SIAPA YANG SERET BALDI KOSONG TENGAH MALAM?

Assalamualaikum W.B.T warga FS. Terima kasih kepada admin FS kerana sudi siarkan kisah saya. Di sini saya ingin kongsikan pengalaman yang berlaku 11 tahun lalu. Kisah saya yang masih berada di bangku sekolah dan tinggal berjauhan dari keluarga iaitu asrama.

Saya merupakan anak sulung daripada 4 adik-beradik. Saya juga merupakan tonggak utama untuk menjadi contoh kepada adik-adik yang masih kecil. Selepas tamat alam sekolah rendah, saya diterima masuk ke salah sebuah sekolah agama berasrama di Kedah. Sekolah ini merupakan antara sekolah yang menjadi sebutan dan impian setiap ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke sini. Harapan ibu bapa hanyalah dapat melihat anak-anak mereka dibentuk dari segi sahsiah, jasmani dan rohani dengan nilai-nilai agama yang dipupuk dalam diri pelajar-pelajar oleh guru-guru.

2 tahun sudah berlalu dengan begitu pantas. Segala suka duka semasa beada di sekolah berasrama telah saya tempuhi. Tiada apa-apa yang hendak dibanggakan. Hanya azam untuk mengharumkan nama keluarga masih digenggam erat. Pelajar yang berjaya mengharumkan nama sekolah silih berganti termasukalah johan tilawah al-quran, kawad kaki, dikir barat, bola sepak dan sebagainya.

Kisah mistik pula hanya didengar dan dimomokkan oleh pelajar-pelajar senior hanya untuk memberi pengajaran kepada kami supaya tidak terlalu berani dan tidak terlalu takut dengan makhluk halus. Saya hanya mendengar dan tidak ambil pusing dengan momokan mereka. Bagi saya, ia hanya untuk menakutkan dan melemahkan Iman setiap orang yang mendengar. Dalam Surah Al-An’Aam menyebut “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu”.

Rutin harian bagi pelajar berasrama selepas habis kelas sesi pagi, kami akan bergerak ke surau untuk menunaikan solat Zohor secara berjemaah. Usai solat, berpusu-pusu pelajar ke Dewan Makan untuk menikmati menu tengah hari dan bersiap-siap untuk ke kelas prep (kelas petang). Kelas ini hanyalah untuk sesi ulang kaji pelajaran dan menghabiskan semua kerja sekolah yang diberikan oleh guru. Kebiasaannya pelajar hanya tidur dan berborak. Hanya segelintir pelajar yang tekun mengulangkaji pelajaran. Kelas berakhir jam 4.30 petang. Ketika ini, semua pelajar perlu bergerak ke surau untuk solat Asar berjemaah. Selepas itu, boleh lah bergerak ke dewan makan untuk hidangan menu petang dan aktiviti bebas. Ada yang bersukan dan ada yang lepak di dalam dorm.

Asrama di sekolah ini mempunyai 3 aras berbentuk segi 4 sama. Aras bawah hanya ada bilik warden, bilik ulangkaji, bilik rawatan dan tandas. Aras 1 dan 2 mempunyai 12 bilik, 2 bilik untuk seterika pakaian dan 2 bilik untuk tandas dan bilik air di setiap aras. 1 bilik menempatkan 20 orang pelajar dan 10 katil 2 tingkat. Kisah bermula pada suatu malam selepas pulang dari kelas prep. Saya bersama-sama 2-3 orang rakan berjalan pulang dari kelas ke dewan makan.

Usai makan malam, saya bersendirian naik ke dorm yang berada di aras 1 meninggalkan rakan-rakan lain. Langkah kaki diatur menaiki tangga dengan berhati-hati. Setibanya di hadapan dorm, saya meletakkan semua barang dalam almari. Hari makin larut malam. Saya pergi ke tandas untuk membuang air kecil dan gosok gigi kerana ia rutin harian yang biasa saya lakukan sebelum tidur.

Selesai semuanya, saya bergerak balik ke dorm yang dipisahkan oleh 1 bilik seterika pakaian dan 2 dorm lain. Dorm saya bersebelahan dengan tangga. Katil saya tingkat atas dan berada tepi tingkap sebelah kiri pintu masuk. Jam menunjukkan pukul 12 tengah malam. Rakan-rakan lain sudah dibuai mimpi. Setelah hampir 2 jam, tidur saya diganggu dengan bunyi bising. Bunyi seolah-olah ada seseorang mengheret baldi kosong di koridor. Tapi saya tidak mengendahkan bunyi tersebut.

Setelah beberapa ketika, ia berbunyi untuk kali kedua. Bunyi yang sama tetapi sangat bingit dan mengganggu ketenteraman pelajar lain untuk tidur. Perasaan marah mula terbit dalam hati tapi dalam masa yang sama seolah-olah rakan-rakan lain tidak mendengar atau tidak peduli dengan bunyi seretan baldi itu.

Hati nekad untuk melihat siapa yang sengaja membuat bising tengah-tengah malam macam ni. Semakin lama semakin dekat. Bunyi tersebut bergerak dari arah tandas menghala ke dorm saya. Hati yang sakit bercampur geram dan lidah bersiap sedia ingin melontarkan kata-kata masih menunggu gerangan orang yang membuat bising.

Darah seperti tidak mengalir dalam tubuh, badan mula mengeluarkan peluh sejuk. Lidah yang sudah bersedia melontarkan kata-kata cacian jadi kelu. Hanya mata yang mampu melihat tanpa mampu berbuat apa-apa. Sangkaan saya ternyata meleset. Yang terhidang didepan mata saya ialah orang tua berambut panjang dan kusut masai serta pakaiannya tidak terurus. Manakala badannya terputus 2 bahagian. Yang tinggal hanya bahagian kepala hingga ke pinggang sahaja.

Orang tua itu mengengsot hingga depan pintu dorm saya. Bersuluhkan lampu koridor, saya perasan ada usus dan isi perutnya sekali diseret. Saya mula berasa mual tekak dengan apa yang saya lihat. Pada mulanya dia hanya menunduk dan saya sangkakan dia tidak perasan yang saya memerhatikan dia, rupanya tidak sama sekali. Dia mendongak memandang saya yang berada di atas katil tingkat atas dari depan pintu dorm sambal melemparkan senyuman yang amat mengerikan. Keadaan itu berlaku hampir 10 minit. Segala ayat suci Al-Quran dan doa langsung tidak terlintas di fikiran walaupun hanya sebaris ayat.

Dia teruskan kesotannya ke arah tangga bersebelahan dorm saya. Saya hanya memandang segala gerak gerinya sehingga hilang dari pandangan mata saya. Saya tidur dalam keadaan ketakutan dengan apa yang saya nampak. Keesokan harinya, saya mengalami demam panas yang teruk sehingga terpaksa dibawa pulang oleh ayah.

Kisah ini tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapa walaupun mak ayah saya sendiri. Bagi saya Allah nak tunjukkan antara rupa ciptaanNya yang lain. Dan saya antara salah seorang hambaNya yang diberi peluang untuk melihat makhluk yang tidak sempurna seperti manusia.

Terima kasih semua kerana sudi membaca kisah saya yang tak seram sangat ni. Assalamualaikum W.B.T

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *