Assalamualaikum FS dan pembaca sekalian. Ini merupakan penulisan ke 4 aku jika disiarkan admin FS. Cerita aku sebelum ini adalah penunggu klinik dan gangguan dikuarters klinik.
Entry kali ni aku akan bercerita pengalaman2 misteri yang pernah aku dan keluarga aku alami dari zaman aku kanak2 sehinggalah aku meniti ke alam remaja. Aku membesar selama 17 tahun di satu kejiranan dipinggir kota disebuah negara jiran. Biarlah tempat itu menjadi rahsia demi menjaga sensitivity sesetengah pihak. Yang pasti aku tidak membesar dinegara ku sendiri. Dalam aku membesar keluargaku berpindah rumah sebanyak 3 kali dikejiranan yang sama.
Ketika itu kami hanyalah berstatus penyewa memandangkan kami hanyalah bermastautin dinegara ini sehingga ayahku tamat kontrak kerjanya pada tahun. Rumah sewa pertama kami terletak di tengah bukit. Rumah tuan pemilik rumah pulak hanya bersebelahan pada ketika itu. Pada ketika usia ku 7 tahun, tengah aku seronok menonton kartun dikaca TV tiba2 bekalan elektrik terputus. Aku kemudian bermain diluar rumah untuk mengambil angin. Ketika aku diluar aku melihat kepulan asap tebal tidak jauh dari kawasan kejiranan ku.
Aku kemudiannya berlari ke jalan untuk melihat punca asap tersebut dan aku melihat sebuah rumah sedang dijilat api dikejiranan bersebelahan kejiranan kami. Aku kembali ke rumah dan memaklumkan kepada ibuku perkara tersebut. Kemudian ibuku membawaku ke rumah Nek Yah (bukan nama sebenar) yang letaknya dikaki bukit dan bersebelahan jalan. Dari situ kami hanya menyaksikan bomba menjalankan tugas dan kebakaran tersebut. Aku kurang mengenali pemilik rumah tersebut. Namun ibuku memberitahu dirumah tersebut terdapat seorang OKU dan semasa kejadian dia terperangkap didalam bilik dan menjadi mangsa korban pada pagi tersebut. Al Fatihah untuk beliau.
Mungkin kerana aku masih kecil dan naif, aku bertanya kepada ibuku “mak, kalau rumah kita terbakar macam mana eh?”. Ibuku sedikit memarahi ku atas pertanyaan ku itu. Dan pertanyaaan ku itu telah menjadi kenyataan apabila rumah sewa pertama kami hangus dijilat api pada penghujung tahun tersebut. Ketika kejadian kami sekeluarga pulang ke kampung halaman memandangkan ketika itu adalah sambutan hari raya aidilfitri.
Dalam kejadian tersebut 3 buah rumah musnah dijilat api dan kali ini ia juga mengorbankan satu jiwa iaitu anak kepada tuan rumah yang kami sewa tersebut dan dia juga merupakan seorang OKU. Mungkin ada cerita disebalik kejadian yang berlaku memandangkan ketika itu kawasan tersebut sedang giatmelakukan pembangunan perumahan. Bagi aku semua itu mungkin hanya kebetulan. Wallahualam. Namun sepanjang aku membesar dirumah sewa tersebut sering juga jiranku memeinta pertolongan ayahku untuk membantu mengawal jiranku dirasuk. Memandangkan ketika ini aku masih kecil, tidak banyak cerita2 misteri yang aku tahu dikawasan tersebut.
Tahun berikutnya kami berpindah kerumah sewa yang letaknya dibawah bukit tidak jauh dari rumah sewa pertama kami. Jika berjalan kaki tidak sampai seminit masa yang diambil. Rumah sewa kedua kami berjiran dengan Nek Yah. Tuan rumah pulak aku namakan Mak Nah dan rumah sewa ini letaknya dibelakang rumah MakNah. Rumah Mak Nah dan Nekyah hanya dipisahkan satu parit kecil bagi menandakan sempadan tanah.
