Pengalaman Seram Di Rumah Sewa

Assalamualaikum dan hai semua. Nama aku Zaim. Kali ni aku nak share tentang kisah seram aku selama tinggal di rumah sewa. Semua kejadian ni berlaku sepanjang aku dan kawan kawan aku menyewa di sebuah rumah semasa belajar di sebuah U di Perak. Jengjengjeng. Korang teka sendiri lah ye U mana. hehe. Alhamdulillah, aku dah habis belajar. Aku tulis ni pun sebab ni lah antara kenangan best aku dengan kawan-kawan aku di zaman belajar. Tetiba rindu diorang. Huhuu

Okay, aku dan geng-geng aku ( Paan, Mirul, Que, Apih , Aniq) masuk rumah sewa tu masa kami sem tiga. Tuan rumah ni pun kira okey sangat-sangat. Mudahlah nak mintak tolong ke apa. So dengan penuh semangatnya kami angkut barang-barang masuk rumah ni. Ada tiga bilik. Aku, Aniq, Mirul dan Paan duduk master bedroom, sebab bilik ni paling luas dan ada dua katil double decker. Que dan Apih kat bilik tengah, bilik paling hujung tu kami jadikan stor untuk simpan barang dan bahan projek. Maklumlah course kami ni banyak sangat projek.

Mula-mula pindah masuk situ, kami ada buat bacaan Yassin dan solat hajat. Adab masuk rumah baru, supaya mengelakkan perkara tak diingini berlaku. Pada awalnya semua keadaan normal, sampailah lepas beberapa bulan tinggal kat situ. ‘Dia’ dah start nak bergurau. Macam biasa setiap hari akan kedengaran bunyi guli bergolek atas siling, bunyi orang lambung duit syiling ke lantai, bunyi orang ketuk pintu/tingkap.

Tapi siapa nak main guli malam malam woii. Paling kerap dengar paip terbukak dan bunyi pinggan mangkuk berlaga, macam sibuk sangat keadaan kat dapur. Rumah bujang memang jaranglah kan kami nak masuk dapur, tiap hari tapau je makanan. Tapi orang kata alah bisa tegal biasa, sampai kami dah lali. Bila dengar je bunyi-bunyi tu kami akan cakap, “dia maiii dahhh” siap boleh gelak lagi. Ada lah jugak hiburan di malam hari.

Kejadian yang paling aku ingat, satu hari tu aku balik rumah mak ayah aku sebab ada emergency case. Then bila aku dah on the way balik Perak, aku whatsapp kat Que mintak tolong dia ON kan lampu depan dan bukak pagar, sebab aku lupa bawak kunci. Tunggu punya tunggu, takde reply. Hmm takpe lah, maybe dia tak sedarlah kot. Dalam pukul 4 pagi aku sampai depan rumah. Aku dah pelik sebab rumah gelap, lampu kat luar pun tak pasang. Kereta aku park depan pagar, then aku call Que. Dekat 10 kali aku call, tak berjawab.

Then aku call Apih dan Mirul, pun sama tak berjawab. Aniq dan Paan takde kat rumah sebab diorang tidur rumah kawan, siapkan assignments. Aku dah decide nak tidur dalam kereta dah, sebab penat sangat drive dari KL. Tapi niat aku terus mati bila aku terhidu bau wangi. Entah dari mana datang bau tu. Macam bau bunga pun ada. Tetiba aku rasa macam ada orang tengah perhatikan aku. Serius, masa tu memang aku tak berani nak pandang cermin belakang dan tepi. Aku rasa macam ada orang kat sebelah aku. Dekat sebelah penumpang. Dengan ekor mata, aku pandang sebelah kiri. Damnn.

Ada perempuan sebelah aku. Dengan terketar-ketar aku baca ayat Kursi dan surah-surah yang aku ingat masa tu. Benda tu pun hilang. Lepas tu, aku dah tak peduli apa nak jadi, aku start enjin kereta dan aku pecut pergi rumah classmate aku, Shahir. Nasib aku baik sebab dia tak tidur lagi masa tu. Sampai kat rumah dia, aku bukak semua pintu kereta dan aku pasang CD bacaan Al-Quran. Aku whatssapp kat Que dan Mirul, kata esok pagi baru aku balik rumah.

Aku balik rumah pukul 8.30 pagi sebab kelas aku pukul 10. Sampai je depan pintu, Que tegur aku,
“Aikk, kau dari mana? Kenapa bawak beg baju?”.

“Aku dari rumah Shahir lah ni, dah kau tak bukak pintu semalam, rumah pun gelap je. Aku tak boleh masuk lah. Kan aku dah whatsapp kau aku tak bawak kunci”, balasku.

“ehh, kau jangan main-main Im”, Que mula buat muka hairan.

“Serius doe. Aku tak gurau. Dekat 10 minit aku tunggu kat luar, seram weyhh aku kena kacau. Tu aku pergi rumah Shahir. Kenapa?”, jawabku.

