PERIGI TUA

Ada di sebuah pedalaman, rata-rata penduduknya masih mengamalkan kepercayaan nenek moyang mereka.

Hal mistik seperti jin belaan, dan santau menjadi perkara biasa buat mereka. Ada di antara mereka handal dalam ilmu perdukunan.

Jadi tidak hairan jika ramai yang mengunjungi kampung tersebut untuk mendapatkan khidmat dukun samada dengan niat baik mahupun jahat.

Tapi cerita ini bukan hendak menceritakan tentang mereka, tetapi tentang seorang bujang terlajak yang bernama Damak.

Damak tinggal di hujung kampung bersama ibunya dan kerja sehari – harinya mengutip hasil hutan. Pendapatannya tidak terlalu lumayan tetapi cukup untul menyara hidup mereka.

Di kampungnya, Damak terkenal kerana dirinya yang agak lurus bendul. Jadi dia sering menjadi bahan lawak oleh penduduk kampung terutama sekali pemuda yang sebaya dengannya.

Damak bukan tidak teringin untuk menikah, tetapi tiada yang sudi menerimanya sebagai suami lantaran dirinya yang lurus bendul itu.

Di lubuk hatinya membuak-buak rasa cemburu apabila melihat pemuda sebayanya semuanya telah berkahwin dan mempunyai anak. Tinggal dia sendiri yang belum menikah.

Pada suatu petang, Damak ke warung kopi untuk melepak. Kebetulan ketika dia tiba, orang telah ramai di sana.

Setelah memesan secawan kopi, Damak duduk di sebuah bangku lalu menggulung rokok daunnya. Setelah itu dia membakar rokok tersebut lalu disedut asapnya.

Fuhhhh…..

Asap berbentuk ‘o’ terbang keluar dari mulut Damak. Dia tersenyum. Berjaya juga dia membuat asap ‘o’. Sudah lama dia berlatih.

Sambil menghisap rokok, dia terdengar perbualan rakan sekampungnya mengenai sebuah perigi tua di hutan larangan.

Memang sebelum ini dia pernah mendengar tentang hutan larangan tersebut. Tiada sesiapa dibenarkan masuk ke kawasan hutan larangan tersebut.

Jika ada yang ingkar, maka malapetaka akan menimpa. Sebelum ini, Damak pernah mencuba untuk ke sana tetapi terhalang oleh tali yang diikat yang menjadi tanda larangan untuk masuk ke kawasan tersebut.

Damak memasang telinga untuk mendengar lebih lanjut perbualan tentang perigi tua di hutan larangan tersebut.

Salah seorang mengatakan penunggu perigi tua tersebut akan menunaikan apa sahaja permintaan jika berjaya sampai ke sana.

Damak mendapat buah fikiran. Dia berminat untuk ke sana jika benar bagai yang dikata. Ada sesuatu yang ingin dia pinta dari penunggu perigi tua tersebut.

Setelah menghabiskan kopinya, Damak membayar lalu beransur pulang. Kakinya melangkah dengan satu tekad.

“Esok aku akan ke hutan larangan tersebut.”

“Akan aku temui penunggu perigi tua itu supaya permintaanku dikabulkan.” Damak berbisik di dalam hati.

Maka keesokan harinya, Damak meneruskan niatnya tersebut tanpa memaklumkan pada ibunya terlebih dahulu. Dia sedia maklum, ibunya pasti melarang.

Sampai sahaja dia di sempadan kampungnya dengan hutan larangan tersebut, dia mencari jalan lain kerana jalan untuk masuk ke hutan tersebut telah ditutup.

Kelihatan beberapa dulang pulut kuning dan ayam panggang di bawah sebuah pokok tua. Dia mendekati pokok tersebut dan mendapati makanan tersebut masih elok.

Bagai mengantuk disorongkan bantal, kebetulan dia belum bersarapan. Damak melahap semua pulut kuning dan ayam panggang tersebut.

Setelah licin semua dibedalnya, dia meneruskan perjalanan. Pokok-pokok renek dicantasnya bagi membuka laluan untuknya.

Tidak begitu sukar baginya masuk ke hutan tersebut memandangkan dia sudah terbiasa dengan hutan. Sejak kanak-kanak lagi dia sudah mula masuk ke hutan mencari rotan.

Setelah separuh hari meneroka hutan larangan tersebut, dia berehat di sebuag perdu pokok lalu terlena.

Damak dikejutkan dengan bunyi seakan orang berjalan. Semakin lama semakin dekat. Mengikut kiraannya, lebih daripada seorang malahan mungkin puluhan.

Dia bingkas bangun lalu berlari bagi mengelak daripada berjumpa dengan orang-orang tersebut. Bimbang juga akan keselamatan dirinya kerana hutan larangan tersebut terkenal dengan jin yang ganas.

Ketika dia sedang berusaha untuk melarikan diri, tidak semena-mena muncul satu perigi tua di hadapannya. Tanpa membuang masa dia menyeru penunggu perigi tua tersebut.

“Wahai penuggu, menjelmalah dikau dihadapanku.”

“Aku ada suatu permintaan untuk kau tunaikan, bantulah aku.”

“Akan aku terima segala syaratnya.”

Makan keluarlah asap berkepul-kepul dari perigi tua tersebut. Damak tidak dapat melihat dengan jelas rupa penunggu perigi tua tersebut tetapi penunggu itu berkata…

“Katakanlah apa permintaanmu wahai manusia, akan aku tunaikan.” Ujar penunggu gua tersebut.

Errr..

Err….

Suara Damak tersekat-sekat. Jantungnya berdebar-debar tetapi demi hajatnya yang satu itu, dia memberanikan diri.

“Aku ingin menikah.”

Tidak dapat anak dara, janda muda ataupun janda berhias pun jadilah. ” Damak menyatakan permintaannya.

” Ha, ha, ha.” Penunggu tersebut ketawa.

” Baiklah, akan aku tunaikan permintaanmu. “

” Kau pulanglah. “

” Apabila kau bangkit dari tidur pagi esok, pasanganmu sudah ada di sisimu. ” Ujar penunggu perigi tua tersebut.

Damak lalu melangkah pulang dengan hati yang riang gembira. Dia tiba di rumah di waktu senja. Setelah membersihkan diri, dia makan malam dengan begitu berselera sehingga membuat ibunya kehairanan.

Malam itu Damak tidak dapat tidur. Dia begitu teruja menanti hari esok. Tetapi syarat yang dikenakan oleh penunggu perigi tua tersebut adalah dia perlu tidur terlebih dahulu sebelum pagi menjelang.

Akhirnya Damak terlena jua. Kokokan ayam tanda hari sudah siang mengejutkan Damak dari tidurnya. Dia bingkas bangun dengan begitu teruja lalu menoleh ke sisinya.

“Abang…..”

Satu suara menyapanya. Dia terkejut. Apa yang dia lihat bukan anak dara, bukan juga janda muda. Janda berhias juga bukan.

Tetapi pontianak berwajah pucat yang sedang menggendong seorang bayi. Sempat dia melihat wajah bayi tersebut. Bayi itu ketawa. Pontianak juga turut ketawa.

Damak tidak dapat mengendalikan dirinya lagi, dia jatuh pengsan serta merta. Dia tidak sedarkan diri selama tiga hari.

Aduhai kesian Damak kena prank dengan si penunggu perigi tua. Damak²

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 6 Average: 2.5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.