Hidup dikejiranan ini boleh aku katakan sangat harmoni. Kawan2 kecilku merupakan cucu2 nekyah dan maknah. Bersebelahan kawasan rumah kami pulak merupakan dusun Nekyah. Cuma tuan Dusun tidak terlalu memperdulikan dusun tersebut melainkan ketika musim buah tiba. Jadi keluarga Kamilah yang banyak membantu nekyah membersihkan kawasan dusun tersebut dari semak samun untuk keselesaan kami juga. Nekyah mengizinkan sesiapa saja dari kejiranan tersebut untuk mengambil buah2 yang jatuh apabila musim buah. Ini kerana buah2 dari dusun tersebut terlalu banyak untuk dihabiskan oleh keluarga Nekyah sendiri.
Tidak lama kami menyewa dirumah maknah, keluarga nekyah berpindah. Ibuku hanya memaklumkan bahawa keluarga nekyah sudah tidak tahan dengan gangguan yang keluarga mereka alami dirumah tersebut. Sebelum berpindah, nekyah cuma mengamanahkan ayahku untuk melihat dan menguruskan dusun nya untuk dijaga. Sebagai balasan, dia membenarkan ayah dan ibuku untuk bercucuk tanam didusun tersebut. Semenjak mereka berpindah, aku terputus hubungan dengan cucu2 nekyah. Rumah mereka dibiar kosong. Cuma sesekali anak2 nekyah ada datang kedusun mengutip buah apabila musim buah tiba.
Cerita ibu, Nekyah dan keluarganya sering diganggu didalam rumah. Mereka sering melihat makhluk yang menyerupai ahli keluarga mereka sendiri didalam rumah tersebut. Pernah satu kejadian disatu malam, cucu nekyah menonton TV bersama ibunya. Dia kemudiannya pergi ketandas dan ketika didapur dia melihat ibunya sedang makan walhal dalam masa yang sama ibunya tengah menonton tv diruang tv.
Dia melihat dua orang yang sama pada satu masa sehingga dia menjadi keliru yang mana satu ibunya yang sebenar. Cucu perempuan nekyah juga mengalami perkara yang sama, ketika dia hendak masuk kedalam rumah dia melihat nekyah sedang duduk diluar rumah, apabila dia masuk kedalam rumah dia juga melihat nekyah sedang duduk dikerusi malas. Boleh dikatakan setiap ahli yang tinggal dirumah tersebut pernah mengalami perkara yang sama. Dan makhluk itu boleh dikatakan menyerupai semua orang yang tinggal didalam rumah tersebut. Gangguan yang mereka alami semakin menjadi2. Cucu nekyah pernah ditarik kebawah katil ketika masih sedar.
Dia ketika itu duduk membaca buku diatas katil kemudian ditolak dan jatuh lalu ditarik kebawah katil. Disebabkan gangguan itu menjadi kasar mereka terus membuat keputusan berpindah dari rumah tersebut.
Selepas keluarga Nekyah berpindah, keluarga kami dan keluarga maknah juga mengalami gangguan. Namun tidaklah sehebat gangguan yang keluarga nekyah alami. Aku boleh dikatakan sedikit nakal ketika kecil. Disebabkan kenakalan aku inilah aku menjadi sedikit berani walaupun bermain diluar rumah pada waktu malam. Aku suka mengejutkan kakak ku ketika dia mencuci pinggan mangkuk selepas makan malam. Biasanya aku akan keluar melalui pintu hadapan dan menyergah dia dari luar tingkap dapur. Dan dia biasanya akan memarahiku atas perbuatan ku itu. Paling tidak jika aku terkantoi cuba mengejutkan dia, dia akan menyiram ku dengan air terlebih dahulu melalui tingkap. Pernah satu kejadian selesai makan aku menonton tv bersama ibuku.
