Perempuan Tidak Berwajah

Semua orang pasti memiliki detik hidup yang sukar dilupa. Aku pun ada. Kejadian berlaku lebih kurang 25 tahun dahulu ketika aku bersekolah rendah. Kejadian yang aku gagal paham kenapa ada. Kenapa aku?

Ambil sedikit masa untuk mengimbas, selesakan sedikit diri sebab meremang pula bulu roma.

Waktu itu aku berada di kampung. Menjadi rutin aku pulang ke kampung di Batu Pahat ketika musim cuti sekolah. Parit tersergam dari laut ke darat, diliputi pohon sawit menghiasi selang seli rumah di tepian jalan kecil sempit. Banyak sebenarnya kisah mistik yang aku dengari dan alami sebelumnya. Mendengar orang berbalah bagai berperang ketika mahu tidur, kisah orang hilang dan ditemui muncul di Makkah, penampakan pocong, hantu mak esah kaki kudung sebelah dan banyak lagi.

Tapi cerita ini paling aku ingati. Cerita ini aku sendiri alami.

Suatu senja aku mengikuti beberapa abang aku untuk bersolat di surau. Sebagai anak bongsu dari 8 beradik, aku ikut saja. Entahlah. Naik basikal beramai ramai ke surau juga sudah menjadi aktiviti yang seronok. Selesai solat magrhrib, kami bersantai bersama kawan sekampung di kawasan belakang surau. Tipikal budak, kami berborak dan bergurau senda sehingga menghiraukan waktu isyak yang hampir tiba. Selesai azan untuk solat isyak pun kami masih berpeleseran di laman belakang. Maknanya apa? Ya selamat tinggal solat isyak.

Laman belakang surau sebenarnya tak ada apa. Hanya dipenuhi pohon buah dan sebahagian besarnya hanyalah deretan pohon sawit. Pekat gelap dan sunyi sekali. Ketika rakan lain sibuk berbual sesama mereka, aku yang ketika itu hanya duduk beralas selipar leka memerhati sebuah rumah yang malap sinarnya. Rumah itu berjarak lebih kurang 100 meter dari tempat kami. Dipisahkan oleh beberapa baris pohon sawit.

‘Siapa yang berani duduk tempat macam tu?’ aku bertanya dalam hati.

Aku terus memerhati rumah itu. Rumah kayu bertangga di depan dan hanya disinari sebiji mentol lampu. Nampak tak ada orang. Daun pintunya tertutup kemas. Aku jadi leka melihat rumah itu. Rakan lain masih berterusan berbual sesama mereka dan bergurau senda. Aku tidak berminat ikut serta. Aku lebih berminat terus melihat rumah kayu itu sambil perhati sekeliling.

Tiba-tiba, muncul seorang perempuan bertelekung di tepi tangga rumah itu.

‘Ehh? Masa bila pulak pintu terbuka?’

Aku terus perhati. Perempuan itu hanya berdiri. Lampu yang sedia malap gagal menampakkan wajahnya. Aku jadi hairan. Solat isyak sedang berlangsung di dalam surau. Perempuan itu pula dengan bertelekung masih tenang berdiri di situ?

‘Mil, baju kau gelap. Kau pergilah.’

Agak terkejut aku disapa oleh seorang rakan. Rupanya ada 3-4 orang rakan dah mencangkung duduk sebelah aku.

‘Pergi ke mana?’

‘Tu…. nampak pokok jambu tu? Kau pergilah panjat, ambil sikit. Banyak buah tu.’

Lah.. suruh rembat buah jambu. Mati mati aku ingat suruh pergi rumah kayu tu.

‘Ish tak naklah. Pakai kain je ni, susah nak panjat.’

‘Payahlah kau ni. Kita pergi cari galah kejaplah kat depan.’

Sapa seorang dari mereka dan berlalu pergi meninggalkan aku.

Rupanya, tinggal aku seorang di belakang surau. Aku pun bangun dan niatnya nak pergi ikut mereka ke depan. Apa gila nak duduk sorang gelap gelap kat belakang? Sempat aku mengerling ke rumah kayu itu.

Aku terdiam.

Apa yang aku nampak, perempuan tadi tu dah semakin hampir ke depan. Lajunya melangkah?

Aku hilang kata kata.

Perempuan itu ada cahaya kecil di atas bahu kanannya. Cahaya itu terapung! Tangannya tidak kelihatan dan masih di dalam telekung yang di pakai.

Kaki aku bagai terbenam ke tanah.

Perempuan itu sekelip mata semakin hampir ke depan. Di baris pohon sawit terpaling hadapan dengan tempat aku berdiri. Berjarak hanya dalam 5 meter. Perempuan itu tidak berjalan. Dia seperti terapung dari bumi.

Wajahnya… perempuan itu tidak berwajah!

Aku terlopong menggenggam erat tangan. Aku bersungguh cuba melihat wajahnya. Kali ni aku pasti. Perempuan itu tidak berwajah! Cahaya dibahunya juga masih kekal ada!

Perempuan itu berhenti di tempat sama. Terapung perlahan seperti ingin berselindung di balik pohon sawit disebelahnya.

‘Woi! Kau nak tinggal sini ke? Jom nak pergi kenduri pulak ni.’

Abang aku entah dari mana datangnya menyergah. Aku menoleh wajah abang aku tanpa kata. Terus dia menarik aku ke depan. Kelihatan semua rakan sudah bersiap sedia dengan basikal masing masing.

Masih bingung, aku ikut saja mereka ke rumah tidak jauh dari surau. Setelah sedikit bertenang, aku cerita pada abang aku apa yang terjadi. Abang aku terkejut. Dengan jelas dia berkata,

‘Belakang surau mana ada rumah.’

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

2 thoughts on “Perempuan Tidak Berwajah”

Leave a Comment