Penghuni Alam Dimensi Ketiga

Hai Fiksyen Sasha. Saya adalah pembaca dan juga penggemar kisah-kisah seram. Maaf jika kisah ini tidak seram. Disini saya ingin berkongsi satu cerita dimana saya telah ditegur oleh penghuni alam dimensi ketiga yang juga mungkin merupakan penginap tetap bilik asrama saya. Saya merupakan seorang pelajar di Politeknik di Arau. Ketika awal kemasukan saya di politeknik itu memang pelbagai kisah-kisah seram & mistik yang diceritakan oleh senior yang belajar disitu. Sebagai seorang pelajar yang baru berhijrah ditempat baru memang kebiasaannya disapa dengan kisah-kisah penyedap suasana oleh mereka yang lebih lama belajar disitu.

Tahun pertama pengajian saya disitu, saya tidak langsung merasakan ada perkara luar biasa yang menyentuh elemen-elemen mistik mahupun paranormal biarpun seringkali dihujani oleh cerita-cerita seram rakan sedarjat saya mengenai asrama yang diberi kepada kami. Tapi pada tahun kedua, sekali sahaja teguran ikhlas yang boleh saya nyatakan disini merupakan teguran pertama dan saya mengharapkan ianya juga teguran terakhir buat saya dari makhluk yang bukan manusia. Saya diberi asrama yang hanya ada satu katil, sepatutnya setiap bilik asrama akan ada dua katil dan dua penghuninya, tetapi atas sebab yang saya tidak boleh nyatakan disini, bilik saya itu harus dicuci dan dikemas, hanya satu katil sahaja ketika saya mensaftar masuk kebilik itu. Satu lagi katil berada dibawah. Tapi prosedur untuk mengambil katil agak leceh ditambah pula dengan aras 5, memang letih untuk usung naik keatas. Rakan sebilik yang sepatutnya satu bilik dengan saya memutuskan untuk berpindah kebilik aras bawah dengan rakannya yang juga tidak ada rakan sebilik. Jadi disebabkan hanya satu katil, maka ianya milik saya.

Malam kejadian, semua penghuni asrama wajib turun kebawah dan tiada siapa yang dibenarkan berada dikawasan asrama. Bagi yang beragama islam mereka perlu menghadiri majlis ilmu di masjid manakala yang bukan islam mereka disuruh ke cafeteria. Siapa yang pernah belajar disitu akan tahu, jika ada program yang mewajibkan penghuni asrama untuk turun kebawah, secara tegasnya penyelia ataupun warden asrama akan menutup elektrik diasrama. Maka dengan cara itu akan buatkan para penghuninya turun kebawah.

Sesampainya saya dibawah, kawan saya yang kebetulan pada ketika itu menyapa saya

“Azmi, bilik kau tak kunci”

Saya pada waktu itu bergegas semula naik ke atas, banyak barang berharga dalam bilik jadi dalam keadaan gelap saya menggunakan telefon sebagai lampu suluh kecil saya. Saya penginap aras 5, bilik paling hujung berhadapan dengan tangga. Memang keadaan waktu itu sangat sunyi, gelap, apabila sampai dibilik, tempat pertama yang saya tuju adalah meja bilik saya yang berhadapan dengan tingkap, kerana disitulah terletaknya laptop, yang juga keperluan penting bagi pelajar seperti saya. Segalanya dalam keadaan baik, saya pun mula melangkah untuk turun, waktu saya menarik tombol pintu bilik saya dari luar, saya ditegur oleh sesuatu melalui tingkap bilik saya

“Tak turun lagi?”

Saya dalam keadaan tergesa-gesa menyuluh ke arah tingkap, tak nampak wajahnya kerana terlindung dengan cermin tingkap, yang nampak hanya bajunya sahaja yang seakan-akan berwarna oren. Saya hanya menjawab

“Baru nak turun, jom turun sekali”

Tapi ajakan saya tidak disambut sebaliknya dia terus berjalan kearah bilik sebelah saya. Saya pun tidak endahkah perkara itu dan terus turun. Bila sampai kebawah saya terfikir, itu mungkin penyelia asrama yang ingin memeriksa setiap bilik kerana khuatir masih ada penghuni yang belum turun kebawah. Waktu saya sedang fikir tentang penyelia yang menegur saya tu, saya secara spontan mendongak ke aras 5 dan mata saya tepat ke arah bilik saya. Tak susah untuk mencari bilik saya kerana ianya adalah yang paling hujung.

“Eh? Aras 5 mana ada koridor luar tingkap.”

Saya hanya berbisik dalam hati, sayup dari pandangan mata saya ke arah bilik saya, saya melihat seolah-olah ada orang yang sedang memandang saya dari atas. Samar-samar cahaya lampu yang membias kearah tingkap memang menampak baju yang sama seperti saya lihat ketika saya ditegur tadi.

Saya ambil keputusan untuk tidak naik semula, memang berlegar dalam fikiran saya samada itu penghuni asrama yang masih belum turun kebawah atau warden ataupun juga penghuni ghaib yang menghuni bilik saya. Apabila selesai majlis ilmu, saya naik semula keaatas, elektrik sudah disambung, keadan kembali cerah, saya masuk kedalam bilik, tiada barang yang hilang. Saya menjenguk keluar tingkap untuk pastikan kemungkinan ada ruang untuk berdiri diluar tingkap, memang tak ada. Dari jarak yang saya lihat kelibat itu, jika ada yang berdiri disitu maka lemaslah ditelan maut kerana tiada langaung ruang untuk berdiri disitu.

Malam itu ketika saya ingin lelapkan mata, saya merasakan keadaan bilik saya agak panas, kebiasaanya bilik itu tidak sebahang yang saya rasa. Saya mengambil keputusan untuk mandi, kerana keadaan bilik saya memang berhaba. Setelah selesai saya pun masuk semula kedalam bilik, saya buka almari untuk mengambil pakaian dan apabila saya tutup sahaja almari itu, cermin yang berada dipintu almari saya itu menunjukkan satu susuk tubuh, lelaki yang boleh saya katakan sebaya dengan saya, sedang duduk mencangkung diatas katil saya sambil menghadap ke arah dinding bersebelahan dengan katil saya. Lelaki itu berbaju oren, saya tidak tegur, saya tidak terus memandang kearah katil saya, sebaliknya saya meluru keluar dan tiba sahaja dipintu, saya menjeling sedikit anak mata saya kearah katil saya. Tiada siapa disitu, hanya cadar, bantal dan selimut yang seolah telah disepahkan, cadar saya seperti digulung, bantal, selimut semua berada setempat dihujung katil seolah ada seseorang yang melalukannya. Sejak dari itu, saya tidak lagi menghuni disitu, pada tahun terakhir pengajian saya, saya memilih untuk menyewa rumah diluar bersama kawan-kawan saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *