#SiCelupar – Bakso dan Pasir

Assalamualaikum warga FS yang disayangi sekalian.

Dah terlalu lama rasanya aku tak kongsikan cerita dekat sini.

Korang ingat lagi tak kawan aku si Amin? Yang beriya kena kacau oleh seorang perempuan bernama Syakila. Lepas bekas kakak ipar dia, Ratna, bagi dia makan nasi kangkang. Kalau tak ingat, boleh baca 3 posting ini:

#SiCelupar – Friend Request
#SiCelupar – Siapa Syakila
#SiCelupar – Posyen Cinta

Hari itu adalah hari Sabtu. Aku tidur petang. Memang dah habit tidur sampai ke petang. Ya, aku tau tak elok. Takyah ceramah aku.

Bommm!
Bunyi ekzos kereta turbo jiran sebelah berjaya mengejut aku bangun. Serentak dengan itu, telefon bimbit aku berbunyi. Tak sempat nak tengok pukul berapa, aku terus angkat dalam mamai-mamai tu.

“Wan, kau kat mana?”
“Rumah.”
“Bunyi macam baru bangun tidur je.”
“Bukan.”
“Habis tu?”
“Bukan baru bangun. TENGAH tidur. Siapa ni? Telefon aku pagi-pagi buta.”
“Kepala hotak kau pagi-pagi buta. Tak lama lagi dah nak maghrib woi!”

Aku terus jauhkan telefon dari telinga dan tengok skrin telefon. Pukul 5.05 petang. Nama Amin tertera pada skrin.

“Ha, kau nak apa ni Min?”
“Kau nak ikut tak aku pergi makan bakso?”
“Bakso?” nada ceria keluar serta-merta.

Mata menjadi segar apabila otak mula memproses data-data yang terkumpul melalui lubang telinga itu, bawa ke otak lalu menjana informasi berbentuk bayang-bayangan bebola daging yang sedap lagi menggiurkan, bersama-sama dengan kepulan wap yang terhasil dari sup bakso yang panas.

“Ha’ah. Bakso. Nak tak?”
“Aku baru bangun tidur ni.” acah-acah menolak padahal aku dah bangun dan capai tuala menuju ke kamar mandi mewah yang bertahtakan air pancur yang sudah rosak dan sebekas tong air yang diperbuat daripada bekas cat 25L.
“Kau pergi la mandi. Kejap lagi aku datang ambik. Dalam pukul 5.30 karang aku sampai.”
“Okay, okay!”

Lepas habis mandi, solat asar semua, dalam pukul 6.00 barulah Amin sampai dengan sebuah Perodua Axia – installment 9 tahun. Janji melayu, biasalah tu.

Aku masuk ke dalam kereta, ada dua orang gadis di belakang sedang tersengih-sengih.

“Ni member-member aku. Hanna dan Delisa. Korang, ni lah Wan yang aku cerita tu,” kata Amin kemudian terus mulakan pemanduan.
“Hai, Wan.”
“Hai.”
“Kau cerita apa gile?”
“Pasal Wan SC. Diorang ni beriya nak jumpa kau.”
“Siapa Wan SC” aku berpura-pura.
“Aku baca cerita kau semua tau tak Wan.”
“Betul. Lagi-lagi yang Ratna tu, ke Maya. Entah lah, lupa dah tajuk dia.”

Aku diam je. Cuba recall balik, ada ke cerita aku tajuk Ratna atau Maya? Lantak la.

“Nak pergi makan bakso kat mana ni?” soal aku.
“Kat Bera.”
“Bapak jauh gila!”
“Entah. Orang kata situ sedap. Tu yang nak try tu. Tapi, orang cakap gerai dia macam agak pedalaman kampung la.”
“Gerai?”
“Ye lah. Gerai kampung. Atap zink. Bawah pokok besar. Serangga terbang sana-sini.”
“Kau pernah pergi ke?”
“Tak.”
“Hahahahaha. Tak payah la horror sangat describe kedai tu.”
“Laa. Apsal? Si Celupar dah jadi penakut?”
“Si Celupar originallynya memang penakut.”
“Macam-macam benda pelik kau jumpa sebelum ni. Takut lagi?”

