PENGALAMAN MISTERI SEPANJANG BEKERJA DI HOSPITAL

MISTIK TEMASEK 3 – KISAH2 DI HOSPITAL

Kali ini aku ingin berkongsi pengalaman dari rakan karibku, Marina. Dia kini bekerja sebagai pengurus pentadbiran di sebuah hospital kerajaan di sini. Hospital terbesar dan tertua dibina di atas sebuah bukit kecil. Persekitaran pula terdampar hutan tropika yang masih belum ditambak untuk projek-projek pembinaan oleh pemerintah. Menurut sejarah, hospital ini pernah digunakan sebagai tempat pembedahan utama bagi tentera Jepun semasa perang dunia ke-II.

Cerita Marina
Keadaan masa itu sedang dilanda kemelesetan ekonomi dan ketuntutan sesebuah pekerjaan pun semakin ketat. Banyak temuduga sudahku hadiri tetapi keputusan yang diberikan oleh penemuduga semuanya menghampakan. Akhirnya aku berjaya menjawat pangkat sebagai penolong kanan pentadbiran dan atas sokongan kuat dari pakcik-ku, Cik Lan yang juga bekerja sebagai jururawat lelaki di situ.

Rakan-rakan sekerja semuanya peramah dan baik-baik belaka. Mereka sanggup membantu dan menunjuk-ajar perkara yang aku tidak faham. Waktu kerja pun tetap, bermula dari 9 pagi dan berakhir pada 6 petang, tanpa perlu bekerja lebih masa kecuali pada hari terakhir setiap bulan.

Malam 30 April 2009, adalah tarikh pertama di mana perkara-perkara pelik mula berlaku sepanjang kerjayaku di sini. Aku ditugaskan oleh ketuaku untuk melengkapi satu laporan akhir bulanan. Setelah selesai aku menaip kesemua maklumat ke dalam sistem perisian khas, aku melihat jam sudah menunjukkan pukul 11 malam dan hanya tinggal aku seorang sahaja di pejabat. Rakan sekerja yang lain sudahpun pulang ke rumah masing-masing. Lampu di jabatan aku bekerja masih lagi terang-benderang.

Aku bergerak ke mesin pencetak laporan yang berada hanya beberapa langkah dari meja kerja. Sekembali ke tempatku, aku dapati semua maklumat yang ditaip tadi telah hilang. Beranggapan yang aku mungkin tersilap tekan butang di papan kekunci, aku menaip semula sambil mengeluh diatas kecuaian aku sendiri.

Mesin pencetak pula berbunyi seakan-akan ada ralat yang berlaku. “Adoooi, apa hal pulak? Pukul berapa aku nak balikkk”, aku merengek sambil berjalan ke arah mesin itu. Tetapi bunyi itu hilang serta-merta setibanya aku di situ. “Ehkk!!! Senyap? Main-main tau nie”. Aku pusing ingin kembali ke tempatku dan ketika itu juga lampu tiba-tiba berkelip seolah-olah ada gangguan pada bekalan kuasa elektrik.

Dalam masa kerdipan itu, tetiba di kerusiku berganti pula dengan seorang perempuan sedang duduk diam dan seperti mengadap ke skrin komputer. Dari arah aku berdiri, aku dapat tatap bahagian periferal (persisian) sahaja. Berpakaian labuh warna putih yang sudah lusuh dan dikotori dengan percikan tanah liat gitu, rambut hitam panjang mengurai hingga ke paras lengan serta bercabang di hujung-hujungnya dan kusut-masai pula seperti lama tidak disikat menutupi seluruh muka, mungkin juga aku terperasan setompok luka di kepalanya dengan darah yang mengalir bercucuran.

