SenyumanPerantau: Kisah Mads; Rumah Lelong Senai

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua peminat setia Fiksyen Shasha. Hari ni SenyumanPerantau ingin membawa kembali cerita yang berlaku kepada salah seorang daripada 5sahabatku iaitu Mads. Cerita ni agak “Fresh” kerana Mads baru menghubungi aku malam Sabtu untuk menceritakan perihal rumahnya. “Assalamualaikum, Jie. Ana ada citer best kat anta pasal rumah ana ni, ada kena ‘Ganggu’ sket-sket la” mulakan perbualan. “Hantu memey suko saim ngey pelesit, haha”, celah aku. “Jubake ko, dengar la dulu”. Mads ni memang jenis ber “ana anta”, tapi bila dah kena sakat dengan aku, sumpah seranah manja pun akan mula keluar.

Buat pengetahuan semua, Mads ni sudah mendirikan rumah tangga sejak zaman universiti lagi dan kini mempunyai 3orang anak. Mads ni merupakan orang Johor dan cerita hari ni pun berkisar di negeri Johor. Setelah Mads mendapat kelulusan berpindah daripada Sarawak untuk bekerja di Johor, Mads menyewa di sebuah rumah teres. Setelah beberapa ketika Mads mendapat berita bahawa sebuah rumah lelong yang agak murah untuk dijual di Senai, Johor. Dengan memikirkan harganya yang agak berbaloi dan keadaan anak yang semakin membesar, Mads pun tanpa teragak-agak membeli rumah tersebut. Rumah yang dibeli Mads merupakan sebuah rumah teres 20×80. Menurut Mads rumah ini ditinggalkan kosong selama setahun setengah atas sebab yang dia sendiri pun belum pasti, yang ada, hanya desas desus mengatakan pemilik sebelum ini meninggalkan rumah ini disebabkan “pindah tempat kerja”.

Setelah berjaya membida rumah lelong tersebut, Mads pun bersetuju untuk membaik pulih rumah tersebut kerana terdapat kerosakan-kerosakan kecil seperti syiling yang bocor. Setelah pekerja memecahkan syiling yang bocor itu untuk diganti syiling baru, mereka mendapati terdapat sebuah ruang yang agak luas di tingkat atas syiling. Maka, Mads pun bercadang untuk membuat tangga menjadikan sebuah bilik di tingkat atas. Sepanjang proses penambahbaikan rumah ini, tiga orang pekerja telah jatuh daripada tingkat atas ke bawah dan seorang daripada mereka mengalami kecederaan serius. Menurut mereka, mereka jatuh ke bawah setelah terdengar suara yang menyuruh mereka memijak ke hadapan walaupun mereka tahu bahawa tempat itu tidak dapat menampung berat mereka. Disebabkan kejadian-kejadian itu, proses penambahbaikan itu dilanjutkan sehingga 5bulan, satu tempoh yang agak lama.

Setelah proses penambahbaikan selesai, Mads dan keluarga berpindah masuk ke rumah baru. Keluarga Mads berpuas hati akan rumah tersebut walaupun adakalanya suasana rumah agak suram pada masa tertentu. Buat pengetahuan semua, ada sepohon pokok mangga yang agak merendang dan merimbun di hadapan rumah ini. Pada minggu pertama, semuanya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Akan tetapi, pada minggu kedua, sedikit demi sedikit gangguan mula berlaku. Kejadian pertama berlaku pada akhir tahun lepas, di mana anak sulung dan anak kedua Mads (kedua-duanya perempuan) diganggu oleh “makhluk” tersebut. Menurut Mads, Salmah (anak sulung Mads) memberitahunya pada malam tersebut terdapat seekor “jembalang hitam” cuba memasuki bilik mereka. Jembalang itu cuba masuk bilik tersebut daripada salah sebuah tingkap akan tetapi tidak berdaya untuk menerobos bilik tersebut. Mungkin kerana Mads telah membuat “pagar” di sekeliling rumah mereka sebelum berpindah masuk ke rumah itu.

