RAMALAN NEK SEMAH

Sesekali angin bertiup agak kencang, daun-daun kering berguguran jatuh ke bumi. Berterbangan kian memenuhi di beberapa buah jalan kawasan kampung Tanjung Hulu, yang menerima kedatangan musim luruh. Kampung Tanjung Hulu suatu ketika dahulu sering dikunjungi pelancong yang inginkan sebuah percutian mendamaikan. Biarpun tempat itu dikatakan cantik untuk singgah berehat atau menenangkan fikiran namun, ada yang beranggapan kampung Tanjung Hulu terlalu terpencil. Menyeramkan! Banyak kejadian misteri yang pernah berlaku.

Kononnya, ada pengamal-pengamal ilmu hitam ‘membela’ makhluk-makhluk menakutkan sehingga mengganggu penduduk kampung serta pelancong yang datang berkunjung. Makhluk tersebut dikatakan muncul waktu dinihari. Mengetuk pintu rumah. Berlari di atas bumbung rumah dan adakalanya, mengilai-ngilai serta merengek. Wajah dan bentuknya boleh menyerupai nenek tua si bongkok tiga (nenek kebayan) atau ia muncul dengan wajah-wajah ngeri seperti yang digambarkan oleh sesetengah penduduk.

Penyebaran gosip tersebut menyebabkan kampung Tanjung Hulu kini semakin sepi. Hanya tinggal generasi terdahulu yang terus kekal di situ. Sedangkan ada di antara anak dan cucu cicit mereka sudah berpindah ke luar bandar. Ini bermakna bilangan warga emas lebih ramai berbanding genarasi baru yang tinggal di kawasan itu. Usia tidak menghalang mereka melakukan tugas seharian. Selagi ada kudrat (terdaya) mereka masih mampu bekerja seperti biasa.

Menguruskan kebun serta rumah-rumah rehat (chalet) jika masih ada yang ingin datang bercuti di tempat tersebut. Terdapat juga rumah orang-orang tua yang dibina untuk mereka yang sudah tidak larat bekerja atau menguruskan diri sendiri lagi. Bukan disebabkan diabaikan oleh anak-anak mereka. Tetapi mereka sendiri yang menolak untuk tinggal di kawasan bandar. Bagi mereka jarak antara bandar dengan kampung itu terlalu jauh. Dan sudah semestinya mereka ingin menghabiskan sisa-sisa hidup yang masih ada itu di tempat tinggal mereka sendiri.

**

Kereta yang dipandu Azie berhenti di

satu destinasi. Kelihatan beberapa buah rumah rehat (chalet) yang diperbuat daripada kayu berdekatan dengan kawasan sungai. Azie lalu keluar daripada kereta untuk meninjau. Dituruti tiga lagi rakannya, Sara yang duduk di bahagian hadapan, sebelah tempat duduk pemandu. Sementara Nita dan Dania duduk di bahagian belakang, baru terjaga daripada tidur. Terasa jauh dan memenatkan perjalanan tadi yang memakan masa selama enam jam. Keempat-empat gadis manis awal dua puluhan itu menetap di Kuala Lumpur. Masih menuntut di sebuah kolej di ibu kota tersebut.

Mereka berempat bersahabat baik semenjak dari sekolah menengah lagi. Tidak menyangka dapat masuk kolej yang sama juga. Persahabatan yang terjalin di antara mereka sangat erat. Selalu sahaja bersama jika ke mana-mana. Sehingga ada yang menyangkakan hubungan mereka seperti adik-beradik.

Bila tiba cuti selalunya, mereka akan pergi ke tempat-tempat peranginan yang menarik dan terkenal. Cuma kali ini mereka inginkan kelainan. Azie memilih sebuah perkampungan untuk percutian mereka selama tiga hari. Sara, Dania dan Nita turut bersetuju. Memang cantik kawasan tempat itu seperti yang dikhabarkan. Harganya juga berpatutan.

Di belakangnya terdapat pokok-pokok besar, pokok bunga dan anak sungai. Airnya yang mengalir jernih, sejuk serta mendamaikan jiwa. Sesuai sangat untuk berehat serta menenangkan fikiran. Ditambah dengan burung-burung yang berkicauan bermain-main di atas dahan.

Kedatangan mereka disambut dengan senyuman oleh pemilik kawasan rumah rehat itu, Mak Wan. Selain Mak Wan ada beberapa orang lagi rakan sekampung Mak Wan yang menguruskan rumah-rumah rehat tersebut. Dalam setiap rumah rehat disediakan dua buah bilik dan satu bilik air. Setiap bilik ada dua katil bujang dan almari untuk menyimpan barang atau menyangkut pakaian. Televisyen, sofa, peti sejuk, pemanas air elektrik, pinggan, cawan, sudu turut disediakan. Jika hendak menjamu selera ada kedai-kedai makan berhampiran.

Usai Mak Wan menyerahkan kunci rumah, Azie segera membuka pintu. Mereka berempat menapak ke dalam sebelum mendapatkan bilik masing-masing. Sara satu bilik dengan Azie. Sementara Dania satu bilik dengan Nita.

Sara bingkas mengeluarkan pakaian serta tuala dari dalam begnya. Dia terpaksa menggunakan bilik air dahulu. Tidak tahan badannya yang terasa melekit akibat berjam perjalanan berada di dalam kereta. Yang lain, sementara menunggu giliran mengemas apa yang patut. Setelah selesai menyakut pakaian dan meletakkan barangnya dalam almari, Azie keluar melihat-lihat perhiasan yang tersusun di beberapa sudut.

