Pengalaman Diusik “Sesuatu” Perupaan Rakan

Sebenarnya aku pelik kenapa setiap kali malam Jumaat je mesti dikaitkan dengan pekara-pekara mistik. Pekara berkaitan hantu, puaka, jin dan syaitan. Yang pasti aku tahu hanya jin dan syaitan je yang disahkan kewujudannya. Jadi hantu dan puaka tu kiranya tergolong dalam golongan dua ni la kan kalau ada pun.

Disebabkan ini aku cuba untuk berkongsi pengalaman sendiri tentang kisah-kisah seram yang aku sendiri pernah alami sepanjang hidup ini setiap malam Jumaat ni. Ada yang di antaranya memang betul-betul terjadi dengan jelas dan nyata dan ada di antara berlaku dalam keadaan samar-samar je. Jadi terpulang pada korang semua nak percaya atau tidak kerana ini hanyalah coretan peribadi aku sendiri je.

Kisah seram yang pertama ni kisah masah aku belajar di sekolah menengah dulu. Sekolah menengah di Terengganu. Aku antara batch terawal sekolah tu kerana ianya sekolah yang baru dibuka dibawah pentadbiran jabatan agama Islam negeri. Sebagai pelajar terawal untuk sekolah yang baru sebegini sudah tentu kami dimomokkan dengan bermacam cerita seram berkaitan asal usul tapak sekolah tu. Dan untuk pengetahuan semua sekolah itu juga dikategorikan sebagai sekolah berasrama penuh yang mana semua pelajarnya perlu tinggal di asrama sepanjang sesi persekolahan.

Seperti pelajar sekolah berasrama yang lain sudah tentu kami melalui rutin harian pada waktu paginya kelas-kelas rasmi diikuti dengan waktu ulangkaji atau kebiasaannya dipanggil waktu “prep” petang diikuti dengan waktu riadah. Dan pada sebelah malamnya pula diteruskan dengan aktiviti ulangkaji malam sebelum pelajar dikehendaki menutup lampu bilik untuk tidur. Ulangkaji ini kebiasaannya dijalankan di dewan makan asrama je setiap hari siang dan malam.

Cerita seram ni yang aku ingin kongsikan ini sebenarnya terjadi masa aku di tingkatan 1. Disebabkan aku antara pelajar yang “bagus” waktu ulangkaji siang kebiasaannya dihabiskan dengan tidur semata-mata tanpa memikirkan sangat kerja sekolah yang perlu diselesaikan. Kalau bernasib baik boleh membuata di bilik paling teruk pun membuta je di meja study tu sampai habis waktu.

Apabila waktu ulangkaji siangnya tak dimanfaatkan sebaik mungkin jadi kelam kabut lah waktu malamnya untuk menyiapkan segala kerja sekolah yang ada dan sememangnya itulah yang biasanya berlaku. Dalam kelam kabut tu jugalah kadangkala baru terperasan ada buku yang tertinggi di blok kelas yang hanya dipisahkan dengan padang bola je dengan blok asrama.

Pada suatu malam tu seperti biasa memang aku ada tertinggal buku rujukan penting yang diperlukan untuk menyiapkan kerja sekolah seorang guru yang boleh tahan garangnya di sekolah. Nak tak nak aku terpaksa mencari rakan senasib yang mempunyai masalah yang sama iaitu perlu pergi ke blok sekolah untuk mengambil sesuatu untuk dijadikan peneman. Aku bernasib baik malam tu sebab ada seorang rakan aku yang boleh dijadikan teman tersebut.

Pergi ke blok sekolah waktu malam-malam ni sememangnya pekara yang kami hendak elak disebabkan keadaan blok yang sememangnya gelap dan menyeramkan lebih-lebih lagi kami tidak boleh membuka mana-mana lampu untuk mengelakkan daripada ditangkap oleh pengawal keselamatan kerana ianya menyalahi peraturan sekolah untuk berada di blok sekolah pada waktu malam.

Dan menjadi kebiasaannya juga pasti ada kawan-kawan “bagus” yang lain yang akan mengusik kami dengan pelbagai cerita seram untuk menakut-nakutkan kami pada malam itu. Ikutkan perasaan memang aku dah berbelah bahagi nak pergi ke tidak tapi disebabkan kawan yang tu merayu jugak untuk temankannya dan cikgu yang garang tu aku kuatkan semangat untuk pergi juga.

