PESUGIHAN

CERPEN SERAM – PESUGIHAN

“Macam mana ni bang… dah seminggu kedai kita kosong aje sejak kedai sebelah tu mula berniaga. Saya tengok orang tak putus-putus berkunjung ke sana. Lepas satu, satu pelanggan masuk. Masa awal-awal berniaga haritu saya tengok tak macam ni pun.” Lijah memandang wajah suaminya yang duduk di salah satu meja di ruangan kedai makannya yang kosong.

“Rezeki dialah tu. Nak buat macam mana.” Balas Pak Abbas dengan malas. Dia mengerling memandang ke arah kedai sebelah. Orang masih ramai memenuhi kedai itu walaupun jam sudah melewati waktu makan tengahari. Pak Abbas menggelengkan kepala. Sejak seminggu ni hampir setiap hari tiada pengunjung ke kedainya. Keluhan kecil kedengaran.

“Abang tak rasa semacam ke? Sebelum ni kedai kita maju aje. Masa kedai sebelah tu mula berniaga, mana ada orang sangat kedai tu. Pelanggan kita pun masih ramai seperti biasa, cuma sejak seminggu ni saya perasan lain macam aje. Badan saya pun rasa tak sedaplah bang.” Adu Lijah sampai menarik kerusi lalu duduk berhadapan dengan suaminya. Dia membuang pandang ke arah kedai sebelah buat seketika.

“Apa maksud awak?” Tanya Pak Abbas dengan nada malas. Di hatinya sudah terdetik maksud yang ingin disampaikn oleh isterinya. Tetapi entahlah, dia malas nak meneka.

“Saya rasa kedai kita ni macam kena ‘ilmu’. Entah-entah pelanggan kita semua tak nampak kedai kita ni. Alah macam yang selalu saya baca dalam majalah Mastika tu. Adalah tu orang yang nak mendengki agaknya.” Balas Lijah dengan bibirnya yang sengaja dimuncungkan. Jika keadaan perniagaan mereka berkekalan begini punahlah harapannya untuk menambah barang seurat dua emas baru. Sudahlah harga emas tengah turun sekarang ni. Hahahaha…

“Apa maksud awak sebenarnya?” Balas Pak Abbas.

“Eh! Orang tua ni dari tadi tanya ‘apa maksud awak’, ‘apa maksud awak’. Abang jangan main-main bang. Ni soal periuk nasi kita. Abang tak rasa ke kedai tu gunakan ilmu nak menjahanamkan perniagaan kita.” Balas Lijah dengan nada suara mengejek kata-kata suaminya.

“Tak baik kita menuduh, fitnah jadinya nanti. Jangan-jangan awak yang masak tak sesedap macam dulu. Sebab tu pelanggan lari.” Pak Abbas tersenyum, cuba menyembunyikan kegundahan hatinya sendiri.

“Amboi-amboi… kita pula dipersalahkan. Suka hati abanglah. Saya nasihat aje. Jangan nanti dah melingkup kedai kita ni baru abang nak menyesal. Masa tu menangis air mata d***h pun tak laku dah bang oiiii…” Lijah membalas dengan nada geram. Dia segera berlalu ke ruangan dapur. Sikap acuh tak acuh suaminya benar-benar memancing emosinya.

Pak Abbas mengeluh. Dia memandang ke arah kedai sebelah. Kata-kata isterinya satu persatu berulang di mindanya. Dalam tak sedar, kepalanya terangguk seperti mengiyakan sesuatu.

************************************************

Seminggu berlalu… Di kedai sebelah…

“Alhamdulillah ye bang. Ramai betul orang hari ni. Tak kering tangan saya sejak pagi tadi.” Asmah berdiri bersebelahan kaunter. Matanya memerhati ruangan kedainya yang masih dipenuhi dengan pelanggan.

“Itulah, syukur sangat. Masa mula-mula kita berniaga dulu tak lah macam ni. Sekarang ni Alhamdulillah.” Rosman tersenyum.

“Kalau berterusan macam ni kita kena tambah pembantu dapur bang.” Wajahnya cukup ceria kerana Asmah sudah berangan-angan deretan emas di lengannya. Hahaha…

“Bang…” Perbualan Rosman dan Asmah terganggu dengan teguran seseorang. Seorang pemuda menghampiri mereka dengan bungkusan makanan di tangannya.