Cantik dan menarik kesemuanya. Mereka yang menguruskan rumah rehat itu terdiri dari golongan warga emas. Jadi tidak hairanlah semua barang-barang perhiasan di dalam rumah itu kebayakkannya barang-barang antik. Barang-barang lama yang jarang didapati di mana-mana kedai. Jika dijual harganya pasti lumayan!

***

Usai solat Zuhur mereka berempat menjamu selera di Medan Selera Kampung. Tidak perlu menaiki kenderaan. Kedai makan tersebut hanya berada beberapa langkah sahaja di hadapan rumah rehat. Pelbagai jenis hidangan melazatkan disajikan. Jika di bandar agak sukar untuk mendapatkan masakan-masakan yang benar-benar terasa keenakkan masakan ‘kampungnya’ seperti itu. Betul-betul membuka selera empat gadis manis itu.

Azie hanya memilih nasi putih, ikan keli bakar, gulai kangkung dengan minuman air limau. Walaupun enak masakannya, cukup sekali sahaja dia menjamahnya kerana perutnya akan merasa terlalu kenyang dengan sekali makan. Sedangkan Nita, Sara dan Dania bertambah sampai dua tiga pinggan. Itupun mereka menambah lagi dengan beberapa hidangan lain juga.

Selepas menjamu selera mereka berjalan-jalan di sekitar kawasan kampung. Menikmati udara segar serta keindahan suasana kampung. Seronok menyaksikan warga emas menyiapkan kraf tangan mereka seperti, bakul daripada buluh dan anyaman tikar mengkuang. Sambil bersembang di atas pangkin.

Sesekali mereka disapa mesra oleh penduduk kampung yang berselisih jalan dengan mereka. Ketika mereka melalui satu kawasan angin bertiup sedikit kencang. Daun-daun kering gugur daripada pokok berterbangan kearah mereka. Daun-daun kering itu ditepis-tepis dari melekat pada pakaian mereka.

Tidak semena-mena mereka didatangi wanita tua yang muncul secara tiba-tiba di hadapan. Wajahnya berkedut seribu dengan tubuh agak bongkok sedikit. Berpakaian baju kurung kedah serta kain batik lusuh. Rambutnya yang memutih uban itu disanggul tinggi serta diselit sekuntum Bunga Melati. Bila tersengih menampakkan giginya yang hitam dan ada yang telah reput. Wajah-wajah gadis cantik itu dipandang silih berganti. Riak wajahnya berubah serius tiba-tiba. Seram pula mereka berempat melihatnya.

“Kalian ini bersahabat baik, kan?” Soal wanita tua itu. Masih merenung tajam ke arah Azie, Sara, Dania dan Nita.

“Betul, nek. Kami memang sahabat baik dari dulu lagi. Kenapa, nek?” Azie mewakili rakan-rakannya yang lain menjawab soalan yang ditanyakan wanita tua itu.

“Pada ramalan Nek Semah, tahun ini adalah tahun kemusnahan kalian berempat. Kalian semua akan bermusuhan suatu hari nanti! Percayalah kataku! Khi…khi…khi….” Sambil ketawa halus, wanita tua yang menggelar dirinya sebagai Nek Semah terus berlalu pergi. Dania, Azie, Nita dan Sara sama-sama terkedu.

Walaupun jalan terbongkok, langkahnya agak laju ke hadapan. Malah sudah meninggalkan jauh empat orang pelajar perempuan itu yang masih kelihatan terpinga-pinga. Mereka lalu saling berpandangan. Dalam fikiran masing-masing hanya terbayang Nek Semah itu persis watak seorang wanita tua misteri yang sering muncul dalam kebanyakkan cerita-cerita seram!

***

Malam itu selepas solat Isyak mereka hanya menjamah mee segera. Tidak perlu dimasak. Cuma tuangkan air panas sahaja ke dalam mangkuk mee tersebut. Meski kedai makan hanya beberapa langkah jaraknya dari rumah rehat itu, mereka berempat terasa malas pula hendak keluar. Lagipun mereka bimbang jika terserempak sekali lagi dengan wanita tua bernama Nek Semah itu. Cakap pula yang pelik-pelik.

“Kau orang percaya ke, apa yang Nek Semah cakap dekat kita siang tadi?” Azie bertanya kepada rakan-rakannya yang sedang menikmati mee segera.

Fikirannya agak terganggu dengan kata-kata Nek Semah petang tadi. Tidak tahu mengapa wanita tua itu berkata begitu kepada mereka berempat.

“Nak percaya buat apa? Orang tua tu entah betul ke, tidak. Entah-entah nyanyuk.” Kata Nita. Dia masih terbayang wajah seram Nek Semah yang menyeringai. Gerun!

“Yalah kau ni, Azie. Kenapa nak percaya pula? Dia cuma cakap ramalan saja, kan? Kita mana boleh percaya dengan ramalan. Mana ada orang boleh tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Nek Semah tu memang tak betul. Biasalah, orang tua. Nyanyuk kut?” Sara juga yakin Nek Semah seorang wanita tua yang nyanyuk.

Azie sekadar mengangguk setuju. Kenapa dia hendak fikirkan sangat tentang kata-kata Nek Semah itu? Selama ini dia dengan rakan-rakan baiknya itu tidak pernah sekalipun bergaduh. Apatah lagi hendak bermusuhan.

