town-hall-main-floor-stage-area-1

#SiCelupar: Anak Pentas

Salam warga FS. Bertemu lagi dalam siri #SiCelupar yang keempat.

Dari umur aku 11 tahun, aku dah mula aktifkan diri dalam pementasan teater. Aku sendiri pun tak tau kenapa aku suka sangat berlakon teater pentas ni. Dari sekolah rendah, bawa ke sekolah menengah. Dari tingkatan 1 bawa ke tingkatan 5, setiap tahun pasti aku akan menyertai pertandingan teater yang dianjurkan di sekolah.

Tahun yang paling membanggakan adalah ketika tahun terakhir aku berada di sekolah tu iaitu ketika di tingkatan lima. Sebabnya, pada tahun tu kitorang berjaya menjejakkan kaki sehingga ke peringkat negeri.
Kejayaan kitorang tu cukup membanggakan pihak sekolah sehinggakan kumpulan teater kitorang dipelawa untuk membuat persembahan ketika majlis sambutan Jubli Intan bagi menyambut 75 tahun penubuhan sekolah tu.

Team teater ni ada dalam 15 orang. Aku salah seorang pelakon dan juga Logistic Manager. Kerja aku adalah mencari talent, iaitu pelakon tambahan untuk diselitkan di mana-mana bahagian dalam cerita, dan menyediakan prop iaitu barang-barang untuk dijadikan hiasan pentas.

Disebabkan persembahan ni untuk majlis besar sekolah kitorang, kitorang nak la persembahkan cerita baru. Maka, terkeluarlah idea dari penulis skrip dan pengarah nak buat cerita bertemakan Komedi Seram tetapi bermoral.

Secara ringkasnya, ceritanya mengenai seorang lelaki yang berlumba haram terlibat dalam satu kemalangan. Ketika dia terbaring kaku di atas katil hospital, dia masuk ke satu alam yang dipenuhi dengan hantu. Ada Pontianak, ada pocong, ada toyol, ada penanggal, ada jerangkung, ada hantu galah, malah ada zombie dan nenek kebayan jugak. Dia belajar banyak perkara dari hantu-hantu tu. Dan setelah pelbagai kesusahan yang dapat dia lihat ketika “koma” tu, dia pun terjaga. Dia insaf dan kembali ke pangkal jalan.

Disebabkan ini cerita baru, semua perlu mengerah keringat dan lebihkan masa latihan. Jadi, setiap harilah kitorang balik rumah lewat petang. Habis je sesi sekolah pukul 2, memang kitorang akan terus ke Dewan Besar untuk berlatih. Ini first time kitorang berlatih kat dekat dewan, biasanya berlatih dalam bilik teater je. Bilik teater tu macam bilik kaca ala-ala AF tu.

Kisah seramnya bermula.

Hari pertama latihan dimulakan. Kira-kira dua minggu sebelum persembahan.

Kitorang masuk ke belakang pentas. Belakang pentas tu ada bilik make-up, stor dan bilik radio dan mikrofon. Masa masuk tu, aku terus membebel. “Bersawang nya! Macam rumah hantu!” terus si Alim cepuk mulut aku.

Ye la. Dewan tu jarang pakai. Pakai pun untuk exam, untuk majlis-majlis besar. Kalau majlis kecik biasanya pakai dataran perhimpunan je. Normal la kalau bersawang kan. Hahahah. Mulut ni tak boleh duduk diam!!

Reka bentuk dewan sekolah kitorang ni lebih kurang sama je macam dewan serbaguna orang ramai yang ada dekat taman-taman perumahan atau kampung-kampung tu. Masa tu kitorang semua tengah duduk dalam bulatan atas pentas, dengar ketua projek dengan Cikgu Azian bagi briefing. Masa tu ada 3 buah pintu sahaja yang dibuka. Pintu dewan tu jenis yang macam pintu kedai, yang tarik dari atas tu.

Hujan tengah lebat kat luar. Kilat dan guruh pun boleh tahan. Tengah busy duk bincang itu ini, tiba-tiba guruh berdentum kuat dan serta merta semua 3 pintu tu jatuh seolah-olah macam ada benda tarik. Pintu tu kan jenis bising, memang bergema satu dewan. Masa tu, sumpah semua orang terkedu. Yang perempuan ada dah peluk sama sendiri.

“Kuat gila angin ni, sampai terjatuh pintu tu.” aku cuba nak sedapkan hati. Padahal memang tak logik pun tiga-tiga nak jatuh serentak.

Lima hari sebelum persembahan.

Jam masa tu aku kira dalam pukul 5 petang. Kitorang rehat minum petang sekejap sebelum sambung latihan semula yang kitorang bajet akan habis pukul 6 setengah. Tengah duk sembang-sembang sambil makan goreng pisang, tiba-tiba speaker dewan kuat berbunyi lagu “Percayakan Siti’ nyanyian Exist. Terperanjat jugak la kitorang. Tapi, masa tu memang langsung tak fikir benda-benda seram pun.

Tiba-tiba lagu tu macam rosak masa dah nak dekat habis. Bunyi tersekat-sekat, ada perkataan berulang-ulang. “ku tersentuh lalu menangis, menangis, nangis, ngis, ngis ,ngis”. Lepas tu dia jadi suara besar “meeenaaangiiiiiiiis”.

