#SenyumanPerantau – Puaka Boling Padang

Assalamualaikum. Kisah yang aku nak ceritakan ni terjadi pada tahun 2009. Aku dan kawan-kawan masa tu sedang giat berlatih untuk sukan di antara fakulti untuk tahun tu. Jujur aku katakan ini merupakan pengalaman pertama aku dalam mewakili pasukan dalam bidang sukan. Aku boleh la dikategorikan sebagai kaki bangku. Walaupun aku kerap bersukan, tetapi aku tidak lah pakar dalam sesuatu sukan. Cukup sekadar aku tahu bermain dan memenuhkan kuota pasukan.

Tahun 2009 merupakan detik pertama aku mewakili pasukan sukan khususnya boling padang mewakili fakulti ku. Idea ini tercetus oleh seorang rakanku bernama Shauqi. Shauqi merupakan rakan sekelasku, dia ni walaupun berbadan agak berisi, tapi dia cukup pakar dalam permainan tenpin boling. Oleh kerana kuota untuk mewakili tenpin boling sudah penuh, maka dia memujuk aku dan beberapa lagi rakan untuk menyertai sukan boling padang.

Pada mulanya kami enggan, tapi setelah melihat kesungguhan dia memujuk kami, kami terpaksa akur. Ketika itu, memang kami tidak mempunyai asas langsung bermain boling padang. Skuad boling padang lelaki fakulti kami pada tahun itu terdiri daripada aku, Shauqi, Mujahid, Mahadi, Nordin, dan Joe. Manakala perempuan pula disertai, Sakina, Zarina, Khalida dan beberapa orang lagi junior yang aku sudah lupa. Biasa la kan, otak lelaki.

Pada malam kejadian merupakan hari pertama aku dan kawan-kawan akan diajar tentang teknik boling padang. Untuk menyewa padang khusus untuk boling padang, memang sangat mahal pada ketika itu. Mujur terdapat seorang staff bernama Encik Azlan. Dia seorang yang sangat bersemangat dan teruja jika terdapat mana-mana pelajar yang ingin mencuba bermain boling padang. Dia secara sukarela menawarkan diri untuk mengajar dan melatih kami tanpa apa-apa bayaran. Terima Kasih Encik Azlan.

Malam itu Jumaat malam Sabtu. Kami berlatih di pusat sukan dengan menggunakan karpet coklat yang dibentangkan agar permukaannya seakan-akan padang sebenar untuk permainan boling padang. Encik Azlan menerangkan tentang cara bermain boling padang dimana boling(bowl) akan digolekkan untuk merapati atau paling dekat dengan ibu bola atau dipanggil jack(kitty). Mata akan dikira jika boling(bowl) pasukan kita paling dekat dengan kitty. Begitulah penerangan secara ringkas cara permainan boling padang. Boling padang seakan-akan sama seperti petanque tetapi boling padang digolekkan manakala petanque dibaling. Permukaan padang juga berlainan.

Maka,latihan pun dimulakan pada pukul 9 malam selepas isyak. Buat pertama kali aku agak kekok untuk membuat balingan. Berbeza dengan tenpin boling, boling padang memerlukan fokus dan perlu mengimbangkan daya(force) untuk mendekatkan bowl dengan kitty.
Memang 10 balingan pertama memang agak kelaut la masing-masing kecuali Shauqi. Shauqi memang agak gifted jika sukan itu melibatkan tangan. Tidak hairan lah dia dilantik sebagai ketua pasukan oleh Encik Azlan.

Setelah beberapa ketika membuat balingan, Encik Azlan meminta diri.

“Weh, aku nak fogging jap,letih tengok korang baling,tangan keroww, haha.”

Kami pun terus berlatih walaupun semakin putus asa dengan sukan ini. Tiba-tiba, Khalida menjerit dan tergesa-gesa berlari daripada arah belakang.

“Weh, kenapa aku nampak Encik Azlan dekat tepi tandas perempuan hujung tu? Berdiri atas tangga, kepala dia tertunduk-tunduk, macam ada luka kat kepala dia??Macam berdarah!” Soal Khalida tercungap-cungap.