Aku merenung ke lembaga itu dan sejenak fikiranku kosong tidak dapat mengingati ayat-ayat suci untuk pelindung diri. Entah berapa lama aku terpacak kaku di tempat itu tidak bergerak dan begitu juga dengan lembaga tadi. Aku hanya tersedar bila lampu telah kembali terang dan entiti mengejut itu pun hilang. Dengan keadaan gementar, aku mengambil tas tangan dari laci mejaku dan bergegas pulang ke rumah. Nasib aku baik juga kerana hantu itu tidak mengikut.

Aku menceritakan kepada ibu berkaitan dengan ‘pertemuan’ku. Dengan nasihatnya, kitab Yassin sekarang sentiasa menjadi penemanku. Syukur alhamdulillah, dengan izin-Nya, aku tidak lagi mengalami sebarang penampakan hingga ke hari ini. Hanya ketika terpaksa berlembur lewat, aku diacahkan dengan bunyian pada aset-aset di ofis sahaja dan gangguan itu akan berhenti dengan sendiri kerana aku bersikap enggan mengambil notis atau mengakui “kehadiran-nya”.

Cerita Cik Lan
Si suami menghantar isterinya yang didalam kesakitan yang teramat sangat. Namanya Maria dan sedang hamil anak mereka yang ketiga. Dia dikerahkan ke wad bersalin setibanya di bahagian kecemasan hospital. Doktor perbidanan yang menjaga sepanjang kehamilan Maria, Doktor Aziz pun sedang bertugas pada dinihari itu.

Maria mengadu sakit perut dan kesukaran untuk bernafas. Pada mulanya disyaki mungkin sudah tiba waktu untuk bersalin tetapi kandungannya baru mencecah 8 bulan. Setelah diperiksa dengan terperinci, Maria didapati cuma diserang penyakit gastrik. Doktor Aziz menyuruh aku untuk membancuhkan ubat untuk melegakan kesakitan yang dialami oleh Maria. Setelah kesakitannya berkurangan dan apabila ditanya, Maria mengaku bahawa dia sengaja melambatkan makan siang kerana perasaan tersinggung dengan pembantu rumahnya. Doktor dan suami Maria pun pulang, hanya Maria sahaja dibenarkan pulang pada keesokan hari.

Pada malam yang malang itu, kesemua bilik di wad itu kosong kecuali bilik yang digunakan oleh Maria. Aku tergerak untuk memeriksa keadaan-nya sebelum pulang ke rumah. Dari cahaya lampu malam di bilik, aku seolah-olah terperasan ada bayangan seseorang berdiri di sebalik skrin yang berada di sisi katil Maria. Aku masuk dan menyingsing tirai itu tetapi tiada apa-apa. Kelihatan pula Maria sedang tertunduk dari katilnya sambil termuntah-muntah. Aku pun bergegas menolongnya. Bila baringkan dia, aku lihat muka Maria sudah pucat lesi bagai tiada darah.

Mata hitamnya telah naik ke atas hanya putih sahaja yang kelihatan dan seluruh anggota badannya terkejang-kejang dan menggigil dengan kuatnya. Dia seperti dalam kesurupan. Aku menekan butang kecemasan lalu mengambil tuala kecil yang sedia ada untuk menahan gigi dari mengetap terus dan menggigit lidah sekaligus cuba memberhentikan darah yang banyak sekali membuih keluar dari mulutnya. Sarung bantal yang putih telah bertukar warna menjadi merah kehitaman. Seorang lagi jururawat datang ke bilik untuk membantu dan menelefon doktor.

Dalam masa 30 minit kemudian, Doktor Aziz pun tiba. Maria sedang kuat meracau; aku bersama rakan jururawatku sedang menahan tangan dan kakinya supaya dia tidak berupaya untuk menyakitkan diri selanjutnya. Tekanan darah meloncat sehingga ke tahap 250bp. Doktor menyuntikkan ubat penenang dan Maria dengan perlahan beransur reda. Kami pun segera memindahkan Maria untuk melakukan operasi kecemasan. Sedihnya Maria meninggal dunia semasa dalam pembedahan kerana kehilangan banyak darah dan beberapa saluran darah otak telah pecah kerana tidak dapat menampung tekanan darah yang terlalu tinggi. Bayi perempuan dalam kandungannya dapat kami selamatkan.