“Aku bangun pukul 4.00 tadi. Lampu luar tu memang aku tak tutup. Bukan kau tengah sedap landing kat tilam depan tv tu? Aku kejut suruh masuk tidur kat dalam bilik pun tak sedar. So aku biar je lah kau kat situ. Aku siapkan kerja sikit kat meja. Then, bila aku pusing belakang tengok kau dah takde. Aku assume kau dah masuk bilik lah. Walaupun at first aku pelik jugak sebab kau tak tegur aku, and takde pun bunyi bukak pintu”, sambung Que.

Lepas Que cerita pasal tu, aku bukak balik conversations yang aku hantar kat dia. Takde! Kenapa jadi macam tu? Seingat aku, masa aku hantar kat dia memang chat tu dah sampai. Kami diamkan je lah benda ni. Sebab Paan dan Mirul ni jenis penakut sikit. Kalau cerita kat diorang, sampai sudah la semua kerja nak kena berteman.

Kejadian lain pulak, berlaku masa aku, Aniq dengan Apih tengah lepak kat depan rumah sambil main game di laptop. Masa ni dekat pukul 12 malam dah. Mirul kat dalam bilik. Paan keluar ada group discussion dan Que keluar jogging dekat kawasan rumah kami. Dah memang tabiat dia suka jogging kalau tension. Tengah duk syok bersembang, tiba-tiba Que meluru masuk ke arah tempat kami lepak. Aku rasa kalau pagar tu tutup pun memang dia dah lompat dah.

Aku tanya lah dia, “weyy, kau kenapa? kau pergi jogging ke lumba lari ni?”.

“Takde ape lah. Nanti aku cerita”, Que jawab dengan termengah-mengah.

Tgh duk gelakkan Que, tiba-tiba alarm kereta aku dan Que berbunyi. Serentak pulak tu. Terkejut weh sebab kami takde sentuh pun kereta. Aku pandang kau, kau pandang aku la jawabnya. Mirul dah terjenguk-jenguk dari dalam. Dia dah start membebel sebab takut jiran semua marah kami buat bising tengah malam. Que dah bukak langkah seribu masuk dalam rumah termasuklah dengan Aniq dan Apih sekali.

Deyyum. Main tinggal je aku sorang sorang kat luar. Dekat 10 minit jugakla alarm tu berbunyi, nak stopkan pun tak boleh. Kami dah cuak dah. Last-last berhenti jugak. Lega. Lepas semua dah reda, barulah Que bukak cerita. Katanya tadi masa dia lalu kat bawah lampu jalan, dia nampak ada bayang dia dan seorang lagi lelaki kat belakang dia. Mustahil la kan ada bayang lain sebab masa tu dia sorang je. Mana ada orang pun belakang dia. Mula-mula dia buat tak tahu je, tapi bila dia tengok balik bayang tu, bayang tu dah jadi lembaga besar. Benda tu makin lama makin dekat nak terkam dia. Haaa sebab tu lah dia lari tak cukup tanah balik rumah. Kalau kena kat aku tak tahu la macam mana. Taubat dah taknak jogging tengah-tengah malam.

Kejadian seterusnya ni terjadi kat kami lepas cuti mid sem 5. Masa ni kitorang puasa sunat dan kami berempat kat rumah tengah tunggu nak bukak puasa. Que dan Apih tak balik lagi sebab kelas diorang habis lambat, so tak sempat nak bukak puasa kat rumah. Dah nak dekat maghrib, aku nak tutup pintu dan tingkap semua. Lepas tu aku nampak Adik (Adik ni cucu Cik Yah, jiran sebelah rumah aku). Adik tengah main kat pagar depan rumah kami. Aishh apa pulak budak ni main kat luar sorang diri. Dengan penuh timbangrasa aku pun pergi kat Adik dan suruh dia balik rumah. Aku tunggu smpai dia dah masuk rumah dia, then baru aku jalan masuk rumah aku.

Masa nak tutup pintu, hampir tercabut jantung aku. Macam mana budak ni boleh ada kat depan pintu aku? Dia tengah tengok aku dengan muka takde perasaan. Aku tutup pintu cepat-cepat dan kunci. Lepas tu aku panggil kawan aku yang tiga orang tu. Belum sempat aku nak cerita, Aniq tunjuk ke arah tingkap. Dengan loghat utara dia tuh, dia cakap ada muka budak kat tingkap. Serentak kami berpaling ke arah yang Aniq cakap, sahh! Memang ada! Budak tu macam melekap je kat cermin tingkap tu dengan mata terbeliak dan lidah terjelir-jelir.

Benda tu tiba-tiba hilang bila azan maghrib berkumandang kat radio. Mintak nyawa wei. Lutut masing-masing dah terketar-ketar. Kami cepat-cepat nak bukak puasa, tapi entah kenapa semua makanan kami dah basi. Kuah dah sampai berbuih-buih, padahal tak sampai sejam kot aku beli lauk tu, so terpaksa la kami bukak puasa dengan roti gardenia coklat sambil tersedu sedu tahan nangis.