“Kenapa dik?” Tanya Rosman. Wajah pemuda di hadapannya itu kelihatan tegang.

“Abang tengoklah. Saya baru saja beli lauk ni tadi. Bila sampai rumah saya buka saja bungkusan bau masam bang. Lauk ni dah basi.” Beritahu pemuda tu.

Rosman segera mengambil bungkusan dan membukanya. Bau masam serta merta menyerbu derianya. Dia membuang pandang ke arah isterinya Asmah.

“Mana mungkin basi dik, akak masa lauk ni pagi tadi. Akak tak pernah simpan lauk yang tak habis semalam. Semuanya baru di masak pagi tadi.” Balas Asmah cuba membela diri. Dia tahu renungan suaminya seolah-olah cuba untuk menyalahkan dirinya.

“Habis! Akak nak cakap saya menipu ke apa ni?” Suara pemuda itu mulai meninggi. Beberapa orang pelanggan yang duduk berhampiran mulai sedar ketegangan yang sedang berlaku.

“Sudah! Sudah… abang minta maaf ye dik. Mungkin ada salah di mana-mana. Adik ambil aje makanan lain. Tak payah bayar. Anggap saja sebagai tanda maaf dari abang ye.” Rosman segera mencelah. Dia tidak mahu perbualan itu didengari oleh pelanggan yang lain pula.

“Sudahlah bang. Tak hingin saya makan di sini lagi. Nak berniaga kena jujur bang.” Balas pemuda itu sambil berlalu pergi tanpa sempat Rosman menahan.

“Awak janganlah macam ni. Kita berniaga ni kena sabar. Sudah, awak pergi masuk ke dapur sana. Urusan di luar ni biar saya uruskan.” Arah Rosman.

Asmah berpaling dengan riak wajah masam mencuka. Mulutnya mengomel sesuatu yang tidak jelas butirnya.

************************************************

Pak Abbas membawa bahan basah yang baru dibelinya di pasar keluar dari kereta sambil diekori oleh Lijah. Pagi masih diselubungi kegelapan. Suasana sekitar juga masih sunyi. Hanya kedai sebelah sahaja yang kedengaran tengah sibuk dengan pelbagai aktiviti. Bunyi masakan ditumis, kerusi meja ditarik jelas kedengaran.

“Eh! Abang apa ni?” Langkah kaki Pak Abbas terhenti.

“Kenapa?” Tanya Pak Abbas ringkas.

“Abang tengok ni.” Lijah menunjuk ke arah sesuatu di hadapan pintu kedainya. Wajah Pak Abbas serta merta berubah. Longgokan pasir dengan colok yang masih berasap jelas berada betul-betul di hadapan pintu kedainya. Lembaran kertas bertulisan pelik juga bertebaran di sekitar kaki lima.

“Apa semua ni bang.” Lijah memegang lengan suaminya. Seram pula hati wanitanya saat itu.

“Sudah awak pergi buka pintu dulu. Bawa masuk semua barang ni. Lepas tu buatlah persiapan untuk buka kedai. Benda ni biar abang uruskan.” Pak Abbas membuat keputusan. Lijah kelihatan teragak-agak.

“Abang ni biar betul. Baik kita panggil ustaz saja bang. Abang tu susah betul nak percaya apa yang saya cakap. Kedai kita ni memang ada orang dengki.” Ucap Lijah sambil membuang pandang memandang ke kedai sebelah. Hatinya sudah menyumpah seranah.

“Sudah, biar abang uruskan. Awak pergi buat kerja awak. Takkan awak tak nak berniaga pula hari ni. Bahan mentah semua kita dah beli.” Arah Pak Abbas. Dia terus mengambil kunci dari tangan isterinya lalu pintu kedai dibuka. Barang-barang di tangannya segera di hantar ke dapur. Dia kembali semula dengan penyodok sampah dan penyapu di tangan. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.

“Degil betulah orang tua ni. Aku dah cakap suruh ikhtiar, tapi buat tak dengar aje. Ni kalau dibiarkan mahu melingkup kedai ni nanti.” Lijah membebel sambil tangannya mula sibuk dengan kerja-kerja menyediakan bahan masakan. Beberapa orang pekerja juga mulai tiba. Jam baru saja menunjuk ke angka 5 pagi saat itu.

“Mat tolong p****g ayam dulu. Tadi ramai orang, budak kedai ayam tu tak sempat p****g.” Arah Lijah kepada salah seorang pekerjanya.

“Baik kak.” Pemuda itu segera ke bahagian belakang kedai untuk menyelesaikan arahan majikannya.

Lijah menyibukkan diri dengan kerja-kerja mengemas ruangan hadapan kedai.

“Arghhh!!!” Suasana serta merta kecoh.

“Kenapa tu?” Tanya Lijah sambil berlari ke arah singki dapur. Percikan d***h kelihatan mengotori kawasan sekitar singki itu.

“Saya terkerat jari sendiri kak.” Mat memberitahu. Wajahnya mulai memucat. Jelas tangannya yang berlumuran d***h bergetar menahan kesakitan. Kelihatan dua batang jarinya hampir terkulai. D***h mengalir laju menitis membasahi singki dan baju yang dipakainya. Peluh dingin membasahi sekujur tubuhnya.

“Bang! Cepat bang. Mat ni terpotong jari dia pula.” Panggil Lijah. Riuh dapur itu dengan suara jeritan histeria pekerja-pekerja yang lain.

“Ya Allah. Kenapa ni Mat.” Tanya Pak Abbas. Wajahnya cemas.

“Cepat bang bawa dia pergi ke hospital. Sikit lagi nak terputus jari si Mat ni.” Arah Lijah. Pak Abbas segera membawa Mat ke kereta. Seketika kemudian kereta itu menghilang ditelan kegelapan subuh.

“Yang lain cepat kemas. Kesan d***h tu bersihkan. Ayam-ayam yang terkena d***h tu basuh bersih-bersih. Jangan dibuang pulak. Rugi aku nanti.” Arah Lijah. Pekerjanya saling berpandangannya. Raut wajah masing-masing seperti ingin menyatakan sesuatu.

“Tunggu apa lagi!” Suara Lijah meninggi.

“Baik kak.” Semua pekerja melangkah ke ruangan dapur diekori oleh Lijah.

“Kak! Kak!” Tidak sempat Lijah melangkah ke ruangan dapur. Jeritan histeria pekerjanya kedengarannya lagi. Semuanya berlari menuju ke arahnya.

“Kenapa pulak ni.” Marah Lijah.

“Kami nampak pocong dekat dapur.” Beritahu salah seorang pekerjanya. Wanita itu hampir menangis.

“Pocong? Apa kau merepek ni.”

“Betul kak. Kami nampak jelas pocong tu berdiri dekat sebelah singki.”

“Ah! Mengarutlah korang ni. Jom kita pergi tengok.” Arah Lijah sambil melangkah perlahan-lahan ke ruangan dapur. Sedikit sebanyak keberaniannya turut sama goyah. Dia mengendap perlahan-lahan ke ruangan dapur yang kaku dan kosong.

“Nampak tak! Mana ada apa-apa. Korang saja buat cerita ni. Sudah pergi buat kerja.” Marah Lijah. Pekerja wanitanya yang seramai 3 orang itu melangkah teragak-agak ke ruangan dapur. Bahagian singki fokus utama mereka. Ketiga-tiganya saling berpandangan.

“Dah tunggu apa lagi. Cepatlah buat kerja. Nanti terlewat pula aku buka kedai.” Arah Lijah. Ketiga-tiga wanita itu segera menyelesaikan kerja yang tertangguh.

“Sue… kau nampak tak singki tu bersih semacam.” Ros berbisik dengan rakannya.

“Itulah kak. Sue takutlah kak. Mana pergi percikan d***h Mat tadi. Siapa pula yang basuh. Rasanya tadi masa kelam kabut semua ke depankan.” Wajahnya benar-benar cemas sangat tu.

“Kita buat saja kerja cepat-cepat. Nanti ‘singa’ tu mengaumlah pula. Sue bacalah apa-apa surah yang patut.” Pujuk Ros.

“Tu yang berdua tu, kenapa dari tadi aku tengok berbisik. Sue, kau uruskan ayam tu. Cepat sikit! aku nak masak ni.” Arah Lijah. Dia sedang sibuk menumis sesuatu di dalam kuali.

Riak wajah Sue serta merta berubah.

“Kak, Sue takut…” Adu Sue kepada Ros.

“Kau buat aje Sue. Insyallah tak ada apa. Sekejap lagi dah nak subuh.” Pujuk Ros.

Riak wajah Sue jelas masih keberatan. Tetapi sebagai pekerja dia tidak dapat melawan arahan majikannya. Perlahan-lahan dia melangkah menghampiri kawasan singki. Bulu romanya terasa meremang sekujur tubuh. Menggigil tangannya memegang potongan daging ayam yang sudah selesai d******g oleh Mat sebentar tadi. Wajahnya berkerut memerhati potongan daging ayam itu, Semua potongan daging itu bersih dari tompokan d***h tidak seperti tadi. Dia sedaya upaya menolak lintasan jahat dihatinya saat itu. Dia mengambil pisau. Gigilan tangannya semakin kuat. Liur pahitnya ditelan berkali-kali. Aliran peluh dingin terasa membasahi sekujur tubuhnya. Dia mulai memotong baki ayam yang ada. Seketika kemudian gerakan tangannya terhenti. Dia terperasan sesuatu sedang berdiri bersebelahan singki. Jantungnya berdegup laju. Perlahan-lahan dia mengangkat wajahnya.

“Allah” Jerit Sue sebelum serta merta pandangannya gelap.

************************************************

“Kenapa tu bang? Dari belakang saya dengar suara tangisan budak.” Tanya Asmah. Suasana di ruangan makan kedainya sedikit kalut. Kelihatan pasangan suami isteri sedang memujuk anak kecilnya yang menangis. Tangisan bayi kecil itu sedikit sebanyak mengganggu pelanggan lain yang sedang menjamu selera.

“Entahlah, tadi elok je budak tu tertidur abang tengok. Tiba-tiba aje budak tu menangis, makin lama makin kuat sampai mak ayahnya tak terpujuk. Cuba awak pergi tanyakan. Kalau dibiarkan mengganggu pelanggan lain pula nanti.” Rosman memandang wajah Asmah.

“Baiklah.” Asmah segera menghampiri pasangan muda itu.

“Kenapa ni dik?” Tanya Asmah.

“Tak tahulah kak, tiba-tiba saja. Nak kata perut kembung tidak, pampers pun masih kering.” Jawab ibu muda itu dengan riak wajah risau.

“Adalah yang tak kena tu.” Asmah menjengah muka memandang wajah bayi itu. Sebaik sahaja melihat wajah Asmah. Tangisan bayi itu serta merta terhenti. Mata bayi itu membesar secara tiba-tiba. Riak wajahnya seperti ketakutan. Tubuh kecil itu menggigil. Tangisannya meledak kembali. Bahkan lebih kuat dan seperti kerasukan.

“Ya Allah… kenapa ni bang. Jomlah kita balik bang. Saya rasa semacamlah.” Ajak si isteri bergegas mendukung bayinya. Tangisan bayi itu semakin menjadi-jadi. Beberapa kali tubuh kecil itu kekejangan. Mata hitamnya juga menghilang di balik soket mata. Bayi itu diserang sawan! Pelanggan yang lain juga mulai berkumpul ingin mengetahui kejadian yang berlaku. Pasangan suami isteri itu bergegas bangun.

“Ini duitnya kak. Kalau lebih akak ambil aje. Kalau tak cukup nanti lain kali saya bayar.” Beritahu si ayah sambil menyerahkan duit RM50 kepada Asmah. Asmah hanya mendiamkan diri. Ketika pasangan itu berlalu meninggalkan kedainya raungan bayi itu masih kedengaran.

************************************************

“Kak lauk yang lebih ni kita nak buat apa?” Tanya Amni. Wajahnya sudah berkerut-kerut menahan loya. Lauk yang sudah berbuih itu mengeluarkan aroma masam yang menusuk deria baunya.

“Buang saja Amni. Bekas tu basuh bersih-bersih.” Asmah memberikan arahan.

‘Kenapa tiba-tiba aje tak ada orang hari ni. Selalunya lauk-lauk habis tak bersisa. Tapi hari ni lain pula keadaanya.’ Asmah menghampiri periuk yang biasa digunakan untuk menanak nasi. Dia menggelengkan kepala melihat seperiuk nasi yang telah ditanak sedikit pun tidak luak.

