#Ratna – Budak Hitam & Perpustakaan Berhantu

Assalamualaikum. Ingat aku lagi?
Entri kali ini panjang sikit ya.

BUDAK HITAM
Gangguan ini berlaku ketika umur aku 15 tahun. Masa ni baru balik sekolah. Dalam pukul 2.00 petang macam tu. Macam biasa, aku kalau balik sekolah memang ingat nak tidur je. Tengah-tengah nak melayan mata tiba-tiba ada seekor anak kelawar terbang masuk bilik ikut lubang angin. Aku ni, bab binatang terbang-terbang ni geli lain macam. Aku dah standby nak melarikan diri tapi dia boleh pula jatuh depan pintu bilik. Jatuh dan terus m**i.

Tapi aku silap, dia bukan m**i. Kelawar tu makin membesar dan jadi budak perempuan sekitar umur enam tahun. Hitam legam, sampai mata dia pun hitam. Aku punya terkejut dan takutnya, hisshhh terasa-rasa sampai sekarang ni. Mak ayah aku kerja. Adik-adik aku pula entah mana. Waktu-waktu macam ni biasanya memang aku sorang-sorang kat rumah.

Budak tu duduk diam je dekat pintu sambil main jari-jari dia. Jari dia halus, banyak dan bersimpang siur. Kukunya pula tajam dan bengkok-bengkok, macam kuku kucing tu.
“Nama kau siapa?” Dia tak jawab.
“Kenapa kau datang sini?”
“Ada orang suruh.”
“Siapa?”
“Tak boleh bagitahu. Dah janji.”
“Kau nak apa ni?”
“Dia suruh mintak kau makanan. Kalau kau tak bagi makan, dia suruh aku makan kau.” Dia menyeringai. Nampak gigi taring banyak, bertindih-tindih dan kecil-kecil. Aku terus tutup muka, buat tak layan tapi sumpah tak boleh tidur. Nak keluar bilik dia dekat pintu pula. Tak lama lepas tu aku rasa macam ada haba panas dari kaki sampai ke kepala. Selepas rasa panas tu, budak tu pun hilang. Terus aku solat Zuhur. Selalu solat Zuhur hujung waktu, layankan tidur dulu. Haih.

Tiga hari, selepas pertemuan pertama. Aku tak pasti pukul berapa tapi dah malam lah. Aku toleh ke pintu dan aku nampak budak perempuan tu. Dia menyanyi entah lagu apa.

“Kalau kakak nak kawan dengan aku, aku takkan makan kakak.” Memang taklah kan. Seram lain macam budak perempuan ni. Aku tarik selimut, buat-buat tak dengar.
“Aku tak ada adik-beradik. Aku jalan sorang-sorang lepas tu aku pergi kat tempat orang buat rumah. Aku jatuh dan masa tu jengkaut tengah buat kerja. Terkena aku sampai kepala aku putus dari badan macam ni.” Dia pun cabut kepala dia. Aku pejam mata, pusing ke dinding. Budak perempuan tu memang kat pintu je, tak ke mana-mana.
“Dulu sakit.” Dia menangis mendayu-dayu.
“Tapi sekarang dah tak. Hahahah.” Selepas rasa panas satu badan, budak perempuan tu pun hilang.

Namun keesokan harinya, tangan kiri dan kananku ada kesan cakar. Sakit jangan cakaplah sebab lukanya agak dalam. Semenjak hari tu, setiap kali terasa haba panas dari kaki hingga ke kepala, ia mengundang kesan cakar di tangan, kaki, belakang badan dan leher. Luka-luka itu tidak pernah sembuh sebab baru jek luka nak kering, akan ada kesan cakar di atas luka lama secara tiba-tiba. Kadang-kadang aku pun tak perasan sampai kawan-kawan tegur bila ada kesan d***h dekat lengan baju sekolah aku baru aku tahu. Luka sentiasa sakit sampai tak tahu beza sakit luka baru dengan luka lama. Tempat luka rasa panas je. Perkara ini berlangsung hampir setahun. Berubat, hilang sekejap dan jadi lagi. Parut luka-luka tu pun kekal sampai sekarang. Halus dan sedikit timbul.

Selang beberapa tahun, masa tu dalam 2 3 bulan nak kahwin. Budak perempuan itu muncul lagi. Aku ingat, lepas berubat dan sembuh, budak tu mungkin m**i atau hilang tapi tidak. Kali ini dia datang sambil nangis-nangis.

“Sebelum aku m**i, mama aku selalu dera aku. Bila aku m**i, orang tu ambil aku.”
“Siapa ambil kau?”
“Tak boleh bagitahu. Dah janji.”
“Kau nak apa lagi ni?”
“Sekarang orang tu selalu pukul aku. Pijak-pijak aku.”
“Kenapa pula?”
“Sebab kau selalu menang. Kau tak boleh kahwin!” Episod panas satu badan dan cakar bermula semula. Aku ambil masa untuk sembuh lebih kurang dua bulan selepas berubat.

Masa aku warded sebab ada masalah dengan Teja (masa tu masih dalam kandungan), doktor yang setiap tiga hari ambil d***h aku siap cakap.
“Kalau puan didera oleh suami, puan boleh beritahu saya dan saya akan tolong.” Aku senyum je. Walaupun disoal beberapa kali aku tiada jawapan. Nak beritahu yang sebenar takut doktor tak percaya pula. Baik aku diam. Sekarang gangguan dari budak perempuan memang dah tak ada. Aku tak tahu budak perempuan tu apa dan aku memang tak nak tahu siapa yang hantar dia.