“Aku tegur pun dia diam je, jeling mata putih dia kat aku, aku seram. Aku cabut la!” Khalida menyambung.

“Haaaa…Tu pun encik azlan, jom tanya dia,” aku menyampuk sambil menuding jari ke arah kiri, walhal Khalida datang dari arah kanan.

“Encik Azlan, bukan tadi Encik Azlan atas tangga sebelah tandas perempuan tu ke??” Khalida terus melontarkan soalan.

“Eh..mana ada, aku merokok dengan Joe la tadi, kan Joe?” Sambil berpaling ke belakang. Kosong. Tiada siapa di belakang Encik Azlan.

Kami kaget. Terdiam. Aku pun turut terdiam. Setahu aku, Joe memang merokok, tapi hanya sekadar suka-suka, tu pun kalau dia bosan berseorangan. Terlalu jarang dia akan merokok bersama orang lain.

“Ermm..Ermmm..Saya kat sini Encik Azlan, saya tak pergi merokok dengan Encik Azlan pun,” Joe berkata perlahan sambil matanya terus terkebil-kebil.

Encik Azlan terdiam. Dia berpaling bagi memastikan sekali lagi tiada sesiapa di belakangnya. Bulu roma kami mula meremang.

“Dah-dah..Tak payah fikir lagi, biar je dorang, kita nak berlatih. Meh aku ajar korang cara nak drive bowl!”

“Drive” merupakan istilah untuk membaling bowl dengan kuat bagi menolak bowl pihak lawan ataupun menolak jauh jack atau kitty ke arah bowl pasukan kita.

“Ok. Meh aku ajar wat drive, tapi nak wat drive, line kena kecik,force kena kuat, ingat ye!” Encik Azlan berbunyi sedikit tegas. Ataupun cuba menyembunyikan ketakutan tadi? Wallahu a’lam. Khalida sudah hilang semangat. Dia duduk menghadap dinding selepas mendengar penjelasan Encik Azlan insiden tadi.

Prak..Prak!!
Bunyi bowl yang dibaling Encik Azlan menghentam bowl dan kitty serentak. Jelas bakatnya masih teguh bersisa walaupun sudah lama meninggalkan skuad kebangsaan.

“Ok dah.Korang pulak.”

Balingan dimulakan oleh Joe. Bang!! Kuat bunyi hentakan bowl yang dibaling Joe. Terus mengenai dinding di hadapan tanpa menyentuh kitty.

“Haha..Hudoh mu punyo line..Harap force jah kuat..Tengok aku ni.hihi,” aku mula memperlekehkan balingan Joe.

“Cubo la kalu mu hebat gilo gak!”

Aku pun menghayun bowl aku. Line aku ambil belah kanan, bukakan sedikit, dan aku terus menghayun bola bowl aku tadi. Tujuan aku satu, untuk menghentam kitty.

“Pang..” Bunyi bowl aku tadi menghentam kitty tadi. Meluncur serentak dan… Jatuh daripada tangga di sebelah kiri.. Bergolek jatuh dari tangga dan terus masuk ke dalam longkang di tepi belukar berdekatan tempat Encik Azlan menghisap rokok tadi.

“Fuh..bagus dah balingan ko Jie, tapi force kau macam terlebih je.. Dah..Pi kutip bola tu,” Encik Azlan mengarahkan aku.

Aku tanpa terfikir apa-apa. Terus menuju ke depan dan melangkah turun sekaligus lima anak tangga yang bersaiz sederhana. Aku kecilkan mata ku, mencari dimana arah kitty dan bowl aku tadi.

Beberapa langkah ke hadapan, aku jumpa bowl aku tadi, aku mengambil dan golekkan kembali ke atas karpet.

Kitty masih belum ku jejaki. Terus aku mengatur langkah ke belakang berdekatan dengan belukar tadi. Aku menjenguk kepalaku ke dalam longkang. Tiada apa-apa yang kelihatan. Tiba-tiba aku terpandang satu objek bulat bewarna putih. Yeah..jumpa pun kitty.. Aku terus melangkah longkang di hadapanku menuju ke arah kitty yang berada di atas rumput bersebelahan belukar.