Kakak tiba2 datang dari dapur dan memarahi aku kerana cuba mengejutkan dia. Aku menafikan sekeras2 nya memandangkan aku ketika itu sepanjang masa bersama ibuku. Dan ibuku juga menafikan perkara yang sama. Pernah jugak aku menyergah kakak ku tapi bila disergah dapur tersebut kosong sedangkan sebelum itu aku memang melihat kelibat kakak ku di dapur. Perkara tersebut sedikit sebanyak menginsafkan aku untuk melakukan perkara yang sama.
Ketika aku dibangku sekolah menengah aku sendiri mengalami gangguan yang nyata. Ketika itu aku tidur dibilik dan aku bermimpi.
Suasana didalam mimpi tersebut betul2 sama dengan suasana bilik ku dan posisi aku baring ketika itu. Aku kemudian merasa ada tangan yang sejuk menggenggam lengan ku dan menarik aku perlahan2. Mimpi tu mungkin sekadar mimpi, tapi aku memang betul2 merasakan tangan sejuk itu menyentuhku dan menarik ku. Ketika aku cuba menoleh untuk melihat tanganku, aku merasakan badan dan mulutku seolah2 dikunci langsung tidak dapat bergerak dan bersuara. Aku cuba sekuat hati untuk berusara memanggil ibuku.
Aku kemudiannya hanya membaca ayat2 suci melalui hati dan alhamdulillah tangan itu kemudiannya melepaskan aku dan aku terus terjaga dari tidur. Ibuku juga mengalami perkara yang sama, tapi mimpi ibuku berlainan. Didalam mimpi ibuku dia berada dirumah nekyah berborak dengan keluarga nekyah ketika hari hampir senja.
Apabila ibuku meminta izin untuk pulang kerumah nekyah menahan ibuku. Dia tidak membenarkan ibuku balik kerumah sambil memegang pergelangan tangan ibuku. Namun ketika itu ibuku tetap berkeras untuk balik memandangkan dia mempunya anak dan suami. Nekyah juga berkeras untuk tidak membenarkan ibuku balik dan genggaman tangannya semakin kuat sehinggakan ibuku meronta meminta untuk dilepaskan. Ibuku terjaga apabila dikejutkan ayahku yang melihat ibuku meracau didalam tidur. Apabila terjaga ibuku merasa pergelangan tangan nya sakit seolah2 mimpi itu benar2 terjadi.
Keluarga maknah juga pernah mengalami gangguan yang sama. Pernah anak maknah pulang kerja lewat malam dia melihat kelibat nekyah berbaju putih berambut kusut sedang duduk ditangga rumah nekyah. Namun dia pasti itu bukanlah nekyah memandangkan ketika itu nekyah tidak lagi tinggal disitu. Dia juga sering mendengar suara tangisan perempuan dari rumah nekyah apabila dia pulang lewat malam. Anak perempuan maknah juga mengalami gangguan jelmaan nekyah ketika dia beru lepas bersalin.
Dia mengalami mimpi yang sama selama seminggu. Didalam mimpinya dia melihat makhluk yang menyerupai nekyah mengintai melalui tingkap dari luar rumah sambil ketawa2 kecil seakan suka akan cucu maknah yang baru dilahirkan tersebut. Dan setiap kali dia terjaga anak kecil nya itu akan menangis.
Dia kemudian meminta pandangan ustaz, lalu ustaz itu memberikannya air bacaan quran dan memintanya menyiram air tersebut keluar tingkap apabila dia terjaga dari mimpi yang sama. Setelah dia membuat apa yang diarahkan ustaz tersebut gangguan tersebut terus hilang. Rumah maknah juga dipagar dari gangguan. Adik aku sendiri pernah disembunyikan dibawah pokok nangka didsusun nekyah. Pagi itu hanya adik dan ibuku sahaja dirumah memandangkan aku dan kakak bersekolah dan ayah pula bekerja. Ibuku ketika itu menyidai jemuran diluar rumah, adik ku pulak bermain tidak jauh dari ibuku.
