Pengalaman Menguruskan Pelajar Diganggu Jin

Minggu lepas ketika sedang sarapan di kantin, ada seorang murid ni datang berjumpa saya.

Dia beritahu saya bahawa ada seorang kawan kelasnya kerasukan. Kebetulan pada hari tu, ustaz yang mahir dalam urusan rawatan begini pun MC.

Saya pun cepat-cepat habiskan makan dan pergi ke kelas tersebut untuk tengok apa yang terjadi.

Untuk sepanjang penceritaan ini, saya rahsiakan semua nama dan seluruh identiti anak-anak murid saya yang terlibat atas alasan keselamatan dan menjaga aib semua.

Saya pun segera menghampiri murid tersebut setelah sampai ke kelasnya. Murid tu perempuan.

Dia sedang menangis dan keadaan tubuhnya lemah longlai. Saya mencuba untuk perhatikan betul-betul sama ada masih ada entiti lain yang menguasai tubuhnya.

Namun, Alhamdulilah saya tak dapat “detect” apa-apa dalam diri dia. Cumanya, badan saya rasa agak panas dan jantung saya berdegup agak kencang. Selalunya ini petanda ada “benda” hampir dengan saya.

Disebabkan saya sudah yakin tiada entiti lain dalam badan murid itu, saya pun teruskan dengan menyoal dirinya.

“Kamu kenapa? Kenapa kamu menangis? Ada nampak apa-apa yang pelik ke?”

Murid itu tidak menjawab soalan saya sebaliknya dia terus menangis teresak-esak. Mata dia dah merah sangat sebab lama menangis.

Saya bacakan selawat syifa’ dan niatkan supaya hati murid tersebut tenang. Seraya itu juga saya bacakan surah al-Araf ayat 27 yang diijazahkan oleh guru saya dulu dan niatkan supaya hijab mata itu tertutup daripada melihat perkara ghaib. Saya juga turut memagar tubuh budak itu dengan basmallah lima dan niatkan keluasan jarak supaya benda-benda ghaib tak dapat dekati budak itu.

Alhamdulilah, dalam lima minit selepas itu, budak itu berjaya ditenangkan. Dia sudah berhenti menangis.

Saya kembali menyoalnya dengan soalan yang sama seperti tadi. Kali ini dia menjawab soalan saya sambil menyapu air matanya yang masih bersisa.

“Tadi, saya pergi ke tandas. Lepastu, saya nampak ada kelibat budak lelaki kepala botak tingginya lebih kurang paras pinggang saya. Dia ikut saya balik ke kelas dan duduk di sebelah saya ni sampai tadi baru dia hilang.”

Saya bertanya lagi tentang kenapa kelibat tu tiba-tiba hilang. Murid tersebut pun jawab.

“Dia cakap dia tak boleh ada kat sini sebab panas. Tapi lepasni bila Sir (cikgu) takde, dia akan datang balik cari saya.”

Memang betullah apa yang saya rasa sebentar tadi. Patutlah rasa panas sangat dan jantung saya berdegup laju tak berhenti. Rupanya memang benda tu ada sebelah budak tu tadi.

Saya pun seterusnya membacakan ayat-ayat ruqyah yang diijazahkan kepada saya dan saya niatkan sebagai ikhtiar bagi menguatkan tubuh murid saya itu.

Bukan itu sahaja, saya juga sekali lagi membaca ayat menutup hijab matanya dan turut memagarkan matanya daripada terlihat benda-benda ghaib.

Apabila diselidik semula, baru saya tahu rupa-rupanya murid ini memang terbuka hijabnya lama dah.

Tapi sebelum ini dia tidaklah nampak benda yang teruk dan menakutkan sangat seperti hari itu.

Dan pada hari itu juga, dia tidak kerasukan sangat sebaliknya dia cuma terlalu takut sebab makhluk itu sentiasa mengikutinya dan mengejek percakapannya.

Namun, walaupun dia tidak dirasuk tetapi benda macam ini bahaya sebab benda tu dah mula ikut dia. Tidak mustahil benda itu juga boleh tersuka pada dirinya.

Saya kemudiannya ikhtiarkan air penawar kepada murid itu dan mengarahkan dia menyapu muka dengan air tersebut.

Alhamdulilah selepas itu dia elok sehinggalah waktu balik.

Bahay sebenarnya buat seseorang yang hijabnya terbuka kerana jika sekali makhluk itu sudah mengikutinya tidak mustahil makhluk yang sama akan datang untuk bertemunya semula.

Jadi buat ibu bapa semua, sekiranya anak-anak anda beritahu dia ada kawan yang pelik di sekolah dan ternampak benda yang pelik, jangan ambil mudah. Kita tak tahu mungkin mereka boleh jadi terbuka hijab dan boleh melihat benda-benda sebegini.

Seandainya begitu, carilah penawar segera kerana hidup seseorang yang hijab matanya terbuka ini sangat seksa.

Kisah budak tadi sebenarnya belum habis lagi. Keesokan harinya dia kerasukan pula. Insya-Allah nanti saya sambung semula cerita itu. Semoga cerita ini menjadi pengajaran buat kita semua.

-ISKANDAR ZULFAQAR-

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 25 Average: 4.4]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.