“Tapi muka Nek Semah tu scary, kan? Macam Nenek Kebayan pun ada. Hihi!” Celah Dania. Cuba menceriakan suasana.

Azie, Nita dan Sara cuma tersenyum. Setuju dengan apa yang dikatakan oleh Dania. Wajah Nek Semah yang mereka lihat petang tadi sememangnya menakutkan!

Ting!

Ting!

Ting!

Terganggu seketika perbualan empat sahabat itu apabila bunyi mesej masuk dari telefon milik Azie.

-Hai, sayang!

-Tengah buat apa tu?

-Tengah membawang dengan geng ke?

Tiga mesej dari kekasihnya, Tengku Karman buatkan Azie menyimpul senyum.

“Siapa mesej?” Tanya Sara sambil melirik skrin telefon Azie.

“Tak payah tanyalah, Sara. Tengok muka dia pun kita dah tahu siapa yang mesej. Sah-sahlah buah hati dia, TK. Untunglah orang tu. Ada orang ingat dan sayang. Baru beberapa jam tak jumpa dah rindu. Kan?” Nita sengaja mengusik Azie.

Hanya sengihan yang Azie balas. Dia segera berlalu ke luar rumah untuk berbalas mesej dengan kekasihnya. Sara, Dania dan Nita tersenyum-senyum memandang gelagat rakannya itu. Di antara mereka berempat, Azie lah yang paling cantik. Ramping, tinggi macam model. Bermata galak, dan kulitnya putih melepak. Ramai pelajar lelaki di kolej itu hendak memikat Azie. Tapi Azie hanya setia dengan kekasihnya yang merupakan seorang pelajar lelaki kacak dan berketurunan diraja di kolej tersebut.

“Memang bertuah jadi Azie, kan? Dapat boyfriend handsome. Kaya pula tu. Kan best kalau aku pun dapat boyfriend macam Tengku Karman tu.” Dania tersenyum sambil membayangkan Tengku Karman sedang duduk di sebelahnya.

“Hoi! Kau dah berangan sampai ke mana? Mesti kau bayangkan TK duduk bersanding sebelah kau, kan? Jangan…Nanti Azie tahu mengamuk dia.”

“Kau ni, Sara! Aku nak berangan sekejap pun tak boleh, ke?” Cebik Dania. Sara dengan Nita terus ketawa terkekeh-kekeh.

***

Menghampiri pukul tiga pagi, Azie terjaga dari tidur. Dia terdengar seperti seseorang sedang mengetuk pintu rumah rehat itu. Yang peliknya hanya dia seorang sahaja yang terjaga. Sedangkan rakan-rakannya yang lain tidur lena seakan tidak terganggu dengan bunyi ketukan pintu tersebut.

Azie cuba mengejutkan Sara. Tetapi Sara langsung tidak memberi respons. Senyap sahaja. Dia lalu menapak keluar daripada bilik dan terus menuju ke bilik dua orang lagi rakannya. Sama seperti Sara. Nita dan Dania juga tidak terjaga ketika Azie mengejutkan mereka. Azie ingin mengabaikan sahaja bunyi ketukan itu yang masih lagi tidak berhenti. Tetapi hatinya meronta-ronta ingin tahu siapakah gerangan yang sedang mengetuk pintu tersebut pada waktu dinihari sebegini?

Mungkinkah tuan rumah rehat itu? Agaknya ada sesuatu yang Mak Wan hendak sampaikan. Tapi kenapa tidak tunggu siang hari sahaja? Kenapa mesti pada pukul tiga pagi? Banyak perkara yang bermain dibenak Azie ketika ini. Rakan-rakannya pula dah macam tidur m**i. Dikejutkan pun tidak terbangun langsung.

Dia bukan seorang yang penakut. Cuma tak ada keberanian sangat. Seram juga kalau hantu tiba-tiba muncul depan muka. Tetapi demi ingin mengetahui siapa yang sedang mengetuk pintu itu, Azie terpaksa beranikan diri. Dia melangkah perlahan-lahan menghampiri pintu. Namun dia tidak jadi hendak membukanya. Ketukan itu sudah terhenti. Azie menarik nafas lega sambil memusingkan tubuh untuk kembali ke bilik.

Tuk! Tuk! Tuk!

Baru hendak merasa lega, ketukan itu kembali bertalu-talu di luar pintu rumah rehat yang mereka diami. Perasaan Azie berdebar semula dengan langkahnya turut terhenti serta-merta. Dia berpaling. Dalam keadaan gementar Azie mengatur kembali langkahnya kearah pintu.

“Siapa tu?” Tanya Azie. Ketukan terhenti. Tiada sahutan. Namun telinganya menangkap pula rengekan seorang wanita.

Azie capai kunci yang tersangkut di dinding. Membaca bismillah dan doa terlebih dahulu. Meski dalam keadaan takut, sedikit keberanian yang tersimpan dalam diri menguatkan semangatnya. Usai pintu dibuka dia terlihat seorang wanita tua sedang duduk di atas tangga sambil membelakanginya. Pada mulanya Azie terdengar seperti wanita tua itu sedang menangis mendayu-dayu. Tiba-tiba suaranya berubah berbisik. Tetapi perkataan yang disebut terlalu laju. Malah bahasanya juga sukar untuk difahami.

Azie lalu mendekati sambil menegur. Bertanya kepada wanita tua itu mengapa dia berada di situ? Apa yang dia mahukan? Namun pertanyaannya tidak dijawab. Wanita tua itu terus terdiam. Tidak berganjak dari duduk membelakangi Azie. Sedikit keberanian yang masih tinggal memaksa Azie menyentuh bahu wanita tua itu. Perlahan-lahan dia memalingkan wajahnya kearah Azie.

“Khi…khi…khi….” Sambil tertawa halus wanita tua itu memperlihatkan wajahnya yang sebenarnya, tanpa wajah! Tiada mata, hidung atau mulut. Keseluruhan wajahnya hanya putih, kosong!

“Astaghfirullahaladzim!” Menggigil tubuh Azie buat pertama kali melihat makhluk ngeri di hadapan mata.

Tanpa menunggu lagi, Azie segera masuk ke dalam. Pintu ditutup rapat. Dia tersentak apabila secara tiba-tiba ada tangan menyentuh bahunya daripada belakang.

“Kenapa ni, Azie?”

Nafas lega ditarik. Mujur Dania. Dia fikir tadi hantu wanita tua tidak berwajah. Azie beritahu pada Dania apa yang dilihatnya di luar sebentar tadi. Tetapi Dania seolah tidak percaya. Dia mengatakan Azie mungkin mengigau. Tahun 2023 masih ada lagikah hantu-hantu ini semua? Kerana tidak yakin Dania segera membuka pintu tanpa sempat Azie menghalangnya. Dia menjenguk ke luar. Memandang kearah tangga.

“Kan aku dah cakap, kau tu mengigau aje. Tengok? Mana ada hantu.”

“Tapi tadi aku nampak depan mata aku memang ada hantu dekat atas tangga tu!”

“Kalau ada, mana?”

“Entah. Mungkin dia dah pergi.” Azie yakin dia tidak mengigau.

Dania dan Azie kembali ke bilik masing-masing selepas mengunci pintu. Sebelum menyambung tidur, Azie melakukan solat sunat dahulu. Kemudian dia memanjat katil lalu berbaring. Matanya terkebil-kebil. Cuba mengusir kejadian menakutkan yang dialami dari terus mengganggu fikirannya. Seketika kemudian Azie terlelap.

Krrrkkk…krrrkkk…krrrkkk…

Bunyi cakaran di luar tingkap bilik. Semakin lama semakin jelas dipendengaran Azie. Mengganggu lena yang baru dikecapi. Tubuh Azie bergerak-gerak kerana rimas dengan bunyi tersebut. Wajahnya berkerut-kerut. Namun mata kekal terpejam. Sukar untuk dia membuka mata. Apatah lagi merasakan tubuhnya ditindih.

“Mengikut ramalanku di antara kalian pasti ada yang akan jadi pengkhianat! Pengkhianat! PENGKHIANAT!!!” Lantang makhluk itu menjerkah. Terasa bergegar seluruh ruangan bilik tersebut.

Tubuh Azie lencun dengan peluh. Dia masih cuba sedaya upaya menggerakkan setiap anggota tubuhnya dari cengkaman kuat makhluk itu. Hanya dari pandangan samar Azie dapat melihat makhluk ngeri yang sedang bertenggek atas perutnya. Seperti wajah Nek Semah? Tetapi lebih mengerikan! Tubuhnya kurus kering hanya menampakkan tulang. Rambutnya yang berwarna putih itu panjang serta mengerbang seolah ditiup angin kencang. Matanya pula hitam melolot ke dalam. Bergigi taring. Jari-jari runcingnya masih mencengkam kuat ke bahu Azie.

“Allahuakbar! Pergi! Pergi! Pergi!” Azie terjerit-jerit sambil meronta-ronta.

Rakan-rakannya terus terjaga setelah mendengar jeritan Azie. Sara menghampiri katil Azie. Mengejutkan gadis itu yang sedang meronta dan menjerit. Nita dengan Dania turut meluru masuk. Panik seketika mereka melihat keadaan Azie.

“Mengucap, Azie! Hei, Azie! Kau kenapa ni?” Sara cuba menyedarkan Azie. Pipi Azie ditepuk-tepuk lembut.

Azie terpinga-pinga. Melihat rakan-rakannya berada di katilnya.

“Mana hantu Nek Semah tu?” Soal Azie sambil matanya meliar tercari-cari kelibat makhluk yang menyerupai Nek Semah menyerangnya tadi.

“Sahlah! Kau ni mengigau. Mana ada hantu Nek Semah dalam bilik ni.” Kata Sara.

“Tadi pun sama. Azie mengigau cakap ada hantu dekat tangga luar. Bila aku tengok tak ada apa-apa pun.” Jelas Dania.

“Aku rasa kau ni sebenarnya terlampau fikirkan sangat cakap Nek Semah. Pasal ramalan dia yang entah apa-apa tu. Sebab tulah terbawa-bawa sampai ke dalam mimpi.” Nita terus menyampuk. Dia dengan Dania kembali semula ke dalam bilik.

“Dahlah. Tidur. Tak ada apa-apa. Kau mimpi aje tadi.” Sara mengusap-ngusap belakang Azie untuk menenangkan gadis itu.

“Tapi aku rasa macam betul aje tadi. Hantu Nek Semah tu cakap, antara kita ada yang jadi pengkhianat.”