Aku hanya mencebikkan bibir dan mengangkat bahu.

“Kenapa sekarang? Dah nak maghrib kot. Nak ke Bera tu karang dah sekian-sekian lamanya. Nak cari gerai tu lagi.”
“Sebab kedai tu pukul 7 baru buka.”
“Ooo..”

Belum sampai ke bandar Bera lagi. Amin membelok masuk ke satu jalan masuk kampung. Nampak macam bukan laluan utama. Jalan kampung yang kecik je.

“Sini ke?”
“Eh, tak. Kedai tu jauh lagi.”
“Abis tu, buat apa kat sini?”
“Usha port.”
“Port menda pulak. Kau ni ada je projek gila.”

Lebih kurang sepuluh minit masuk semakin dalam jalan kampung tu, kitorang sampai kat sebuah tapak memproses pasir. Ada banyak bukit-bukit pasir yang tinggi dekat situ. Ada sebuah kotak kontena yang dibuat seperti pejabat tak jauh dari situ.

“Nak buat apa kat sini?” soal aku sambil menapak turun bila kereta dah diberhentikan dan yang lain-lainnya turun dengan penuh teruja.
“Nak photoshoot.”
“Seriously?”

Hanna keluarkan kamera dari seat belakang. Kemudian, dia dan Delisa berjalan menuju ke bukit-bukit pasir yang ada sekitar situ.

“Aku ingatkan korang main-main.”
“Nak buat apa main-main. Memang nak shoot, nak usha tempat ni. Tak lama lagi Delisa nak kahwin, dia tengah cari tempat best untuk buat photoshoot.”
“ooo..pahamlah kalau macam tu. Tapi, takpe ke kita masuk kawasan ni? Kena halau karang camane?”
“Kena halau, blah je la. Nak buat apa lagi. Lagipun, kau tengok kontena tu, macam ada orang ke?”

Aku usha-usha kontena yang dibuat sebagai pejabat tu, nampak gelap dan suram. Macam takde orang. Hari itu hari sabtu. Boleh jadi juga tempat tu ditutup.

“Tadi, sepanjang laluan kita masuk ke sini, ada kita berselisih dengan sesiapa? Kereta ke, motor ke, ada?”

Aku hanya menggeleng dan memang betul. Bermula dari simpang masuk ke sini dari jalan besar sana lagi, memang tak ada orang yang berselisih dengan kereta kitorang. Aku pun dah tak banyak soal, terus mengekori yang lain-lain itu, yang dah semakin jauh masuk ke kawasan bukit-bukit pasir kat depan sana.

Kitorang berempat macam budak-budak kecik, gila dapat pasir. Macam dah berpuluh tahun kaki ni tak jejak atas pasir. Bukit-bukit pasir tu ada banyak. Kalau main sorok-sorok komfem best tapi memandangkan dah lewat petang, kitorang hanya shoot sikit-sikit macam tu je. Feel konon-konon pergi Klebang kat Melaka.

Aku panjat bukit pasir yang paling tinggi. Naik sampai ke puncak. Nak tengok apa yang ada di sebelah belakang bukit pasir sana. Bila aku sampai dekat puncak tu, kaki aku terus keras. Jantung berdetak laju.

Nun, di hujung sana ada sungai. Dan ada seorang perempuan pakai baju putih dengan kain batik sedang berdiri tercegat kaku pandang ke arah sini. Kaku je tak bergerak. Berdiri tangan kat sisi macam orang berkawad tu.

Mula-mula aku ingat tu cuma orang-orang. Tapi, aku fikir balik, nak buat apa pacak orang-orang kat sini. Bukannya sawah padi atau kebun.

“Amin! Amin!” aku panggil Amin.
“Apa?” soal Amin yang ada dekat bawah sana, di belakang aku.
“Sini jap. Tengok tu.”

Bila aku berpaling memandang semula ke arah ‘orang-orang’ tadi, berderau darah aku bila tengok perempuan tu takde dah dekat situ.