Ijai bangun lepas tu pergi ke belakang pentas, tengok siapa yang duk pasang lagu tu tiba-tiba. Tak lama lepas tu, Ijai berlari dengan muka kecut giler macam baru lepas nampak hantu. Semua masa tu tanya la, kenapa? Ada apa? Lepas tu dia bantai gelak sakan, menyakat kitorang lah kononnya. Dia set timer dekat VCD player tu supaya VCD player tu auto switch on dan auto play lagu kuat-kuat. Konon-konon dia pergi check lepas tu berlari ke depan dewan bajet macam baru lepas nampak hantu. Entah apa-apa entah.

Tengah semua duk kecoh membebel sambil kejar si Ijai siap ada yang nak bergusti manja-manja ngan dia. Alim datang dekat aku lepas tu dia bisik, “Wan, kita tak ada lagu Percayakan Siti dalam CD tu.” mulanya aku tak paham. Aku pandang Alim mintak penjelasan. Dia cakap “VCD player tu kan aku punya, CD lagu tu pun aku yang burn lagu-lagu dia.” Dengar je ayat Alim macam tu, aku terus meremang. Aku pandang Alim, Alim pandang aku. Muka masing-masing sumpah pucat masa tu.

“Kau terpikir tak benda yang aku fikir ni?” aku tanya Alim.

“Pasal citer hot budak pompuan nama Siti bunuh diri kat dewan ni?” Alim tanya aku balik.

Kami hanya mampu berhuhu masa tu. Latihan tetap kena teruskan sampai 6.30 petang walaupun dalam hati aku dan Alim masa tu memang menjerit-jerit nak balik.

Dua hari sebelum persembahan.

Salah seorang ahli, Yaya, tiba-tiba kena demam denggi, kena tahan wad. Nak tak nak, kena mintak orang gantikan tempat dia. Memang agak kacau la masa tu. Jadi, aku cari la seorang talent junior. Eqmal, Budak form 3 untuk gantikan watak Bahari selaku Pocong. Bahari pula ambik watak Yaya. Watak Yaya tu penting. Watak Pocong tu cuma extra je.

Masa kat belakang pentas, aku nampak la si Eqmal ni yang dah lengkap pakai macam pocong, duk terlompat-lompat naik tangga nak pergi ke pentas. Aku terkekeh-kekeh gelakkan dia bersemangat nak naik tangga tu. Takpe, usaha dan kesungguhan tu penting. Sekurang-kurangnya dia menjiwai watak dia.

Tapi, lepas tu Cikgu Azian tepuk bahu aku dari belakang. Dia cakap, “Wan, tolong Eqmal pakaikan kostum pocong ni.” Sambil dia hulur kostum pocong tu kat aku dan Eqmal ada sebelah dia.

Sumpah! Rasa nak gugur jantung masa tu. Ditambah pula bila Pija menyampuk “Eh, bukan ke kau dah pakai ke kostum ni tadi. Siap duk terlompat-lompat dari sana ke sana.” sambil tangan dia tunjuk arah yang sama aku nampak “Eqmal” tadi. Bila aku pergi ke pentas, Sah! Memang tak ada pun “Eqmal” kat situ.

Hari Persembahan.

Sebelum mulakan persembahan, Ustaz Rahman datang ke belakang pentas. Dia bacakan doa pelindung untuk kitorang. Katanya dia rasa tak sedap hati.

Dan Alhamdulillah persembahan berjalan lancar pada hari tu. Tak ada la sound rosak ke. Pelakon lupa dialog ke. Semua suka dengan persembahan kami. Pegawai Pendidikan Daerah pun puji-puji kat Pengetua. Tapi, dalam diorang semua bersorak gembira tepuk tangan masa habis persembahan kitorang tu, para penonton tak tahu pun pasal satu perkara ni. Kitorang atas pentas tu semua dah kecut perut dah. Sebab apa? Sebab kitorang semua dengar “orang ramai” bertepuk tangan kat belakang pentas siap ada sorakkan suara garau-garau semuanya.

Itulah penglibatan terakhir aku dalam dunia teater. Lepas aku habis sekolah, masuk matrik, masuk U, aku langsung tak tertarik nak serta. Minat tu ada, tapi aku rasa serik. Semua orang nampak manisnya, cantiknya dan hebatnya sesebuah persembahan dari hadapan pentas. Tapi, orang tak tau apa yang anak pentas ni rasa, alami dan tempuh di belakang. Tu yang buat aku seriau.

Seminggu selepas persembahan tu. Salah seorang kawan sekelas aku yang datang tonton persembahan tu, Hui Peng, dia tanya aku. “Wan, on the stage last week, I saw semua jenis hantu ada satu orang sahaja pelakon, why the hantu bungkus ada dua meh? Apa yang special about hantu bungkus sampai your team buat dua orang jadi hantu tu?”

Itulah punca aku tinggalkan teater. Percayalah, hanya Eqmal je yang jadi Pocong masa tu. Tak ada pelakon extra. Jadi, siapa hantu bungkus kedua tu? Sampai sekarang aku masih tak tahu jawapannya.

7 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *