Perempuan Di Genting Highlands

Dia berdiri, bergolek dan juga merangkak…

Kisah ni dah lama berlaku. Masa saya bekerja Genting Highlands. Masa tu saya bekerja sebagai penjual coklat di sebuah kedai serbaneka. Lepasan SPM macam saya ni manalah mampu nak beli kereta ataupun motor untuk ulang alik bekerja di awana genting. Jadi terpaksalah ulang alik naik ‘cable car’ dan kadang kala tumpang kenderaan kawan jika sempat pulang bersama.

Nak dijadikan cerita, petang itu saya terlewat keluar daripada tempat kerja. Limit ‘cable car’ hanya sampai jam 7 petang sahaja. Lepas daripada jam itu, bermalamlah kat atas sana. Pandai-pandai lah nak hidup kat atas dengan cuaca yang sejuk amat sementara tunggu hari siang.

Mujur ada bas pelancong yang masih belum bergerak. Mungkin sedang menunggu pelancong berkumpul untuk turun ke bawah. Saya minta izin daripada pemandu untuk tumpang turun ke bawah. Alhamdulillah masih ada satu kerusi kosong untuk saya.

Bas bergerak dengan perlahan memandangkan ketika itu hujan lebat. Sesekali terdengar bunyi tayar menggelecek jalan apabila pemandu tiba-tiba brek kerana jalan licin. Setibanya di kawasan tokong besar di tepi jalan. Mata saya terpandang seorang perempuan berdiri di atas batu tersebut sambil melambai tangannya. Saya beralih pandangan ke arah lain kerana bimbang sekiranya dia bukanlah manusia.

Bas masih bergerak perlahan dan hujan masih belum reda. Tiba-tiba kelibat perempuan yang sama terbaring di atas jalan dalam keadaan tertiarap dan pemandu bas dengan selamba menggilis perempuan itu tanpa rasa bersalah. Sedarlah saya bahawa perempuan itu bukanlah manusia.

Saya menutup mata kerana berasa ngeri melihat perempuan itu digilis walaupun tahu dia bukanlah manusia. Masing-masing dalam bas mula melayan perasaan. Ada yang tidur, menyanyi perlahan sambil mendengar walkman dan ada yang bersembang sama sendiri dalam keadaan berbisik.

Saya yang duduk di kerusi ‘single’ di belakang pemandu hanya mampu melayan perasaan sendiri sahaja.

“Dia ada atas bumbung bas” Pemandu berbangsa Cina itu tiba-tiba bersuara.

“Hah?” Saya terkejut mendengar kata-kata apek tersebut.

“Benda tergolek atas jalan tadi ada atas bumbung bas. Ko jangan pandang pula…” Rupanya apek itu tahu saya boleh nampak apa yang berlaku tadi.

“Uncle tau meh?” Soal saya perlahan.

“Tau lah. 10 tahun aku bawa bas, macam-macam benda aku nampak. Ko tadi nak tumpang pun aku tau sebab ada benda suruh aku tunggu sekejab. Rupanya ko nak tumpang.” Jelasnya dalam loghat baba nyonya yang saya tak pandai nak ajuk.

“Wow..” Hanya itu sahaja mampu saya ulaskan mengenai penerangan apek tadi.

“Engkau jangan nak wow-wow sangat lah. Kejab lagi terjuntai dia depan kau jangan kau jerit pula. Tutup mata pergi tidur. Sampai bawah nanti aku kejut…” Nasihat apek tersebut sambil tersengih menampakkan dua batang gigi emasnya di cermin pandang belakang.

Seram pula mendengar kata-kata apek itu, saya cuba pejamkan mata sambil mendengar lagu opera cina yang dipasang di radio bas.

“Amoi, bangun sudah sampai…” Tak sempat saya hanyut dibuai mimpi, kedengaran suara apek memanggil saya.

“Terima kasih uncle…” Ujar saya di tangga terakhir bas.

“Sama-sama. Lain kali jangan lambat-lambat lagi. Kena tinggal macam ni susah. Hari ini aku ada boleh tumpang balik. Esok lusa macamana?” Nasihat apek sebelum tutup pintu bas.

Bas berlalu dengan laju keluar ke Genting Sempah. Saya berjalan dalam kesejukan kerana terlupa bawa baju sejuk. Setibanya di pintu pagar hostel sekali lagi perempuan itu muncul dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Dia bergolek laju di depan mata saya. Saya abaikan dia kerana saya tahu dia hanyalah satu gangguan. Saya terus memanjat tangga hostel kerana lift masih dalam keadaan penyelenggaraan sejak pagi tadi lagi. Mujur bilik saya tidak berada di tingkat tinggi.

Apabila berasa penat saya berhenti mengambil nafas dengan bersandar pada koridor di kaki lima. Tiba-tiba perempuan itu muncul lagi, kali ini bukan berdiri atau tergolek tetapi merangkak naik melalui dinding bangunan menuju ke arah tempat saya berdiri.

“Ah ni dah lebih…” Ujar hati saya marah.

Tanpa membuang masa saya mencabut kasut yang saya pakai lalu berlari selaju yang mampu. Terasa seperti melayang jer naik tangga sambil menjerit aaaaaaaaaaa sekuat hati. Malam itu, semua bilik hostel terang benderang kerana mereka tahu, jika saya yang menjerit pasti ada sesuatu gangguan yang hadir.

Apa? Korang fikir saya ni berani sangat dengan benda-benda macam ni? Silap besor lah… Kadangkala jeli juga hati ini weh…

Alhamdulillah esok pagi seorang ustaz dipanggil untuk buat pembersihan di kawasan tersebut. Katanya makhluk itu mengikut saya pulang kerana tertinggal bas untuk balik ke kampung halaman.

Pandai ustaz tu perli saya noh😪

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 20 Average: 4.3]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.