“Apsal?” soal Amin.
“Tadi aku Nampak ada perempuan pakai baju putih ngan kain batik kat sana tu. Berdiri tegak pandang aku.”
“Jilake la mulut kau ni. Jangan main-main.”
“Betul la. Ni dah hilang pula.”
“Konfem ke. Entah-entah pokok ke.”
“Kalau pokok tiba-tiba hilang pun aku cuak gak, giler! Jom lah blah. Tempat ni macam keras je. Rasa macam ada benda sedang dok perhati kita. Suruh Delisa cari tempat lain je lah buat photoshoot dia nanti.”
“Woi, jangan la. Tempat ni dah cun kot. Tengok gambar aku tangkap ni.”

Baru je Amin nak tunjuk gambar yang dia snap, entah macam mana tangan aku berlaga dengan tangan dia dan iPhone 7 Amin terlepas dari pegangan. Kemudian, handphone tu menggelongsor jatuh ke bawah menghala ke sebelah bukit yang menghadap perempuan berbaju putih tadi. Dengan pantas Amin berlari turun dapatkan telefon dia. Tapi, pasir-pasir banyak mengalir turun sampaikan telefon tu terkambus.

“Weh! Telefon aku. Sial lah!” bebel Amin sambal menguis-nguis pasir tersebut cari telefon bimbit.

Tak jumpa.

“Ah, sudah. Mana pula perginya.”
“Weh, takkan terkambus dalam sangat kot?”
“Kau nampak dia jatuh sini tadi kan?”
“Haah.” Jawab aku ringkas sambal tolong Amin menguis-nguis pasir tu.

“Min! Wan!” dengar suara Hanna memanggil.
“Sini, sini! Kitorang belakang sini!”
“Korang buat apa ni? Main pasir?” soal Delisa.
“Main pasir apa nya. Phone aku jatuh lepas tu terkambus pasir.” Suara Amin dah risau dah. Cari punya cari, tak jumpa-jumpa juga. “iPhone 7 kot,” rungutnya Amin lagi.

Lama jugak lah kitorang duk kuis-kusi pasir tu. Sekeliling memang dah gelap dah. Langit merah ketika tu.

“Kita datang semula esok pagi je la. Esok Ahad, aku rasa tempat ni cuti lagi esok.”
“Weh, jangan lah gila! Handphone aku kot tu.”
“Kau nak cari sekarang pun tak ada guna Amin. Hari dah gelap.”

Dengan pantas aku keluarkan telefon dari poket. Aku buka torchlight.

“Korang tolonglah cari sekali,” rungut Amin. Aku nampak Delisa dah buat muka dah.

Tengah sibuk kais-kais pasir kat situ, tiba-tiba Delisa menjerit. Terpekik-pekik nak menangis.

“Apsal?” soal Amin.
“Kaki aku! Kaki aku! Maaakkkk!!”

Aku nampak kaki dia terbenam dalam pasir. Dahi aku dah berkerut dah. Gedik betul minah ni.

“Ada benda tarik kaki aku. Dia pegang kaki aku! Tolong! Maaaakkkk!!” Hanna mula menangis.

Amin segera mendapatkan Hanna lalu kaki gadis tersebut ditariknya mudah. Macam tak tesekat pun.

“Sial la. Aku tau la korang nak blah tapi jangan la buat cerita bodoh. Tolong lah aku. iPhone 7 kot tu.”

Elok je Amin habis merungut tiba-tiba dia tersembam ke pasir. Kemudian, Hanna dan Delisa. Selepas itu, aku mula rasa macam ada orang peluk aku dari belakang lalu menjatuhkan aku ke pasir. Muka aku jatuh dulu.

“Allahu Akbar!!!!!” aku jerit sekuat hati.

Hek hek hek hek hek. Aku terdengar suara perempuan ketawa. Kemudian disusuli dengan bunyi azan sayup je dari jauh. Pada masa itulah aku dapat rasakan badan aku tak lagi dipeluk. Aku segera bangun. Delisa terbatuk-batuk. Hanna pun dah start menangis. Aku capai tangan Amin, bantu dia bangun.

Ohok! Ohok!
Bunyi batuk kedengaran. Bila berpaling ke belakang, apa lagi menjeritlah kitorang semua. Delisa dan Hanna terus berpelukkan. Aku sampai terduduk semula atas pasir tu sebab terkejut sangat.