Setibanya aku betul-betul berada di depan kitty tadi. Aku terlihat suatu benda panjang menjalar ke arah kitty tersebut dan menyentuhnya berulang-kali. Pada mulanya, sangkaan aku mungkin itu adalah seekor ular. Kerana objek itu sedikit bersinar dan bersisik di bawah lampu jalan yang kelam. Aku mencapai ranting kayu dan menguis benda yang menjalar itu.

“Slurp..slurp!” Bunyi benda yang menjalar tadi seakan-akan berundur setelah aku menyentuhnya dengan menggunakan ranting kayu. Aku terus menundukkan badan ku untuk menggapai kitty tersebut. Berlekit. Berlendir. Bau yang sangat meloyakan. Baunya hanyir seakan-akan nanah. BUSUK!

“Allah..natey gapo tu! Astaghfirullah Al-Azim.”

Aku terkejut setelah aku memalingkan muka ke arah kiri belukar. Satu sosok tubuh kecil sedang menyeringai ke arahku. Lidahnya panjang, bersisik dan berkilat giat menjilat-jilat ke seluruh mukanya. Telinganya sedikit capang, hidung nya kembang, mata sedikit sepet dan rambutnya agak nipis dan jarang. Tubuh badannya bertelanjang bulat dengan bahagian anunya bewarna merah pekat.

Pahit terasa air liur yang aku telan. Kepala aku mula berpinar. Tak pasti, mungkin kerana terkejut melihat makhluk tersebut ataupun dek kerana penangan bau busuk kitty di tanganku. Aku terus melompat ke belakang dan cuba melarikan diri.

“DUSH!!!”
Kepala aku terhentak di dinding pusat sukan. Kaki aku tersadung ketika ingin melarikan diri. Gelap. Aku jatuh menyembah simen di hadapanku.

“Woihh..woih Jie bangun!!” Suara Mujahid bergema.

“Apsal lemoh sangat mu ni, gelecoh skek dah pengsan!Hahaha,” Mahadi mentertawakan aku sepenuh hati.

Sedikit tak puas hati tapi aku masih waras daripada menceritakan hal yang sebenar. Mungkin aku akan dibahan dua tiga kali ganda jika aku menceritakan perkara sebenar.

“Dah..dah..kita berhenti berlatih dulu ye, macam-macam sangat dah berlaku malam ni. Ada benda yang awak tak tahu pasal pusat sukan ni!” Encik Azlan sedikit serius.

“Apa benda kat pusat sukan ni??” Aku bertanya sambil menggosok belakang kepalaku yang mula membincut. Pedih.

“Ada benda yang awak perlu tahu dan tak perlu tahu. Cukup saya cakap yang cukup lah sekadar ni, hari ni. Ada masa kita sembang,” Encik Azlan mengakhiri perbualan sambil tersenyum.

———

Tahun 2009 kami sekadar mendapat tempat ke-empat dalam sukan antara fakulti. Mungkin kerana dek penangan PUAKA BOLING PADANG!

Aku di atas adalah Senyuman Perantau atau Jie. Sila follow FB aku, Senyuman Perantau SP untuk cerita seterusnya?

Ps: Tahniah untuk semua pasukan Malaysia yang berjaya merangkul pingat emas dalam sukan SEA kali ini khususnya BOLING PADANG. Tahniah sekali lagi.?

Assalamualaikum.Jumpa lagi…?

Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit

SenyumanPerantau

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 5]

14 thoughts on “#SenyumanPerantau – Puaka Boling Padang”

  1. come back SP. haha. aku baru siap tulis cerita ni. tapi panjang sgt la pula. nak publish tapi xde masa nak edit kasi licin. anyway good story bro.

    Reply
  2. Kurang kaw seram dia, mngkin klu blh crita skit psl pusat sukan tu mungkin storyline kan jdi lbih padu dan mantap. Atau mungkin elemen misteri saje diterapkn oleh penulis. Papepown kipidap bro.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.