Pengalaman Seram Ketika Menuntut Di UiTM M..#Part 2

Terima kasih kepada admin sebab post kisah seram pertama yang aku hantar haritu. Sesiapa yang belum baca tu bolehla baca entri yang bertajuk pengalaman seram ketika menuntut di UITM M.. Kali ni aku nak sambung balik kisah semasa aku menuntut di UiTM M. Banyak cerita yang aku terlepas haritu jadi aku nak sampaikan harini. Tapi aku janji ini entri terakhir yang akan aku kongsikan mengenai UiTM M sebab aku rasa kalau nak tulis satu persatu, gamaknya tahun depan baru habis cerita aku mengenai UiTM M. Lain kali aku akan ceritakan mengenai pengalaman aku di tempat lain pula.

Kali ni aku nak memohon maaf dulu kepada sesiapa yang terasa dengan perkongsian aku yang lepas. Aku memang tukar semua nama yang berkaitan dengan nama lain supaya tidak membuka aib sesiapa. Pada yang kenal mangsa2 yang terlibat, supaya diam2 sahaja sebab ini hanya perkongsian semata2. Kali ni aku cuma ceritakan kisah2 yang paling teruk terjadi kat UiTM M dan yang paling aku ingat saja.

1. PARANORMAL AKTIVITI UITM M.

Kalau tak silap aku, masa ni aku dah sem 5 atau sem 6. Kejadian ni mungkin antara kejadian paling besar pernah berlaku kat UiTM M. Sem ni amat panas sekali dengan cerita mistik ni disebabkan oleh kecuaian beberapa pelajar lelaki. Mesti ramai yang tertanya kenapa paranormal aktiviti? Masa ni tengah popular kat TV dan website yang membuat rakaman video mengenai entiti sehingga ada yang menjadi filem di layar perak. Oleh itu, pelajar-pelajar ni pun nak mencuba merakam entiti yang menghantui UiTM M. Takde penyakit tapi nak mencari penyakit kan. Biasalah budak remaja zaman sekarang yang dipenuhi rasa ingin tahu. Siap letak lagi tajuk video tu paranormal aktiviti UiTM M. Ketika itu, heboh satu kampus. Banyak yang menyebarkan video-video tersebut. Sampai aku pun ikut copy video tu dan simpan dalam hardisk. Video tu tak berapa jelas sangat sebab dirakam menggunakan telefon pintar. Aku akan ceritakan apa yang terjadi di dalam video itu.

Pelajar- pelajar lelaki yang terlibat ni merupakan junior sem 1-3 kalau tak silap. Mungkin ada senior yang terlibat tapi aku tak pasti sebab muka tak berapa jelas. Mereka merakam situasi berkenaan di beranda belakang kolej kediaman. Aku pernah cerita yang UiTM M ni bangunan shoplot kan di entri yang lepas. Shoplot ni tingkat bawah merupakan pejabat staff UiTM dan tingkat atas pula kolej kediaman para pelajar. Wing sebelah kiri kolej lelaki, kat tengah pula kolej perempuan dan wing sebelah kanan pula pejabat pensyarah dan ada bilik pelajar yang tidak berpenghuni. Belakang kolej kediaman tu pula hutan kecil. Jadi suasana kat situ memang seram kalau malam-malam.

Aku tak pasti pukul berapa mereka merakam kejadian tersebut tapi keadaan nampak gelap dan hanya berbekalkan cahaya lampu jalan area perumahan yang berdekatan. Salah seorang siswa yang bernama Asri (bukan nama sebenar) mengetuai perbualan untuk memanggil entiti berkenaan. Kalau kita berdiri di beranda, kita akan dapat melihat apa yang orang beranda sebelah buat. Tapi kita kena jengahkan kepala sikit untuk tengok apa yang ada kat sebelah. Nak dijadikan cerita, Anas dan geng-gengnya menyeru benda dari beranda sebelah kiri. Untuk pengetahuan semua, bilik sebelah kiri tu kosong dan tak berpenghuni, jadi amat sesuai untuk dijadikan experiment.

“Nama aku Anas. Aku nak tahu, ada sesiapa tak kat sebelah tu. Kalau ada gerakkan rokok yang kat beranda tu” Kata Anas dengan suara yang agak kuat kearah beranda sebelah. (Aku tak ingat sangat apa yang dia cakap tapi kata-kata Anas lebih kurang macam tu).
Puntung rokok memang sudah dari tadi diletakkan oleh mereka diperantaraan beranda bilik mereka dan beranda sebelah. Anas mengulang kata-katanya beberapa kali tapi tak ada respon. Mungkin sebab bosan menunggu, Anas dan kawan-kawannya mula berbual pasal benda lain kat beranda tu. Namun, kamera telefon masih merakam kearah beranda sebelah. Sedang mereka berbual, tiba-tiba salah seorang kawan Anas yang bernama Hadi berkata “Anas, kau tak nampak ke rokok kau dah jatuh tu!” Mereka semua berpaling kearah beranda sebelah. Rokok tu dah tak ada lagi. Dengan wajah yang terkejut, mereka semua menjerit masuk ke dalam bilik. Dalam video berkenaan, boleh nampak rakaman menjadi huru hara sebab mereka berlari lintang pukang.

Bila aku rewind balik masa part mereka tengah berbual di beranda belakang tu, aku fokus tengok puntung rokok tu je. Aku tengok rokok tu macam kena tarik sikit demi sikit. Kalau angin, mesti jatuh terus dan mesti rokok tu jatuh secara bergolek. Tapi ni tak, macam kena tarik dan secara perlahan2 dalam posisi lurus. Tapi tak nampak siapa yang gerakkan. Meremang bulu roma aku tengok video tu.

Lepas je kejadian mereka merakam video tu, banyak kejadian berlaku kat kolej kediaman. Ada yang mengatakan benda tu marah sebab mereka kacau dia. Ada suatu hari tu, ada siswi ni tengah mandi tapi tak tahulah pukul berapa. Yang pasti dia mandi malam. Masa dia tengah mandi tu tetiba dia ada nampak kelibat perempuan berambut panjang menjengah dari tingkap yang kat atas bilik mandi tu. Perempuan tu cakap “Mana Anas!!!”Suaranya kedengaran marah. Siswi tu apa lagi terus keluar dari bilik mandi dengan keadaan yang masih bersabun. Menangis siswi tu bercerita dengan kawan dia. Anas tu siap beritahu lagi nama dia masa dia panggil hantu tu, mana tak hantu tu kenal. Hehehe. Memang agak terukla sem tu sampai banyak yang tak nak mandi lambat sebab takut kalau benda tu muncul kat tingkap tandas. Sebab keadaan macam tak terkawal, pihak kolej dan persatuan agama islam buat inisiatif untuk azankan setiap bilik kat kolej kediaman. Masa tu ada beberapa siswa dan staff yang masuk ke setiap bilik dan azankan setiap penjuru bilik. Lepas dari itu tak ada lagi kes yang nampak benda tu cari Anas.

Aku masih simpan lagi video tu sampai ke hari ni tapi malangnya hard disk aku tak dapat buka lagi sekarang. Dah rosak. Tapi aku rasa ramai lagi ex student UiTM M kampus lama yang simpan. Harap-harap korang buang sebab tak baik simpan benda yang ada entiti ni lama-lama. Hehe.

2. KAK SENIOR

Kali ni aku nak cerita pasal kak senior aku yang pernah satu bilik dengan aku masa sem 2. Kak senior ni ex MPP kat UiTM M. Dia ada cerita pasal kisah dia masa dia melawat kami masa kami dah sem 6 kat situ. Kisah dia ni terjadi masa dia menyertai SKP masa cuti sem. SKP ni kerjanya kira membuat cleaning kawasan universiti dan kolej kediaman masa cuti semester. Elaun pun ada diberi. Jadi pada sesiapa yang nak cari duit lebih masa cuti sem memang bolehla apply kan. Masa Kak senior ni yang bernama Kak Latifah (bukan nama sebenar) ni menyertai SKP, dia sorang je perempuan masa tu. Yang lain-lain lelaki. Itupun dua tiga k***t je. Memang tak banyak, kurang dari 5 orang termasuk Kak Latifah masa tu. Masa tu mereka dibenarkan tidur di kolej kediaman tapi perempuan dan lelaki asing2 la bilik. Terpaksalah kak Latifah ni tidur seorang sebab dia seorang je perempuan masa tu.
Aku rasa jiwa Kak Latifah ni memang kental sebab dia cakap dia memang tak takut walaupun seorang je berada dalam dorm. Aku pernah ceritakan kat entri sebelum ni yang satu dorm kongsi 10-14 orang pelajar. So kita dapat bayangkan yang dorm tu besar dan hanya Kak Latifah sorang je yang duduk dalam dorm tu.