“Kau ni…Mimpi tu kan permainan tidur semata-mata. Takkan kau nak percaya? Dahlah, tidur. Aku ada temankan kau. Tak payah takut. Baca ayat Kursi. Biar semua jin, syaitan, hantu ke, tak ganggu tidur kau lagi.”

Nasihat Sara memaksa Azie berbaring semula. Ayat Kursi dibaca sebelum memejamkan mata. Sara membetulkan sedikit selimut Azie. Setia menemani Azie di sebelah sehingga rakan baiknya itu terlelap.

.

.

.

Beberapa kali telefon Azie berbunyi. Dania abaikan saja sehingga telefon itu m**i sendiri. Nama si pemanggil, ‘Tengku Karman’ tertera pada skrin setiap kali ia berbunyi. Azie, Nita dengan Sara masih berada di surau menunaikan solat Asar. Sementara Dania sedang cuti solat. Dia menunggu rakan-rakannya di dalam kereta. Mereka dalam perjalanan untuk pulang ke Kuala Lumpur selepas menghabiskan cuti di kampung Tanjung Hulu.

Sekali lagi telefon Azie berbunyi. Masih pemanggil yang sama. Akhirnya, Dania terpaksa menjawab juga panggilan itu. Kasihan pula Tengku Karman terus menghubungi. Niat Dania hanya ingin memberitahu lelaki itu yang teman wanitanya sedang solat. Tetapi….

“Hello, sayang. Kenapa lambat jawab?”

“Azie tengah solat. Saya Dania.”

“Oh, Dania. Sorry. Saya ingatkan Azie tadi. Nanti kalau Azie dah siap solat suruh dia call saya, okey?”

“Okey. Eerr…kalau kita berbual sekejap boleh tak? Sebab saya rasa bosan pula tunggu sorang-sorang dekat dalam kereta ni. Saya tak boleh solat.” Teruja Dania dengar suara macho Tengku Karman. Harap lambat lagilah rakan-rakannya habis solat. Dapatlah dia berbual panjang sikit dengan lelaki idamannya itu.

Di kolej dia dengan Tengku Karman pernah juga bertegur sapa. Tapi cuma sekali sekala sahaja. Itupun sebab ada Azie. Kalau tidak tu susah dia hendak terserempak berdua dengan jejaka kacak itu.

“Ermm…bolehlah. Nak cakap pasal apa, ya?”

“Apa-apa pun boleh. Pasal awak masa kecil-kecil dulu, ke?”

Perbualan yang awalnya hanya pada perkara-perkara remeh, berlanjutan hingga kepada hal-hal yang lebih serius. Mereka mula bercakap tentang hati dan perasaan. Sesekali diselang-selikan dengan gelak tawa yang ceria.

Sejurus tiga orang rakannya itu kembali ke kereta, Dania pantas meletakkan telefon. Tetapi sempat mengucapkan selamat tinggal kepada Tengku Karman terlebih dahulu. Dania sampaikan pesanan teman lelaki Azie tadi, kepada gadis itu. Dia turut menggunakan alasan terpaksa mengangkat telefon itu kerana Tengku Karman sudah beberapa kali menghubungi.

Tanpa rasa ragu-ragu Azie mengucapkan terima kasih kepada Dania. Dia lantas menghubungi kekasihnya itu. Mereka berbual-bual sekejap di telefon sebelum Azie masuk ke dalam kereta, memandu dan meneruskan perjalanan mereka hingga tiba di ibu kota.

***

Semenjak perbualan mereka di telefon tempoh hari, hubungan Dania dengan Tengku Karman semakin hari semakin rapat. Tanpa pengetahuan sesiapa pun mereka sering bertemu secara sembunyi-sembunyi. Bahkan Azie sendiri tidak dapat menghidu kecurangan kekasihnya bersama teman baiknya itu. Lagipun Dania sentiasa menunjukkan sikap baiknya di hadapan Azie. Selalu mengambil berat. Bagaimana Azie hendak menyedari pengkhianatan rakannya itu?

Suatu malam. Ketika jam menunjukkan pukul sepuluh malam, di luar kawasan rumah sewa mereka, Nita secara tidak sengaja terlihat aksi Dania memeluk dan mencium pipi Tengku Karman di dalam kereta milik lelaki itu. Dia kelihatan sangat terkejut. Tidak menyangka sama sekali Dania sanggup berbuat perkara sekeji itu. Selama ini rakannya itu terlihat begitu polos. Suka menceriakan rakan-rakanya yang lain. Tidak pernah berpelesiran dengan mana-mana lelaki. Tetapi kini dia boleh nampak sisi buruk gadis bertubuh sederhana itu.

Setelah kereta Tengku Karman berlalu, Nita bergegas menghampiri Dania. Menepuk kuat belakang gadis itu sehingga membuatkan Dania tersentak. Kerana geram dan marah dengan sikap keterlaluan Dania, Nita telah memberikan amaran kepada gadis itu agar tidak mengulangi perbuatan tersebut lagi. Jika tidak, apa yang terjadi akan disampaikan terus kepada Azie. Tetapi kata-kata Nita itu bagaikan masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Dania langsung tidak hairan dengan ugutan itu. Sambil mencebik dia berlalu dengan selamba masuk ke dalam rumah.