Namun apabila selesai kerja ibuku, adik ku tidak ada disamping ibuku. Dia mulanya menganggap adik ku sudah masuk kedalam rumah. Namun apabila dicari didalam rumah adik masih tidak muncul. Ibuku mencari desekitar kawasan rumah, dusun dan kejiranan tersebut. Ibuku menangis memanggil2 adikku. Zaman itu memiliki handphone bukanlah pilihan utama. Ibuku terpaksa menunggu ayahku pulang bekerja. Maknah juga turut membantu mencari adikku disekitar rumahnya. Selepas ayah pulang, ayah membacakan sesuatu diikuti dengan laungan azan. Alhamdulillah, adik ditemui duduk dibawah pokok nangka didusun nekyah. ibu merasa pelik sedangkan dia sudah mencari dikawasan tersebut namun tidak melihat adik ku sebelumnya.
Dia menanyakan kepada adik sama ada adik ada mendengar ketika ibu memanggilnya, adik memberitahu dia melihat dan mendengar ibu namun tidak dapat berbuat apa2. Dia memberitahu ibuku dia melihat seorang perempuan melambai tangan memanggil kepadanya didusun tersebut dan dia mengikut perempuan itu. Kami kurang pasti jelmaan perempuan itu, jika ditanya adakah jelmaan nekyah dia pastinya kurang mengenali nekyah memandangkan ketika nekyah masih tinggal disitu adik ku masih lagi seorang bayi.
Selain daripada gangguan jelmaan nekyah ada juga gangguan lain. Mungkin sebab kawasan rumah ni dikaki bukit menjadi salah satu faktor. Arwah suami maknah jatuh sakit selepas menebang pokok mangga dibelakang rumah. Ketika itu ayahku membantu beliau menebang pokok tersebut dan selepas pokok tersebut tumbang, suami maknah merasakan seolah ada satu tiupan angin kuat dimukanya. Semenjak dari itu suami maknah mengalami penyakit kulit misteri. Badan nya seolah bersisik dan gatal.
Tiap kali bangun tidur, habuk kulit badannya banyak dikatil. Dibawa kehospital tiada jawapan dan ubat2 hospital yang dapat mebantu. Dibawa juga berubat kampung namun hasilnya juga sama. Namun semasa sakitnya, ayahku sering melihat seekor beruk jantan besar bertenggek di bumbung rumah maknah setiap kali menjelang maghrib. Hampir setiap hari ayah melihat beruk tersebut datang. Menurut ayah diperut beruk tersebut terdapat rantai yang diikat. Ayahku kemudian menegur beruk itu disatu petang, “jika engkau bertuan, pulanglah kepada tuan mu. Jika ini bukan alam mu, pulanglah ke tempat asal mu.
Janganlah diganggu orang disini kerana mereka tidak pernah mengganggu mu”. Semenjak dari itu beruk itu tidak lagi kelihatan dan tidak lama selepas itu suami maknah meninggal dunia. Semasa aku ditingkatan 5, maknah memaklumkan kepada kami bahawa dia tidak lagi menyewakan rumah tersebut. Ini kerana anak2 maknah berhajat untuk menambah bahagian belakang rumah tersebut untuk membesarkan rumah. Namun maknah masih membenarkan kami tinggal disitu sehingga urusan berpindah ke rumah baru selesai.
Kenapakah gangguan2 ini banyak berkait dengan nekyah? siapakah nekyah sebenarnya? Biarlah persoalan itu aku jawap dalam cerita yang berikutnya memandangkan cerita ini masih lagi panjang. Dan untuk pengetahuan kalian, rumah sewa ke 3 kami adalah rumah nekyah. Disinilah persoalan itu nanti akan terjawap. Sekian, Assalamualaikum.
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI
Besttt!! Teruskan menulis! Akak tunggu ni
Yupp.. Setia ku menunggu.. Hehe.. Cam lgu jerr
Cepat sambung ye..
Biar ad hastag skit..nanti sng nak cri
sambung sambung. naktau ap punca.
Bela erk? Teka²… Den tak nak bersangka buruk. Kdg² natang jahat.
setia menunggu . cepatlah tulis . tertanya tanya ni ?