Aku tak ingat lagi hari yang keberapa, tapi Kak Latifah cakap malam tu dia memang buat hal sendiri. Lepas je aktiviti kemas mengemas selesai, Kak Latifah balik ke bilik dan membersihkan dirinya. Kak Latifah ni kaki cerita korea. Jadi malam tu dia memang marathon tengok cerita korea. Lepas tengok cerita korea, dia pun tidur. Kemudian, dia ada terjaga tapi tak tahu pukul berapa. Dia dengar bilik tu bising dan kedengaran seperti orang yang ramai dalam bilik tu. Dia dengar orang tengah berbuallah, bermain macam hari2 biasa masa kita dengar masa semester bermula. Dia dengar suara2 dalam bilik tu persis suara kawan-kawan dia yang sama bilik dengan dia sem lepas. Kak Latifah memang tak buka langsung mata dia. Dia pejam je tapi telinga dia masih mendengar bunyi-bunyi tu. Tiba-tiba dia dengar sekumpulan siswi bermain kejar-kejar dalam dorm tu dan salah sorang berjalan kearah katil Kak Latifah.

“ Latifah, Latifah, jomla main dengan kami sekali.”Suara itu persis seperti kawan baiknya yang satu dorm dengan dia sem lepas. Namun, Kak Latifah hanya mengeraskan badannya di atas katil. Berlagak seperti tidak mendengar apa2. Sampaila satu tahap benda tu mengoncang2 badannya untuk menyedarkan Kak Latifah. Namun Kak Latifah buat bodoh sahaja walaupun dia sudah merasa seram. Kak Latifah pun tidak perasan bila yang dia terlelap semula pada malam itu.

Malam keesokannya, Kak Latifah diduga sekali lagi. Sedang dia menonton drama korea di dalam laptopnya di atas katil, tiba-tiba elektrik terpadam. Keadaan menjadi gelap gelita. Kak Latifah terus berlari keluar dari bilik sambil membawa telefon bimbitnya. Dia terus mendail nombor rakan yang sama SKP dengannya. Dia meminta supaya ditemankan sementara menunggu elektrik kembali seperti biasa.

Mujurlah rakannya itu mahu menemaninya di kafe UiTM. Mereka berbual sepanjang menunggu elektrik itu. Tapi rakannya itu berasa mengantuk pula, jadi dia meminta diri untuk balik ke dorm. Dia menasihati Kak Latifah supaya balik ke dorm sebab tak bagus berada di luar lama-lama. Kak Latifah iakan sahaja walaupun hatinya berat mahu balik ke dorm. Mujurlah selepas rakannya itu balik, elektrik kembali seperti biasa. Kak Latifah pun balik ke bilik dan menyambung balik menonton cerita korea. Disebabkan keletihan, Kak Latifah tertidur semasa menonton cerita korea. Pagi itu, Kak Latifah berasa pelik apabila melihat laptopnya terpadam. Selalunya kalau plug tercabut barulah laptop terpadam sebab bateri laptop Kak Latifah ni sudah tidak kuat lagi. Laptop cuma dapat dibuka kalau plug pasang sahaja. Masalahnya, Kak Latifah tidak tutup plug pun malam tadi. Bila di siasat, rupanya tali plug itu dicabut. Bila masa pula Kak Latifah cabut? Kak Latifah malas nak fikir lagi selepas tu sebab dia tahu tu kerja makhluk lain.

Aku memang respect sungguh pada Kak Latifah sebab dia dapat habiskan SKP itu dengan jayanya. Tak ada kes rasuk atau pun sakit apa-apa masa tu. Kak Latifah ni seorang yang kuat iman dan tidak pernah tinggal solat, mungkin sebab tu dia selalu dilindungi oleh Tuhan.

3. SKRIP TEATER

Kisah yang ini terjadi kat aku sendiri. Ketika ni aku di sem 3 atau sem 4 kalau tak silap. Sem ni kami diwajibkan mengambil kokurikulum. Masa ni tak ada kokurikulum lain kat UiTM M. Ada teater je masa tu. Segalanya terjadi semasa aku menulis skrip untuk teater yang bakal kami lakonkan. Deadlines makin dekat, skrip aku pula belum siap. Jadi nak tak nak aku kena siapkan malam tu juga. Genre yang kami pilih lain dari teater yang sebelumnya sebab pensyarah yang mengajar kami teater masa tu garang. Jadi kena fikir luar dari kotak. Aku ni pula suka buat kerja last minute sebab tulah nak tak nak kena juga buat malam tu kan.
Aku mula menulis dari petang haritu. Memerah otak untuk memilih jalan cerita yang bakal kami lakonkan. Semester tu kami pilih genre misteri dan berlatar belakangkan zaman kesultanan Melayu Melaka.