***

“Azie, aku nak cakap sikit dengan kau? Pasal Dania dengan TK.” Nita tidak boleh bersabar lagi. Walaupun Dania adalah rakan baik mereka tapi apa yang dilakukan, salah tetap salah. Dia juga tidak mahu Azie terus tertipu dengan perbuatan mereka berdua. Nasihat sudah diberikan. Tetapi diabaikan.

“Pasal Dania dengan TK? Maksud kau?” Azie berhenti menulis. Meninggalkan meja tulis bersama buku-buku pelajaran. Mendekati Nita yang sedang duduk di atas katil. Dia turut melabuhkan duduk di sisi gadis itu.

Nita mencerita satu persatu. Bukan setakat hati saja yang sakit, telinga Azie juga panas mendengarnya. Sanggup Dania menikam belakangnya. Memang jenis kawan makan kawan betul! Apa pun Azie tidak mahu cepat melatah. Dia tidak akan ambil seratus peratus untuk percaya apa yang disampaikan Nita. Azie mahu menyiasat sendiri sehingga semuanya terbongkar.

***

Mesej-mesej yang dihantar Tengku Karman kepada Dania dibaca satu demi satu. Dengan mata panas, hati membara dan tangan yang menggigil. Tegarnya mereka. Sampai hati berlaku kejam terhadapnya. Bukan saja mesej, gambar-gambar mereka bermesra ada tersimpan dalam telefon itu juga. Mujur Dania tertinggal telefonnya ketika hendak ke kelas tadi. Dia pula tahu cara-cara hendak membuka telefon Dania yang terkunci. Dia pernah melihat nombor-nombor yang digunakan Dania untuk membuka telefonnya.

“Azie, kau kenapa?” Sara menegur Azie yang terisak-isak di atas katil.

“Kau tengoklah ni? Dania ni memang melampau. Aku rasa macam nak b***h aje dia! Sakit hati aku, tahu tak?!” Bentak Azie. Telefon Dania diserahkan kepada Sara.

“Ya, Allah! Betul ke ni, Azie?” Terkejut Sara setelah melihat gambar-gambar mesra Dania dengan Tengku Karman terpampang dalam skrin telefon itu.

“Sabar, Azie. Semua ni mungkin ujian buat kau. Kita bincang elok-elok dengan dia dulu, ya?” Pujuk Sara. Tidak mahu Azie bertindak terburu-buru.

“Aku tak ingin nak bincang elok-elok dengan manusia pengkhianat macam ni. Tahulah nasib dia, bila dia balik nanti.” Memang Azie seorang yang penyabar. Tapi dalam bab dikhianati dia tidak mampu bertolak ansur. Mengapa dia harus menerima semua itu? Sedangkan dia tidak pernah menyakiti hati sesiapa.

Ketika Dania pulang Azie terus sahaja menyerang rakannya itu. Rambut Dania ditarik. Pipi Dania ditampar berkali-kali. Nita dengan Sara yang berada diruangan dapur segera meluru ke luar apabila terdengar pertelingkahan kedua-duanya. Mereka segera meleraikan. Sara menarik Dania. Nita pula menarik Azie.

“Hei, Dania? Sudahlah tu! Ini memang salah kau pun! Kau yang rampas kekasih Azie!”

“Salah kau juga, Nita! Siapa suruh kau beritahu Azie?!” Tempelak Dania. Merah-merah pipinya kesan dari tamparan Azie. Rambutnya pun sudah berserabai.

“Lepaskan aku, Nita! Biar aku ajar mulut perempuan ni. Kurang ajar betul!” Bengang Azie dengan sikap Dania yang tiada langsung rasa bersalah.

“Bukan salah aku kalau TK sukakan aku. Mungkin dia dah bosan dengan kau. Sebab tu dia cari aku.” Selamba Dania memerli. Bertambah panas hati Azie.

Tubuh Nita ditolak kuat. Azie tiba-tiba berlari kearah dapur. Dia kembali semula dengan pisau di tangan serta riak wajah yang bengis. Ketiga-tiga mereka kelihatan cemas. Azie meluru kearah Dania. Nita dan Sara cuba menghalang. Tetapi kekuatan Azie tidak dapat mereka tandingi. Azie seperti orang kerasukan. Menolak Sara dan Nita dengan kuat sebelum menerpa kearah Dania lalu menghunuskan pisau ke perut gadis itu. Dania yang sudah rebah ke lantai ditikam berkali-kali tanpa henti.

“Ya, Allah! Azie! Berhenti! Apa kau dah buat ni?” Bergetar suara Sara. Nita juga tergamam sehingga tidak mampu mengeluarkan suara.

Dania sudah kehilangan nyawanya akibat tikaman beberapa kali di bahagian perut dan dadanya.

“Astaghfirullahaladzim!” Azie terus melontarkan pisau yang berlumuran d***h itu ke dinding. Dia sendiri tidak sedar apa yang dilakukan kerana dikuasai amarah.

“Kita kena laporkan hal ni kepada polis. Kau kena menyerah diri, Azie!” Tukas Nita.

Biarpun Azie tiada niat melakukannya, tetapi dia tetap telah melakukan kesalahan m******h.

“Jangan beritahu polis! Aku tak nak kena hukum gantung! Kau orang berdua tolonglah aku? Buat sesuatu. Jangan bagi sesiapa pun yang tahu. Please…? Kau orang berdua aje kawan yang aku ada.” Rayu Azie dengan tangisan hiba.

Sara yang berasa kasihan memeluk Azie dengan erat. Dia turut bersimpati apa yang terjadi kepada Dania. Inilah akibatnya bila nafsu bermaharajalela dalam diri. Tetapi Azie lebih rapat dengannya. Sara tidak boleh membiarkan Azie ditangkap dan menerima hukuman kerana m******h. Dia mencadangkan agar mereka membawa mayat Dania ke dalam hutan dan menanamnya. Segala bukti perlu dihapuskan. Nita yang keberatan untuk bersubahat sama akhirnya terpaksa akur juga. Cuma itu sahaja jalan dan pilihan yang mereka ada.

Kesan d***h merata tempat di ruangan itu dibersihkan dengan segera. Mayat Dania bersama pisau yang digunakan Azie untuk menikam, diletakkan ke dalam beg beroda milik gadis itu. Muat-muat saja ketika tubuh Dania disumbatkan ke dalam beg tersebut. Setelah memastikan keadaan sunyi tanpa kelibat sesiapa, beg yang mengandungi mayat Dania itu dimasukkan ke dalam bonet. Sara mengambil tempat untuk memandu kereta. Azie yang kelihatan masih trauma duduk di belakang bersama Nita.

Tiba di kawasan hutan, mereka baru teringat sesuatu. Cangkul! Mereka terlupa hendak membawa cangkul sekali. Bagaimana hendak mengorek tanah tanpa sebarang peralatan. Nampaknya, mereka tiada pilihan selain membuang beg itu ke dalam kawasan gaung.

Selesai semuanya mereka kembali ke rumah sewa tersebut dalam keadaan kepenatan. Masing-masing membersihkan diri dan berehat di dalam bilik. Buat seketika mereka ingin melupakan apa yang terjadi.

“Nitaaa…Nitaaa….”

Nita pantas membuka mata apabila terdengar namanya disebut. Dia terkejut melihat sosok seorang gadis berlumaran d***h di tepi sudut pintu.

“Dania, kau ke tu? Maafkan aku, Dania. Tolong jangan ganggu aku. Bukan aku yang b***h, kau!”

“Tapi kau bersubahat dengan mereka! Kerana kau juga aku dengan Azie bergaduh. Kalau bukan sebab kau yang beritahu dia perkara ni takkan berlaku! Semua salah kau! SALAH KAU!!”

“Tak! Aku tak salah! Bukan salah aku!” Nita cemas ketakutan. Dia berlari keluar daripada bilik. Mengejutkan Sara dan Azie.

“Kita kena serahkan diri pada polis. Apa yang kita buat ni salah! Tadi…Tadi…Dania datang ganggu aku….”

“Kau merepek apa ni, Nita? Mana ada orang m**i boleh hidup balik! Mungkin kau mengigau aje tadi.”

“Aku tak mengigaulah, Sara! Azie! Jom! Aku bawa kau pergi balai polis. Serah diri. Cakap kau dah b***h, Dania!” Nita menarik-narik tangan Azie. Memaksa Azie mengikutnya ke balai polis. Meronta-ronta Azie minta dilepaskan.

“Kau, dah gila, ke? Kau nak kita semua ke tali gantung?” Berang Sara dengan apa yang cuba hendak dilakukan Nita.

“Yang ke tali gantung cuma Azie aje. Bukan kita. Azie yang m******h!” Tekan Nita.

“Tapi kita dah terlibat sama. Kita juga bakal dihukum. Kau nak, ke?!”

“Tak kisahlah! Janji aku bawa Azie ke balai polis. Apa pun kita tetap kena serah diri. Aku tak nak roh Dania ganggu kita nanti.”

Kerana kedegilan Nita, Sara terpaksa bertindak. Dia memeluk Nita dengan kuat. Menyebabkan pegangan tangan Nita terlepas dari tangan Azie. Sara kemudiannya meminta Azie melarikan diri.

Kunci keretanya yang berada di atas meja segera disambar. Azie bergegas masuk ke dalam kereta. Dia memandu tidak tentu arah. Sehinggalah muncul di hadapan jalan wajah menyeringai Dania. Azie memberhentikan kereta secara mengejut. Tubuhnya yang menggigil berpeluh hebat. Nafas tercungap-cungap. Kelibat Dania yang muncul tadi ghaib entah ke mana.

Tiba-tiba, Azie terasa seperti ada seseorang duduk di sebelah. Perlahan-lahan dia menoleh dengan rasa gementar. Wajahnya kian pucat setelah memandang wanita tua yang sedang tersengih menyeringai itu.

“Betul tak apa yang Nek Semah ramalkan? Khi…khi…khi….”

“Argghhhhh….!!!” Lantas, Azie menjerit sekuat hati.

.

.

.

“Argghhh…! Argghh….!!!”

“Hei, Azie? Bangunlah! Apa ni terjerit-jerit? Bangun!” Sara yang terlena di sebelah Azie terus terkejut bila Azie tiba-tiba menjerit. Tubuh gadis itu digoyang-goyangkan untuk menyedarkan.

Tadi dia menemani Azie tidur. Tidak sedar bila masa dia juga tertidur sama. Tepinga-pinga Azie memandang sekeliling. Dia bingkas ke bilik Dania dan Nita. Kedua-dua rakannya itu dilihat sedang tidur nyenyak di atas katil masing-masing. Azie meraup wajahnya. Mengucap sambil mengurut dada. Dia masih dalam keadaan terkejut. Walaupun semua yang berlaku hanyalah mimpi, Azie terasa seperti perkara tersebut benar-benar terjadi.

***

Pagi itu Azie meminta rakan-rakannya mengemas. Dia tidak sanggup untuk menghabiskan cuti di tempat itu lagi. Diganggu kejadian-kejadian menakutkan dan mimpi ngeri memaksa Azie segera beredar dari kampung Tanjung Hulu. Bila rakan-rakannya bertanya, Azie hanya jawab tempat itu terlalu banyak gangguan. Lebih baik mereka tinggalkan tempat itu sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini.

Ketika sedang memasukkan beg ke dalam bonet, mereka disapa oleh seseorang. Terkedu Azie apabila wanita tua bernama Nek Semah itu muncul di situ.

“Pada ramalan Nek Semah, antara kalian berempat pasti ada yang jadi pengkhianat. Pasti! Khi…khi…khi….” Wanita tua itu tersengih-sengih sebelum berlalu.

Azie abaikan sahaja kata-kata Nek Semah. Sebab terlalu memikirkan ramalan wanita tua itulah dia mengalami mimpi yang bukan-bukan. Ngeri betul!

Mereka berempat hanya memandang Nek Semah yang jalan terbongkok tetapi langkahnya agak laju itu. Sebelum mereka kembali menyambung memasukan beg ke dalam bonet.

“Maaf, tumpang tanya. Ada nampak tak seorang perempuan tua lalu dekat sini? Umur dia lebih kurang lapan puluhan. Dia jalan terbongkok, pakai baju Kurung Kedah dengan kain batik. Rambut dia bersanggul dan ada terselit Bunga Melati. Kami tengah cari dia.” Kata lelaki awal tiga puluhan itu.

“Nek Semah?” Soal Nita.

“Ya, Nek Semah!” Jawab lelaki seorang lagi.

“Tadi dia ada dekat sini. Lepas tu dia pergi ikut jalan tu.” Dania muncungkan sedikit mulutnya menunjukkan arah ke mana Nek Semah lalu tadi kepada tiga orang lelaki itu.

“Encik bertiga ni siapa? Kenapa cari Nek Semah?” Tanya Sara sambil memandang wajah ketiga-tiga lelaki itu.

“Kami penjaga yang menguruskan rumah orang-orang tua. Nek Semah tu selalu saja melarikan diri dari situ. Bila dah dapat tangkap dia lari balik.” Beritahu lelaki bercermin mata itu.

“Kami dah dua kali terjumpa dia. Kenapa ya, Nek Semah tu suka bercakap pasal ramalan-ramalan ni?” Azie sekadar ingin tahu apa yang menyebabkan Nek Semah jadi begitu. Pasti ada berlaku sesuatu padanya.

“Oh, pasal tu. Saya pun tak tahu sangat kisah Nek Semah. Cuma pernah dengar orang kampung cakap, Nek Semah ni dulu seorang tukang tilik nasib. Pengamal ilmu hitam masa muda-muda dulu. Dia pernah terkena buatan orang. Orang tu tuju dekat dia sebab berdendam dengan Nek Semah yang sangat popular ketika itu. Lepas tu Nek Semah jadi gila. Nek Semah ni hidup sendirian sejak dia datang kampung ni. Tak ada keluarga. Lama juga dia gila. Jiran-jiran ada juga yang menjaga dia. Sebenarnya, Nek Semah ni suka mengganggu orang kampung. Kadang-kadang dia ketuk pintu rumah orang. Kadang-kadang dia menyanyi depan rumah orang tengah-tengah malam. Orang kampung dah lali sangat dengan perangai dia. Kalau dia bercakap pasal ramalan ni semua jangan percayalah. Otak dia dah tak betul tu.” Jelas penjaga rumah orang-orang tua itu. Mereka bertiga kemudiannya meminta diri untuk mencari Nek Semah.

“Jadi, Nek Semah yang nampak misteri dan suka cakap pasal ramalan tu seorang pesakit jiwa?” Ujar Dania sambil tergelak.

“Nasib baik kita pun tak sakit jiwa dibuatnya, kan? Aku dah agak. Orang tua tu memang tak betul.” Dari awal lagi Nita merasakan begitu.

Azie tidak berkata apa. Apa yang dilihat pukul tiga pagi itu, dia sangat yakin bukan Nek Semah. Tetapi makhluk yang menyeramkan.

Sara berlalu jauh sedikit setelah mendapat panggilan dari seseorang. Dia menjawab dengan suara yang perlahan. Tidak mahu perbualannya didengari sesiapa. Terutama, Azie!

“Sayang, kenapa you call sekarang? Tunggulah malam nanti.”

“I dah rindu sangat dekat you lah!”

“You rindu I ke, rindu Azie?”

“Dua-dua I rindu. Tapi I lebih rindu dekat you. Nanti balik kita jumpa okey?”

“Okey.”

“Love you!”

“Love you too TK!” Sara tersenyum ceria selepas menamatkan panggilan. Dia kembali semula kepada rakan-rakannya.

Namun di sebalik pokok bunga yang merimbun itu, ada sepasang mata tua sedang memerhatikan. Sehingga kereta yang dinaiki empat sahabat baik itu meninggalkan kawasan rumah rehat.

“Betul tak apa yang Nek Semah ramalkan?Khi…khi…khi…”

-TAMAT-

Penulis : Shazlina

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 45 Average: 4.6]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.