Selepas kejadian itu, aku serta para jururawat dan doktor yang lain kekadang ternampak bayangan ‘Maria’ merayau-rayau di kawasan wad itu dengan pakaian bersalin biru muda yang pudar dan kemudian ghaib bila menembusi tembok-tembok. Ada kalanya terdengar ia menangis teresak-esak sambil berjalan berampungan mungkin mencari anaknya yang hilang.

Ada seorang akak yang menjadi ketua jururawat di bahagian unit penjagaan rapi, Kak Susi namanya. Dia juga ada menceritakan pengalamannya sepanjang berkerja di unit tersebut. Sebagai jururawat baru, sememangnya dia takut dengan gangguan paranormal begini. Tetapi kerana minat yang mendalam dan ghairah dengan pekerjaan dan rakan-rakan sekeliling, dia dapat menguatkan semangatnya untuk kekal bekerja hingga ke hari ini.

Cerita Kak Susi
(I)
Panggilan hantu atau ‘Phantom Call’ memanglah tidak mustahil dan tidak juga menjadi kebiasaan di kalangan jururawat khidmat malam yang mula bertugas dari 11 malam sehingga 7 pagi. Si jururawat akan pergi ke bilik menghadiri permintaan pesakit yang menekan butang “Call Nurse (Panggil Jururawat)”. Biasanya si pesakit menafikan atau tidak mengingati yang dia ada membuat panggilan itu. Tetapi lazimnya memang tiada sesiapun yang berada di dalam bilik!!!

Ada satu insiden di mana ada seorang lelaki tua berbangsa Cina yang dirawat di bilik #13 kerana kegagalan buah pinggang. Seorang yang berkerenah dan banyak sekali permintaannya: bantal, selimut, tuala berlebihan walaupun cukup segala perlengkapan peribadi telah disediakan kepadanya. Tetapi tugas sebagai seorang jururawat, harus sahaja melayan kerenah-kerenah setiap pesakit.

Aku bertugas syif malam pada waktu itu dan memeriksa laporan pesakit dan mendapati failnya tiada di meja. Ketika sedang tercari-cari, lampu bernyala di monitor sistem pemantauan dan ia datang dari bilik #13. Oleh kerana tidak banyak jururawat yang bekerja pada malam itu, aku pun menuju ke bilik untuk menghadiri permintaan terbarunya. Terletak di suatu sudut agak jauh dari stesen jururawat dan sambil berjalan dalam hatiku merungut, “Entah apa lagilah si Ah Pek ni nak tau malam2?”

Ah Pek tengah baring terlentang dan bermenung.

Aku: “Lu mau apa, Ah Pek?”

Dia berdiam, tidak menjawab mata terus menenung ke tembok siling . Aku bertanya lagi tetapi setiap pertanyaanku tidak dibalasnya. Aku terus keluar dari bilik, rasa hairan sedikit kerana dia tidak berlakuan seperti biasa.

Keesokan harinya, aku sempat berbual dengan rakan sekerjaku yang mula masuk kerja syif pagi:-

Aku: “Shidah, Ah Pek tu semalam first time seh good boy. Diam aje. Lagi satu, nanti kau carikan file dia, takde kat sini tau.”
Shidah: “Alamak, kau tak tau ke? Ah Pek tu dah meningg… semalam la, sebelum kau masuk syif.”
Aku: “Haaah?! Kau biar betul.”
Shidah: “Betul lah, sumpah. Dia dah mati. Sebab tu fail dia takde.”
Aku: “Abisss semalam tu aku cakap dengan siapa?”

Kami berdua pun diam seribu bahasa melayankan perasaan teka-teki masing-masing.