Ada seorang perempuan tua pakai baju putih dengan kain batik berdiri depan kitorang ketika tu. Rambut dia putih, tak diikat dan biar mengerbang.

“Aokme buat mende kat sini? (Korang buat apa kat sini?)”
“Cari barang hilang, wan. Henset terjatuh. Puas dah meraba cari, tak jumpa.”
“Gitu la orang mude. Payoh nok jaga barang elok-elok. Dah, seme ke tepi!”

Aku dan yang lain-lainnya bagi laluan dekat nenek tua tu. Nenek tua tu pergi ke arah tempat telefon Amin tadi terjatuh.

“Aokme pandang belakang. Jangan sesekali toleh sini.” kata nenek tu. Semua aku je. Hanna langsung tak lepaskan lengan Delisa. Dua-dua tu dak ketar-ketar lutut dah. Amin pula muka berkeronyok memikirkan iPhone 7 dia.

Aku ni penakut memanglah penakut. Tapi, curiousity aku pun tinggi juga. Apa lagi, aku toleh jugak tengok nenek tu cari telefon Amin. Masa itulah aku ternampak satu tangan yang pucat gila keluar dari dalam pasir tu. Kukunya hitam. Tangan tu sedang menggenggam iPhone 7 Amin. Nenek tua tu ambil telefon tu sambil terkumat kamit membaca sesuatu. Kemudian, dengan pantas dia menjeling ke arah aku. Aku tersentap lalu terus alihkan pandangan ke tempat lain.

“Nah, tepon aok ni.” katanya sambil menghulurkan iPhone 7 milik Amin yang ada pada tangannya. Tapi, mata dia terkunci memandang aku.

Amin masa tu terus pandang aku. Muka nampak cuak gila.

“Ambik ni. Pergi lah balik. Dah megerik ni, main lagi kat luor. Jin iblih suke ngat la kat wokme ter,” mata nenek tu masih tak beralih dari terus pandang aku.

Amin terus cepat-cepat sambar telefon tu dari tangan nenek tua. Kemudian, terus kitorang cepat-cepat menuju ke kereta.

“Balik umoh tu kakrang, basuh kaki ter. Jangan bagi sebutir pasir pun bawok masuk umoh.” laung nenek tu pada kitorang.

Kereta yang dipandu Amin tu pun terus laju meluru keluar dari jalan kampung tu. Sepanjang perjalanan menuju ke bandar Bera, masing-masing terdiam. Mungkin masing-masing masih terkesan dengan kemunculan tiba-tiba nenek tu. Tapi, yang pastinya akulah yang paling terkesan. Dalam masa yang sama aku rasa bersalah sebab terjatuhkan handphone Amin.

Lebih kurang dalam lima belas minit memandu, kitorang sampai dekat bandar Bera. Hari pun dah menjangkau gelap masa tu. Kitorang berhenti solat Maghrib sekejap, lepas tempuh bandar Bera, Amin masuk ke satu simpang. Jalan masuk ke satu kampung. Mulanya ok lah. Jalan dia dua hala. Tak lama selepas tu, jalan dia kecik muat-muat satu kereta je.

Dalam hati aku ketika tu, sekali lagi ke kena lalu jalan macam ni kat sini? Aduh,kenapa lah advanture sangat perjalanan nak makan bakso ni.

“Agak-agak korang, nenek tu manusia ke hantu?” celupar betul mulut minah belakang seat aku ni.
“Hantu kot.” Tengok tadi takde kaki pun.” Jawab aku selamba, apa kau ingat kau boleh lawan keceluparan aku?
“Serious lah?! Kau Nampak dia takde kaki ke tadi?!”
“Aduh, kau ni pun takyah la bimbo sangat.”

Kitorang sampai kat gerai bakso tu lebih kurang 10 minit selepas tu. Sepanjang perjalanan dari simpang dekat jalan besar menuju ke gerai bakso tu, kitorang tak jumpa sebiji rumah pun. Langsung tak ada. Yang kitorang jumpa cumalah sebuah kuil hindu yang gelap tak berpengunjung dan lintasan rel keretapi. Gelap dia, tak payah cerita la. Memang tak ada lampu jalan langsung.

Sampai dekat gerai bakso tu, rasa macam pelik bin ajaib. Ramai sangat orang. Melayu, India, Cina ada semua. Ada yang duduk bersembang. Ada yang main dam haji. TV pula tengok buka channel HBO.

Tapi, tu tak berapa menarik perhatian aku sangat. Yang menarik perhatian aku adalah pokok besar yang tinggi merimbun dekat depan kedai tu. Pokok dia hitam semacam. Dan sumpah scary.

“Mau makan apa ya?” pembantu kedai tu bertanya. Gadis jawa kot. Agaknya lah sebab slang dia bercakap macam jawa.
“Bakso empat. Dengan tempe goreng..”
“Tempe goreng habis.”
“Habis? Baru pukul berapa, takkan dah habis? Kecewanya. Datang jauh-jauh kot ni.”
“Maaf ya kak. Tempenya memang cepat habis. Hari ini juga banyak orang datang.”
“Kalau macam tu, bagi bakso je lah empat.” Air kami sudah pesan.

Hanna muncung. Dia dapat tahu menu special dekat sini selain bakso, tempe gorengnya sangat sedap dan awesome. Lebih menarik lagi, bebola dagingnya dibuat secara fresh time tu juga. So, dapat lah tengok Wak yang buat bebola daging tu sibuk menguli.

“Macam dalam movie seram, kan? Gerai dalam kampung, hutan kiri kanan, ada pokok besar, dan pemiliknya adalah wak jawa. Dan sekarang wak jawa itu tengah uli bebola daging. Agak-agak korang, tu daging orang ke daging apa?” aku cuba menimbulkan suasana seram tetapi gelak tawa yang terhambur.
“Lepas tu sekejap lagi nak balik. Kereta tak boleh start, anjing menyalak-nyalak, kedai blackout.” Amin menyambung cerita aku, layan..hahahaha
“Ok aku pulak. Dalam perjalanan pulang, ada benda jatuh atas bumbung kereta, kereta mati dekat tengah-tengah rel keretapi. Kereta api tiba-tiba muncul. Pintu kereta entah macam mana, terkunci tak boleh bukak.” Hanna pula menyampaikan ideanya.
“Tu macam final destination punya scene je,”

Tengah seronok berborak. Dari topik seram ke topik movie, kemudian ke topik Delisa bakal berkahwin dan kat mana nak cari tempat photoshoot baru. Bakso sampai ke meja kami. Beruwap-wap. Aromanya menangkap sehingga ke rongga dalam hidung. Cukup sedap. Bau je pun dah buat aku judge bakso tu sedap.

“Wak guna daging lembu, bukan daging manusia.” Jelas Wak, si tuan kedai sambal menjeling tajam ke aku, sekilas sebelum dia menapak kembali ke dapur.

Aku dan lain-lain tergamam.

“Kita cakap kuat sangat ke tadi? Boleh dengar sampai ke dapur sana ke?”
“Entah-entah Wak tu bela something kot. Benda tu jadi spy dia.”

Paap!
Tiba-tiba kerusi kayu yang ada dekat meja sebelah, terjatuh. Meja tu kosong. Tak ada angin tak ada rebut tiba-tiba kerusi tu terjatuh. Masa kitorang pandang kerusi tu lah, baru kitorang sedar yang pelanggan lain semua dah tak ada kat dalam kedai tu. Kitorang je yang ada. Rancak sangat berbual sampai tak sedar orang sekeliling dah beransur kurang. Bukan kurang dah ni, ni kategori tak ada langsung.

Bakso Wak ni memang superb. Sup dia sedap. Daging dia memang terbaik. Sampai licin sup bakso tu aku hirup. Aku memang hantu sup. Memang dah masuk dalam senarai kedai feveret lah ni kiranya. Aku bertambah suka bila bakso dia takde taugeh.

“Wak! Tambah bakso satu mangkuk lagi!” Hanna melaung.
“Dua mangkuk lah wak!” Amin juga taknak kalah.

Telefon Delisa berbunyi, mata aku laju menjeling dan nampak perkataan My (simbol love 2 kali) Fiance.

