PONTIANAK AJINOMOTO

Waktu saya tengah buat kerja, tiba-tiba dapat mesej dari Kak Nor. Kak Nor adalah salah seorang daripada kenalan saya. Kak Nor bertanya kepada saya jika ada apa-apa gangguan pada dirinya. Dia rasa macam ada yang tak kena pada keluarganya, sebab tu dia nak pastikan sama ada memang wujud atau tidak gangguan jin pada diri dan keluarganya.

Sebagai ahli PERTABI, waktu pagi biasanya saya agak sibuk mengemas rumah, membasuh dan kemudiannya menjemur kain baju, memasak dan lain-lain kerja rumah. Kadang-kadang tulis cerita pun curi-curi masa. Jadi mesej Kak Nor belum sempat saya balas lagi.

Lagi pun ada beberapa lagi mesej dari bekas anak-anak murid silat di madrasah yang perlu saya jawab, semuanya berkaitan dengan gangguan makhluk halus. Salah seorang daripada murid saya ayahnya dah dua minggu sakit kaki dan badannya rasa lemah dan berat setiap hari selepas waktu Asar hingga terpaksa bertongkat.

Seorang lagi anak murid yang lain sentiasa rasa ada yang memerhati dan susah untuk tidur malam. Kakaknya pula dah empat kali hamil dan memang disahkan hamil oleh doktor, tapi bila tempoh kehamilan masuk beberapa bulan, anak dalam kandungannya hilang tanpa ada kesan. Doktor pun naik pening. Macam kebetulan pula kebelakangan ni memang banyak kes gangguan yang berlaku.

Pada waktu agak lewat petang, dah santai-santai sikit baru saya balas mesej dari Kak Nor. Saya katakan pada Kak Nor, gangguan biasanya akan ada tanda-tandanya, antaranya seperti mimpi buruk, nampak kelibat, kena tindih, gelisah dan berdebar tanpa sebab, atau mungkin juga ada penyakit yang tak dapat dikesan oleh doktor dan susah nak sembuh dengan ubat hospital.

Kak Nor ada masalah panas baran, sama juga seperti anak lelaki sulungnya. Dia juga kerap mimpi menyusukan bayi. Selain tu Kak Nor juga ada masalah sakit kulit yang dah berlarutan agak lama. Dah puas ulang alik hospital pun masalahnya masih macam tu juga.

Kata Kak Nor, emaknya pernah ada saka. Alhamdulillah, dengan izin-NYA emaknya dah sembuh selepas berubat, tapi ada seorang adik perempuannya yang hilang ingatan dan hilang penglihatan selepas kena sawan.

Bila Kak Nor ceritakan tentang adik perempuannya itu, hati saya tersentuh. Dapat saya bayangkan betapa kuatnya ujian yang keluarga Kak Nor hadapi. Semoga dengan ujian itu akan menjadi asbab terhapus segala dosa dan diangkat darjat oleh Allah.

Biasanya sakit yang berat-berat ni ada dua kemungkinan, boleh jadi saka, atau mungkin juga setan yang orang hantar. Setan yang menumpang biasanya akan tambah bisa pada orang yang dah sedia ada bisa dari saka atau jin sihir.

Setan beserta bisanya walaupun pada permulaannya seperti tak berapa mengganggu akan menjadi macam bom jangka bila bisanya terkumpul jadi banyak. Masa itulah macam-macam penyakit akan timbul.

Sebab itulah kita kena sensitif, faham dan ambil berat tanda-tanda gangguan jin. Jika ada je tanda-tanda gangguan, teruslah ikhtiar berubat sebelum gangguan tu menjadi sebati atau sebelum bisanya melarat menjadi sakit yang susah untuk dirawat.

Saya ni setiap malam biasanya tidur awal. Lepas solat Isyak je mata dah mula berat. Maklumlah umur dah masuk setengah abad, memang macam ni lah keadaannya, tapi malam ni saya cuba rungkaikan dulu masalah gangguan pada Kak Nor.

Biasanya saya bantai dan halau je setan yang kacau tu sebab malas nak hadap loyar buruk diaorang, tapi untuk sesetengah kes saya tarik juga setan tu untuk cuba dapatkan maklumat tertentu. Jadi dalam kes Kak Nor ni saya buat keputusan untuk tarik.

