Perjalanan Ke Johor Bahru Pada Waktu Malam

LEBUHRAYA

Pernah tak, ketika kau sedang memandu pada waktu malam, kau terlihat di bahu jalan jauh di hadapan sama-samar sesusuk tubuh putih sedang berdiri tegak, memerhati, menantikan kau melewatinya?

Tapi, apabila kau lewati lembaga itu, kau hembus nafas lega. Rupanya, lembaga yang kau sangkakan sesusuk tubuh tadi cumalah sehelai kanvas yang tersangkut pada tiang lampu jalan.

Sama juga halnya apabila kau tiba-tiba terjaga di tengah malam dan hampir sahaja jantung kau gugur bila kau ternampak satu susuk hitam tinggi sedang berdiri di hadapan almari baju kau. Kemudian kau tersenyum sendiri bila kau dapati susuk yang hampir merenggut jantung kau tadi rupanya hanyalah jubah yang kau gantungkan pada pintu almari itu siang tadi.

Kau pun tidur semula.

Tapi, soalannya adalah; pernah tak kau menoleh untuk melihat semula kanvas itu tadi? Atau, pernah tak kau kekal berjaga untuk memerhati jubah yang tersangkut itu?

Masihkah kanvas itu sekadar kanvas bila kau berpaling? Adakah jubah itu kekal sebagai jubah sehingga pagi?

Pentingkah untuk berbuat begitu? Itu terpulang kepada rasa hati kau. Kalau betul kau mahu jawapan dari aku, jawapan aku adalah; tidak. Tak penting. Malah, jikalau layak pendapat aku ini dijadikan panduan, nasihat aku adalah; jangan!

Selepas kau hembuskan nafas lega, lupakanlah. Teruskan saja memandu atau tidur. Jangan diperhati. Jangan dicari semula. Jangan.

Apa yang berlaku pada diriku ini aku anggapkan sebagai pengajaran.

Kisahnya bermula ketika aku sedang memandu deras menyusuri Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Johor Bahru. Lebuhraya – tempat yang sebenarnya tidak patut dilalui oleh manusia. Kebanyakan lebuhraya di Malaysia ini berasal dari tanah hutan. Tanah hutan tanah keras. Keras kerana kawalan-kawalan penghuni hutan yang bukan haiwan. Keras atas termeterainya perjanjian-perjanjian luar alam nyata. Keras dihuni makhluk-makhluk gagah perkasa. Asalnya, ia bukan laluan manusia. Cerita-ceritanya juga tidak perlu menurut logik akal seorang manusia. Jangan pula kita sombong merungut sedangkan kita cuma menumpang di atas laluan itu. Dengan izin tuhan yang lebih berkuasa dari yang lainnya.

Ketika aku menjeling jam di sebelah meter, waktu menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam. Malam itu malam Rabu. Memang tak banyak kenderaan yang melalui jalan itu. Kebanyakannya cuma lori-lori besar yang kelindannya sedang nyenyak tidur tidak menemani pemandu. Mataku juga terasa berat untuk terus celik. Aku perlu berhenti di RnR paling hampir. Papan tanda menunjukkan perhentian yang paling hampir denganku pada waktu itu adalah RnR Pagoh. Lima kilometer lagi. Aku cubit pahaku sendiri untuk kekal berjaga.

Sampai di perhentian itu, aku keluar dari kereta lalu membakar sebatang rokok. Sambil aku bersandar pada kereta, mataku ralit membaca mesej-mesej Whatsapp group yang topik utamanya sudah jauh meninggalkan aku. Yang sempat aku baca cuma komen-komen susulan yang sudah terkeluar dari tajuk asal. Malas untuk mencari semula topiknya, aku simpan semula telefon bimbitku dalam kocek seluar. Tiba-tiba…

Skreeeeeeee…….BAMM!

Hampir sahaja aku melompat di situ. Mataku melilau ke arah lebuhraya. Sebuah lori besar telah merempuh sebuah kereta Perodua Kancil. Kepala lori itu berpusing ke arah berlawanan. Kedua-duanya terhenti di tengah-tengah jalan. Dek melayankan sifat ingin tahuku, aku berjalan laju ke arah lebuhraya. Mataku terbeliak memandang sebuah kereta Kancil yang sudah terperosok di bawah lori besar itu. Bahagian belakangnya boleh dikatakan sudah hampir leper. Mungkin remuk dihimpap tayar lori itu. Bahagian hadapan kereta itu terkeluar dari bawah lori menampakkan si pemandu lelaki yang aku begitu pasti sudah tidak lagi bernyawa.

Di sebelahnya pula tersandar kaku tubuh seorang wanita. Aku hampir terjeluak melihat keadaan kepala kedua-duanya yang telah hancur, merah, tidak lagi berbentuk. Ianya menjelaskan punca dua retakan besar pada cermin hadapan kereta itu. Wajahku aku rasakan seperti tiada d***h lagi. Tanganku sejuk menggeletar. Di kiri dan kananku datang beberapa orang lelaki. Separuhnya mengeluarkan telefon bimbit masing-masing. Ada yang cuba untuk menghubungi sesiapa sahaja yang patut dihubungi dalam keadaan seperti itu. Ada juga yang hanya sekadar mengambil gambar.

Sesaat kemudian, pintu lori besar itu dibuka dari dalam. Seorang lelaki pertengahan umur melangkah turun dari kepala lori itu. Wajahnya pucat sepucatnya. Bagaikan dinding yang dicat tidak kemas. Melihatkan keadaan kereta itu, lelaki itu terjelepok jatuh melutut. Seorang lelaki muda keluar menyusuli lelaki tadi. Wajahnya seperti baru terjaga dari tidur. Namun, pucatnya sama seperti lelaki tadi. Dia menarik lelaki pertengahan umur tadi bangun. Kotak suaraku seakan-akan tidak berfungsi. Mataku masih terpaku merenung dua tubuh kaku yang masih berada di dalam kereta tadi. Akalku tidak mampu menerima apa yang dilihat oleh mataku, namun pada masa yang sama mataku bagaikan tidak puas menatap dua tubuh tidak bernyawa itu. Seakan-akan mahu meneka bagaimana agaknya rupa wajah kedua-duanya sebelum kejadian itu berlaku.

Aku pejamkan mata cuba untuk mewarasi semula akalku. Perlahan-lahan aku mengalihkan pandanganku. Berjalan perlahan-lahan menuju ke arah keretaku semula. Bukan dalam senarai pengalamanku mengurusan perkara sebegitu. Biarlah aku sedekahkan al-fatihah kepada kedua-duanya dari dalam kereta sahaja. Aku hidupkan enjin kereta dan pasangkan pendingin hawa. Aku terasa titis-titis peluh sejuk mula mengalir di atas dahiku. Aku mulakan bacaan al-fatihahku dengan nama Allah dan aku akhirinya dengan memanjatkan beberapa k***t doa untuk dua insan malang itu.

Sepuluh minit kemudian, selepas melihat beberapa kenderaan peronda lebuhraya PLUS dan polis sampai, aku buat keputusan untuk beredar meninggalkan perhentian itu. Mataku segar sesegarnya ketika aku mulakan semula perjalanan. Namun, fokusku masih pada ingatanku terhadap apa yang terjadi tadi. Imej kedua-dua tubuh kaku itu serta bau hanyirnya bagaikan terpahat di dalam minda.

Aku pandu seperlahan yang boleh. Tanganku masih menggeletar mengganti gear. Jam menunjukkan pukul 12:45 tengah malam. Mataku jauh memandang jalan di hadapan yang aku rasakan seperti tiada penghujungnya. Dalam keadaan sebegitu, deriaku masih tetap peka dengan keadaan sekeliling. Matlamatku malam itu cuma satu; sampai ke Johor Bahru dengan selamat. Aku fokuskan segala perhatian yang mampu aku beri untuk penuhi matlamat itu. Aku cuba yakinkan diriku sendiri bahawa apa berlaku tadi tidak ada kaitan denganku. Bukan tanggungjawab aku. Namun, entah kenapa, perasaan bersalah yang aku rasakan ketika melangkah masuk ke dalam kereta tadi menjadi semakin besar, mempengaruhi pemikiranku. Perlahan-lahan aku rasakan air mataku mengalir membasahi pipi.

Perlahan-lahan aku memberhentikan keretaku di bahu kiri jalan. Aku tak mampu untuk terus memandu. Emosiku berasa sedikit terganggu. Beberapa buah kereta dan sebiji lori melintasi keretaku. Aku menjeling ke arah penanda kilometer jalan. KM 93.5. Cuma beberapa puluh kilometer sahaja lagi sebelum plaza tol Kempas. Aku pejamkan mata dan menarik nafas dalam-dalam. Aku capai tombol radio memilih-milih siaran. Tiba-tiba dari ekor mataku aku terlihat pergerakan dari seberang jalan. Seakan-akan melambai ke arahku cuba untuk mendapatkan perhatian. Cepat-cepat aku menoleh ke arah itu. Rupa-rupanya cuma lambaian sehelai kain merah besar yang mungkin tersangkut pada tiang arah. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Kenapa aku rasa paranoid? Bagaikan ada sesuatu yang memerhati setiap gerakku. Aku terus memusing-musing tombol radio itu tadi. Sekali lagi ekor mataku terlihat sesuatu melambai-lambaiku dari seberang jalan. Namun, kali ini aku tidak menoleh. Emosiku cuba untuk mempermainkan aku. Itu cuma kain merah tadi.