“Kenapa kamu berbisik-bisik tu?” Tanya Asmah bila menyedari pekerjanya sedang berkumpul di satu sudut dapur.

“Tak ada apa kak. Cuma akak nak tengok video viral pasal kedai kita tak?” Amni seperti serba salah untuk berkata-kata.

“Video apa pulak?”

“Ni kak. Cuba akak tengok dulu.” Amni menghampiri sambil menyuakan telefon pintar di tangannya.

“Ni aku nak cakap pada korang semua. Jangan sesekali korang makan dekat kedai Assyifa Seafood dekat jalan mengkuang. Tauke kedai tu bela hantu. Patutlah sebelum ni aku tengok maju semacam kedai tu. Kawan aku sendiri cakap dia nampak kelibat pocong berdiri sebelah tempat pelanggan ambil makanan. Lepas tu pocong tu pergi dari meja ke meja pelanggan lain. Apa yang kawan aku cerita, dia nampak pocong tu menitiskan air liurnya ke dalam makanan yang korang semua tengah makan. Tu yang korang ketagih sangat agaknya makan di sana. Lepas tu, semalam aku dengar cerita ada seorang bro ni bawa anak dan isteri dia makan dekat kedai tu. Masuk je kedai sampai ke sudah anak dia menangis. Bro ni bawalah jumpa ustaz. Kata ustaz, anak bro tu ternampak pelaris pocong yang kedai tu guna. Jadi aku nasihatkan kepada korang semua, boikot aje kedai tu. Bukan kita tak nak bantu orang kita berniaga. Tapi nak berniaga biarlah jujur. Jangan guna cara kotor. Sekian. Assalamualaikum.”

“Bila video ni tersebar?” Riak wajah Asmah berubah.

“Petang tadi kak. Sebab tu lepas aje makan tengahari tadi kedai kita kosong. Saya rasa sebab video ni lah kak. Amni seramlah kak. Memang sejak tengahari tadi Amni rasa semacam aje bila masuk ke dapur ni. Macam ada yang memerhati. Lagipun akak perasan tak berapa kali kita tanak nasi hari ni?” Amni duduk bersebelahan dengan Asmah. Semua pekerja yang lain juga menghampiri mereka. Kerja-kerja yang sedang dilakukan dibiar tergendala.

Asmah terdiam buat seketika seperti cuba mengingati sesuatu.

“Rasanya dekat lima kali akak suruh kamu tanak nasi hari ni. Sebab kamu sendiri yang cakap nasi habis tadi kan Haikal?” Asmah merenung wajah Amni mengharapkan penjelasan.

“Ya kak, memang saya yang beritahu akak pasal nasi habis tu. Sebab bila saya buka periuk nasi nak tambah nasi di depan yang tinggal hanya kerak kak. Sedangkan baru saja nasi tu di tanak.” Jelas Haikal, pembancuh air di kedainya.

“Tapi hari ni orang tak ramai pun, lauk-lauk yang biasa di masak pun banyak tak habis hari ni. Macam mana pula nasi kena dimasak lebih banyak dari biasa.” Asmah mengeluh kecil. Nalurinya sudah membisikkan sesuatu yang sukar untuk hatinya menerima.

“Habis macam mana sekarang ni kak? Amni takutlah kalau benda ni berterusan. Dahlah hostel kami di tingkat atas aje ni.” Amni memandang wajah rakan-rakannya yang lain.

“Macam nilah. Kamu semua cepat-cepat kemas dan bersihkan bahagian belakang. Kita tutup saja kedai dulu. Nanti akak bincang dengan abang macam mana.” Asmah memberikan arahan

“Baiklah kak.”

Amni segera ke bahagian singki bagi membersihkan sisa lauk yang telah basi. Tengkuknya yang terasa meremang sejak tadi diabaikan. Dia tergesa-gesa bagi menyelesaikan tugasnya. Tanpa disedari oleh sesiapa, kelibat berbungkus seperti pocong sedang memerhati ke arah mereka dari salah satu sudut dapur. Perlahan-lahan kelibat berbungkus itu melompat menghampiri Amni. Amni yang merasakan sesuatu pantas berpaling.

“Arghhh!”

Bersambung…

************************************************

PENULIS : FAIZUL BIN A RAHIM

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 27 Average: 4.9]

1 thought on “PESUGIHAN”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.