PERPUSTAKAAN BERHANTU
Ini adalah entri aku yang pertama, sebelum bercerita tentang kerabat bunian tu.

Ada suatu hari di mana, bahagian aku perlu bekerja lebih masa untuk menyiapkan bahan mesyuarat yang akan berlangsung keesokan paginya, lebih kurang jam 9.00 pagi. Ketika itu, aku bersama tiga orang lagi rakan sepejabat.

Memandangkan kami memerlukan banyak bahan rujukan serta perlu menggunakan meja yang lebih besar, kami menyiapkan bahan mesyuarat di perpustakaan pejabat kami. Ramai yang tahu, perpustakaan adalah tempat yang agak seram di pejabat kami namun kami tiada pilihan.

Aku membuka lagu-lagu Avril Lavigne dengan kuat memandangkan suasana begitu sunyi. Yang kedengaran hanyalah ketukan papan kekunci. Ia agak janggal bagiku. Jam sudah melepasi pukul 7.30 malam dan kami bergilir untuk menunaikan solat Maghrib. Dua rakanku pergi ke surau dan aku masih meneruskan kerja-kerjaku.

Tidak lama kemudian, lagu-lagu sama yang sudah replay dua tiga kali kedengaran tersangkut-sangkut dan telingaku terasa panas. Tiba-tiba terasa ada sesuatu yang menghembus wajahku dan ketika itu aku ternampak sepasang kaki yang sangat besar dan bila aku dongak, kelihatan paha yang menghilang di balik syiling. Kelihatan juga sepasang tangan separas pergelangan tangan dan aku kira makhluk itu sangatlah besar. Aku mula berpeluh sejuk.

Tiba-tiba, kedengaran lagu Ulik Mayang muncul dari corong komputer ribaku. Aku teringat, dalam playlist lagu-lagu Avril Lavigne, memang terselit lagu tersebut. Kali ini, aku sangat takut hingga aku tidak mampu mencapai telefon bimbitku walaupun ia hanya sejengkal daripada tanganku. Kedengaran lagu Ulik Mayang itu seperti dinyanyikan oleh dua hingga tiga orang. Suaranya putus-putus dan ia kedengaran sangat dekat denganku. Aku toleh ke kiri dan kelihatan seorang perempuan berambut panjang, sedang menyanyikan lagi itu sambil menghantukkan kepalanya ke dinding berulang kali.

Panik dan aku tidak mampu ingat ayat Kursi yang aku hafal selama ini. Aku ternampak dua rakanku dan aku agak lega namun hampa kerana kedengaran perbualan mereka;
“Eh, mana Ratna?”
“Beli makanan kot. Laptop masih on, handphone dia pun ada tu.”
“Jomlah kita beli makanan juga.” Aku menggeletar. Tak nampak aku? Memang mereka hanya menjenguk, tidak masuk ke perpustakaan, namun mustahil mereka tidak nampak aku! Memang perpustakaan ini kelihatan malap dek dua tiga mentol yang telah terbakar tapi ia cukup terang untuk mereka nampak aku. Badanku memberat, aku tidak mampu bangun dari kerusi.

Makhluk besar di hadapanku tadi sudah hilang. Namun yang membimbangkan adalah perempuan Ulik Mayang itu. Dia menoleh kepadaku. Wajahnya dipenuhi d***h kesan dari hantukkan. Wajahnya pucat kebiruan dengan urat yang kelihatan berselirat di wajahnya. Dia memandang aku lama dan dia mula menangis. Perempuan itu semakin lama semakin menghampiri aku. Wajahnya lebih kurang sejengkal dengan wajahku. Tangisannya sangat menyeramkan, kedengaran hanya bergumam di rengkungnya, tidak membuka mulut (aku harap pembaca faham apa yang aku nak sampaikan). Wajahnya tetap kaku sambil air matanya mengalir deras. Dia menyentuh pipiku dengan jari-jarinya yang hampir tinggal tulang.

“Allahuakbar!” Meja di hadapanku ditepuk kuat. Aku tersentak!
“Kau menangis kenapa? Jom kitorang teman kau solat Maghrib. Kemas semua, lepas solat terus balik.” Tegas rakanku. Aku menyeka air mataku. Entah kenapa pula aku menangis?

Keesokan harinya, aku diasak bertubi oleh dua rakan dengan soalan ‘kenapa kau menangis beria sangat?’. Sumpah, aku memang tak nangis pun. Aku cuma tengok je perempuan tu menangis. Tu pun sebab aku tak boleh gerak, kalau tak dah lama aku lari. Sampai sekarang aku masih tak tahu apa yang jadi dengan aku masa tu dan kenapa aku yang menangis?

Terima kasih kerana membaca.
Selamat hari raya. Maaf zahir batin.

Ratna

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 3]

2 thoughts on “#Ratna – Budak Hitam & Perpustakaan Berhantu”

  1. Aduh….seram betul. Tapi lagu-lagu hiburan ni memanglah zikir iblis. Pasang berterusan semasa maghrib seolah menjemput dia lah. Bagaimanapun, kalau ada pengalaman lain kongsi lah ya.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.