Pengalaman Ditarik Ke Dunia Lain

Assalamualaikum semua. Apa yang aku ceritakan ini mungkin sangat sukar diterima akal dan ia berdasarkan kisah sebenar yang aku alami. Terpulang kepada anda untuk menilai sendiri kisah ini.

Sebelum kejadian ni berlaku aku baru saja tamat belajar di IPT. Sebelum menunggu tawaran kerja, aku cuma duduk di rumah memandangkan aku baru saja berhenti kerja part time. Semuanya biasa, sampai satu malam aku dapat mimpi pelik, tak pernah aku mimpi macam tu sebelum ni.

Dalam mimpi tu, aku makan di restoran yang memang biasa aku pergi dengan tunang aku. Tengah sedap makan nasi goreng yang aku order, tiba-tiba arwah ayah aku datang menegur dan bagitahu aku yang aku bukan makan nasi sebenarnya. Bila ayah aku tunjuk kat nasi tu, aku nampak ulat-ulat macam ulat sampah tu. Masa tu jugak badan aku terasa berat macam dimasuki sesuatu, tapi separuh saja.

Kemudian aku tersedar dari mimpi. Badan aku tetap rasa berat jugak. Aku rasa ada benda yang tak kena. Entah macam mana aku jadi benci dekat tunang aku. Sejak hari tu aku tak balas mesej atau call dia. Aku seolah-olah tak terkawal. Macam ada benda lain yang mengawal fikiran aku dan aku hanya mampu tengok saja. Semakin lama semakin kuat. Bila aku rasa yang aku makin hilang kesedaran, aku cepat-cepat bagitau tunang aku pasal mimpi tu dan minta dia tolong kalau terjadi apa-apa kat aku.

Memang betul apa yang aku sangka, aku dah ‘hilang’ badan aku sendiri. Aku tak tau apa yang jadi sampai la satu hari aku macam tersedar dari tidur yang lama. Aku tengah berdiri dan mak aku ada sebelah aku. Aku terus tanya mana Fira (tunang). Mak aku cakap Fira takde, dah berminggu along macam ni. Rupanya aku tak bercakap dengan siapa-siapa dah dua minggu tu dan setiap kali orang pandang aku bagi jelingan tajam. Mak aku minta tolong ustaz dari darus syifa dan mungkin bantuan dari ustaz tu buat aku tersedar (segala bantuan adalah dengan izin Allah jua).

Esoknya mak aku terus bawa aku pegi jumpa ustaz tu. Bila ustaz tu bacakan surah ruqyah, aku terasa sejuk dan ada benda lain dalam badan aku. Lepastu aku terus gelak-gelak macam orang tak betul. Ustaz bagitahu yang badan aku dah dimasukkan dengan jin yang asalnya dari makanan yang aku makan kat restoran tu dan pekerja kedai tu yang letakkan benda berupa santau. Dalam keadaan tak sedar tu pun aku masih nampak apa yang jadi, cuma aku tak boleh kawal diri aku. Aku belasah ustaz tu sambil gelak-gelak, akhirnya ustaz tu keluarkan juga benda tu dari badan aku.

Memang terasa badan aku macam kena siat. Badan aku sakit sampai tak boleh nak gerak. Kata ustaz benda tu tak dapat masuk sepenuhnya, tapi sebelum benda tu keluar dia bagitau yang dia akan datang balik. Perempuan (pekerja restoran) tu nak kt aku rupanya. Jadi ustaz minta amalkan zikir dan datang lagi untuk berubat. Masa ni, aku masih tak suka dengan tunang aku tu. Jadi mak aku tak benarkan Fira jumpa aku dulu sampai aku betul-betul normal.

Masa aku dirasuk tu, benda tu bagitahu lagi yang tuan dia nakkan aku tapi dia tahu aku dah berpunya, jadi dia gunakan ilmu hitam untuk dapatkan aku. Dia tak buat benda tu seorang, dia upah bomoh untuk buatkan. Aku ingat lepas kejadian tu semuanya okay, tapi meleset sangkaan aku. Kali kedua benda tu dihantar lagi dalam badan aku, sampai mak aku dah tak tau nak buat apa. Mak aku kata aku duduk kat sofa dan tak bergerak-gerak dekat dua jam, mata tenung satu tempat. Puas mak aku bacakan yasin semua tapi tak ada respon.

Perkara terakhir yang aku ingat sebelum jadi macam tu, mak aku suruh pegi kedai dan masa kat kedai tu, benda tu seolah-olah masuk lagi dalam badan aku. Aku campak barang dengan duit dekat kaunter, bila ada orang tegur aku tenung dia sampai orang tu undur. Balik tu aku tengok cermin sorang-sorang, lepas tu senyum sendiri.

Tak lama aku gelak sorang. Dah tak ada ikhtiar, adik aku carikan orang yang pandai ubat benda macam ni. Bila pakcik tu sampai je, aku terus belasah pakcik tu. Benda tu marah sebab dia mengacau kerja ‘tuan’ dia. Pakcik tu potong tangan benda tu, aku dapat rasakan tangan aku kebas dan tak boleh bergerak, macam sebelum ni aku masih dapat tengok apa yang jadi. Benda tu mengilai-ngilai sambil panjat grill tingkap.

Bila pakcik tu cakap takde pape ni, aku angkat sofa baling kat pakcik tu. Benda tu memang tak mengalah, pakcik tu potong sebelah lagi tangan, dan terpaksa ‘sembelih’ benda tu untuk keluarkan dari badan aku. Sampai pakcik tu terpaksa ikat aku sebab terlampau agresif, 4 orang pegang aku untuk ikat tapi ikatan tu boleh terbukak jugak!! Dari pukul 2 sampai pukul 9 malam baru dia dapat keluarkan benda tu. Itupun tuan benda tu yang suruh benda tu keluar, kalau tak benda tu memang tak nak keluar.

Pakcik tu kata lepas dia keluarkan satu, bomoh tu hantar lagi yang lain dan benda tu adalah langsuir, sebab tu mengilai. Ada tujuh semuanya. Dia tak nak keluar sebab tuan dia akan ‘bunuh’ dia kalau dia tak dapat bawa aku kat perempuan (pekerja restoran) tu. Pakcik tu cakap lagi benda ni dah lama dalam badan aku, jadi dia nak keluarkan apa yang aku dah termakan tu. Dia belah tujuh kelapa muda dan suruh aku minum airnya. Aku tak tau apa yang dia baca kat air tu, tapi aku nampak ada kain kuning dengan hitam.

Ada tasbih kat tangan. Dia pun pakai baju kuning jugak. Pelik juga mulanya, tapi aku ikutkan saja. Lepas je aku minum air tu, aku muntah balik. Dalam baldi aku muntah tu aku nampak ada kuku dengan bulu. Aku tak tau bulu apa tapi memang geli betul masa tu. Pakcik tu tak bagi aku tengok lagi takut aku tak lalu. Dia ada tunjuk kat aku botol tempat dia simpan benda tu, tapi sekor je yang lain tak dapat. Lepas tengok aku okay, pakcik tu minta diri.

Jadi apa kaitannya cerita ni dengan tajuk ? Sebenarnya apa yang jadi ni baru sedikit, aku terpaksa ceritakan dari awal supaya pembaca tau apa yang jadi. Aku akan ceritakan lagi macam mana aku dibawa kealam lain dan berjumpa dengan Suri. Assalamualaikum.

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *