia lebih rela bermastautin di situ daripada kembali ke alam realiti.
“Belikan kitorang 100 Plus.”
Suara lelaki yang memalukannya di restoran tadi bergema, sekali gus merentap Iqram dari daerah selamat itu dan mencampakkannya semula ke alam realiti yang digeruni. Iqram buka mata. Dia yang sedang berbaring di atas sejadah tebal itu, bingkas duduk. Suara lelaki itu sangat kuat, seolah-olah lelaki itu ada bersamanya di dalam bilik itu. Iqram menoleh merata dengan tubuh badan yang menggeletar. Peluh dingin yang menyembur dari setiap liang romanya menjadi gam, melekatkan baju Melayu yang dipakai pada kulitnya.
Tanpa berganjak dari sejadah, Iqram tercari-cari lelaki itu biarpun dia tahu pencariannya tidak akan menemukan hasil. Bilik kecil itu kosong tidak berperabot kerana memang niatnya menjadikan bilik itu sebagai bilik solat. Cermin tingkapnya pula tertutup rapat. Kalau terbuka sekalipun, tidak mungkin ada orang sanggup memanjat ke tingkat dua semata-mata untuk menuturkan sebaris ayat itu.
Dan seperti yang telah diketahuinya, dia berseorangan. Kerisauannya menyusut tetapi badannya masih menggeletar. Kuat. Nama minuman yang disebut telah mencetuskan sejenis perasaan yang maha dahsyat dalam hatinya. Mana Jon tahu fasal 100 Plus?
Pelan-pelan satu wajah muncul dalam mindanya. Wajah itu tersenyum padanya dengan kasih sayang. Pelan-pelan juga dia melihat dirinya turut muncul dalam bayangan itu. Dia berdiri berhadapan dengan orang itu. Kesombongannya terpamer. Tutur katanya tidak mesra dan menyakitkan hati. Dan wajah yang tersenyum tadi berubah riak. Tiada lagi senyuman. Yang ada hanya kekecewaan dan kekesalan.
“Ya Allah!”
Iqram tersungkur di atas sejadah. Dia menangis teresak-esak, menyiram air mata ke atas motif bunga pada sejadahnya.
“Ya Allah, ampunkan dosaku,” tangisnya sambil mengepal penumbuk, merenyuk sejadah yang tergenggam dalam tangannya dengan kuat, sehingga kulit yang meregang pada puncak buku limanya memerah. “Aku sombong, ya Allah. Aku sombong pada hamba-Mu yang lain. Aku kejam. Aku berlagak dengan orang yang sayang padaku. Aku malukan dia. Aku aibkan dia depan kawan dia. Kenapa buruk sangat perangai aku, ya Allah? Kenapa buruk sangat perangai aku?”
Sepantas kilat tubuh Iqram menegak. Dia kembali duduk antara dua sujud. Dua belah tangannya diangkat menjunjung langit. Kedua-duanya menggeletar teruk. Muka yang sedih dan dibasahi air mata didongakkan.
“Kenapa aku berkira sangat dengan 100 Plus tu? Bukannya aku tak boleh beli lain kat kedai ganti balik apa yang dia ambik. Tapi aku nak marah jugak dia. Paling teruk aku marah dia kat depan kawan dia. Bodoh apa aku ni, ya Allah? Berlagak sangat aku ni kenapa? Kenapa?”
Iqram menekup mukanya, teresak-esak bagaikan budak kecil. Seolah belum puas menderanya, wajah orang itu muncul sekali lagi. Orang itu berjalan bersama kawan baiknya di belakang Iqram. Iqram terdengar-dengar dirinya sendiri meluahkan rasa tidak puas hati dengan kuat, sehingga sampai ke pendengaran orang itu dan kawannya. Semasa berpaling ke belakang, Iqram pandang muka orang itu yang ternyata telah berubah warna, malu diaibkan di hadapan kawannya oleh orang yang disayangi. Iqram berasa bersalah, namun kesombongan menguasainya. Sedikit pun dia tidak meminta maaf atau menjernihkan kekeruhan. Namun, mulutnya tidak dihuni puaka lagi.
Iqram tengok tin minuman 100 Plus yang menjadi punca kemarahannya, masih tergenggam di tangan mereka berdua. Dia tidak pasti sama ada mereka minum sisa air itu sehingga habis atau sekadar memegangnya, mencari masa yang sesuai untuk membuangnya kerana tidak tergamak meneguknya lagi selepas dihina.
“Ya Allah, jahatnya aku… kenapa aku sanggup malukan dia sedangkan dekat orang aku mengaku aku sayang dia. Kalau aku sayang kenapa aku buat dia macam tu? Dialah yang paling baik. Dialah yang selalu menurut kataku, buat je apa yang aku suruh tanpa pernah membantah. Dia dengar cakap aku, ya Allah tapi aku…”
Iqram pekup mukanya. Esakannya semakin kuat. Wajah orang itu muncul sekali lagi, seolah memujuknya tetapi kali ini wajah itu nampak muda. Belasan tahun. Iqram tergamam bila ternampak dirinya sendiri sedang memarahi orang itu. Dahsyat sungguh kata-kata yang dikeluarkan oleh mulutnya. Tidak sangka mulutnya begitu puaka!
Terhenti nafas bila melihat pandangan yang orang itu talakan ke arahnya. Oh, mata itu, merenungnya dengan penuh kekecewaan. Dan Iqram melihat dirinya sendiri tergamak membalas balik renungan itu dengan kesombongan. Dia tidak peduli apa yang pemilik mata itu rasai. Yang dia tahu, kehendaknya dipenuhi walaupun bukan salah orang itu kaset yang baru dibeli itu rosak. Radio yang dia sendiri gunakan untuk memainkan kaset itu radio lama. Roda di dalam pemain kasetnya sudah rosak hingga mencalarkan tali pita di dalam kaset itu. Oleh sebab itulah walaupun dua kali kaset ditukar, dua kali jugalah suara penyanyi kegemaran Iqram bertukar menjadi suara hantu.
“Aku paksa dia pergi balik ke kedai tu, ya Allah padahal aku tahu dia letih. Dia baru je balik dari kedai tu tapi belum sempat rehat, aku suruh dia pergi balik. Suruh dia tukar kaset baharu. Kedai tu jauh. Kena naik bas. Kena jalan pulak lagi dari stesen bas tu. Tapi aku tak peduli. Aku marah dia. Aku tuduh dia macam-macam, aku panggil dia bodoh, sedangkan bukan salah dia. Sebab dia sayang aku, sebab dia hormat aku, dia pergi jugak. Tapi aku kurang ajar. Aku sombong. Aku tak bagi duit tambang pun kat dia. Aku suruh dia guna duit upah yang aku bagi kat dia sebab aku kata, dia beli kaset rosak, padahal bukan salah dia kaset tu rosak. Salah aku, ya Allah. Salah aku…”
Malu dengan keburukan perangainya sendiri, Iqram menumbuk-numbuk dadanya dengan penuh emosi, sehingga biru dadanya dibantai tetapi kesakitan fizikal itu tidak mampu menghilangkan kesakitan jiwa yang sedang menggila dalam dadanya.
“Aku nampak muka dia, ya Allah.” Iqram menyambung pengakuannya. “Masa dia keluar nak pergi ke perhentian bas tu, dia toleh ke aku. Masa tu aku tengah perhatikan dia. Aku nampak muka dia kecewa sangat dengan aku. Dia tak marah tapi dia kecewa. Masa tu aku rasa bersalah sangat tapi aku tak buat apa. Aku tak buat apa. Aku biar je dia pergi balik ke kedai tu. Aku biar je dia pergi, ya Allah…” jerit Iqram sekuat hati, melipat badannya dengan tiba-tiba sehingga dadanya melekat pada paha.
Dua tangan Iqram mengunci tengkuk. Kepalanya tergantung beberapa inci dari sejadah, tersengguk-sengguk mengikut rentak tangisannya. Dia menangis, mulutnya terbuka lagak orang yang sedang meraung tetapi suaranya tidak keluar. Hanya air matanya sahaja yang berderas-deras menitik membasahi sejadah.
Nafasnya tersentak-sentak, kepalanya sakit, dadanya sakit, urat-uratnya sakit, malah seluruh tubuh badannya sakit. Kalau boleh… kalaulah boleh, dia mahu nyawanya ditarik pada saat itu juga. Sudah tidak sanggup lagi dia hidup dalam kesakitan.
Terasa hukuman yang diterima masih tidak mencukupi untuk menebus dosa-dosa yang telah dilakukannya pada orang itu, Iqram kembali duduk antara dua sujud. Urat lehernya terasa menggelembung dipenuhi udara berapi, terasa seperti hendak pecah tetapi dia tidak langsung mempedulikan kesakitan itu. Tangan yang menggeletar diangkat. Teresak-esak dia merenung tangannya itu buat beberapa saat.
Kemudian, sesuatu yang tidak mungkin dilakukan oleh orang normal berlaku. Iqram menampar pipinya bertalu-talu. Pang! Pang! Pang! Dia terus menampar sehingga pipinya merah padam dan panas, sepanas tapak tangannya. Pang! Pang! Pang! Walaupun sakit, walaupun bibir dan hidungnya berdarah, Iqram masih belum puas hati. Pang! Pang! Pang! Dia terus membelasah kedua pipinya dengan sekuat tenaga. Pang! Pang! Pang! Pang! Pang!

Tajul Zulkarnain

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.