PUNTIANAK DI ATAS BUKIT

BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM

Assalamualaikum.

Terimalah kisah malam ini, sedekah dari saya untuk anda semua. Kisah yang seram tapi kelakar, Yunus tidak senonoh malam itu.

PUNTIANAK DI ATAS BUKIT

Hujan yang tersangat lebat membuatkan kami terpaksa membatalkan hasrat untuk meredah saja hujan. Kami baru habis bekerja di sebuah pasaraya di Komtar. Yunus seperti biasa, akan menyanyi-nyanyi seolah hujan itu bukan itu masaalah baginya. Cuma, dia kerap mengadu, dia lapar dan hujan lebat itu tidak memungkinkan kami melepak di tempat biasa. Mamak yang membuka gerai dengan kereta beroda itu sangat handal membancuh teh. Boleh ketagih jadinya.

“Bukak ka lagi mamak tu? Hujan ni, dia dah la sorong kereta. Bumbung pun tak dak” kataku cuba untuk menurunkan paras kehendak Yunus yang ingin teh tarik. Mencuka mukanya, muncung bibirnya. “Aku lapaaaqq” katanya mengusap perut. Seperti di adegan lain, Yunus menyanyi. Tadi sudah seperti orang kebuluran. “Ya Allah ya Tuhanku, hentikanlah hujan ini. HambaMu sangat lapaq” kata Yunus sambil menadah tangan.

Ramai yang tersadai di bawah Komtar kerana hujan yang lebat itu. Aku seperti biasa, fikiran sudah ada di jalan atas bukit. Sudahlah bengkang bengkok, gelap, jalannya pasti licin dan sudah tentu ada pokok tumbang dan batu menggelonsor yang akan menghalang laluan. Ada beberapa bahagian di atas jalan itu yang betul-betul gelap dan kerana likunya, kita tidak nampak kenderaan yang datang dari depan. Aku sudah membayangkan berada di atas jalan bila Yunus berkata “Te tarik..teh tarik..mee mamak.. sedap” dan mula menyarung baju hujan kuningnya. Seperti doanya telah dimakbulkan Tuhan, hujan sudah tidak lebat, hanya gerimis kasar yang semakin menipis.

Aku mengaku, hendak balik seorang diri dengan keadaaan jalan begitu, memang menakutkan aku. Diusik makhluk halus berupa langsuyar, hantu jenis apa yang mengikut dari pokok ke pokok dan melintas depan kenderaan, sudah beberapa kali aku alami. Takut itu ada, tapi aku lebih takutkan tanah runtuh. Jika ada pokok dan batu besar melintang jalan, tunggulah sehingga ia dialihkan. Entah berapa jam harus menunggu. Memang bermandi hujanlah jawabnya. Bukan tidak pernah merasa.

“Lekaihlah, perut aku dan macam nak berlubang ni. Lapaqq” kata Yunus sambil menghidupkan enjin motor. Aku juga sudah lengkap memakai baju hujan, rasa kekok memakainya dalam gerimis. Yunus selamba pergi dahulu. Kedainya tidak jauh, dekat dengan pawagan yang sudah ditutup dan dulu dia menjadi pusat perabot. Yunus nampak sangat tidak sabar. Dari jauh, lampu yang menerangi kereta sorong itu kelihatan. Pemiliknya pun sedang mengelap bangku dan meja yang basah.

Mulanya hanya kami pelanggannya. Tidak lama, ramailah yang datang, kelaparan mungkin kerana hujan. Pernah terjadi di situ pada pagi Jumaat, Yunus memarahi mamak kerana menghalau “pengemis” yang datang. ‘Bukan orang tu. Entah-entah malaikat” katanya yang menyuruh “pengemis” itu makan apa saja. Masam mencuka wajah mamak itu, takut pelanggan tidak mau mampir ke kedainya. “Eh, semua orang yang makan di sini saya boleh bayaq la!” kata Yunus yang sudah haus sabarnya.