Jadi bergerak la kami berdua merentasi padang bola ditemani cahaya bulan purnama penuh yang terang benderang sepantas mungkin untuk mengelakkan langkah kami dihidu oleh pengawal keselamatan. Sampai je di blok sekolah kami lantas bergerak ke kelas masing-masing sambil mengelak laluan tangga yang cerah disebabkan tak nak kantoi. Kelas aku dengan rakan aku tu tidak sama sebenarnya walaupun berada di aras yang sama. Kelas dia lebih kebelakangan berbanding kelas aku di bahagian depan blok.

Sesampai saja kami di aras kelas kami, kami pun berpecah bergerak ke kelas masing-masing disebabkan tak nak buang masa. Di situlah rupa-rupanya salah kami ketika itu. Selepas aku mendapatkan buku rujukan yang aku kehendaki aku terus keluar kelas menunggu rakan aku mengambil bukunya daripada kelas hujung tu. Tak lama aku menunggu aku lihat kawan aku tu dah keluar daripada kelasnya dan bergerak ke arah aku, aku pun tanpa membuang masa terus menuruni tangga yang berdekatan kelas aku tu dan aku perasan seakan rakan aku tu dab berada di belakang aku mengikuti aku.

Ketika menuruni tangga tu jugalah aku terbau sesuatu yang sangat-sangat wangi, aku dah rasa tak sedap hati masa tu. Dan kesilapan kedua aku di situ adalah menegur bau wangi itu dengan bertanyakan rakan di belakang aku sama ada dia terbau bau wangi itu atau tak. Dalam kesamaran malam tu aku cuma perasan dia menggelengkan kepalanya sahaja tanpa bercakap sepatah apa pun.

Sesampai je aku ke aras bawah sekali aku terus ajak rakan aku tu berlari sepantas mungkin melalui padang bola disebabkan perasaan takut yang dah menguasai diri dan aku pun terus la pecut 100 meter tanpa menoleh kebelakang pun ketika itu walaupun aku yakin rakan aku tu ada mengikutiku dibelakang.

Sesampai je di blok asrama semula barulah aku paling ke belakang dan aku pun mula pelik bila rakan yang aku ingat mengikuti aku berlari tu tak sampai-sampai. Cuma dalam 10 minit lepas tu baru aku perhatikan rakan aku tu berlari-lari anak je pulang ke blok asrama. Aku dah bertambah pelik. Perasaan hati ni dah bercampur baur pelik, takut, seram dan macam-macam lagi.

Sebaik saja rakan aku tu melihat aku berada di koridor blok asrama tu dia terus memarahi aku kerana meninggalkannya keseorangan di blok sekolah, dia menuduh aku sengaja nak mengenakannya. Aku bertambah pelik dengan tuduhannya tu. Dia bagitahu dia lambat disebabkan tidak menjumpai buku yang dia nak ambil, bila dia keluar je kelas dia dah mendengar langkah aku menuruni tangga dan aku macam bercakap dengan seseorang. Bila dia cuba mengejar aku dia dah nampak aku berlari macam lipas kudung di tengah padang.

Bila dia menghabiskan cerita tu memang sahih la aku telah di usik oleh “sesuatu” malam tu dan dia “merupakan” kawan aku tu. Aku yakin bau wangi tu datang daripadanya dan sebabkan itu jugak dia tidak mengeluarkan sepatah kata pun sepanjang aku cuba bercakap dengannya. Disebabkan kesilapan pertama kami berpecah itulah memberi peluang untuk dia mengusik aku.

Kejadian “sesuatu” merupa kawan aku malam tu aku diamkan sahaja daripada pengetahuan rakan aku tu walaupun memang aku merasa seram sejuk masa tu. Aku cover story aku sakit perut dan terasa hendak “melabur” masa tu sebab tu aku sengaja tinggalkan dia sebab dah tak tahan. Disebabkan kejadian tu aku memang dah “kurang” berani ke blok sekolah waktu malam dengan berdua je kalau perlu pergi pun aku akan pastikan kami pergi bertiga dengan harapan kalau ada sesuatu hendak merupa pun sekurang-kurangnya rakan yang ketiga tu dapat mengesannya.

Cerita bab rupa-merupa ni ada satu lagi pengalaman aku sendiri yang lagi seram. Nanti ada masa malam Jumaat berikutnya aku kongsikan.

 

Aidi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

1 thought on “Pengalaman Diusik “Sesuatu” Perupaan Rakan”

  1. Jin tu kaum = Manusia
    Syaitan tu Jin yang perangai Jahat = sebab tu orang panggil Manusia jahat Syaitan jugak.
    Hantu tak ada di sebut dalam Al-Quran

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.