Disebabkan sibuk menulis, aku tak sedar yang semua orang dalam dorm itu telah tidur nyenyak. Lampu bahagian aku sahaja masih terbuka masa itu. Lampu lain sudah tertutup. Masa tu bunyi kerusi dan meja ditarik memang sudah mula kedengaran. Tapi aku endahkan sebab dah biasa dengar. Makin lama makin bising bunyinya.

Masa aku tulis ayat mentera dalam skrip berkenaan, tiba-tiba aku dengar bunyi botol mineral jatuh. Aku pun berpaling ke belakang. Tak ada orang cuma aku tengok botol kosong jatuh. Aku sambung balik menulis sebab aku fikir mungkin sebab angin kipas kot. Tengah aku sibuk sambung mentera tadi, tiba-tiba bagasi yang dari atas loker pula jatuh. Masa ni aku dah jadi pelik. Angin kipas tak akan dapat jatuhkan bagasi besar yang terletak atas loker. Masa ni bula roma aku dah meremang. Tapi aku gagahkan diri juga menulis sebab esok nak bagi pensyarah tengok. Masa tu aku rasa aku menaip dengan laju sekali sebab aku rasa benda tu tak suka tengok aku masih berjaga. Akhirnya dalam pukul 2 atau 3 pagi macam tu skrip tu siap. Aku terus naik katil tanpa pergi tandas pun sebab dah rasa lain macam. Nanti takut jumpa benda lain pula kat tandas tu.

Namun aku berterima kasih juga kat benda tu sebab dia aku dapat siap cepat. Skrip pun diterima pensyarah. Hehehe.

4. SAHABAT
Kisah terakhir ini mengenai dua orang sahabat aku di UiTM M. Walaupun tak rapat sangat tapi kami sahabat baik sehingga ke hari ini. Aku namakan sahabat aku ni Anis(bukan nama sebenar) dan Mona (bukan nama sebenar). Aku mulakan dulu dengan cerita Anis. Anis ni seorang yang aktif di dalam kelas. Orangnya berbadan kecil sahaja dan dia seorang yang lincah.

– Anis
Masa tu sem 3, kami dapat dorm yang sama. Masa Anis dapat dorm tu dia rasa tak senang hati. Macam aura di dorm tak bagus. Tapi Anis lawan perasaan dia dan dia buat tak endah perasaan itu. Sampailah satu hari Anis ni terdengar bisik-bisikan halus di telinganya. Dalam kelas , Anis sering tak focus dan asyik termenung. Sampaikan satu tahap Anis ni melakarkan gambar lembaga dalam bukunya semasa di dalam kelas. Masa tu, Mona dah rasa Anis ni lain macam. Mana ada orang normal suka-suka melukis gambar hantu kat buku kan. Mona tegurla perbuatan Anis ni dan selalu marah Anis kalau Anis melukis gambar hantu.
Bila malam tiba pula, boleh dikatakan Anis sering badannya kaku di atas katil dan tak dapat bergerak. Tidurnya jarang lena. Disebabkan banyak kali berlaku macam tu, Anis mengajak Mona mengabungkan katil dengannya. Mona pun risau dengan keadaan Anis lalu dia bersetuju mengabungkan katil mereka. Mona tak kisah menemankan Anis tidur asalkan kawannya itu rasa selamat.

Pada malam mereka tidur bersama, Mona pula yang kena tempiasnya. Tiba-tiba Mona terbangun pada tengah malam sebab terasa badannya kaku tak dapat bergerak. Pagi esoknya, Mona dan Anis pergi melaporkan pada pihak atasan kerana dirasakan benda ini diluar kawalan. Namun, respon yang diberikan agak hambar. Pihak atasan hanya menasihati supaya mendinding diri dengan membaca ayat kursi setiap malam. Aku faham kenapa pihak atasan bertindak demikian, sebab kes ni tidak besar jadi mereka tidak mengambil langkah yang drastik.

