#Stella – ‘Bukan salah aku’

Assalam warga FS. Dah lama rasanya tak menulis sebab busy sangat kat lab. Sekarang ni banyak betul samples. Mungkin musim orang sakit kot. Tapi jangan salah faham, aku tak menulis time office hour tau, aku menulis time dah balik kerja. Tapi bila penat biasalah kan. So, readers sekalian, jaga kesihatan ye supaya berkurang samples kat lab. Okay, cerita episod kali ni adalah tentang kawan aku, Fatty (nama dia Fatimah) semasa dia melawat kawan dia, Lili yang sakit. Okay, jom teruskan dengan pengalaman Fatty.

Kisah Fatty

Ketika kami (Aku, Atul, Sarah) sampai kat rumah Lili, tak tau kenapa hati aku jadi tak sedap sangat. Sedangkan rumah Lili tu takde apa yang tak normal pun. Just rumah teres biasa. Kat rumah Lili ni cuma ada Lili dan parents dia je. Adik Lili kat sekolah berasrama penuh ketika kejadian ni berlaku. Bila aku melangkah je masuk ke dalam halaman rumah tu, automatik aku rasa macam penat. Macam tenaga aku diresap sesuatu. Padahal bukan aku yang drive pun tadi. Bila aku tanya Atul dan Sarah selepas kejadian tu berlaku, mereka pun mengaku mengalami hal yang sama.

Lepas kami bagi salam, mak Lili pun jemput kami masuk rumah. Sekali lagi bila aku melangkah rumah, aku rasa macam tenaga aku diresap lagi sekali. Aku jadi penat sangat sampai menguap banyak kali. Kami pun dibawa ke bilik Lili. Seminggu lepas, Lili call kata dia demam panas so dia tak dapat join kami punya backpacking trip ke Vietnam. Lepas kami balik, Lili still kata demam dia tak kebah sampai ke hari ni. So, aku dengan kawan-kawan pun decide untuk melawat si Lili ni.

Masa masuk bilik Lili, aku tak tau kenapa tapi aku nampak macam bilik tu macam suram. Sedangkan tingkap dia luas terbuka kot. Cahaya matahari masuk tapi bilik tu still macam takde cahaya. Masa tu yang terlintas kat fikiran aku cuma lighting bilik tu tak betul kot. Tak terfikir lagi benda-benda mistik ke apa. Bila tengok keadaan Lili, kami rasa kesian sangat sebab Lili sangat pucat dan cengkung. Berbeza dengan Lili yang kami jumpa buat kali terakhir. Bila ditanya kenapa Lili tak dimasukkan ke hospital, mak Lili cakap Lili dah tiga kali keluar masuk hospital. Bila doktor run tests, dia takde apa-apa penyakit pun. So, doktor suggest supaya mak Lili bawa anak dia balik dan cuba alternatif lain.

Sedang kami asyik berbual dengan mak Lili pasal keadaan anak dia, tiba-tiba Lili yang sedang elok tidur tadi bangun mengejut. Mata dia terbeliak pandang ke atas siling bilik sambil mulut ternganga. Masa tu meremang bulu roma kami semua yang ada kat dalam bilik tu. Bila pandang ke atas, takde apa-apa pun kat situ. Perlahan mak Lili datang dekat dengan anak dia dan usap Lili.

“Lili, ni mak ni. Lili tidur balik ye nak?,” kata mak Lili. Macam boneka, badan Lili yang bangun tadi rebah kembali ke katil dan tidur macam takda apa yang terjadi. Atul dah sibuk-sibuk siku aku. Bila kami turun balik ke ruang tamu, masing-masing senyap sebab tak tau nak mulakan perbualan macam mana. Mak Lili pulak nampak resah semacam.

“Mak cik, minta maaf kalau saya tanya, tapi Lili ni sebenarnya kenapa?”, aku cuba bertanya. Mak Lili menjeling aku tajam. Daripada mak Lili yang mesra menyambut kami tadi, dia bertukar karakter.

“Jangan tanya kalau itu bukan urusan kau”, balas mak Lili kasar. Aku baru hendak menjawab bila tiba-tiba Atul menjerit sebelum rebah ke lantai. Berlari aku dengan Sarah mendapatkan Atul. Aku pegang badan dia, panas. Macam orang demam.

“Nampaknya kawan kau ni macam tak sihat. Tingallah kat sini dulu sampai dia elok sikit. Nanti mak cik sediakan makan malam”, kata mak Lili yang masih lagi berdiri kat tempat yang sama. Aku dengan Sarah rasa berat hati tapi kami terpaksa jugak stay kat situ hari tu sebab antara kami bertiga cuma Atul je yang ada lesen memandu. Kami mengangkat Atul ke atas sofa. Bila kami toleh, mak Lili dah lesap entah ke mana. Mungkin ke dapur kot untuk sediakan makan malam.

“Fat, takkan Atul tiba-tiba sakit macam ni? Aku rasa ada something wrong ni. Tengoklah Lili tadi”, bisik Sarah.

“Tapi kita tak boleh buat apa. Nanti bila ayah Lili balik, kita minta dia hantar kat bustop ke. Kereta Atul tu, kita ambik lain kalilah”, kata aku pulak.

“Call la sesiapa sekarang jugak Fat. Aku tak sedap hati dah ni,” gesa Sarah. Suara dia macam panik dan cemas. Aneh sebab Sarah yang aku kenal selalunya tenang dan rasional. Sekarang ni Sarah macam orang ketakutan. Seolah-olah emosi dia macam diganggu sesuatu. Mengambil cadangan Sarah, aku pun terus keluarkan phone untuk call seseorang.

“Phone aku takde line la Sarah,” kata aku sambil merenung phone aku. Tertulis no service kat situ. Pelik, kawasan rumah Lili ni bukan kawasan pedalaman pun. Boleh dikatakan bandar la jugak. Sarah pulak cepat check phone dia. Sama macam aku takde line. Kami check phone Atul pun sama. Aku pulak mula diserang panik. Sudahnya, kami menyelinap keluar dan terpaksa meninggalkan Atul kat sofa untuk cari signal phone ataupun dapatkan bantuan jiran-jiran Lili.

Bila kami keluar dari situ, aku dah mula rasa pelik. Rumah-rumah jiran Lili macam takde orang. Gelap gelita sederet tu sedangkan hari dah menjelang maghrib. Sarah dah macam orang hilang akal bila dia gegarkan pagar setiap rumah yang ada kat situ. Dah jadi satu kerja pulak aku nak mengejar dia. Sambil gegar pagar, Sarah menangis meminta tolong.

“Sarah, boleh tak kau bertenang?” kata aku dah tercungap-cungap mengejar dia tadi.

“Aku tak nak m**i, Fat. Aku tak nak m**i,” tangis Sarah.

“Apa kau cakap ni Sarah?” aku mula bengang dengan perangai Sarah. Tak tau kenapa tapi aku rasa marah sangat-sangat sampai tahap aku nak lempang dia kat situ. Akhirnya aku cuba menjauhkan diri dari Sarah dengan berjalan untuk tengok deretan rumah yang berada di belakang deretan rumah Lili.

Tapi bila aku masuk kawasan tu, aku rasa pelik. Sebab kat depan aku sekarang rumah Lili. Dan di rumah paling hujung di deretan rumah tersebut, aku nampak Sarah sedang menangis. Aku berpatah balik ke belakang. Tetapi hasilnya masih sama. Tak kira ke arah deretan rumah mana pun aku berlari, aku akan kembali semula di hadapan rumah Lili.

Kepenatan, aku pun give up dan kembali duduk kat sebelah Sarah yang masih menangis seolah-olah macam berada dalam kesedihan yang melampau. Kami duduk bersandar kat pagar rumah jiran Lili tersebut sehinggalah tiba-tiba terdengar azan berkumandang. Aku tengok jam. Belum lagi masuk waktu solat tapi kenapa ada orang azan?

“Anak tak apa-apa?” tanya seorang lelaki tua berpakaian serba putih. Di sisinya ada seorang lelaki yang agak familiar bagi aku.

“Siapa pak cik?” tanya aku bingung. Lelaki tua tersebut tersenyum.

“Kamu ni kawan- kawan Lili kan?” tanya lelaki yang nampak familiar kepada aku dan Sarah.
Kami mengangguk. “Saya ayah Lili. Kat sebelah saya ni, imam kat area sini.”

“Kami dah lama sampai tadi. Nampak kamu berdua berlari. Kami panggil tapi kamu tak dengar,” balas tok imam tersebut.

“Tapi…” Aku bersuara.

“Sudahlah, mari kita pergi ke rumah kamu, Hashim,” p****g tok imam. Mereka berjalan melangkah ke rumah Lili. Walaupun macam confused, aku dan Sarah berjalan perlahan-lahan mengikuti langkah mereka.

Bila nak melangkah masuk ke rumah Lili, aku nampak mulut imam terkumat kamit membaca sesuatu. Sebaik sahaja dia menghembuskan nafas ke arah pintu pagar rumah Lili, terdengar jeritan dari dalam rumah. Imam pun melangkah masuk sambil diikuti kami. Bila masuk, perasaan aku tak sama macam mula-mula sampai tadi. Aku tak rasa macam hilang energy ataupun rasa tak sedap hati.