Mads juga telah menghantar gambar kepada aku melalui Whatsapp tentang gambaran jembalang tersebut hasil lukisan daripada Salmah dan adiknya, Syahida. Jembalang tersebut mempunyai tubuh yang besar, rambut bergulung-gulung panjang, mukanya hitam dan mempunyai tiga biji mata yang tersusun sebaris. Mulutnya pula besar dan tersergam gigi-gigi yang tajam tetapi jarang. Jembalang yang sama berulang-kali cuba untuk masuk ke bilik anak-anak Mads akan tetapi masih gagal hingga ke hari ini. Mulanya, Mads seperti tidak mengendahkan cerita anak-anaknya,tetapi kejadian tiga hari selepas malam itu telah mengubah persepsinya tentang rumah itu. Malam tersebut, Mads baru pulang daripada program “Usrah” yang dihadirinya dan program itu berakhir sedikit lewat. Mads tiba di rumahnya sekitar 11.00 malam. Setelah membersihkan dirinya dan mula merebahkan badan di sebelah isterinya, tiba-tiba dia terdengar suara sekumpulan kanak-kanak bergelak tawa, bermain.

Suara mereka mulanya sayup-sayup kedengaran. Mads pada mulanya menyangka ianya daripada rumah jiran. Tetapi, jangkaan Mads meleset, suara itu bertukar daripada sayup-sayup kepada suara yang lebih jelas dan semakit dekat di hadapan garaj keretanya. Mads mula resah, dia bingkas bangun dan cuba mengikuti arah bunyi tersebut. Dia berhenti di hadapan tingkap yang menghadap ke garaj rumahnya. “Gulp, time ni aku takut giler Jie, rasa nak terkucil je”, jelas Mads kepada aku. Mads terlihat tiga orang budak berwajah pucat (anak hantu mungkin) sedang bermain-main di sekeliling pokok mangga tersebut. Pokok mangga itu terletak di seberang jalan bertentangan dengan garaj Mads. Mads melihat “seorang budak perempuan berambut separas bahu” sedang melemparkan tulang-tulang ayam ke arah “dua orang lagi kawannya yang berambut agak pendek dan sedikit jarang”.

Menurut Mads, dia dan isterinya sering membuang tulang-tulang dan sisa makanan di bawah pokok tersebut untuk dimakan anjing jirannya. Tiba-tiba tulang ayam yang dibaling budak tersebut agak jauh dan menuju betul-betul di hadapan pagar garajnya. Mads kaget, dia mula tunduk daripada tingkap tersebut. Kini, hanya matanya sahaja separas tingkap tersebut. Tiba-tiba, dia terlihat sepasang tangan yang panjang, berkulit gelap, berkuku panjang keluar daripada belakang pokok tersebut, mengambil tulang ayam dan menyerahkan kembali kepada budak perempuan tadi. Hanya tangan sahaja kelihatan daripada sebalik pokok mangga itu. Mads tidak dapat bertahan lagi, dia bergegas kembali ke arah katil lantas memejamkan mata. Selain itu, Mads juga bercerita perihal rambut panjang yang sering dijumpainya setiap pagi di sinki bilik air di dalam kamar utama. Menurut Mads, mustahil rambut itu daripada isterinya kerana isterinya tidak pernah menggunakan bilik air itu, keduanya, rambut itu berukuran kira-kira satu depa setengah, walhal rambut isterinya separas bahu sahaja. Setiap pagi, pasti ada segumpal rambut, apabila dibuka, ianya berukuran sepanjang sedepa lebih.

Di samping daripada gangguan nyata, Mads menambah lagi yang dirinya sering bertengkar dengan isterinya apabila berada di dalam rumah, walaupun perihal yang sangat remeh. Namun, sebaliknya berlaku apabila mereka berada di tempat lain, Mads berasa lebih tenang dan sangat-sangat jarang bertengkar. Tingkat atas yang dijadikan bilik tetamu itu pula sering kali berbunyi seperti bunyi berbual atau bersembang ketika tengah malam. Sehingga sekarang, bilik tetamu itu belum berpenghuni atau didiami mana-mana tetamu. Mads menambah lagi, “belum cerita lagi bab-bab kacau dalam tidur, lagi melampau, boleh kata hari-hari mimpi buruk”.

