CERPEN SERAM – PESUGIHAN
Suasana di persekitaran Hospital Kemalir semakin suram ditelan kegelapan malam. Di kawasan wad hospital juga semakin sunyi kerana kebanyakkan penghuninya sedang berehat.
“Abang, macam mana boleh kemalangan. Nak hantar orang sakit dengan abang sekali masuk hospital ni.” Lijah duduk di kerusi bersebelahan katil yang menempatkan Pak Abbas. Sebelah kaki Pak Abbas terangkat tinggi dan beberapa cucuk beli kelihatan menembusi betis kakinya.
“Entahlah, masa dalam perjalanan tadi. Tiba-tiba saja abang rasa macam nak pitam. Sedar-sedar saja kereta abang dah ada dalam longkang.” Pak Abbas mengeluh kecil.
“Macam-macamlah abang ni. Lijah tak dapat temankan abang malam ni. Esok Lijah nak berniaga seperti biasa.” Jawab Lijah seperti acuh tidak acuh saja.
“Suka hati kamulah.” Pak Abbas cuba untuk mengambil botol minuman di sebelah katilnya. Pergerakannya sedikit payah, Lijah hanya memerhati tanpa niat untuk membantu.
“Kamu jangan lupa buat apa yang abang pesan tadi. Semua benda tu ada dekat kedai.” Pak Abbas memberikan arahan dengan tegas.
“Saya tahulah bang. Abang tu jangan macam-macam dekat hospital ni. Saya balik dulu.” Lijah segera bangkit dan berlalu tanpa memandang lagi ke belakang. Pak Abbas hanya memerhati, kepalanya menggeleng perlahan-lahan. Ada riak hampa di wajahnya. Ketika kelibat Lijah semakin menghilang, Pak Abbas terperasan sesuatu. Tidak jauh dari pintu masuk wad kelihatan kelibat berbungkus kain putih merenung tajam ke arah Pak Abbas. Kelibat itu tidak bergerak. Tetapi renungannya langsung tidak beralih dari memandang ke arah Pak Abbas buat beberapa ketika. Rintik peluh dingin mulai kelihatan di wajah Pak Abbas.
“Pergi!” Jerit Pak Abbas secara tiba-tiba.
“Pak cik, kenapa menjerit ni? Pak cik perlukan apa-apa ke?” Tanya seorang nurse bertugas sambil berjalan menghampiri katil Pak Abbas.
Pak Abbas masih menutup matanya dengan kedua belah tangan. Tubuhnya kelihatan menggigil.
“Pak cik kenapa ni? Boleh saya bantu?” Suara lembut nurse itu jelas kedengaran sedikit cemas.
Pak Abbas hanya mendiamkan diri. Ketika itu, di kulit lengannya terasa adanya lendiran menitik. Pak Abbas segera memandang lengannya.
‘Lendir apa pula ni?’ Riak wajah Pak Abbas serta merta berubah. Lendir berwarna hitam itu cukup dia kenali.
“Pak cik, kenapa ni?” Suara nurse masih kedengaran.
“Pergi! Jangan ganggu aku!” Jerit Pak Abbas.
************************************************
“Kenapa pak cik tu Watie? Lain macam aje. Terjerit-jerit, lepas tu tiba-tiba diam pula.” Tegur Izan sejurus rakan sekerja itu menghampiri kaunter.
“Entahlah wei. Aku pun tak faham. Aku punyalah tanya baik-baik. Bukannya nak hargai, dihalaunya aku. Tapikan aku peliklah. Masa aku dekat dengan pak cik tu tadi ada bau yang kurang enak.” Watie berpaling memandang ke arah Pak Abbas yang berbaring dengan berselubung penuh menutupi sekujur tubuhnya.
“Maksud kau? Bau macam mana?” Tanya Izan menginginkan kepastian.
“Entahlah Izan. Kalau aku cakap nanti bimbang kau takut pula.” Jawab Watie.
“Kau ni lain macam aje. Kau buat aku seramlah wei.” Riak wajahnya sedikit cuak.
“Aku bukan nak takutkan kau. Tapi memang ada bau pelik masa aku dekat dengan pak cik tu.” Watie menulis sesuatu pada borang di hadapannya. lewat malam itu hanya mereka berdua ditugaskan menjaga wad tersebut memandangnya jumlah pesakit yang tidak terlalu ramai.
“Wei bau apa ni? Tiba-tiba aje. Macam bau mayat reput pun ada.” Celupar Izan menegur.
“Yang mulut kau lancang sangat ni kenapa.” Watie kelihatan cemas. Dia memandang ke arah sekitar wad sebelum pandangannya tertumpu kepada Pak Abbas yang kelihatan bergerak-gerak di atas katilnya. Secara tiba-tiba tubuh Pak Abbas duduk berlunjur. Pandangannya tepat memandang ke arah Watie dan Izan. Riak wajahnya membengis.
