Berkongsi Rumah Dengan Senah

Salam sejahtera. Aku lelaki dewasa yang bukan lemah semangat dan tiada apa keistimewaan seperti hijab terbuka ke apa. Tapi masa muda-muda dulu, aku kerap juga “terjumpa” benda-benda halus ni walaupun aku bukan jenis lemah semangat atau penakut tahap gaban. Kisah yang aku nak cerita ni berlaku semasa aku tinggal di flet Pandan Jaya. Walaupun sudah lama, tetapi ia masih jelas dan setiap kali aku melalui Pandan Jaya, aku mesti teringat kisah satu entiti yang aku namakan “Senah”.

Satu hari tu aku balik kerja agak lambat dan menggunakan LRT. Dulu, antara LRT Pandan Jaya dan Pandan Indah di tepi trek hanya semak samun yang boleh dipanggil hutan. Aku balik menggunakan LRT terakhir. Kerana kepenatan, aku turun di stesen Pandan Jaya dan berjalan balik ke block flet yang aku tinggal. Walaupun stesen Pandan Indah lagi dekat, aku sebenarnya lebih takut kerana selain gelap, hutannya lebih tebal dan jalan tikusnya berlubang-lubang. Selain hutan, di jalan pintas kat stesen Pandan Jaya tu ada logi penapis najis. Memanglah port hantu setan bergelandangan.

Sebaik saja masuk ke tepi loji kerana ada jalan tikus di situ, aku perasan ada orang mengikuti aku. Bunyinya seperti plastik yang direnyuk-renyuk. Semakin laju aku berjalan, semakin dekat bunyi itu di belakang aku. Aku menoleh ke belakang, dan aku nampak seperti orang pakai telekung terhoyong hayang berjalan dengan sangat cepat menghampiri aku. Kerana terkejut, aku mula berlari. Aku dapat merasakan nafas entiti itu di belakang aku sambil dia mengeluarkan bunyi ketawa mengejek. Susuk badannya kurus tapi tinggi. Sangat dekat rasanya. Masa tu aku memang cuak gila sehinggalah “benda” itu terbang ke atas pokok asam jawa di tepi sebuah block. Sempat pula dia menggoncang pokok asam yang besar tu. Aku hampir nak pengsan sebab terkejut.

Kisahnya tak habis di situ. Sebab terkejutlah aku demam. Gila tak demam? Jadi esoknya aku hanya terlantar. Badan rasa sangat lemah. Lepas jumpa doktor, aku balik ke rumah. Di sinilah “Senah” menunjukkan dirinya. Aku ingat lagi petang tu hujan panas turun. Kilat sambar menyambar. Petir jangan cakaplah. Sebaik saja bilal azan Asar, serentak petir yang sangat kuat sehingga terasa bergegar bilik aku. Saat tu, dari siling rumah aku nampak tangan kurus dengan kuku yang hitam dan sangat panjang menembusi siling. “Senah” keluar merangkak, melekat di dinding. Sepanjang azan berkumandang, “Senah” melekat di dinding sambil memandang tajam pada aku.

Mukanya pucat lonjong dengan mata yang sangat besar, merah dan anak matanya seperti kucing. Tiada kening dan menggerutu. Dahinya tinggi. Cengkung sampai nampak tulang pipi tersembul. Sambil merenung, dia menyeringai menampakkan barisan gigi tajam yang berwarna kehitaman. Kalau korang tengok gigi jerung, macam tu la rupa giginya tapi tajam2 dan lebih panjang. Rambutnya panjang keriting dan bau cik Senang ni busuk mengengat hidung. Baju putih yang dibadan dia tu aku ibaratkan macam kain putih lusuh yang kita renyuk2, tanam dalam tanah, dan kemudian pakai.

Kukunya panjang wei, bukan macam Maya Karin tu. Panjang dan bengkok. Berwarna hitam. Jarinya kurus macam kita tengok rangka dalam makmal sains tu. Bayangkan Senah melekat di dinding sepanjang azan berkumandang tak berkelip memandang aku yang terbaring. Kejap menyeringai kejap serius. Pergerakan dia sangat lambat seperti korang nampak kucing mengendap burung. Macam tu lah lambatnya dia bergerak. Kejap-kejap dia macam menggerakkan kepala dia sikit ke kiri dan kanan. Dan memang aku dengar dia ketawa mengejek aku yang takut gila masa tu. Sebaik azan tamat, tiba-tiba Senah berdiri di hujung katil aku, merenung aku macam marah dan terbang melalui pintu bilik menembusi dinding. Hilaian dia lekat di telinga aku hampir dua minggu. Hilaian dia bukan macam kita dengar macam cerita hantu, “hihiihi” gitu. Hilaian dia nyaring, macam bunyi riang2 tapi “hihihi” dia tu cepat macam rekod rosak.

Sejak hari tu, aku “berkongsi” rumah dengan Senah. Senah tak suka aku bersihkan rumah. Dia akan hilangkan barang kalau aku mula mencuci rumah. Seminggu baru jumpa barang yang hilang tu di tempat pelik macam bawah katil atau belakang peti ais. Tempat dia lepak atas siling. Aku tinggal tingkat atas, dan memang boleh buka siling. Aku memang buka siling tu sebab aku selalu jenguk halau burung merpati beromen. Tengah malam bila aku ke dapur atau ke tandas, aku boleh nampak Senah kat atas merenung aku dengan mata merahnya. Peliknya aku tak takut dan aku namakan dia Senah. Aku cakap padanya, “kau jangan kacau aku, aku tak kacau kau. Kita sama2 makhluk Allah. Kau jual, aku beli”. Senah macam faham pulak. Memang dia tak kacau tapi kelibat dia selalu aku nampak terutamanya tepi peti ais. Aku memang tak takut, mungkin sebab dia dah tunjukkan diri dia.

Itulah pengalaman aku. Macam aku cakap aku kerap “terserempak” dan pernah diganggu sekali. Ada masa aku cerita. Sekian dari aku.

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 7 Average: 4.3]

10 thoughts on “Berkongsi Rumah Dengan Senah”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.