Aku beredar balik ke rumah untuk berehat kerana harus kembali bekerja lagi pada malam itu. Sedang bersiap-siap di stesen untuk memulakan syif seperti biasa, lampu di monitor pemantauan bernyala dan datang dari bilik yang sama. Pada sangkaanku, mungkin pesakit lain telah didaftarkan lalu aku pun pergi untuk memeriksa. Tetapi tiada sesiapa yang ada didalamnya.

Aku ambil sikap husnudzan; bimbang kalau tidak akan dapat memberikan tumpuan penuh pada perkerjaan sebelum tamat syif tugasan.

Lampu bernyala lagi, aku mengendahkannya. Tetapi ia tetap terus bernyala selama yang aku abaikan. Sampai satu ketika ia mula berkelip-kelip. Pada kali ini, aku mengambil keputusan bersahaja untuk pergi lagi ke bilik itu. Langkah aku terhenti setiba di depan kamar. Lampu di bilik memang terbuka dan berdiri sebelah katil yang kosong, aku ternampak Ah Pek yang dikhabarkan sudah mati itu. Dia memandangku dengan mata yang sayu and keadaannya seperti dalam kesedihan sambil melambai-lambai semacam menyuruh aku datang dekat. Kemudian dengan perlahan, ia menjadi kabur dan tersejat ke udara yang nipis.

Itulah kali pertama dan terakhir penemuanku dengan satu-satunya makhluk halus. Selepas itu, hanya gangguan biasa yang sudah menjadi satu kelalian bagiku.

(II)
Satu pengalaman yang tidak dapat aku lupakan sepanjang hayatku dimana ada satu ketika terjadinya kematian secara rawak (random).

Ia bermula dengan seorang pesakit wanita tiba-tiba histeria – menjerit dengan sekuat hati membuatkan para jururawat dan doktor di situ terkejut dan lari masuk ke dalam biliknya. Tidak lama kemudian, wanita itu terdiam dan IV monitor menunjukkan garisan nadi hayat pula menjadi lurus menandakan dia sudah tiada lagi. Dalam keadaan huru-hara para jururawat dan doktor cuba membuat bantuan pernafasan pada wanita tadi, kedengaran bunyi bip dari mesin IV di bilik sebelah pula, pesakit di bilik itu dalam keadaan kritikal. Kemudian berjangkit kepada bilik bersebelahan dan seterusnya. Begitulah pengulangan corak keadaan, satu demi persatu pesakit menjadi nazak.
Seramai 4 pesakit mati tanpa dijangka pada malam itu. Aku pun sampai sekarang tidak tahu punca yang mengakibatkan kematian serentak begitu.

(III)
Kisah menarik di mana aku bertemu dengan seorang kanak-kanak lelaki dengan anugerah istimewa bernama Khaliff.

Atuk Khaliff tergelincir di kamar mandi ketika berwudhu’ dan tulang tangannya patah dan diwadkan ke unit jagaan rapi biasa untuk orang-orang yang lanjut usia. Aku sedang memeriksa Atuk ketika Khaliff sampai bersama ibubapanya. Sesampai sahaja, dia pun duduk di atas katil dan menyapa aku, “Halo Nurse Susi!”. Aku tersenyum sambil menjawab salamnya. Kemudian, dia mengalih pandangan ke sebelahku dan menyapa lagi, “Hello Uncle, how are you?”
Aku mengikut arah pandangan matanya tapi aku tidak nampak sesiapa di sebelah aku kecuali dinding putih sahaja.

Ibunya mencelah, “Aliff, you cakap dengan siapa?”
Khaliff: “There! Uncle sebelah Unty tu…” (sambil menunjuk-nunjuk ke arah sebelah aku).

Aku tidak berkata apa-apa dan berlalu pergi dari situ untuk memeriksa pesakit-pesakit yang lain.

3 hari kemudian, Atuk ditakdirkan meninggal dunia tanpa jangkaan doktor. Keluarganya sedang menguruskan segala hal pengebumian dan aku secara sukarela menjaga Khaliff di stesen jururawat berhadapan dengan bilik arwah. Sedang aku melayan celotehnya, tiba-tiba dia menunding jarinya kearah bilik itu dan bersuara, “There Atok. Tengah jalan ngan Uncle tu. Siapa dia, Unty?”
Aku pun menoleh mengikut arah yang ditunjukkan tetapi tidak ada sesiapun yang sedang berjalan lalu di hadapan bilik arwah. Aku pun terdiam sahaja; pertanyaan si anak kecil yang tidak dapat dihuraikan.

Seorang lagi jururawat muda baru masuk kerja dan kemudian berhenti selepas satu penemuan yang mengganggunya. Namanya Marilyn, seorang kacukan beragama Kristian dan berumur 24 tahun. Setelah dipujuk-rayu oleh Kak Susi ketika itu, beliau pun luahkan bahagian kisahnya.

Cerita Marilyn
Aku bersama 2 orang lagi jururawat kanan telah membawa seorang pesakit berbangsa Romania ke bilik operasi untuk menjalani pembedahan pada satu tengahari. Disebabkan kami bertiga tidak dapat berinteraksi dengan pesakit itu kerana pemahaman bahasa yang berbeza, aku disuruh untuk membawa salah satu anggota keluarganya yang berada di tingkat satu selaku penterjemah kami.

Aku berjalan di koridor kecil yang sunyi sepi menuju ke lif untuk turun dan tiada sesiapa pun yang berlalu-lalang pada masa itu. Jauh di satu hujung yang bertentangan, seorang budak perempuan dalam lingkungan 5 tahun berdiri tanpa menunjukkan apa-apa perasaan bila melihatku. Rambut panjang paras bahu dan sedikit keperangan, memakai gaun berjumbai paras lutut warna coklat gelap, berstokin putih dan kasut hitam. Memikirkan mungkin sesat dan sedang mencari ibunya, aku pun cuba mendekati dia dengan niat untuk membantu. Tetapi dalam jarak 15 kaki, dia tiba-tiba pusing dan berlari ke sebelah kirinya.

Bila sahaja aku sampai di selekoh, aku menjengahkan kepalaku dan dia sudah tidak kelihatan lagi. Aku pelik – tidak mungkin dia berlari begitu cepat, arahnya pun menuju ke jalan mati dan tiada pula pintu-pintu atau tingkap-tingkap di sepanjang koridor yang kosong itu. Dengan musykil, aku berpatah balik menuju ke lif untuk turun ke bawah. Alangkah terperanjatnya aku ternampak budak perempuan yang sama berdiri pula di hadapan lif. Kulit putih melepak dan kemerah-merahan tetapi tetap mempunyai ciri-ciri yang gelap padanya; dia senyum menyeringai sambil berlari ke arah aku berdiri dan hilang apabilia menembusiku. Aku dapat merasakan angin sejuk yang membuatkan bulu romaku meremang.

Mungkin juga aku pengsan di situ juga kerana apabila aku membuka mata, aku sudah terbaring di bilik rehat. Rakan-rakan semua berada di sekeliling sedang mengipas dan merenjis-renjiskan air di muka dengan paparan wajah yang cuak dan bimbang terhadapku.

Untuk tiga hari berturut-turut, aku diserang demam panas. Setelah itu, aku mengambil keputusan keras untuk berhenti kerja dan menulis notis 24 jam.

Cerita abam sekurity
Jam 2 pagi, saya sedang membuat rondaan tetap di salah satu blok apabila saya terperasan imbasan seorang perempuan di lobi sedang memasuki lif. Saya cuba menahan ingin memberitahunya bahawa masa lawatan sudah berakhir. Tetapi saya terlambat sedikit dan pintu lif pun sudah tutup.

Dalam masa saya berdiri di depan, tetiba saya terdengar pintu itu dihantuk dengan sekuatnya bagai hendak roboh dibuatnya. Saya teringat tentang perempuan tadi dan mungkin dia terperangkap didalamnya. Sekilas saya membuat panggilan radio kepada rakan saya yang sedang bekerja di bilik kawalan.