Makanan pun tiba. Yunus makan dan minum dengan berselera. Mamak itu sudah tahu apa yang Yunus akan pesan, dan selalunya menimbun mee yang digorengnya untuk Yunus. Hujan yang tadi lebat, menipis dan terus berhenti. Tidak berhenti mulutnya memuji mee goreng mamak itu. Aku pula, sudah muak walau dengan bau mee goreng. Tapi, teh tarik mamak itu memang sangat sedap.

Setelah puas dengan kehendaknya, kami pun memulakan perjalanan balik. Waktu sudah menjelang dinihari. Ramai yang sudah pulang. Aku terpaksa melayan celoteh Yunus tentang betapa cantiknya Julia Rais waktu itu. Beranganlah kau Yunus, fikirku dalam hati. Lalulintas di pusat bandar agak banyak, tapi bila kami sampai ke Gelugor, sudah tidak banyak kereta di jalan. Sampai ke kawasan Bayan Baru, gerimis mula turun. Aku sudah tidak sedap hati, memikirkan jika hujan, Tuhan sahaja yang tahu apa yang akan terjadi.

Kami menunggang motor berhati-hati. Kadangkala berselisih dengan bas kilang dan beberapa kereta persendirian. Sampai di kawasan Teluk Kumbar, hanya kami berdua di atas jalan raya. Hujan mula turun, mula-mula tidaklah lebat, kemudian bila di atas bukit, hujan turun dengan sangat lebat. Hatiku mula resah. Yunus juga tidak laju seperti tadi, menunggang motornya dengan berhati-hati. Jalan mendaki bengkang bengkok itu sudah kami hafal setelah sebulan bekerja.

Kami sampai di selekoh ada sebuah tokong cina di atas bukit. Atas sedikit, ada sebuah kuil hindu yang sarat dengan pelbagai cerita seram. Jalannya pula mendaki dan likunya tajam, membentuk separuh huruf V. Lampu jalan ada di depan kuil dan atas sedikit. Cahayanya sangat tidak membantu. Lampu jenis lama, mentolnya sudah berapa lama berkhidmat menerangi jalan itu.

Hendak sampai di selekoh kuil hindu, Yunus tiba-tiba berhenti. “Ku, ada orang nak halang jalan kita. Hang jangan takut na. Buat tak tau ja” kata Yunus, agak meninggikan suara kerana hujan yang lebat. Semangat aku rasa sudah terbang ke mana. Sudahlah aku risaukan pokok tumbang, ada pula yang hendak menyakat. Kami mendaki jalan yang sedikit curam. Dari jauh nampaklah kuil hindu itu, berada betul-betul di hujung liku jalan. Di bawahnya ada aliran air membentuk air terjun kecil, tapi agak luas bila di bawah. Di kiri jalan ialah gaung yang sangat banyak pokok pisang hutan.

Kami menunggang melepasi lampu di atas. Sekonyong-konyong, di depan, keluarlah satu sosok perempuan memakai baju putih . Di tangan, dia sedang menggendong anak kecil yang berbalut kain putih. Kepalanya tunduk sahaja, tangan kirinya menggawang-gawang supaya kami berhenti. Yunus yang sangat nakal waktu itu, pura-pura menjerit “Hantuuuuu… takutnyaaaa…” katanya yang terus memecut. Aku jadi terkejut dengan gurauan Yunus dan turut memecut. Kemudian aku dengan Yunus ketawa berdekah-dekah dalam hujan.

Tidak jauh dari tempat kejadian, sekali lagi, keluar sosok itu, menggawang-gawang tangannya menyuruh kami berhenti. Kepalanya tunduk, dengan rambutnya menutup mukanya. Bayi di tanganya nampak bergerak-gerak di dalam bungkusan kain putih itu. Kali ini, gawangan tangannya nampak lebih keras, tidak longlai seperti mula-mula tadi. Dia nampak seperti meratib, kepalanya bergerak-gerak dari kiri ke kanan, sekali sekala mengangkat kepala. Rupanya tidak kelihatan kerana rambutnya yang panjang dan basah menutupi mukanya.

Yunus memperlahankan motornya, membuatkan aku menjadi lebih takut. Sosok itu tidak jauh di depan kami, menggawang-gawangkan tangannya. Kemudian, tanpa amaran, Yunus memecut dengan laju, meninggalkan aku di belakang. Aku juga memecut dengan lampu tinggi. Melintasi sosok yang berada di tepi jalan, aku dapat melihat bayinya terkuit-kuit di dalam bungkusan, tetapi buntang matanya. Seperti mata ikan direbus. Kus semangat, darahku naik ke otak dan aku mula marah dengan Yunus yang masih bermain-main dengan makhluk itu.

Jalan di situ lurus sedikit sebelum bertemu dengan pusingan yang membentuk separuh bulatan. Di situ, jika siangpun, keadaan jadi suram kerana pokok-pokok di situ besar dan silaranya menutup jalan. Di tepinya, hanya gaung yang dalam. Penghadang jalan jenis lama dari keluli yang rendah ada, tapi tidak menghalang kereta jauh ke gaung. Gaungnya dalam, aku selalu akan melihat kedalamannya jika aku di dalam bas.

Sosok puntianak itu kami tinggalkan, dan nampaklah selekoh separuh bulatan itu di depan. Yunus yang tadi laju, memperlahankan motor, dan berhenti menunggu aku di tepi jalan. Beberapa saat, aku sampai. “Dia ada kat depan. Kat selekoh bulat tu, dok tunggu kita. Celaka sungguh!” kata Yunus. “Hang jangan takut, kalau hang takut, dia lagi berani” kata Yunus padaku, melaung sedikit kerana timpaan hujan di helmet. “Jangan takut, aku ada” kata Yunus dan meneruskan perjalanan.

Aku sudah membaca ayatul Qursi dan Bismillah Lima sebagai pendinding. Kemudian aku berzikir sebanyaknya. Kami mula masuk ke selekoh yang hanya akan ke kanan kerana bentuknya yang separuh bulat. Kedua-dua kami memasang lampu tinggi. Mula-mula kami tidak nampak apa. Hujan pun tidak lebat di situ kerana daun-daun pokok menghalang hujan. Hatiku sangat berdebar-debar.

Nun di depan, di tengah jalan, tersuluh dengan lampu motor kami, sosok puntianak itu sudah berdiri di tengah jalan. Tangannya masih mengendong anaknya yang seperti sudah bangun, bergerak dengan lebih keras dari tadi. Tangannya masih menggawang-gawang menyuruh kami berhenti. Aku dengar dengusan Yunus di depan, dan Yunus pun berhenti di tepi jalan. Enjin motornya tidak dimatikan, dan motornya di tongkat di tepi penghadang jalan keluli itu.

Yunus turun dari motor dan berjalan beberapa langkah. Suluhan dari dua buah motor, cukup untuk aku melihat kejadian di depanku. Aku juga tidak jauh, hanya di belakang motor itu. “Hang mau apa!” jerkah Yunus kepada sosok yang masih tergawang-gawang tanganyya itu. Kepalaya masih tertunduk dan wajahnya masih tertutup dengan rambutnya yang panjang. “Apa? Hang ingat aku ni apa? Tukang masak? Lapaq pi la cari makan!” jerkah Yunus dengan tangan tergenggam. “Tepi! Aku nak lalu!” kata Yunus dan hendak berpaling.

Belum sempat Yunus melangkah, puntianak itu melempar “bayi” yang dikendongnya ke arah Yunus. Bergema tangisan bayi di tengah malam itu. Kemudian terdengar isakan yang panjang dari puntianak yang masih berdiri menghalang perjalanan kami itu. Aku nampak Yunus sudah mula menguatkan kuda-kudanya, dan membaca mentera “Aku tahu asal usulmu. Dari……..” kemudian Yunus membuka silatnya. Silatnya tidak keras, dan tiada tendang menendang. Buah silatnya lembut seperti menghalang, tidak menyerang.

Puntianak itu melayang-layang di depan Yunus sambil mengilai. Bila dia mengangkat mukanya, alangkah terkejutnya aku, muka putih seperti sekati bedak sejuk ditepek ke mukanya. Matanya hitam, tengahnya buntang berkilat-kilat dengan kuku runcing yang panjang sekaki. Rambutnya menggerbang berputar-putar mengeluarkan bunyi seperti lidi dihayun. Yunus tenang dengan silat pendindingnya, hanya sekali sekala menumbuk dan menetak.

Puntianak itu seperti tidak dapat menembusi tembok halimunan walaupun dicuba sedayanya. Setiap kali gagal, akan terdengar jeritan nyaring dari belakang banjaran bukit sebelah kiri kami. Aku kosongkan fikiran, melawan rasa takut dan sejuk dengan berzikir mengingat Allah. Sekali sekala, aku pejamkan mata untuk khusyuk kerana tidak tahan sejuk. Jeritan demi jeritan kedengaran. Tahulah aku, puntianak itu tidak dapat menghampiri kami dan akan menjerit kerana marah.

Kemudian keluar beberapa ayat Quran dari mulut Yunus yang bersilat dengan helmet dan baju hujannya. Dihentakkan kakinya ke jalan. Seperti ditarik dengan kasar, puntianak itu jatuh tersembam. “Apa sakit sakit!! Aku dah kata, aku nak balik, hang saja cari geruh aku!” jerit Yunus. “Aku tak peduli hang lapaq ka hang kebuloq. Nyah dari sini sebelum aku naik angin!! Jerit Yunus yang aku tahu, sudah marah. Terkial-kial puntianak itu cuba merangkak. Baju koyak rabak, seperti kain putih yang ditanam di tanah.

“Selagi aku tak angkat kaki, hang tak buleh pi mana! Minta maaf dengan kawan aku, cepat!! Jerkah Yunus. “Aku kentut muka hang sat lagi, baru hang tau!” kata Yunus. Hanpir aku ketawa, sempat lagi Yunus bergurau dalam keadaan genting. Rupanya tidak. Dalam titisan hujan itu, aku dengar Yunus kentut dengan panjang, kuat bunyinya. Peliknya, puntianak itu meronta-ronta seperti takutkan bunyi kentut Yunus. Yunus angkat kaki kanannya, dengan segera puntianak itu terbang ke atas dan hilang dalam kegelapan malam.

Selesai, Yunus duduk di tanah, bersila dan kedua tangannya menyeka kepalanya. Seperti biasa, sebelum bangun, Yunus akan menepuk tanah sekali dan bangun. Yunus datang menghampiri motornya tersengih-sengih seperti selalu. “Padan muka, tak pasai-pasai makan kentut aku” katanya. Aku terkedu, tidak tahu hendak ketawa atau hendak berkata apa. “Jomlah balik, aku tidoq rumah hang malam ni. Auu rindu bau tilam kekabu hang” kata Yunus, sudah bergerak ke depan.

Hujan masih turun sepanjang kami di atas bukit. Aku sudah kesejukan, baju hujan tidak begitu membantu. Basah kuyup juga aku, kakiku sejuk kerana kami berselipar sahaja dari tempat kerja. Yunus mula menyanyi seolah tiada apa yang berlaku, dan Alhamdulillah, kami sampai ke simpang tiga ke pekan dan melintasi simpang empat sebelum sampai ke rumah.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 115 Average: 4.9]

3 thoughts on “PUNTIANAK DI ATAS BUKIT”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.