Setelah beberapa saat tanpa hasil mencuba untuk mencari siaran, aku padamkan sahaja radio itu. Aku sandarkan kepalaku menghadap ke hadapan. Aku cuba untuk tidak mengendahkan kibaran perlahan kain merah besar di seberang jalan itu. Aku pejamkan mataku semula. Samar-samar semua memori hari itu bermain semula di dalam mindaku. Bagaimana aku berasa sungguh teruja apabila pertama kali aku diberi tugasan luar dari Kuala Lumpur. Aku dengar bandar JB banyak kedai makan menarik. Bangunan-bangunannya pun cantik. Peninggalan zaman kolonial. Aku takkan sia-siakan pengalaman pertamaku sampai ke Johor Bahru hanya disebabkan kejadian yang langsung tidak ada kaitannya denganku tadi. Semangatku terasa kembali semula memanaskan sendi-sendi dan urat.

Aku teruskan pemanduan tanpa menjeling cermin belakang mahupun tepi. Mulutku mengikut perlahan nyanyian Zamani yang mendayu-dayu keluar dari corong speaker. Dalam kegelapan jalan lebuhraya dua lorong di hadapanku, sekali lagi aku terlihat sesuatu melambai-lambai di bawah tiang lampu jalan yang menyinar malap. Dadaku terasa disergap kesejukan tiba-tiba. Tanganku tetap pada stereng kereta. Apa aku nak nampak, nampaklah. Aku perlu teruskan perjalanan. Semakin lama keretaku semakin hampir dengan tiang lampu itu. Semakin lama penglihatanku menjadi semakin jelas. Aku hembuskan nafas lega buat kedua kalinya malam itu. Lagi sekali aku ditakutkan oleh lambaian kain yang tersangkut pada tiang. Kalaulah aku ceritakan pada orang lain, tentu aku diketawakan. Takut kerana dilambai oleh kain merah. Dua kali pula tu. Kain merah. Kain merah?

Aku berpaling melihat semula kain itu dari cermin sisi. Alangkah tersentaknya jantungku bila aku lihat kain merah yang besar tadi bertukar menjadi susuk seorang lelaki dengan kepala yang sudah hancur. Melambai-lambai perlahan ke arahku. Seakan-akan lemah, memohon bantuan. Aku pijak pedal minyak sekuat mungkin. Enjin keretaku mengaum bagaikan dipaksa. Pandangan kiri dan kananku menjadi kabur. Aku tumpukan sepenuh perhatian pada jalan di hadapan. Mengharapkan akan ternampak cahaya lampu kereta lain. Namun, selama beberapa minit memecut laju, keretaku langsung tidak berselisih dengan kenderaan lain. Semakin aku laju, semakin gelap jalan di hadapanku. Seakan-akan cahaya tidak dapat mengejar kelajuan keretaku. Ini adalah mustahil! Jauh beberapa puluh meter di hadapanku aku terlihat sebuah dinding batu besar menghalang jalan. Macam mana boleh ada dinding batu sebesar ini di tengah-tengah lebuhraya!? Hanya beberapa meter sahaja lagi sebelum keretaku menghentam dinding di hadapanku itu. Kaki aku seakan-akan tidak bersetuju dengan fikiranku yang sedaya upaya cuba menekan pedal brek. Tiba-tiba…

VHOONNN!!!

Bunyi kuat hon lori mengejutkan aku dari lena. Aku tersentak terjaga. Aku terlihat lori yang membunyikan hon tadi menderu laju meninggalkan aku.

“Apa main hon-hon ni?”, Getus hatiku sedikit marah.

Aku jeling ke arah jam di sebelah meter kelajuan menunjukkan pukul 2:50 pagi. Aku tidak pasti aku berada di mana atau bila aku tertidur. Di hadapanku, aku terlihat sebatang tanda kilometer jalan. KM 93.5. Ya Allah. Aku tertidur di sini rupanya. Aku tersenyum menggeleng-gelengkan kepala. Aku perlu teruskan perjalanan. Aku perlu berada di Johor Bahru secepat yang mungkin. Cari hotel yang dah ditempah oleh pihak syarikat, daftar masuk dan tidur selama mana yang boleh sebelum bertolak ke mesyuarat bersama wakil pelanggan pada jam 11:00 pagi nanti.