8.29 malam.

Datang je setan tu, macam biasalah soalan lazim yang dia tanya saya;

“Kau nak apa? Aku bosanlah.”

“Kau bosan kenapa?”

“Tak taulah kenapa.”

“Sebab kau takde kawan kan?”

“Mana kau tau?”

“Aku agak je. Kau dah lama dengan dia kan?”

“Aah. Bosan ni.”

“Dah bosan kau boraklah dengan aku.”

“Kau bawaklah aku jalan-jalan.”

Saya tak layan cakap dia, tapi saya tanya pula soalan lain.

“Kau dari belah mak dia kan?”

“Naik motor pun takpe, nanti biar rambut aku gerbang-gerbang.”

Hampeh punya pontianak. Soalan saya dia tak jawab, sibuk tak habis-habis dengan jalan-jalan dia tu.

“Kalau kau perangai elok kejap lagi aku hantar kau ke tempat best. Kau dari belah mak dia kan?”

Saya tanya dia soalan perangkap.

“Bukanlah.”

“Habis tu?”

“Habis tu three.”

Dah kena dah ni. Kali ni dapat setan yang jenis kuat loyar buruk.

“Kau datang lepas saka tu dah takde ke?”

“Aah.”

Akhirnya terjawab. Dari awal tadi kalau saya tanya sama ada dia ni adalah saka atau tak, biasanya dia akan jawab “Kau rasa?” Dah jenuh pulak nak main teka teki dengan dia. Sebab tu sesetengah soalan kena bagi cadangan jawapannya sekali, supaya kalau apa yang saya cakap tu tak betul biasanya dia akan nafikan.

“Kau tak ajak kawan ke dok sekali dengan kau?”

Soalan ni saya tanya untuk saya tau jika ada setan lain dengan Kak Nor.

“Takde sapa-sapa nak kawan dengan akulah.”

“Kesiannya kat kau. Kejap lagi kau akan dapatlah ramai kawan. Siapa yang buat adik dia buta dan sawan tu? Kau ke atau saka dia dulu?”

“Saka dulu, aku tambah perisa je.”

“Kau tambah ajinomoto lah ni. Yang buat dia gatal-gatal tu pun kau tambah perisa jugak ke?”

“Aah.”

“Lepas tu kau buat dia dan anak laki dia panas baran kan?”

“Tidur jom, ngantuklah.”

“Kau jawab yang aku tanya ni dulu lepas ni kau boleh pergi tidur. Kau yang buat dia panas baran kan?”

“Kau ni macam polis lah, tanya macam-macam.”

“Nasib kau lah. Dia dah mintak tolong aku kan. Sapa suruh kau kacau dia.”

“Dah tau kenapa kau tanya lagi?”

“Aku tak taulah, sebab tu aku tanya. Dah lah kau mengucap lah. Asyhadu allaa ilaa ha illallah. Wa asyhadu anna muhammadar rasulullullah. Kau pergi Mekah sekarang. Salam.”

“Waalaikumussalam”

Diaorang ni bila dah dia cakap mengantuk, memang susah dah nak tanya apa-apa. Lagi pun saya rasa dah cukuplah maklumat yang saya nak tahu.

20 Jun 2023. 10.58 pagi.

Saya mesej Kak Nor dan beritahu apa yang berlaku dan apa langkah-langkah yang perlu dilakukan. Saya juga minta Kak Nor sediakan air untuk saya buat air penawar. Air tu sebagai ikhtiar untuk longgarkan dan keluarkan bisa yang ada pada tubuh.

Membuang setan yang mengganggu adalah perlu, tapi yang tak kurang pentingnya juga adalah untuk mencegah dari setan lain pula yang datang menyinggah dan menyambung kerja-kerja setan asal tadi.

Waktu-waktu beginilah pentingnya amalan diri, zikir, selawat, selalu pasang ayat-ayat rukyah atau surah-surah dari Quran dan penggunaan bukhoor, kasturi dan bidara.

Semoga Kak Nor dan keluarganya sentiasa dilindungi oleh Allah dan dikurniakan kesembuhan yang tiada mudaratnya lagi selepas ini. Amin Ya Rabbal Alamin.

PENULIS : Azim Isma

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 19 Average: 3.4]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.