Pembantu kedai, si gadis jawa, datang dekat kitorang dengan wajah yang menjengkelkan. TV tiba-tiba rosak. “Meatball habis,” katanya.
“Eh, takkan dah habis?”
“Tamunya ramai hari ni.”
“Ramai apa, ni tak ada orang pun.”
“Ini sekarang. Tadinya ramai.”
“Buatlah baru. Kan meatball tu Wak sendiri yang buat.” Hanna agak sedikit jelek.

Aku sendiri membebel dalam hati, “Eh, kau ni tak payah lah nak bossy sangat macam tu!”
Amin pula duk gelak-gelak sambil geleng kepala tengok perangai bossy Hanna.
“Awak. Kenapa saya dengan bunyi perempuan ketawa mengilai tu?” aku dengar suara tunang Delisa agak jelas di telefon.

“Meatballnya habis sudah dik,” Wak muncul apabila situasi agak tegang. Hanna ni jenis kalau dia tak dapat sesuatu memang dia akan cepat naik angin. Nak-nak bila bab makanan.
“Takkan tak ada langsung wak?”
“Meatball sudah habis. Eyeball mahu?” soal Wak.
“Eyeball?” soal aku.
“Iya.”
“Eyeball apa? Lembu?”
“Tidak. Eyeball ini.” Serta-merta Wak menarik bebola mata dia lepastu kedua-dua matanya tercabut. Darah memercik ke meja kami.
“Eye aku juga.” Gadis Jawa pula menarik biji matanya lalu diletakkan ke dalam mangkuk Amin. Darah tersembur ke pipi Amin.

Kitorang masa tu: speechless.

“Ya, Allah! Setan!!!!” jerit aku lalu terus flip the table. Hanna dan Delisa terus menjerit sekuat hati. Kedai terus blackout.
“Shit la.!” Amin membebel.
Lintang pukang kitorang berlari menuju ke kereta. Bila sampai, kereta tak boleh buka. Amin belum tekan butang kunci. “Cepatlah giler!!!” pekik aku.

“Mau ke mana tu? Bayar dulu!” laung Wak tadi kemudian dia ketawa terbahak-bahak. Galak macam syaitan. Macam yang mak-mak kita selalu bebel, apa gelak macam tu, gelak setan. Ha, macam tu lah Wak sedang gelak ketika tu.

Krekk! Krekk!
Kereta tak boleh start. Ah, sudah! Amin dah mencarut-carut dah. Hanna dan Delisa dah start menangis.

“Kedai apa korang bawa aku ni, sial?!” pekik aku. Tiba-tiba perut aku mual. Dengan pantas aku buka pintu lalu, bwekkkk! – muntah ke luar. Masa ni lah aku nampak ada ketulan-ketulan daging hitam yang tak lumat dan ulat-ulat maggots yang masih hidup dan menggeletis-geletis. Aku muntah sekali-lagi. Beberapa ketika selepas tu, Amin, Hanna dan Delisa pun turut muntah. Delisa menjerit-jerit bila nampak ulat-ulat dari muntah dia tu.

Krekk! Krekk! Vroom!!
Kereta berjaya dihidupkan. Tak sempat nak tutup pintu, Amin dah tekan pedal minyak.

“Bayar dulu!!” Wak tadi muncul di tepi tingkap sebelah aku dengan muka yang tak ada bebola mata. Aku nak sebut Allahu Akbar pun tak terbuka mulut. Badan aku ketar.

“Aku cari kau nanti! Aku cari!” jerit Wak dari belakang yang tertinggal jauh dah. Dia tak kejar pun. Tapi, ada benda lain yang kejar.

Sekumpulan anjing hitam.

Wook! Wook!!
Anjing-anjing hitam tu menyalak garang dekat kereta kitorang. Amin laju pecut ke depan. Anjing-anjing tu pun laju kejar kitorang kat belakang. Ada seekor yang berjaya melompat naik atas wiper belakang. Digigitnya wiper tu sampai terpatah. Delisa dan Hanna yang duduk dekat seat belakang menjerit-jerit suruh Amin laju.

