#Stella – ‘Anak angkat’ Cikgu Atan

Assalam warga FS. Terima kasih admin sebab sudi uploadkan kisah ni. Ada yang tanya kawan aku Wani dalam episod lepas tu mix ke tak sebab kacukan mat saleh. Ye, dia ada mix tapi lawa ke tak aku tak leh cakap sebab Wani pembaca tegar FS. Kalau aku puji dia karang, setahun aku kena dengar dia cakap pasal tu. So, cuti sekolah baru-baru ni, aku ada jumpa dengan kawan aku, Cikgu Atan. Untuk sesiapa yang tak kenal dia, boleh baca kisah Kek Coklat untuk Cikgu Atan. Kalau tak nak baca pun tak pa, boleh proceed baca cerita ni je. Tanpa membuang masa, jom follow sambungan kisah Cikgu Atan dan murid ‘kesayangan’ dia, Pian.

Kisah Cikgu Atan

Perkara ini berlaku sewaktu aku dengan Cikgu Lan tengah menanda kertas exam. Masa tu dah nak dekat pukul 2 pagi. Cadangnya kami nak menanda sambil tengok bola kejap lagi. Tengah tersengguk-senguk membaca jawapan, tiba-tiba kami terdengar bunyi benda bergolek kat atas bumbung. Aku dan Cikgu Lan dah berpandangan. Tapi kami decide untuk ignore dan buat-buat tak dengar. Mungkin marah bila tak ada respond, kali ni aku dan Cikgu Lan dengar bunyi dari dapur pulak. Bunyi macam orang nak bukak selak pintu belakang tapi tak berjaya. Aku dah sikit risau. Macam mana kalau yang cuba nak masuk tu manusia? Manusia lagi seram dari hantu aku rasa.

“Lan, kita pergi tengok nak apa kat belakang tu?” cadang aku. Cikgu Lan pantas menggeleng.
“Tak kuasa aku. Kau tak ingat ke pesan tok penghulu dulu? Biarkan jelah,” balas Cikgu Lan.
“Kalau perompak macam mana?” kata aku pulak. Dia kelihatan gelisah. Mungkin masih trauma dirasuk dahulu. Bunyi dari belakang semakin kuat, seolah-olah macam nak pecah pintu rumah kami.
Akhirnya, Cikgu Lan menurut permintaan aku. Kami berdua bergerak ke dapur. Anehnya bila kami sampai di dapur, serta merta bunyi-bunyian sebentar tadi berhenti. Suasana persekitaran menjadi sunyi. Aku dan Cikgu Lan decide untuk tak nak buka pintu sebaliknya kami mengintai dari tingkap dapur. Aku nampak kosong kat pintu belakang. Tak ada sesiapa pun kat luar.

“Lan, jomlah. Tak ada apa pun,” kata aku sebelum berpaling. Tapi aku tengok Cikgu Lan macam terkaku tak bergerak. Dalam hatiku dah berdetik, jadi lagi macam dulu ke?
“Lan, Lan,” panggil aku sambil menggoncangkan bahu Cikgu Lan. Dia memusingkan badan menghadap aku sambil mulut dia mengatakan sesuatu. Muka dia dah berubah pucat lesi dan nampak takut. Aku cuba menangkap gerak bibir dia sebab suara dia tak keluar. Tangan dia duk menunjuk ke arah luar tingkap.

“Kat pokok. Kat pokok. Benda tu bertenggek kat situ,” kata Cikgu Lan. Berderau darah aku. Hati aku menjerit tak nak tengok tapi aku kuatkan diri untuk mengintai kat tingkap. Ternyata kat situ, ada seorang wanita yang memakai baju putih sedang elok duduk di atas dahan pokok. Muka dia tak nampak jelas sebab pokok tu agak jauh dari dapur kami. Aku menarik nafas dalam- dalam dan cepat tarik Cikgu Lan dari situ. Malam tu, kami tidur di ruang tamu. Bola entah kemana, paper exam pun tak habis tanda.

Kejadian berikutnya berlaku masa nak senja. Aku dan Cikgu Lan baru balik dari sekolah. Masing-masing tengah nak menyegarkan diri sementara nak tunggu maghrib. Aku plan nak ajak Cikgu Lan pergi makan kat pekan lepas solat, so aku pun pergilah ke bilik dia untuk bagitau. Aku tengok Cikgu Lan tengah elok tertidur kat atas katil dengan baju kemeja tadi. Sebab nak senja, aku pun melangkah masuk ke bilik dia untuk kejutkan dia. Tapi langkah aku terhenti tiba-tiba. Sebab dari bawah katil dia, aku dengar macam ada bunyi objek bergerak. Masa tu aku takut ular ke apa. Jadi aku pun menundukkan badan sambil mengintai kat bawah katil dia.