Anis akur dan Anis mula mengamalkan membaca ayat kursi setiap malam. Namun usahanya tidak berjaya dan makin menjadi pula gangguan sehinggakan Anis merasakan badannya hilang kawalan dan cepat marah. Disebabkan itu, dia mengambil langkah ponteng kelas Jumaat untuk balik ke rumahnya untuk berubat. Keluarganya membawa Anis pergi ruqyah di salah satu pusat rawatan di kawasan bandar tempat dia tinggal.
Dari situlah terbongkar semuanya. Rupa-rupanya selama ini ada jin yang merasuki badan Anis. Ustaz yang merawat Anis itu mengatakan jin tu saja mahu menganggu Anis. Mungkin kerana jiwa Anis lemah masa itu sebab itulah senang diganggu makhluk halus. Sebab rajin berubat, akhirnya Anis bebas dari sebarang gangguan kini. Aku tahu cerita ni sebab Anis yang cerita sendiri dan kami masa tu satu dorm.

– Mona
Ini pula kisah Mona. Mona ni seorang yang peramah dan disenangi ramai orang. Orangnya ayu je. Kisah Mona ni kami tak tahu bila dia start kena sebab dia kena kacau bukan kat UiTM tapi di rumahnya sendiri. Mona ni aku memang kenal hati budi sebab dah kenal dari sem satu lagi. Orangnya jarang marah. Tapi entah kenapa makin kami meningkat senior, makin pelajarannya merosot. Dia jadi cepat baran. Sampailah satu hari tu, masa kami cuti semester, Mona ada pergi pusat rawatan islam sebab menemani saudaranya yang sakit. Masa dia berada dalam pusat rawatan tu, tiba-tiba dia tak senang duduk. Lagi-lagi bila mendengar bunyi ayat-ayat suci yang digemakan di seluruh bilik rawatan.

Dia mula gelisah sampaikan ustaz disitu melihat gelagat peliknya. Terus ustaz itu menawarkan rawatan kepadanya. Tidak pula dia menolak. Masa ustaz merawatnya, barulah terbongkar bahawa selama ini ada sesuatu yang berada di dalam badannya. Tapi tidakla kuat sangat. Kira terkena tempias yang berpunca dari bapanya. Untuk pengetahuan semua, bapa Mona seorang yang suka memburu di dalam hutan. Bapanya berjiwa kental dan kuat jadi benda-benda tu tak dapat masuk. Makhluk halus tu pun mengekori bapanya sampai rumah. Jadi bila bapanya balik ke rumah, benda itu mengacau anak-anaknya pula. Yang paling teruk terkena ialah adik bongsu Mona sebab adiknya masih kecil. Memang sepanjang cuti semester itu digunakan oleh Mona untuk merawat dirinya dan ahli keluarganya. Disebabkan itulah, Mona semakin mendekati dirinya dengan Tuhan. Kini Mona dah ok dan bebas dari gangguan pelik.

Sampai disini saja kisah yang aku ingin cerita kan pasal UiTM M. Banyak lagi sebenarnya, seperti penampakan perempuan berambut panjang di atas meja belajar, kelibat putih bergentayangan di luar beranda tapi rasanya tak dapat diceritakan semuanya. Semua orang yang belajar disitu pernah melalui rasanya. Apa lagi bunyi seretan kerusi dan meja tu. Memang setiap malam. Tapi aku dengar kampus baru UiTM M lebih angker dari yang lama. Jadi, gud luck kepada yang belajar di kampus baru. Dindingkan diri anda dengan ayat-ayat suci mengikut agama masing-masing. Jangan takut dan lemah semangat sangat sebab benda ni suka orang yang lemah semangat. Sampai sini saja sambungan Kisah UiTM M. Lepas ni aku akan kongsikan mengenai kisah aku di tempat lain pula. Sorry sebab entri kali ni panjang dan bosan. Sebab dah tak ada sambungan kan jadi aku pack dalam satu entri. Maybe bagi korang tak seram tapi kalau mengalami sendiri memang beri kesan sampai bila-bila. Sampai berjumpa lagi..bye..

p/s:Lepas ni aku pakai #kenyalang. Jadi kalau nak tengok post yang seterusnya nanti (itupun kalau dipost oleh admin) carilah hashtaq ni ya.

Kenyalang

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

2 thoughts on “Pengalaman Seram Ketika Menuntut Di UiTM M..#Part 2”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.