RAYAU

Ternganga mulut mulut pak cik pak cik bawang di kedai Siah janda petang itu. Beria ia Ajis bercerita sambil tergawang gawang tangannya seperti gaya mami jarum.

Betul…masa aku nampak pontianak tu tengah menangis bawah pokok pisang tepi balai raya tu, aku berhati hati pi kat dia, mana tau dia perasan aku tengah pi kat dia. ” Cerita Ajis

“Lepaih tu? ” Soal Tapa.

“Hang sabaq sat bulih dak, nak cerita la ni. Sekali dia toleh, perrghh, muka dia, kalau hampa tengok tobat pengsan weii! ” Sambung Ajis.

” Aku ni, masa tu dah ketaq dah, tapi, aku beranikan diri, aku baca ayat Qursi, aku tiup kat dia, tiba tiba dia terbang mai kat aku, dia cakaq muka aku.” Ajis mengakhiri sambil ainimenunjukkan pipinya yang luka.

Suasana kedai Siah janda kembali normal. Pelanggan pelanggan yang mengerumuni Ajis mula ke meja masing masing.

Jarum jam turut berputar seperti biasa. Hari semakin kelam. Siah mula mengemas kedai. Tepat jam 10 nanti kedainya akan ditutup.

Pak Tam pelanggan terakhirnya yang keluar dari kedai. Terkial jual lelaki berusia 50an itu menyorong motosikal. Kain pelikat yang dipakai diselak separas lutut sebelum naik ke atas motornya.

Pak Tam menunggang motor penuh hati hati. Saat lalu berhampiran pokok pisang di tepi balai raya, cahaya lampu motornya tersuluh satu sosok wanita berambut panjang kusut masai sedang bertinggung di situ.

Apa lagi, otaknya terus teringat cerita Ajis petang tadi. Ah, timbul rasa menyesal kerana terlalu lama lepak di kedai Siah janda, kan dah terserempak dengan pontianak. Pak Tam melajukan motornya.

Untung saja Pak Tam tak diapa apakan oleh pontianak tersebut. Esoknya kecoh sekampung cerita pak Tam terjumpa pontianak. Cerita pontianak tidak habis di situ saja, hari demi hari, ada saja kisah orang kampung terserempak pontianak berjalan malam sambil menggendong bayi.

Yang terbaru, kecoh rumah Milah diketuk tengah malam. Bila diintai, kelihatan seorang perempuan sedang menggendong bayi. Bayinya tak henti menangis, terdengar juga tangisan mendayu dayu wanita itu.

Milah juga turut mendengar wanita itu menyebut, “aku lapar !”

Cepat cepat Milah beredar dari tingkap.Berbagai surah Milah baca, akhirnya sosok wanita itu pergi juga.

” Lagu mana ni imam? Takkan kita dok diam saja, imam ada apa apa cadangan tak? ” Soal tok ketua.

Imam Hafiz hanya diam, geleng tidak, angguk pun tidak . Ralit dia memikir jalan penyelesaian.

“Kita ronda malam tok, kita cari pontianak tu.!” Tiba tiba Karim bersuara.

Hanya beberapa orang sahaja yang bersetuju dengan cadangan Karim yang dianggap kerja gila.

Seperti biasa, Siah menutup kedainya tepat jam 10 malam. Setelah pasti tiada sesiapa , Siah dengan langkah terhendap hendap melangkah ke belakang .

“Nah, ni habuan kau, jangan merayau, orang kampung tengah meronda.” Pesan Siah pada sosok wanita berambut kusut.

“Aku lapar! ” Kata sosok itu.

“Makan ja apa yang ada, sudah cukup bagus aku kasi hang makan.” dengus Siah.

Rakus sekali sosok wanita berbaju lusuh melahap makanan yang diberi oleh Siah.

Tanpa Siah sedar, ada dua pasang mata sedang mengintainya. Siah beredar dari situ untuk pulang .

“Jangan jangan pontianak tu, belaan Siah? Hang nampak kan Siah bagi dia makan tadi? “Soal Bob pada Amsyar.

“Jom kita bagitau tok ketua.” Ajak Amsyar.

Maka, tersebarlah berita Siah ada membela . Hairan Siah bila kedainya lengang, pelanggan pelanggan tetapnya hanya lalu di hadapan kedainya tanpa singgah seperti selalu.

Jam sudah 9.30 malam, memandangkan tiada pelanggan, Siah menutup kedainya awal dari selalu.

Sebelum pulang, Siah terhendap hendap sambil berjalan menuju ke belakang kedainya.

“Nah, makan ni.” Siah bercakap dengan sosok wanita semalam.

“Seraaanggg ! Allahuakbar! “

Tergamam Siah dengan pekikan manusia manusia yang entah dari mana datangnya.

” Ooo, ini setan hang ya , dasar janda!” Tengking Bob.

” Kita bakar ja dia dengan setan ni tok !” Pekik Amsyar.

“Sabar, sabar, kita dengar dulu cerita Siah.” Tegur tok ketua.

Keadaan yang tadi agak tegang, kini sedikit reda. Kelepuk! Kelepuk ! Siah mengetuk kepala Bob dan Amsyar.

“Setan kepala otak hang, setan mana ada kaki, tu, hang nampak dak kaki dia? ” Soal Siah sambil membesarkan matanya .

“Maaf la tok, Siah tak tau nak mula dari mana. Dia ni bukan hantu tok, tapi bekas madu Siah. Dia mengalami tekanan perasaan, laki dia, bekas laki Siah dah kikis duit dia tok, masa dalam pantang, laki dia bawa balik betina lain, dihalaunya dia ni tok.” Terang Siah.

“Siah pun baru dua hari lepas terserempak dengan dia, Siah dah ajak dia tinggal dengan Siah, tapi dia tak mau, dia nak merayau , nak cari laki dia.” Terang Siah lagi

Imam dan tok ketua melepaskan keluhan .Siah mengetap bibir menahan marah pada Bob dan Amsyar. Mentang mentang Siah tak pernah melayan kegatalan mereka, berani mereka memfitnahnya.Bob dan Amsyar tersengih memandang Siah.

Akhirnya tok ketua berjaya memujuk bekas madu Siah tinggal di rumahnya.Setelah dua bulan di rumah tok ketua, perempuan itu semakin sihat.Sudah mampu menunaikan solat.

Bukan main seronok bini tok ketua melayan anak perempuan itu . Dapatlah melepas rindu pada cucu cucu yang jauh di bandar . Setelah habis berpantang, dia meminta izin tok ketua untuk tinggal bersama Siah. Malah, dia turut membantu Siah di kedainya.

Menurut ceritanya, fikirannya terganggu kerana setelah duitnya dikikis, semasa dalam pantang, dia diceraikan, anak sulungnya diambil oleh bekas suaminya . Malah suaminya membawa pulang kekasihnya semasa dia dalam pantang.

Sejak itu dia merayau ke sana sini dengan harapan terjumpa suaminya,dia mahukan anak sulungnya .

Kini, dia tidak lagi merayau. Dia merasa malu teramat sangat pada Siah. Mungkin ini balasan Allah padanya. Meskipun dia pernah menyakitkan hati Siah, Siah masih sudi membantunya.

Tamat

#MUMMYLESONG

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 24 Average: 4.4]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.