Sampai kat ruang tamu, aku tengok Atul takde kat sofa. Aku menyiku Sarah tapi Sarah dah macam lost. Tanpa berlengah, imam dan ayah Lili memanjat tangga untuk ke tingkat atas. Takut sebab Sarah dah macam orang tak betul, aku tarik tangan Sarah ke arah tangga. Bila sampai di bilik Lili, kami nampak mereka bertiga (Lili, mak Lili, Atul) ada di situ. Lili di atas katil sambil mata terbeliak ke atas, sama macam kami nampak awal-awal tadi. Atul sedang duduk berpeluk tubuh di tepi almari, sambil gerak badan sedikit ke depan, sedikit ke belakang. Mereka berdua sedang terkumat kamit mengatakan sesuatu. Mak Lili pulak sedang bersila kat atas sofa sambil tersenyum menyeringai.

“Bukan salah aku. Bukan salah aku. Bukan salah aku,” bisikan Atul dan Lili semakin kuat.

“Kenapa kau buat macam ni?” tanya imam ke arah mak Lili.

“Sebab mereka perlu diajar. Diajar supaya menghormati makhluk lain yang ada kat sini.”

“Dah cukuplah tu. Aku rasa mereka dah faham. Keluarlah daripada mereka dengan cara yang baik atau kau akan aku keluarkan,” balas imam.

“Diamlah orang tua. Jangan campur urusan aku,” tengking mak Lili.

Imam pun memulakan proses rawatan. Aku nampak ada jeritan dan tangisan daripada mereka bertiga. Aku nampak mak Lili meraung dan cuba mencederakan diri sendiri dengan menghantukkan kepala ke dinding. Tapi tindakan itu cepat ditahan oleh ayah Lili yang berada kat situ. Setelah setengah jam berlangsung sesi rawatan, sesuatu yang menghuni badan mak Lili akhirnya menyerah kalah. Saat ‘benda’ tu keluar dari badan mak Lili, Atul dan Lili rebah pengsan. Setelah tersedar, mak Lili menangis sambil bercerita punca kejadian tersebut berlaku. Menurut dia, sejak Lili balik dari kampus dua minggu yang lalu, Lili berkelakuan aneh seperti termenung dan kadang-kadang tersengih seorang diri. Bila diajukan kepada suaminya, Hashim berjanji untuk panggil imam untuk melihat keadaan anak mereka. Tapi mereka terpaksa tunggu imam balik dari umrah seminggu lagi.

Tanpa pengetahuan suaminya, mak Lili mengadu kepada jiran berdekatan. Jiran tersebut mencadangkan supaya berjumpa dengan bomoh yang pernah mengubat dia dulu. Disebabkan bomoh tersebut tidak berada di Malaysia ketika itu, bomoh tersebut scan Lili dari jauh dan mengatakan bahawa Lili dah diminati jin dan jin tersebut mengikutinya ke mana-mana sehingga menyebabkan emosinya terganggu. Bomoh tersebut mengajarkan kepada mak Lili cara untuk menghalau jin tersebut iaitu dengan mengasapkan kemenyan dan lada selepas waktu maghrib.

Sehari selepas arahan bomoh itu dilaksanakan, Lili kembali pulih. Tetapi rumah mereka pulak mula diganggu sesuatu. Bunyi tapak kaki orang berlari. Bunyi sesuatu bergolek di bumbung. Sampah sarap di dapur jika tidak dibuang awal akan bersepah-sepah. Tidak lama selepas itu, Lili diserang demam. Bukan demam yang biasa-biasa tetapi demam panas.

Apabila mendengar kisah tersebut, imam menggeleng sambil menasihati kami semua agar jangan berbuat sesuka hati tanpa guidance dari pakar perubatan yang berlandaskan Islam. Tindakan mak Lili tersebut menyakiti jin tersebut dengan memberi makan jin tersebut asap dengan lada telah membuatkan golongan mereka marah dan berdendam. Imam tersebut kemudiannya memulihkan semangat setiap dari kami yang berada kat situ sebelum pulang.

Kepada readers sekalian, semoga pengalaman Fatty ini menjadi iktibar buat kita semua. Kalau kita tak sure atau tak tau, tanyalah kepada yang lebih tau. Jangan memandai. Selamat menyambut hari-hari terakhir Ramadhan. Semoga semua ibadah kita bulan ini diterima oleh-Nya.

Stella

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 3.7]

3 thoughts on “#Stella – ‘Bukan salah aku’”

    • Bace balik betul betul.. *_____*

      “Disebabkan bomoh tersebut tidak berada di Malaysia ketika itu, bomoh tersebut scan Lili dari jauh dan mengatakan bahawa Lili dah diminati jin dan jin tersebut mengikutinya ke mana-mana sehingga menyebabkan emosinya terganggu. Bomoh tersebut mengajarkan kepada mak Lili cara untuk menghalau jin tersebut iaitu dengan mengasapkan kemenyan dan lada selepas waktu maghrib.”

      Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.