“Arghhh!” Ruangan wad itu bergema dengan suara jeritan histeri kedua-dua nurse bertugas. Suasana sedikit kelam kabut. Beberapa orang nurse dan petugas lelaki kelihatan berkejaran ke wad tersebut. Tanpa di sedari sesiapa. Di ruang siar kaki lima menuju ke arah wad tersebut, kelibat berbungkus sedang berdiri memerhati kekecohan yang berlaku. Perlahan-lahan kelibat itu menghilang disertai dengan lolongan anjing yang tidak diketahui dari mana puncanya.
************************************************
Suasana semakin sepi dihimpit dengan kegelapan malam. Embun juga mulai menitik. Deretan rumah kedai yang sibuk siangnya mulai kaku tanpa adanya sebarang aktiviti. Di satu sudut kelihatan kelibat seseorang sedang berdiri di bahagian belakang salah satu unit rumah kedai. Asap kelihatan berkepul-kepul mencemari ruang udara. Kelibat itu menunduk seperti sedang meletakkan sesuatu di atas tanah. Angin menderu secara tiba-tiba, bauan hanyir mulai terhidu oleh deria.
“Aku jamu kau malam ni. Jangan kau ganggu tuan kau.” Suara lembut wanita itu jelas kedengaran seperti bercakap dengan seseorang.
Secara tiba-tiba, pinggan yang terletak di atas tanah terlungkup serta pecah berberai dengan serta merta. Dupa bara yang dibakar juga pecah menyebabkan bara berselerakan di atas tanah.
“Aduh! Panas. Sial! Apa yang kau tak puas hati?” Jerkah wanita itu garang. Ketika itu kelibat berbungkus perlahan-lahan muncul di hadapan wanita itu. Wajahnya yang sopak di beberapa bahagian dan berwarna hitam legam serta merta membuatkan wanita itu terjatuh ke belakang akibat terlalu terkejut.
“Masyallah! Apa semua ni Lijah? Tergamak kamu lakukan semua ni? Mengucap Lijah. Semua ni syirik!” Jerkahan suara seorang lelaki kedengaran tidak jauh dari situ. Bunyi tapak kaki melangkah menghampiri. Wanita itu segera bangun dan berlari meninggalkan tempat tersebut.
“Lijah tunggu! Masyallah.”
************************************************
Ting! Ting! Ting! Bunyi besi berlaga menyebabkan suasana wad yang tadinya tenang dan damai mulai tercemar. Nurse bertugas kelihatan sedang sibuk menguruskan sesuatu di kaunter. Jam sudah pun melewati 2.30 pagi.
“Apa benda yang bising ni. Kacau betullah orang nak tidur.” Rengus lelaki itu sambil bangun dari pembaringannya. Kakinya yang masih berdenyut sakit tidak dihiraukan. Suasana wad sunyi sepi dan kelam. Bunyian yang didengarinya tadi tidak kedengaran lagi. Lelaki itu kembali berbaring. Dengusannya kedengaran. Selimut yang dipakai menutupi keseluruhan wajah.
Ting! Ting! Ting! Bunyi itu kedengaran semula.
“Bisinglah!” Marah lelaki itu sambil bangun kembali dari pembaringannya. Seperti tadi suasana wad masih sama. Sunyi dan suram.
“Bodoh betullah. Tak fikir agaknya orang nak tidur.” Seranah lelaki itu, hatinya mulai memanas dengan lahar kemarahan. Buat seketika lelaki itu menunggu dan mengawasi. Tetapi hanya sia-sia, bunyi yang didengarinya tidak kunjung tiba. Lelaki tu kembali berbaring. Selimut kembali menutupi sekujur tubuhnya. Kepalanya juga ditutup dengan lebaran selimut putih itu. Buat seketika bunyi itu tidak kedengaran lagi. Lelaki itu cuba menjemput lenanya.
Secara tiba-tiba, selimut yang menutupi tubuhnya terasa bergerak-gerak. Bahagian kepalanya seperti dijerut sesuatu. Balutan selimut itu perlahan-lahan mengetat.
“Woi! Apa ni? Sial!” Lelaki itu cuba meronta. Tetapi jerutan kain selimut itu semakin ketat dan kuat.
“Lepaslah sial. Apa yang kau nak sebenarnya?” Jerkah lelaki itu dengan kuat. Nafasnya terasa sesak. Jerutan pada bahagian atas kepalanya terasa semakin ketat, begitu juga di bahagian pinggang dan kakinya. Tubuhnya benar-benar terperangkap dalam lembaran selimut putih itu.