Baam!!
Tiba-tiba ada sesuatu jatuh atas bumbung kereta. Hanna dan Delisa menjerit bagai nak gila. Menangis-nangis. Bumbung kereta tu berlekuk sebab benda yang jatuh tu terlalu berat. Kereta pun rasa macam berat semacam. Anjing-anjing kat belakang dah hilang.

“Kereta ni berat. Aku dah tekan minyak habis cecah lantai dah ni,” kata Amin.

Disebabkan tak mampu nak pandu lagi. Kereta akhirnya tersadai. Bukan tepi jalan tapi di tengah-tengah rel keretapi. Di tengah-tengah. Ya, korang tak salah baca. Bonet depan berasap-asap.

“Weh, apsal semua benda yang jadi ni sama macam apa yang kita cakap tadi?”
“Korang la ni mulut celupar, sial!”
“Mana kau dapat alamat kedai bakso ni Hanna?”
“Google.”
“Google?!” serentak tiga-tiga kitorang ni terperanjat.

Ponnnnnnn!!
Satu hon panjang kedengaran dari jauh. Semua memandang ke kiri. Nampak lampu keretapi sedang datang makin lama makin mendekati.

“Kereta api?”
“Bukan keretapi ni dah lama tutup ke?”

Ponnnn!!

“Oh, my God! Keluar! Keluar!” jerit aku.

Aku cuba untuk buka pintu kereta tapi pintu terkunci.
“Bukak la kunci pintu ni, Min!” teriak aku.
“Tak boleh. Ketat.” pekik Amin pula.
“Ya, Allah! Mati la kita.” Delisa meraung-raung.

Ponnn!!!

Bommmm!!!
Ekzos enjin kereta turbo jiran aku berbunyi berjaya mengejutkan aku bangun dari tidur petang. Dahi aku lejut berpeluh. Belakang badan aku basah. Bantal aku juga basah sebab berpeluh. Air-cond tengah sleep. Dalam hati aku siapa lah yang setting sleep mode ni. Jantung aku masih lagi laju mengepam.

Aku tengok phone, jam 5.00 petang tepat.

Aku tersengih. Perlahan-lahan jantung aku semakin stabil.

“Ngeri nak mampus mimpi tadi.” gumam aku sendiri.

Tengah sedap-sedap membetulkan urat-urat dan tulang-temulang, satu Whatsapp masuk. Dari Amin.

Amin: Wan, lepak jom. Makan bakso.
Aku: Bakso katne?
Amin: Bera.

Dahi aku berkerut. Badan serta merta meremang. Tapi, aku keep it positive. Tadi tu cuma mimpi je.

Aku: Boleh lah. Dtg ambk aku. Aku malas drive.
Amin: Orite. Jap lg pkul 5.30 aku smpai. Member aku dua orang join sekali. Sibuk nak jumpa Wan SC.

Dalam hati aku masa tu, takkanlah apa aku mimpi tadi nak jadi betul-betul?

Seperti biasa, sebelum keluar, aku akan mandi dulu. Masa aku nak cabut seluar, nak pakai tuala, aku nampak seluar aku..

..berpasir.

-Tamat-

Diam tak diam, dah dekat setahun aku kongsi-kongsi cerita dalam page Fiksyen Shasha ni. Jadi, aku ambil peluang ini untuk bagitahu mereka-mereka di luar sana terutamanya yang tak follow personal FB aku WAN SC, boleh lah jenguk-jenguk sekarang. Aku dah bukukan semua cerita #SiCelupar dan beberapa cerita tambahan. Koleksi yang rare lagi limited tak dapat di mana-mana. Tajuknya KOLEKSINGERI SI CELUPAR. Aku tengah open pre-order. Kalau ada sesiapa berminat, boleh follow akaun fb WAN SC ye.

Bye!

Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit

Wan SC
rate (4.5 / 2)

Sila tinggalkan komen yang berkaitan dengan cerita :)

73 Comments on "#SiCelupar – Bakso dan Pasir"

avatar
Babyarra

Xsuke baca cerita rekaan ni

Zahra Rizqika
rate :
     

Haha..best! Walau rekaan. Wan SC org Pahang dari daerah mana? Temerloh ke? Org kampung mana weh?

wpDiscuz