Saya: (sambil menekan butang lif) “Man, lif jam lah. Panggil teknisyen cepat.”
Man: “Blok berapa?”
Aku: “Blok 4”
Man: “Ok bro, aku check jap.”

1 minit kemudian,

Man: “Bro, lif tu ok je. Function normal.”
Saya: “Aku tengah press ni tapi pintu taknak bukak. Sekarang ada orang trap dalam.”
Man: “Hah? Monitor aku tunjuk takde orang pon dalam lif tu!”
Saya: “Ah! Kau panggil aje teknisyen datang. Cepat la.”
Man: “Ok ok aku call dorang.”

Selang 10 minit, dua orang teknisyen bertugas pun sampai. Suara hentakan dan jeritan meminta tolong masih lagi berterusan. Akhirnya, pintu lif berjaya juga dibuka secara paksa. Namun tiada sesiapa yang ada didalamnya dan suara jeritan pun hilang sejurus selepas itu. Kami berpandangan sesama sendiri dalam kehairanan dan tidak dapat memahami apa yang telah kami tempuhi awal tadi.

Cerita staf pengedaran
Ada satu jambatan di aras 4 bangunan utama hospital ini yang menghubungkan dengan pusat jabatan rekod perubatan. Laluan di situ sememangnya redup walaupun di siang hari, dilindungi dengan pohon-pohon yang besar dan tebal, sunyi sepanjang masa kerana ia jarang digunakan dan hanya dibenarkan untuk kakitangan dalaman yang tertentu sahaja.

Aku disuruh mengedarkan fail kes-kes kajian terpenting di saat terakhir. Anggaran waktu dalam 6.45 petang dan ketika di pertengahan jalanan, dari sudut pandangkan mataku ada pergerakan berlaku di antara pokok-pokok renek di sebelah kiri. Aku menoleh namun tiada apa-apa yang kelihatan. Tiada angin kencang meniup pada saat itu tetapi ia masih bergoyang seperti dilanggar oleh seseorang yang berjalan lalu di semak-samun. Dalam hatiku berfikir mana mungkin ada orang didalam hutan setebal dan di waktu hampir gelap sebegini.

Rasa ingin tahu yang mendalam, aku cuba merenung jauh ke celah-celah semak dan sejurus itu perhatianku tertumpu pada sesuatu. Salah satu dahan terjuntainya seutas tali jut dan di hujung gelung pula tergantung sekujur badan manusia yang kaku dalam pakaian serba putih/kelabu dan berayun kiri kanan kiri kanan. Kepalanya terkulai dicerut oleh tali gantung itu. Tidak dapat dijelaskan sama ada mayat itu seorang lelaki ataupun wanita kerana persekitaran yang agak gelap. Dalam hanyunan, tiba-tiba dan entah bagaimana ia mula berpusing dengan perlahan untuk berdepan langsung ke arahku.

Berderau darah gemuruhku dan jantung berdegup dengan begitu pantas bagai hendak terkeluar dari badan rasanya. Aku dapat mencari kekuatanku dan terus berlari laju dari situ. Lega hati bila aku bertembung dengan rakan lelaki sekerja, Yazid yang kebetulan berada di luar pintu pejabat sedang menghisap rokok.

Dia pun menegur, “Dey Meenachi, kenapa lari macam ada hantu kejar kau!”
“Aiyoyo, jangan cakap macam itu. Aku baru tadi nampak hantu lah.”

Yazid cuma tergelak besar seakan mengejek aku yang masih lagi menggeletar ekoran dari insiden tadi.

Sampai disini sahaja kisah yang aku dapat coretkan.
Selamat menjalani ibadah puasa yang bakal menjelang tidak lama lagi, ins sha Allah.
Sekian, terima kasih.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Loading...

5 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *