Penghulu Bunian

Assalammualaikum. Bersua kita sekali lagi atas rahmat Allah yang Maha Esa. Terima kasih kepada admin Fiksyen Shasha kerana menyiarkan kisah pertamaku. Terima kasih juga kepada para pembaca yang memberi feedback kepada penulisanku. In shaa Allah akan aku kongsi satu persatu kisah kehidupanku yang penuh misteri.

Kali ini aku hendak bercerita tentang kaum bunian. Ya, antara hamba Allah yang menghuni dunia ini di alam yang berbeza tetapi selari. Tiada kisah khusus yang hendak ku ceritakan tetapi cuma secara am. Bunian yang ku temui kebanyakannya tidak berinteraksi denganku kerana mereka tidak tahu aku dapat melihat mereka. Tetapi ada juga yang menyedari kehadiranku di alam mereka lantas menawarkan tali persahabatan yang sukar untukku sambut. Nantiku ceritakan sebabnya.

Bunian mempunyai pelbagai rupa, sama seperti manusia, mereka berpuak-puak. Jika aku bertemu perkampungan bunian, aku pasti terleka memerhatikan gelagat mereka yang begitu menarik hati. Kebanyakan tempat yang dihuni bunian mempunyai ciri-ciri tersendiri. Jika di hutan, akan ada kelompok pokok-pokok cantik yang tumbuh bersusun seperti pagar. Andai manusia melintasi kelompok pokok tersebut, mereka lazimnya sesat. Kadang-kadang aku terlihat perkampungan bunian di kawasan bukit. Pokok-pokok yang menjadi sempadan antara mereka dengan kita juga ketara berlainan daripada pokok lain di sekelilingnya.

Jika aku melihat gambar yang dirakam rakan-rakan yang bercuti di luar negara khususnya yang berkunjung ke kawasan hutan, sungai, bukit, gunung dan air terjun, geli hatiku melihat bunian yang turut sama terperangkap di dalam gambar tersebut. Bunian hutan lazimnya amat tua, muka pemarah atau tidak peduli, dengan akar kayu berselirat membaluti jasad gergasi mereka. Bunian sungai dan air terjun pula cantik-cantik, kebanyakannya gadis-gadis, tetapi diketuai satu orang tua yang sukar hendakku kenal pasti jantan atau betina. Bunian bukit sama saja seperti kita, berkampung sederhana, dengan pakaian seragam satu warna daripada kain lembut, telinga tajam seperti daun mengkuang. Bunian gunung kebanyakannya mirip burung, tanpa rupa yang jelas jantan atau betina, panjang lonjong bersayap jalur-jalur seperti juraian bendera.

Bunian tidak menghuni tempat yang kotor. Semua bunian yang kulihat menempati tempat yang indah-indah meskipun di kawasan tengah bandar. Aku pernah berinteraksi dengan satu kaum bunian di bukit. Sekeliling bukit itu adalah penempatan manusia dan juga pejabat kerajaan. Mereka pasti tidak menduga bunian hidup bersama mereka dalam menjalani kehidupan seharian di situ. Tetapi baru-baru ini ada berlaku sesuatu di bukit tersebut yang menimbulkan kesedihan kaum bunian itu.

Perkenalan kami bermula pada suatu hari hujan renyai-renyai apabila aku melalui bukit tersebut. Ketika itu aku sedang memandu ke tempat kerja. Aku perasan aku melalui sesuatu seperti pintu gerbang dan secara tiba-tiba deriaku tepu. Telingaku berdesing kuat seolah-olah aku sedang berdiri di tepi pesawat yang hendak berlepas. Mataku terus menembus kepulan kabus di hadapanku. Bunyi kenderaan lenyap. Telingaku hanya menangkap bunyi desiran angin yang bergulir antara dedaunan pokok. Di hadapanku berdiri seorang lelaki separuh baya dengan segerombolan orang muda berpakaian sedondon jubah hijau dan putih. Lelaki itu memakai jubah kuning dengan pengikat kepala seperti serban. Ku lihat telinganya panjang melekap di kedua-dua belah kiri dan kanan kepalanya yang bentuknya agak aneh.

“Assalammualaikum Siti Fatimah,” satu suara asing menyapaku.

“Waalaikumsalam,” Aku menjawab dengan penuh hati-hati.

“Aku Penghulu di sini. Mereka ini anak-anak buahku. Selamat datang.”

“Maaf, aku bukannya hendak bersikap biadab tetapi kenapa kamu bawa aku ke alam kamu?”

“Kami sudah lama mengetahui tentang kamu. Kami cuma ingin bersahabat dengan kamu.”

“Maaf, aku tidak mahu. Aku dan kamu bukan satu alam dan kaum kamu amat banyak muslihatnya. Mustahil kamu hendak bersahabat begitu-begitu sahaja,” aku terpaksa berterus terang kerana sememangnya aku kurang senang diperlakukan sedemikian.

Memek muka Penghulu itu berubah mendengar kata-kataku. Anak-anak buahnya juga kelihatan terkesima dan enggan menatap mukaku. Aku memandang tepat ke mata Penghulu lalu menegaskan sekali lagi pendirianku.

“Baik, baik, kalau begitu tidak mengapa. Maafkan kami. Tetapi kalau lalu di sini janganlah tidak bertegur sapa dengan kami ya.”

Aku cuma mendiamkan diri. Secara tiba-tiba sekali lagi deriaku tepu dan serta-merta ku melihat tanganku memulas stereng untuk membelok keluar dari bulatan di hujung bukit itu. Desingan di telingaku pun terhenti dan aku segera memberhentikan keretaku di bahu jalan. Aku tidak tahu hendak menggambarkan perasaanku ketika itu, rasa marah, terkejut, terkilan, tersinggung bercampur baur.

Enggan terlalu lama melayan perasaan, aku membaca al-Fatihah berulang-ulang kali. Inilah antara sebabnya aku tidak mahu bersendirian. Pasti ada sahaja yang ingin tahu dan cuba menghampiri. Tidak sedikit yang ingin menguji. Bagi aku, aku tidak mahu berinteraksi dengan makhluk di alam lain. Bukan kerana aku sombong, jauh sekali, sebaliknya kerana aku tidak mahu didampingi. Memang mudah menjalani hidup jika berdamping dengan mereka, apa sahaja yang diingini mudah sahaja diperolehi. Manakan tidak, jisim mereka takkan sama dengan kita, begitu juga usia dan masa mereka waima kita hidup pada landasan yang sama. Tujuh alam bergerak di atas landasan yang sama pada waktu yang sama namun di atas masa yang berbeza.

Namun ternyata bukan hanya sekali itu kami bertemu. Penghulu nampaknya benar-benar ingin aku bersahabat dengan mereka. Pernah aku menghadiri majlis rumah baharu saudaraku di kawasan bukit itu. Tak semena-mena beliau tiba bersama enam orangnya. Dalam kemeriahan majlis aku terpaksa berinteraksi dengan mereka melalui cara batin. Hanya jasadku di dalam rumah itu manakala ‘rohku’ bertemu Penghulu di pintu gerbang. Beliau memaksa aku membenarkan anak buahnya menjaga rumah saudaraku itu atas alasan kawasan itu kawasan keras. Menurut katanya akan berlaku sesuatu di situ yang menyusahkan saudaraku kelak.

“Tidak, tidak perlu kamu hendak menjaga kami. Hanya kepada Allah kami berserah dan hanya kepada Allah kami memohon perlindungan dan pertolongan. Terima kasih atas tawaran kamu Penghulu.”

Saatku melafazkan kata-kata itu sekilas ku lihat paras rupa Penghulu itu berubah seperti satu makhluk hitam yang tinggi. Ternyata telahanku benar. Andaiku menerima salam persahabatan mereka, maka pasti aku menjadi antara golongan orang-orang yang sesat. Sambil melaungkan ugutan kepadaku, gerombolan makhluk itu pun berlalu pergi. Di kejauhan kulihat satu deretan mata merah mencerlung memandangku. Nampaknya bukan hanya satu perkampungan bunian di sini dan yang satu lagi itu ternyata jauh lebih agresif.

Namun itu biarlah ku ceritakan di waktu yang lain. Sekian sahaja persembahanku kali ini. Maaf kalau menyinggung sesiapa. Assalammualaikum.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 13 Average: 4.3]

6 thoughts on “Penghulu Bunian”

  1. best cerita ni. saya memang minat kisah bunian. baru tahu buniang semua rupa lain2. lepas tu ig bunian ada dalam butan je rupanya kat bukit dgn sungai/air terjun pon ada. kadang2 teringin gak nak tengok bunian tapi tak berani la kalau kena macam penulis ni.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.