Tajuk: Lelaki Sebalik Kabus Bab 3

Cerita ini cuma fiksyen, tiada kena mengena dengan yang hidup atau m**i.

BAB 3
Selesai sahaja kuliah pada hari ini, Diana terus bergegas menuju ke sebuah restoran di Tanah Rata tanpa di temani rakannya. Panggilan itu membuatnya bebal. Malas bercampur geram. Panggilan itu bukan memanggilnya tapi satu arahan.
Diana menghirup coklat panas yang dipesan sambil menunggu kelibat seseorang yang dinantikan. Tidak sampai beberapa minit lelaki tua yang kemas bergaya muncul. Air muka dan gayanya menunjukkan dia seorang yang tegas, dingin dan mempunyai undang-undang tersendiri. Usianya sekitar lewat 40 an. Dia memandang Diana tanpa senyuman.
“Diana?”
Diana diam dengan pandangan kosong.
“Ada apa yang saya boleh bantu ayah?”
Nada suaran Diana berubah, wajahnya serius. Lagaknya dingin. Pandangannya kosong.
“Ayah nak kamu balik.” Tegas nadanya.
“Kenapa? Untuk apa?”
“Kamu sangat degil Diana. Tak macam adik-adik kamu.” Kali ini nada Encik Nazri sedikit keras sambil tangan mula menanggal butang baju di tengkuk. Mula rasa panas, panas dengan sikap degil Diana.
Dada Diana rasa berat. Ada beban perasaan yang sudah lama dia simpan. Ayah tidak akan pernah memahami. Dia cuma tahu memberi arahan. Dari dulu hinggalah kak long meninggal. Ayah tidak pernah layan mereka berdua dengan baik. Di matanya ada sahaja yang salah. Andai mereka adalah anak lelaki, mungkin layanan ayah tidak begitu.
“Untuk apa kamu ke sini lagi Diana??”
“Untuk cari sesuatu dan ayah tak akan pernah faham.”
“Kamu ni lepas peristiwa itu, kamu makin degil. Lansung tak nak dengar cakap ayah.”
“Ayah dah lupa ke? Selama ni kami selalu ikut cakap ayah. Tapi sikit pun ayah nak hargai. Sebab nak ayah bahagia mama bagi ayah kawin lain untuk dapat anak lelaki. Kemudian mama meninggal. Sebab kami dengar cakap ayah lah, kami membesar dengan nenek. Kemudian kak long dan atuk pula meninggal. Kali ni saya tak akan ikut cakap ayah. Buat apa ikut, pada ayah saya tetap salah.”
Diana menangis. Kali ini dia lepaskan amarahnya yang terbuku dalam peti hati selama bertahun-tahun. Dia tahu dia salah meninggi suara. Dia tak akan tenang dengan memarahi ayah sebegitu. Rasa bersalah, sedih, geram dan marah. Segalanya bercampur.
Keduanya diam. Diana masih dengan emosinya. Air mata masih belum berhenti mengalir. Diana kemudian memegang tangan ayah yang diam memerhatinya.
“Ayah.. maafkan angah. Izinkan angah berada disini buat seketika. Hingga angah jumpa apa yang angah cari.”
Kemudian gadis itu berlari keluar meninggalkan ayahnya. Air mata masih belum berhenti mengalir sambil teresak-esak. Hatinya terluka. Kakinya berjalan tanpa arah. Melangkah dan terus melangkah dalam hari siang yang kian gelap berganti malam.
Tiba di sebuah halaman taman permainan kanak-kanak. Diana duduk melepaskan lelah kakinya. Air mata sudah pun kering. Namun luka hati masih mengalir. Pandangannya sayu. Baru dia tersedar melihat jam di tangan. Rupanya sudah jam 10 malam. Lamanya dia berjalan. Patutlah kaki begitu sakit dan tubuh sudah begitu penat.
Diana melihat di sekelilingnya. Di mana dia berada agaknya. Rasa takut mula mengambil alih. Kawasan itu sedikit sunyi. Sayup-sayup kedengaran suara anjing liar melolong. Rasa menyesal kerana terlalu ikutkan nafsu marah dan perasaan. Benarlah kata nenek. Ikut rasa binasa ikut hati m**i.
Bunyi salakan dari seekor anjing membuatkan tangan Diana terketar-ketar. Muncul tiga ekor anjing dari arah sisi kian menghampiri. Salah seekor berwarna hitam terjelan lidah dengan air liur meleleh keluar dengan menampakan giginya yang tajam berceracak. Dua ekor lagi hanya menuruti dari belakang.
Diana mengundur ke belakang perlahan-lahan. Sempat juga dia mencapai batu sebesar genggaman tangan dari tanah sebagai pertahanan diri. Makin dia undur makin anjing itu menghampiri sambil bunyi mengeram. Diana menggigil kesejukan bercampur takut.
Tanpa sedar kabus-kabus nipis muncul dan tiba-tiba sahaja anjing itu mengundur ke belakang. Berlari dalam ketakutan. Hilang dalam kegelapan malam. Ketika itu tatkala Diana menoleh ke belakang. Dia tergamam. Di dalam gelap tidak jauh dari dirinya lelaki itu berdiri sambil memandang ke tanah, tubuhnya sederhana tinggi. Wajahnya tidak jelas. Kerana keadaan agak gelap. Suhu makin dingin dan kabus makin tebal di sekeliling mereka. Mata Diana pula masih terpaku hanya ke satu arah. Bulu roma mula meremang.
Persis mimpi yang selalu datang menemani. Sehinggakan Diana seperti sudah lali dengan mimpi itu walau kadangkala dia tidak dapat lelapkan mata. Kini lelaki didepannya realiti atau mimpi? Dadanya berdebar. Selamatkah dia atau berganda bahaya?
Sebaik sahaja lelaki itu mula mengangkat pandangannya. Kelihatan Matanya lelaki itu bercahaya di dalam gelap seperti mata seekor kucing yang berada dalam kegelapan. Kabus makin lama makin menebal dan makin menutup tubuh lelaki itu sikit demi sedikit. Kemudian hilang dari pandangan mata.
Aurora memandu kereta meredah kepekatan malam, sesekali melihat ke arah sisi kirinya. Sejak tadi Diana cuma diam melihat di luar. Entah apa yang bermain di fikiran gadis itu. Mujurlah dia menelefon Diana kerana bimbang akan Diana yang masih tidak pulang-pulang hingga lewat malam. Kalau tidak entah apa akan terjadi.
Apa yang berlaku terhadap gadis itu pada hari ini? Dia juga agak risau. Dia sudah menganggap gadis itu seperti ahli keluarganya. Aurora tidak pernah ada kawan baik ataupun saudara perempuan. Dunianya cuma abang dan adiknya sahaja. Apabila berjumpa Diana yang sudi berkawan dengannya, sudah tentu dia sangat gembira dan menghargai gadis itu. Dia akan cuba menjaga Diana.