Then kami solat maghrib berjemaah kat ruang tamu. Tengah mengaminkan doa, dengar pulak suara halus ketawa mengekek ngekek dari luar. Makin lama makin kuat. Tingkap dan pintu pulak macam nak roboh kena ketuk. Syaitan ni memang nak uji kami. Masa nak call Apih dan Que, dengar suara ketawa tu dalam telefon. Terus Mirul baling Iphone 4 dia tu ke dinding. Nangis wehh. Aku pun capai handphone aku dan mesej Que.

Dalam mesej tu aku cerita semua yang berlaku. Aku tak putus-putus doa supaya dia baca mesej aku cepat dan faham apa aku cakap. Sebab aku banyak sangat typo. Lima minit lepas tu, dia reply. Dia dan Apih dah on the way balik. Dia akan call Pak Cik Ripin (owner rumah). Dalam hati aku rasa syukur sangat. Cepat lah sampai weih. Suara tu makin lama makin bingit. Aku pandang Aniq dan Paan. Muka masing-masing tak payah cakaplah macam dah takde darah. Mulut terkumat kamit duk baca ayat suci Al-Quran. Mirul pulak macam dah nak nangis. Aku tak tahu puncanya sebab takut ke sebab iphone dia.

Tiba-tiba bunyi benda jatuh dari dalam bilik belakang. Ah sudah . ‘Dia’ dah masuk dalam rumah pulak. Masa tu jugak, dengar bunyi orang berlari-lari atas siling. Betul-betul kat tempat kami duduk. Serentak dengan tu, bunyi kaca pecah dari dalam bilik tengah, lepas tu bunyi kaca tu datang dari arah bilik aku pulak. Bergilir-gilir bunyi benda pecah tu. Macam ada orang mengamuk. Bila keadaan dah terkawal, suara-suara tu pun dah takde, kami bukak pintu bilik. Semua cermin dan jam dinding dah pecah dan kaca semua bertaburan. Macam ada orang hempas kat lantai.

Lepas setengah jam, dengar enjin kereta Que. Alhamdulillah. Lega sangat masa tu. Rasa macam nak meluru keluar rumah dan peluk penyelamat aku tu. Ehh? Takde lah. Aku lurus OK. Diorang datang bawak Pak Cik Ripin dan sorang lagi lelaki. Lebih kurang sebaya Pak Cik Ripin jugak. Pak Cik Ripin mintak kami semua tunggu kat luar rumah sementara kawan dia tinjau kawasan kat dalam. Mula-mula dia mintak kami azan kat setiap penjuru rumah ni.

Selepas tu dia pagar kawasan rumah supaya senang dia nak tangkap benda yang buat kacau tu. Dia ajar kami ayat-ayat pendiding diri dan cara nak pagar kawasan rumah. Aku malas nak cerita secara detail proses yang berlaku sebab sangat panjang dan rumit. Hampir pukul 1 pagi baru selesai semua benda. Malam tu terpaksa lah kami kemas balik rumah yang dah macam tongkang pecah dan tidur dalam ketakutan. Esoknya, semua skip kelas kerana ada yang demam panas dan ada jugak yang tak siap assignments. Hahaha.

Menurut kawan pakcik Ripin, benda yang mengusik kami selama ni memang dah lama menghuni kat sini. Biasalah kawasan ni dulu kan hutan. Tapi sebenarnya ada banyak lagi kejadian pelik kat rumah ni yang aku tak cerita. Kisah kami selalu terjumpa bangkai tikus bawah katil, bangkai kucing depan pintu rumah dan jugak nampak kelibat perempuan dalam rumah ni. Semua tu berpunca dari perbuatan khianat orang. Haa macam tak percaya kan. Ingatkan perempuan je selalu kena sihir ke santau ni. Pakcik tu cakap, ada yang berdendam sebab salah sorang dari kami pernah tolak cinta seseorang. Yang pastinya bukan aku lah, sebab aku tak pernah tolak sesiapa. Hahahaa.

Satu hal lagi, aku nak pesan kat semua, hati2 lah bila makan kat kedai atau menerima makanan daripada orang lain. Kita tak tahu niat orang kan. Aku percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Semua kejadian ni berlaku membuatkan kami lebih kuat dan lebih mendekatkan diri kepada Allah. Aku bersyukur kerana dikelilingi kawan yang menjaga solat dan saling mengingatkan. Semoga kita semua di dalam jagaan Allah selalu. Maaf andai ada terkurang sana sini. Terima Kasih sudi baca cerita aku. #ggmu

12 comments

  1. Salam,

    Saya Annuar, Wartawan Majalah Mastika. Bagaimana saya hendak hubungi pencerita-pencerita kisah seram yang terdapat dalam blog ini?

    Jika ada, sila hubungi sy di talian 017-9768415

  2. Kali pertama benda itu mengganggu, masa itu jugalah perlu panggil mereka yang lebih arif untuk datang membantu. Nasib baik tiada nyawa yang melayang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *