Selamat Pengantin maut

SELAMAT PENGANTIN MAUT !

(CERITA SERAM PSIKOPAT)

Pertemuan dan perpisahan adalah aturan Yang Maha Berkuasa tanpa dapat kita elak. Tak perlu ada kata sesalan jika kau tak suka. Ianya tetap akan terjadi.

Jodoh dan ajal juga begitu. Jika tertulis sudah dia jodoh kau, larilah macam mana pun…ia tetap melekat bagai gam.

Namaku, Malika. 24 tahun. Baru beberapa jam diijab kabulkan bersama lelaki bernama Zulfan. Dia tua 10 tahun dariku.

Seorang lelaki berkerjaya dan serba serbi tiptop. Anak orang kaya, berpelajaran tinggi, bergaya, kacak, ramai peminat. Dan, agak romeo orangnya.

Kenapalah ayah jodohkan aku dengan Zulfan? Bukankah satu masa dulu ayah sangat membenci dirinya? Lelaki itu pernah menghina aku ini miskin dan hodoh. Ditertawakan anaknya ini di khalayak ramai.

Sebagai gadis tak punya rupa dan harta, aku cuma mendiamkan diri bila dihina dan ditertawakan beramai-ramai.

“Nanti dah penat, mereka akan berhenti dengan sendirinya.” Kata ayah padaku.

Dari awal semester aku masuk kolej gah itu atas kebaikan Dato’ Zahir selaku majikan ayah, hinggalah tamat pengajianku di situ…Zulfan tetap menjadikan aku bahan gurauan dia dan rakan-rakannya.

“Kalau kau tak suka perempuan tu, bagilah kami.“ usikan nakal dari Shidi rakan baik Zulfan mengganggu mood aku di awal pagi.

Setiap hari aku terpaksa menahan telinga bila turun dari kereta bersama Zulfan. Kawan rapatnya Shidi dan Aisy akan setia menunggu.

Mentanglah aku tidak cantik, menumpang kereta anak boss pula…mereka jadikan aku bahan gurauan!

“Kenapa diam? Tak percaya aku terima kau jadi isteri aku?” Sergahan Zulfan mematikan lamunanku.

Aku teruskan memandu menyelusuri jalan gelap bertemankan bintang yang malap, bulan seakan malu menunjukkan wajah. Berselindung di balik awan hitam.

“Macam nak hujan. Risau sampai lambat,” alasan kukuh aku berikan.

“Bangga dapat jadi menantu Dato’ Zahir?” Soalnya dengan sedikit senyum yang menyakitkan hati.

Aku tak lapar pun jadi menantu dato’. Kalau tak kerana desakan ayah memang aku dah tolak dari awal.

“Tak happy jadi isteri aku? Hahahah…nak sebut pun rasa nak termuntah! Isteri sangat!”

Di satu simpang tiga aku berkira-kira samada harus belok ke kanan atau ke kiri? Lelaki yang baru 12 jam menjadi suami yang sah ini terasa bagaikan langau. Bingit di tepi telinga.

“Aku tak minta pun jadi isteri kau. Bukan kehendak aku.” Memang bukan aku yang tergila gilakan dia. Sebelah mata pun aku tak pandang!

“Kenapa lama sangat berhenti ni? Simpang mana pun tak ingat? Lemah betullah kau ni!”

Merungut pula jantan ni! Memandu pun tak pandai, cuma harapkan ayah aku selama ni. Kerana ayah diserang penyakit jantunglah aku terpaksa galas tugas ayah. Ke hulu ke hilir ikut telunjuknya.

“Ayah perlukan kos pembedahan jantung yang banyak, Malika. Tolonglah ayah. Permintaan dato’ ayah tak mampu tolak. Kau seorang diri kalau ayah m**i…,”

“Jangan sebut perkataan tu, ayah! Malika cuba merayu dato’.”

Telah ku temui dato’ untuk meminjam kos perubatan dan pembedahan untuk ayah. Akan aku lunaskan hutang bila aku telah bekerja nanti.

“Aku nak Zulfan nikah dengan Malika. Selesai semua masalah. Sebab aku nak kawal sikap liar dia dengan cara ni. Tolonglah, Malika.”

Ku sangkakan pertemuan dengan dato’ dapat melembutkan hatinya untuk memberi pinjaman wang padaku.

Memandangkan keadaan ayah semakin tenat. Pembedahan tak dapat ditunda lagi. Aku terima syarat dato’ bersama sejumlah wang untuk ayahku.

“Hei, perempuan! Aku tak suka kau kongkong hidup aku. Lepas ni kau kena hantar aku ke mana saja yang aku nak pergi. Clubing tu hobi aku. Ramai awek tunggu aku dalam tu. Kau kena simpan rahsia aku dari ayah. Kalau kau khianat, aku humban kau dalam laut! Faham?”

Tersenyum aku mendengar ugutannya. Betullah sangkaanku sebelum ini. Dia menikahi aku semata mata kerana ingin mewarisi harta Dato’ Zahir. Dato’ memilih aku kerana aku tidak sosial, pandai memandu kereta pula.

“Kondo ayah bagi tu aku akan bawa kawan-kawan berparty. Kau tak boleh larang. Dan aku nak kau diam!”

“Baik, boss!” Jawabku.

Perjalanan menuju ke kondo yang dato’ hadiahkan untuk kami memang agak jauh dari kesibukan kotaraya. Aku tahu ada dua jalan menuju ke sana.

“Betul jalan ni? Lain macam gelap aku tengok?“ lelaki angkuh ini mulai kecut perut.

Sedang dia leka memberi amaran pada aku tadi, dia tidak perasan aku telah memilih satu simpang yang tak pernah dilaluinya. Jalan di lereng bukit tanpa cahaya lampu jalan.

“Ini jalan lain, Encik Zulfan. Jalan pintas ke kondo. Cuba bertenang,“

Dia terus mengalihkan pandangan ke telefonnya. Tersengih-sengih dan sesekali tertawa sendiri. Dengan video yang dimainkan kesemuanya ucapan SELAMAT PENGANTIN BARU dari beberapa orang rakan wanitanya.

Ada yang marah kerana merahsiakan pilihan hatinya, ada yang merengek manja memarahi Zulfan kerana melangsungkan pernikahan secara mengejut.

“I tak akan berubah, honey. Zulfan tetap Zulfan yang dulu. Nanti kita enjoy sama-sama,“

Gembiranya dia melayani perempuan peneman hidup sosialnya selama ini.

“Orang dah ada wife, mesti kena gari. Oklah, sampaikan wish i dekat wife you. Selamat Pengantin Baru, darling! Memuahhh!!!“

“Bukan Selamat Pengantin Baru, honey.“ terkekeh kekeh Zulfan menahan tawa.

“Tak faham?“ pekikkan manja dari talian aku dengar dengan jelas. Memang sengaja dikuatkan speaker.

“SELAMAT PENGANTIN MAUT. Hahahaha….“ besar ketawanya hingga aku pula yang terasa panas hati.

“Ohh, faham faham…sebab dapat wife taste uncle-uncle! Kikikii…“ seronoknya perempuan di dalam talian mentertawakan aku.

Aku sabarkan hati sendiri. Jalan gelap bersama pohon-pohon besar di kiri kanan jalan membuatkan aku berasa seram. Mataku liar melihat sekeliling. Tiada sebuah kereta pun bersama kami meredah jalan berbukit yang tak berlampu ini.

“Semua kawan aku fikir aku ni gila. Sebab pilih kau jadi isteri. Kalau aku tak pilih kau, tak dapatlah semua harta ayah aku tu.“ rungutan Zulfan membelah kesunyian malam.

“Sekarang kau dah dapat semua harta dato’, puaslah hati kau. Tahniah, Zulfan.“ ucapku.

Dia tersenyum riang sambil memandang ke luar. Beberapa jam selepas majlis akad nikah, datang peguam peribadi dato’ menyerahkan beberapa dokumen untuk Zulfan tandangan.

Kesemua harta Dato’ Zahir berpindah hak milik ke tangannya. Dato’ Zahir akan berehat di Madinah tanpa mengambil tahu hal perniagaan dan hartanya.

Aku juga diminta menandatangani beberapa dokumen penting. Kehendak dato’ kami turutkan agar dia gembira.

“Lama betul nak sampai ke kondo? Awek-awek aku dah tunggu lama. Kau jangan spoil mood aku, Malika. Aku nak enjoy puas-puas malam ni,“ tak sabar agaknya lelaki yang bergelar suami aku ni. Sabarlah wahai hati.

“Zulfan, kau tahu nama bukit ni?“ soalku.

“Tak.”

“Bukit Pengantin Maut namanya.”

“Apa punya celaka lah nama?!”

Aku ketawa lucu mendengar kata-katanya. Dia mula memandang sekeliling. Semakin tinggi bukit kami daki bersama kereta lambang kuda pemberian ayahnya, semakin cuak wajahnya.

Aku pun ceritakan kisah lagenda tentang BUKIT PENGANTIN MAUT padanya.

Di puncak bukit ini ramai orang terjumpa seorang perempuan berpakaian gaun pengantin berwarna putih. Perempuan berwajah penuh berdarah itu akan muncul sekiranya salah seorang pasangan pengantin itu tidak setia.

“Merepek apa kau ni! Cepatlah drive tu!“ Zulfan mulai gelisah.

“Ramai pasangan yang datang ke atas bukit ni untuk menguji kejujuran pasangannya.“ aku teruskan ceritaku.

“Tak payah nak takutkan aku!“

Perempuan bermata putih hanya akan muncul di depan pasangan yang tidak jujur, curang, menzalimi pasangannya.

“Kalau tak jujur…apa jadi?”

Aku diam. Dia mulai menunjukkan rasa tidak sabarnya. Tiba di atas bukit berselekoh tajam, sesosok tubuh bergaun putih muncul dengan senyuman luas sampai ke telinga.

Biji matanya putih! Aku dan Zulfan menjerit ketakutan bila dia melompat naik ke atas penutup enjin kereta. Mulutnya tak henti melelehkan d***h pekat.

“Aku dah cakap, dia mesti muncul.“

“Ke kenapa dia mun muncul?“

“Sebab hati kau kotor! Hahahahaha…,“

“Malika!“

Jeritan Zulfan seiring dengan bunyi rempuhan kereta pada sebatang pokok besar di tepi bukit. Pintu sebelah kiri mengehentam kuat sehingga Zulfan ikut terhentak dengan teruk.

“Tolong aku, Malika. Aku tak nak m**i…,” bergetar suaranya dalam keadaan kepalanya berdarah, mukanya sedikit hancur di sebelah kiri.

“Ini baru padan dengan muka kau!” Jeritku sambil menyapu serpihan kaca di badanku.

Beberapa luka kecil di pipi serta tangan mulai terasa pedih. Namun aku berasa puas!

Dengan sekuat tenaga, aku memulas stereng ke kanan. Aku akan biarkan Zulfan m**i!

“Malika!“

Buat kali keduanya, aku melanggar pokok dengan menghempas bahagian kiri lagi. Tersembur d***h segar keluar dari mulut Zulfan. Suaranya mula tersekat sekat meminta bantuan dariku.

Satu panggilan masuk.

Nama Dato’ Zahir tertera pada skrin.

“Ayah…tolong…kami.“ aku merintih.

“Mana kamu berdua pergi?“

“Bukit Berangin, ayah…Zul yang ajak. Tapi…“

Cepat-cepat aku putuskan talian. Zulfan memandang aku dengan pandangan sayu. Aku tahu nyawanya semakin tipis. Padan muka kau!

Sengaja aku mereka cerita di depannya. Tak sangka pula ada makhluk bergaun pengantin muncul tadi.

“Selamat jalan, Zulfan. Terima kasih kerana tinggalkan harta yang banyak untuk aku.“

Terbayang bayang saat aku menandatangani dokumen petang tadi. Semua harta milik Zulfan anak jutawan bernama Dato’ Zahir akan beralih ke tangan isterinya, iaitu aku…sekiranya Zulfan MENINGGAL.

Sekali lagi Dato’ Zahir menghubungi telefon Zulfan. Dengan tangisan dan deraian airmata, aku menjawabnya.

“Cepat datang, ayah…Zul tenat. Tolong selamatkan Zul, ayah…Zul, jangan tinggalkan aku!!!!“

“Zul…fan…anak aa ayah!“

Terdengar telefon dato’ seakan terhempas. Suara ayahku pula menjerit memanggil nama dato’.

“Malika!“

“Ya, ayah?“

“Dato’ dah tak ada. Balik cepat, nak.“

“Baik ayah,“

**********

SEKIAN. TERIMA KASIH.

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 66 Average: 3.3]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.