Tubuhku terasa lebih segar berbanding tadi. Aku membetul-betulkan cermin pandang belakang kereta dan menjeling ke arah kanan untuk masuk perlahan-lahan ke lorong memandu. Tiba-tiba aku merasakan seperti ada sesuatu yang bergerak-gerak dari ekor mataku. Aku menoleh. Jauh di seberang jalan aku terlihat kain merah tadi. Berkibar-kibar besar melambai-lambai. Memanggil-manggil tidak bersuara. Seakan bertanyakan sesuatu kepadaku. Bertanyakan bagaimana aku sanggup pergi meninggalkan dia di bawah lori tadi. Semakin lama aku merenung kain itu, semakin aku merasakan bagai ada seseorang di dalam kain itu. Kain yang merah dibasahi d***h itu. Meronta. Bagaikan menahan sakit yang tidak terperi.

Aku memecut laju. Selaju yang mungkin. Yang tercapai oleh akal dan keretaku itu.

Aku sampai di bandar Johor Bahru dengan selamat pada pukul 4:02 pagi. Jantungku masih tidak menentu degupannya. Dengan tangan yang sejuk aku tekapkan pada wajahku, menyuarakan kesyukuranku kepada Allah yang melindungi aku malam itu. Rasa bersalahku masih terasa sehingga kini. Walaupun bila difikirkan semula, terdapat lebih dari seorang yang mengeluarkan telefon bimbit untuk menghubungi pihak yang berkenaan. Juga aku lihat dengan mataku sendiri, kenderaan-kenderaan peronda PLUS dan polis tiba di tempat kejadian. Mungkin yang menggangguku cuma rasa bersalahku sendiri. Mungkin yang menggangguku cuma sifat kemanusiaanku yang berasa runtun melihatkan dua orang insan biasa terkorban. Mungkin juga yang menggangguku adalah sifatku sendiri yang enggan menerima kenyataan bahawa itu cuma sekadar kain merah dan tiada siapa yang berselindung di bawah kain itu.

Atau mungkinkah aku benar-benar diganggu oleh penghuni lebuhraya?

-Tamat-

*Terima kasih admin FS yang telah banyak menyiarkan cerita saya. Jasa baik tuan/puan amatlah saya hargai.

**Terima kasih juga kepada yang sudi membaca. Sokongan anda menjadi penguat semangat saya.

Ahmad Rusydi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

22 thoughts on “Perjalanan Ke Johor Bahru Pada Waktu Malam”

  1. Buat karangan spm ke dik?
    Kalau tak bab2 mengarut tu rasanya seram juga kot. Tapi sebab ko jaga sangat tatabahasa, jaga sangat imbuhan me -kan ko semua tu dah jadi skema lak story ko

    Reply
  2. kata padam radio tpi bley lak ikot nyanyian Zamani yg kluar kat corong speaker….ko pasang CD ke hape…kasi clear lerrr

    Reply
  3. ahh persetankan komen yang lain. pada aku cerita kau bagus sekali. susunan ayat dan penceritaan juga bagus.. ini pandangan aku sebagai seorang penulis majalah..
    tataaaa

    Reply
  4. Ah bila guna bahasa rojak bising. Guna bahasa yg betul pun bising. Kalau tak puas hati pegi la buat cerita sendiri. Bising lebih pun tak guna

    Reply
  5. Boring muntah dan serabut dgn aktiviti kau plus pemikiran kau yg nak kena citer detail 24 jam. Pastu dah ada terbelit belit dah ceritanya.. Mcm org tua yg harap “jikalai berjaya kisah ku ini, akan ku bawa ke peringkat novel pula”. G mamp..

    Reply
  6. Baguslah jaga tatabahasa! Takkan Nk rosakkn bahasa?? Ape punya komen tah. Org yg jg keindahan bahasa sng sikit tp yg tukang rosakkan bahasa melambak..any way pedulikan komen kt atas tu. bahasa penceritaan bagus! Cuma sedikit meleret dn terdpt beberapa pengulangan. Praktis lg. Keep up the good work!

    Reply
  7. Cerita best.xpnh bc sblm ni sb baru foli fs ni.cara cerita tu terasa mcm ikut sama lalui pngalaman tu.subjektif.pd sy ok jer ni.thks ?

    Reply
  8. Peduli apa bahasa skema atau tak. Janji paham jalan ceritanya. Ingat bahasa skema tak mampu nak hiburkan orang? Habis yg ramai dok baca novel2 kat pasaran tu, tak ke bahasa yg agak skema digunakan? Terhibur je yg membacanya. Siap boleh buat adaptasi utk drama kat tv lagi!
    Apapun, tabik utk si tukang cerita sebab memartabatkan bahasa Melayu. Bab yg kata tak best la, tak clear la aku taknak ambil peduli. Janji paham ceritanya.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.