“Tolong! Tolong!” Jerit lelaki itu. Tetapi hanya sia-sia. Nurse yang bertugas di kaunter seperti tidak menyedari apa yang sedang berlaku.
“Sakitlah sial. Lepaskan aku!” Marah lelaki itu lagi. Jerutan pada sekujur tubuhnya semakin mengetat sehingga dirasakan tulang rusuknya mulai bergerak hampir bertemu antara keduanya. Bunyi tulang temulang patah mulai kedengaran satu persatu.
“Arghhh!” Jerit lelaki itu kepuncak suara sebelum terdiam seketika kemudian. Tubuhnya yang bergerak-gerak sebentar tadi mulai perlahan-lahan longlai.
“Hehehe…” Secara tiba-tiba muncul kelibat dari sudut gelap di dalam wad itu. Kelibat itu merenung seketika ke arah lelaki yang telah kaku berbungkus di dalam selimutnya. Wajahnya menyeringai. Lelehan liur berwarna hitam kelihatan menitis membasahi lantai marmar putih. Perlahan-lahan kelibat itu melompat menuju ke pintu keluar wad. Wajahnya yang hitam legam membengis.
“Sofie, kau bau tak apa yang aku bau sekarang ni?” Lelaki berseragam putih itu mendekati rakannya. Riak wajah ketakutan jelas kelihatan.
“Jangan tegurlah” Balasnya rakannya.
“Eh! Man kau tengok pak cik tu? Lain macam je aku tengok cara dia tidur?”
“Arghhh! Pocong!”
************************************************
Imbas kembali…
“Kau betul sanggup terima? Aku nak ingatkan kalau benda ni tak dijaga betul-betul sesuai dengan kehendaknya, nyawa kau galang gantinya tau.” Suara garau lelaki itu kedengaran tegas. Bibirnya yang berbirat langsung tidak terukir senyuman.
“Saya sanggup tok. Asalkan bisnes saya berjalan seperti biasa.” Balas lelaki itu.
“Tapi tindakan kau ni pelik. Kenapa kau hantar pelaris ke kedai musuh kau tu? Seeloknya kau pakai pelaris ni di kedai kau.” Lelaki itu sedang sibuk mengasapkan sesuatu di atas dupa baranya.
“Saya sengaja tok buat macam tu. Zaman sekarang ni semua orang suka viralkan sesuatu isu tanpa usul periksa. Nanti pandai-pandailah saya sebarkan cerita pasal kedai tu.” Lelaki itu tersenyum membayangkan kejayaan rancangannya.
“Pelik. Tapi terpulanglah. Aku cuma nak ingatkan sekali lagi. Jangan kau sesekali lupa untuk sediakan sesajen untuk ‘dia’ pada setiap malam. Hanya kau! Jangan sesekali orang lain yang lakukan. Ingat tu.” Tegas lelaki itu berkata sambil menyerahkan botol kecil kepada lelaki di hadapannya.
“Faham tok. Apa yang saya nak buat dengan botol ni.” Tanya lelaki itu kembali.
“Kau siram saja pada kaki lima kedai tu. Nanti pelaris ni akan kekal di sana sampailah kau memanggilnya untuk kembali.” Terang lelaki itu.
“Baik tok. Terima kasih. Ni ada bahagian untuk tok.” Lelaki itu kelihatan teruja menyerahkan bungkusan. Matanya tidak lepas memandang botol kecil di tangannya. Botol jernih itu kelihatan keruh dengan kandungan yang tidak diketahuinya.
“Aku akan pastikan bisnes kau lingkup Rosman!”
************************************************
Salam… itu saja cerpen pesugihan kali ni. Bagi yang tertanya-tanya pesugihan ni apa sebenarnya, mari abam terangkan. Pesugihan ni sebenarnya bahasa jawa, kalau di Indonesia Pesugihan ini merujuk ilmu untuk kekayaan dalam perniagaan atau lebih dikenali sebagai ilmu pelaris di Negara kita. Lama dah rasanya abam tak menulis cerpen di dalam pages abam ni. Maaf semua. Tetapi entah kenapa memang sejak akhir-akhir ni mood menulis abam tumpul betul. Nak menghabiskan cerita pesugihan ni pun abam memakan masa hampir seminggu lebih. Setiap kali menulis untuk mendapatkan 100 patah perkataan pun terasa payah benar. Hahaha… harap semua berpuashati dengan penulisan kali ini. Doakan abam sentiasa sihat dan diberikan ilham dan mood menulis setajam pisau. Hahaha… Assalamualaikum semua.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Terima kasih kerana dapat meluangkan masa menulis kisah seram walaupun dalam keadaan yang sukar utk dihasilkan …semoga encik sembuh , disihatkan tubuh badan , sukses dan dilimpahi rezeki yg melimpah ruah…Aaamiinn.