Sret! Sret! Perlahan-lahan objek hitam di bawah katil bergerak keluar. Sedikit demi sedikit menampakkan rupa sebenar. Aku jatuh terduduk sebab terkejut. Seorang nenek tua sedang merangkak ke arah aku dari bawah katil. Rupa dia bengis dan berkedut seribu. Mata dia tajam tak lepas daripada pandang aku. Sekali sekala terdengar suara dia macam menderam. Rambut beruban dia menggerbang. Semakin lama, dia semakin menghampiri aku. Pap! Pintu bilik Cikgu Lan terbuka. Aku cepat menoleh. Aku nampak Cikgu Lan dengan bertuala tengah pandang aku pelik. Bila aku tengok balik arah katil, nenek tua dan Cikgu Lan yang terbaring atas katil tadi dah hilang. Macam semuanya khayalan aku.

“Kau buat apa kat dalam bilik aku ni?” tanya Cikgu Lan.
“Kau dah lama ke dalam bilik air tadi?” balas aku pulak.
“Sejak balik tadilah. Kenapa?” tanya dia lagi. Aku pun bercerita tentang kejadian tadi kat Cikgu Lan. Dia menggeleng sebelum sama-sama ajak aku solat berjemaah maghrib. Kami pun turut buat bacaan Yaasin lepas maghrib kat rumah tu. Yang menakutkan, sepanjang kami baca surah Yaasin tu, aku dengar ada suara menangis kat luar rumah. Mendayu-dayu macam dalam kesedihan yang melampau.

Kejadian berikutnya pulak berlaku masa aku dengan Cikgu Lan baru balik dari pekan lepas beli barang dapur. Aku banyak pengalaman dengan Cikgu Lan sebab dia ni kira best friend aku lah kat sini. Tengah kami bersembang, tiba-tiba nampak orang kampung kami, Mak Leha tengah tunggu bas. Cikgu Lan offerlah untuk hantar dia balik rumah. Sebab rumah kami pun tak jauh sangat dari rumah Mak Leha. Lagipun dah malam. Nak tunggu bas atau teksi entah ada ke tak. Lepas dipelawa, Mak Leha pun masuk kereta duduk kat belakang.

“Mak Leha pergi ke mana je malam-malam ni?” tanya Cikgu Lan cuba untuk berborak. Diam. Tidak ada balasan dari Mak Leha. Sedangkan kami tahu Mak Leha ni agak kepoh orangnya. Aku menoleh ke belakang dan nampak Mak Leha tengah duduk menundukkan kepala.
“Dia tidurlah, Lan. Penat kot,” kata aku. Cikgu Lan tergelak sambil kembali menumpukan perhatian pada pemanduan.

Tengah kami bercerita pasal kerja, tiba-tiba terdengar suara perempuan bercakap. Aku dan Cikgu Lan terdiam. Bila diamati betul-betul, perempuan tu sebenarnya tengah menyanyi. Aneh sebab radio kereta Cikgu Lan dah lama rosak. Yang buat bulu roma aku meremang, nyanyian tu dalam bahasa yang tak aku faham. Lenggok nyanyian tu macam muzik klasik. Ala macam style ulek mayang tu. Aku pandang cermin belakang. Sebab perempuan dalam kereta tu cuma Mak Leha sorang je. Aku nampak nenek tua yang pernah merangkak dalam bilik Cikgu Lan sedang memandang aku. Mulut dia terkumat – kamit menyanyikan sesuatu sambil tersenyum.

“Lan, cuba kau drive sampai rumah Pian. Kau tau kan kat mana?” tanya aku perlahan. Cikgu Lan dah memandang aku aneh. Dia menjeling ke cermin belakang dan aku dapati wajah dia berubah. Tanpa bersuara, dia mengangguk. Perjalanan kami diteruskan sambil ditemani suara merdu si nenek tua.

“Mak Miah, dah sampai rumah ni,” kataku apabila Cikgu Lan berhenti di lorong nak ke rumah Pian.
“Terima kasih cikgu. Betul kata anak saya. Hati cikgu baik. Saya hari-hari datang rumah cikgu untuk tengok cikgu,” kata Mak Miah. Nak putus urat jantung masa dengar Mak Miah cakap macam tu.
“Mak Miah, dah lewat malam ni. Kami nak balik,” kataku cuba berbasa-basi.
“Cikgu-cikgu tak nak singgah dulu?” tanya Mak Miah. Cikgu Lan pandang aku sambil menggeleng.
“Takpelah Mak Miah. Kami nak kerja esok,” jawab aku. Dia tersenyum mengangguk sebelum keluar dari kereta. Lepas je dia tutup pintu, cepat Cikgu Lan memecut balik ke rumah.

Kejadian yang seterusnya ni berlaku kat aku sorang je. Aku disuruh pergi ke rumah Pian lepas beberapa hari dia tak datang sekolah. Mulanya aku berat hati nak pergi. Lagi-lagi pulak bila aku dah pernah ada sejarah dengan budak tu. Tapi sebagai cikgu, itu dah jadi tanggungjawab aku. Aku tak boleh memilih students. Masa lunch hour, aku pun pergi ke rumah Pian sebab kebetulan jadual aku kosong lepas waktu rehat. Tak nak aku pergi situ time petang yang nak dekat waktu senja.
Rumah Pian jauh ke dalam dan agak terasing daripada penduduk kampung yang lain. Nak masuk ke situ, kena lalu lorong kecik yang penuh semak-samun. Kena lalu on foot sebab kereta tak muat kat situ.

Aku pun bertabahlah meredah semak-samun sambil berdoa takde binatang berbisa yang tiba-tiba muncul. Selepas bersusah payah, aku pun tiba kat sebuah rumah kayu. Rumah tu kecik je dan ada bangsal kat situ. Kat bangsal tu ada beberapa meja papan dan kerusi kayu macam kat warung tu. Mak Miah ni meniaga ke? Terdetik sikit hati aku.

“Cikgu, jemput masuk. Mak tengah siapkan makanan,” tiba-tiba muncul Pian dari belakang. Entah dari mana dia datang.
“Takpelah, Pian. Cikgu cuma nak tanya kenapa kamu tak datang sekolah,” tanyaku pantas. Lagi cepat aku tau, lagi cepat aku boleh balik. Pian tersengih ceria. Berbeza dengan layanan dia kat aku masa kat sekolah.

“Marilah masuk cikgu. Cikgu nak makan kek?” tanya Pian. Dia menarik-narik tangan aku. Lagak dia macam dah selalu ramah dan mesra dengan aku.
“Pian, masa untuk makan!” jerit seseorang dari dalam rumah. Pian pantas menarik aku. Aneh macam dipukau, aku terikut langkah dia untuk masuk ke dalam rumahnya.
“Cikgu Atan? Datang jugak cikgu ke rumah kami,” ujar Mak Miah sambil menatang sedulang makanan. Aku tengok ada banyak makanan di atas itu. Macam-macam jenis. “Pian, angkat lagi satu dulang. Minta maaf cikgu. Ini bukan untuk cikgu,”kata Mak Miah sambil keluar rumah. Aku mengintai dari tingkap rumah dan melihat Mak Miah sedang menghidangkan makanan di bangsal.

“Tunggu sekejap ye cikgu. Sekarang waktu makan,” kata Pian yang muncul dengan sebuah lagi dulang. Dia pun turut keluar dan menghidangkan makanan di luar rumah. Aku nampak kedua-dua beranak tu berbisik-bisik sambil menunjukkan ke arah dalam rumah. Aku mula tak sedap hati. Aku bangun untuk beredar bila tiba-tiba Pian berdiri di muka pintu.

“Cikgu nak balik dah ke?”
“Cikgu ada kelas kejap lagi ni,” kataku. Muka Pian berubah. Macam marah.
“Cikgu memang tak sayang saya!” jerit Pian sambil berlari masuk rumah. Aku dengan pantas keluar dari situ. Apabila aku dah sampai kat hujung tangga luar rumah, aku memandang ke arah bangsal. Aku nampak lebih daripada sepuluh lembaga hitam botak sedang lahap makan makanan daripada dulang-dulang makanan. Mereka makan macam tak pernah makan seminggu. Aku mula ketakutan. Dari jauh Mak Miah melambai-lambai aku sambil tersenyum manis. Aku pun apa lagi cabut lari ke arah lorong menuju ke jalan utama untuk kembali ke sekolah.

***
Terima kasih readers FS yang sudi baca kisah Cikgu Atan untuk episod kali ni. Buat masa sekarang ni Cikgu Atan masih lagi mengajar kat situ sebab permohonan dia untuk tukar sekolah masih dalam proses lagi. Nanti next time kalau dia balik lagi, aku akan korek lagi pengalaman misteri dia kat situ.

Stella
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

14 comments

  1. Harap cikgu Atan tabah la.kalau aku mungkin dah lama resign.gila kau dah la anak beranak kuat bomoh, macam psycho pun ada

    1. Mungkin mak miah yg sebenarnya…yg cg atan and cg lan nampak macam mak leha tu mungkin mak miah yg bertukar rupa..haha
      #Hanya sepekulasi ku shj

  2. Hujung tahun ni meh try tukar lg cikgu atan.ajak cikgu lan.untung2 dpt kat slangor.dkt sikit ngn akak.ntah2 1 skola.bole share lg byk citer.haha.niway..mmg korang tabah.pngalaman berharga tu.kipidap

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.