Siapa di sana?

Assalamualaikum dan Hai semua pembaca.

Aku terpanggil untuk berkongsi pengalaman sendiri kira-kira lima tahun lepas. Ketika itu, aku tinggal bersama ibuku yang bekerja di utara Semenanjung Malaysia. Alhamdulillah, ibuku diberikan tempat tinggal di kuarters staf yang terletak kira-kira lima minit dari tempat kerjanya. Buat pengetahuan semua, kuarters ini dahulunya merupakan asrama para pelajar bagi sebuah universiti, tetapi memandangkan asrama yang disediakan oleh pihak universiti mencukupi bagi semua pelajar, mereka (para pelajar) diwajibkan untuk tinggal di asrama universiti.

Kawasan kuarters staf terletak bersebelahan dengan ladang kelapa sawit. Aku jangkakan bahawa kawasan perumahan itu dahulunya adalah kawasan hutan sebelum dibangunkan menjadi kawasan perumahan. Banyak kejadian pelik, mistik dan misteri yang dihadapi oleh penduduk kuarters tersebut. Ada yang dengar nama dipanggil dari belakang rumah, ada yang terdengar seperti pintu bilik diketuk. Ada juga yang terlihat bebola api, ditarik baju, dan pelbagai lagi kejadian yang aku kira mistik dan seram. Oh, ya. Kuarters ini bukan rumah flat, tapi rumah teres dan teres semi-D. Semua satu tingkat. Besar juga aku kira. Tiga bilik dengan dua bilik air. Tanah juga subur. Pokok mempelam depan rumah hidup subur, sehingga mengeluarkan buah tak henti-henti. Ya, sehingga kini masih ada buah.

Kejadian yang aku ingin kongsikan ini berlaku kira-kira lima tahun yang lalu. Ketika itu, aku baru sahaja menamatkan latihan industri sebagai syarat untuk menamatkan Diploma aku. Aku tinggal berseorangan kerana keluargaku telah berangkat ke sebuah negara di benua Eropah memandangkan ketika itu cuti sekolah dan ini adalah peluang untuk dua orang adikku bercuti di tempat orang. Mereka ke sana adalah untuk menemani ayahku yang dihantar bekerja di sana selama sembilan bulan.

Malam kejadian, aku harus pulang ke Kuala Lumpur kerana peperiksaan MUET aku akan tiba tidak lama lagi. Sudah menjadi tabiatku, jika tinggal berseorangan di rumah, tak kira malam atau siang, aku akan buka tv sekuat-kuatnya atau pasangkan ayat ruqyah dari Youtube. Jam ketika itu pukul 4 petang. Ya, masih awal dan Asar belum masuk. Aku mengambil keputusan untuk mandi dan berkemas-kemas sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Laptopku diletakkan bersebelahan tv yang kubuka. Kedua-duanya berfungsi dan rumah ketika itu tidak sunyi.

Aku mandi. Usai mandi, aku keluar dan lihat tv dan ayat ruqyah yang kupasang tadi telah tertutup. Seolahnya seperti ada seseorang yang menutup tv dan laptopku. Aku kaget. Siapa pula yang tutup? Tiada elektrikkah? Tapi kipas berpusing. Jadi, eletrik mesti ada. Aku periksa sambungan pengecas laptop, masih berfungsi. Makin pelik.

Lalu, aku pun membuka tv semula. Makin kaget dan pelik. Tadi sebelum mandi tv sedang menayangkan kartun Spongebob Squarepants di TV9, tapi sekarang tiba-tiba sahaja siaran di TV1. Mana mungkin siaran tertukar sendiri biarpun jika tv dimatikan kerana tiada elektrik. Jam sudah 4.30 petang. Aku harus cepat. Jika tidak, mungkin aku terlepas penerbangan malam itu ke Kuala Lumpur.

Selepas bersiap-siap dan selesai solat Asar, aku mengunci semua pintu dan bersiap untuk keluar. Oh, tertinggal satu barang! Seperti biasa, ada saja barang yang aku tertinggal. Memandangkan aku baru berada di luar pagar rumah, aku masuk kembali untuk mengambil barang tersebut. Apabila aku keluar, aku menyusun kasut di atas rak yang terletak di depan tingkap ruang tamu. Kasut pertama yang aku letak, tiba-tiba, ada satu bau badan yang kuat di depanku. Lebih spesifik, bau badan lelaki! Dan aku SEORANG ketika itu! Tiada orang lain di sana. Serius, aku sangat terkejut! Aku cuba bergerak setapak ke belakang, tapi bau yang sama tiada. Tiada bau apa-apa pun. Aku bergerak setapak ke depan, betul-betul pada keadaan aku yang mula-mula tadi. Bau HILANG! Ahhh, sudah! Siapa pulak yang ingin menghantar aku pulang? Aku cepat-cepat masuk ke dalam kereta dan menuju terus ke lapangan terbang. Alhamdulillah. Tiada kejadian pelik yang berlaku selepas itu.

Sehingga kini, aku tertanya siapa gerangan yang berdiri di hadapanku petang itu? Dengan bau badan yang kuat, aku sangat pasti itu bau badan lelaki. Dan sangat berbeza dengan bau ayahku dan adik lelakiku. Pengalamanku tidak seseram mereka yang lain, tapi cukup untuk meninggalkan tanda tanya buatku.

Terima kasih kerana sudi membaca. Selamat malam. Tidur baca doa, jangan lupa solat

MS

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 11 Average: 4.7]

2 thoughts on “Siapa di sana?”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.