Mads mengakhiri perbualan dengan berkata, “Jie, ana ok lagi setakat ni, tapi kalau dah melampau sangat kacau anak-anak ana, memang kena “usaha” something ni”. “Molek la tu, kito kat dunio ni sebagai khalifah, takkan senang-senang nak tunduk ko dio, bereh Mads, aku doa baik-baik blakow ko mu”. Akhiri aku sebelum mengakhiri panggilan tersebut. Satu benda yang aku tak pernah beritahu Mads sampai hari ni, ketika dia menghubungi aku mengisahkan cerita di atas, dia di dalam kereta, perjalanan pulang ke rumahnya daripada masjid, aku terdengar sayup-sayup suara perempuan mengilai ketawa, bunyinya agak jelas, tapi sangat jauh. Aku sempat bertanya kepada Mads, adakah isterinya menemani ke masjid, dia balas, “takla dia cuti, aku sorang je ni”. Dia tanya kembali, “kenapa ek??”. Aku balas “simple” dan dengan harapan tak menambahkan lagi kekusutan Mads, “Saje jer”, padahal di dalam benak hati aku, masih tertanya-tanya, siapakah gerangan pemilik suara tersebut, dan bulu roma aku mula meremang.

Akhir kata, Mads sekarang masih berusaha dalam “memulihkan” kembali keadaan rumah tersebut. Aku berharap semua pembaca FS dapat mendoakan kesejahteraan keluarga Mads dan dijauhi daripada gangguan-gangguan syaitan yang direjam. Aku juga ada satu nasihat kepada sesiapa yang nak beli rumah tu, terutamanya rumah lelong,hati-hati la ye, sebab kita yang tak pernah kena dengan gangguan ni, mesti akan cakap, “Eleh, baca je la doa, lari la dia nanti”, senang cakap, ia tak semudah kita menghayunkan kata-kata di atas. Senang kata, apabila dah tahu rumah tu ada sejarah tersendiri, berhati-hatilah dalam memilih rumah lelong tersebut. Bak kata pepatah, “Prevention is better than cure”.

Bermain mata dengan Sarah,
Tertunduk tuan dibawah pepohon,
Jangan kita mudah menyerah,
Sedangkan Tuhan tempat memohon.

*Jawapan minggu lepas;berat aku sekarang 69 kg turun daripada 80kg.hehe.
Kuiz minggu ni, apakah gerangan jantina anak Mads yang bongsu? 

SenyumanPerantau

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

15 thoughts on “SenyumanPerantau: Kisah Mads; Rumah Lelong Senai”

  1. Teka-teki:
    Anak lelaki…
    Heheheheh…

    Umak aaiii…
    Seliiimmm tu tggl 69kg jer…
    Byk gak trn tu…
    Sonoklar aaiii ekkk…

    Akk setakat ni br sekali beli umah…
    Dah setle beli sign dokumen semua then br tau citer umh tu…
    Umah tu kepunyaan Cina yg die beli dr org India…
    India ni dlu reno umh tu all out pastu dh 90% siap die jual lepas suami die meninggal…
    Cina tu beli tp lgsg x kesah psl umh tu, alkesah org banyak duit…
    Jadinye rumah tu kosong langsung x digunekan selama 13tahun…
    Abis segala wiring dlm umh tu dh kena kebas pencurik…
    Tapi Alhamdulillah, kami bebas gangguan sepanjang stay kat umah tu…
    Cume mse anak no.2 baby lg, die sukeeeee sgt bile baringkan kt sofa yg sebelah tangga tu…
    Errrrkkk…

    Reply
  2. Saya ada seorang sahabat yang mengalami gangguan saka yang teruk. Setelah berbagai usaha utk memulihkan kakak tersebut dibuat, akhirnya perawat diilhamkan agar pokok mangga depan rumah kakak tersebut ditebang. Menurut kakak, pokok mangga itu merupakan pokok kesayangan keluarganya kerana mengeluarkan buah2 yang sangat sedap dan manis. Akhirnya pokok itu ditebang, dan kakak merasakan rumahnya seperti dilimpahi cahaya, tidak seperti sebelumnya. Kakak tersebut sudah beransur pulih. Setelah pokok ditebang, barulah keluar cerita dari abangnya yang dia pernah bermimpi bahawa pokok itu dipenuhi ular di setiap dahan. Rupa2nya, pokok mangga itu dihuni oleh makhluk2 halus. Sedikit sebanyak proses pemulihan kakak tersebut dilambatkan oleh makhluk2 halus yg bergayut di pokok tersebut.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.