Malam itu selepas sahaja solat isyak Ora beria-ia mahu memasak untuk Diana stew ayam. Tidak sangka pula, gadis yang kelihatan anak orang kaya dengan penampilan moden itu pandai memasak. Diana membantu Ora yang sedang memotong bahan-bahan untuk memasak di sebuah bilik pantri yang lengkap dengan peralatan masak. Bilik itu memang di sediakan untuk para pelajar di setiap aras dalam blok kediaman mereka.

“Alamak..”

Hujung jari Ora berdarah terhiris pisau. D***h merah cair warnanya menitis di atas meja.

“Ora..” Diana terkejut.

Ora berlari ke sinki membasuh d***h di tangan. Sementara Diana mengambil plaster dari dalam peti keselamatan yang telah disediakan oleh pihak pengurusan kediaman pelajar.

“Ora, mari saya letakkan ubat dan plaster.”
Diana menghampiri Ora yang baru selesai membasuh tangan.

“Tak apa Diana dah okey dah.”

“Ish, banyak d***h mengalir tadi. Mesti lukanya dalam.”

Belum sempat gadis itu mengelak Diana mencapai tangan Ora. Diana terdiam dan cuba meneliti tangan Ora dan mencari di mana luka berada. Jari Ora bersih tiada kesan luka. Adakah dia tersilap tangan? Ora juga diam. Dia kelihatan janggal tiba-tiba.

“Jangan risau, tak ada apa-apa Diana. Saya okey.” Ora senyum.

Diana mengangguk cuba tersenyum menutup keliru. Dia mungkin tersalah tangan atau luka Ora sudah sembuh dengan cepat sekali. Ah! Tidak mungkin. Diana memandang sisa d***h yang berada di atas meja, ada asap seperti wap panas keluar. Lalu cepat-cepat saja Ora membersihkan sisa darahnya yang ada di atas meja.

Banglo usang samar-samar dengan cahaya api lilin. Semestinya sunyi kerana sudah lama ditinggalkan. Pokok-pokok liar menjalar di dinding dan lantai yang pecah dan berlubang. Andai ada penghuni, mungkin penagih dadah ataupun penjenayah sahaja yang mahu diami. Dari dalam bangunan kedengaran empat suara sedang berbicara dalam bahasa asing di sebuah bilik yang bercahaya malap.

“Tuan telah beri kita masa sebulan. Jadi hapuskan sahaja dia.” Doruk tubuhnya kecil dan rambutnya keperangan bermata biru dengan lingkaran hitam di bawah mata, dialah ketua dalam kumpulan itu.

“Sebulan bagiku sudah cukup. Akan aku bereskan semuanya.” Mustafa paling tinggi di dalam kumpulan itu.

Tubuhnya sasa dan sikapnya sangat angkuh.

“Tidak semudah itu Mustafa, dia ada penjaga. Setiap masa dia dikawal oleh mereka.” Andrew bersuara. Lelaki cina itu pula bersuara. Dia sedikit gusar.

“Jika sekadar mereka itu yang menjaganya, tiada apa yang perlu di khuatiri. Sekadar budak hingusan, umur setahun jagung cuma.”

“Kau tak kenal siapa mereka Mustafa, andai kau tahu sejarah..” Doruk riak wajah yang serius.

Kata-kata Doruk di p****g.

“Ah! Sudah.. Apa guna tuan hantar kita berempat, sudah semestinya perlu bekerjasama. Kau bertiga alihkan perhatian mereka. Biar aku hapuskan dia ini.”

Suara wanita itu meninggi dengan lagak sambil menunjuk ke arah sekeping gambar di atas meja usang yang kakinya sudah dimamah anai-anai.

“Baiklah Didem, aku serahkan dia kepada kau. Pastikan tuan puas dengan kerja kita.” Doruk tajam memandang Didem.

Wanita itu tersenyum sinis. Yakin dia pasti berjaya. Tidak pernah dia gagal menjalankan tugasnya selama ini. Dia antara pembunuh kelas atasan. M******h di anggap seni. Titisan d***h mangsa di anggap rona warna yang cantik dan jeritan serta rayuan meminta tolong bagai lagu yang indah.

Habis sahaja kuliah pada jam 12 tengah hari. Diana dan Donat menuju ke padang memanah. Mereka ke sana kerana mahu memberi semangat dan sorakan kepada Ora yang sedang menyertai pertandingan memanah peringkat Negeri antara Universiti di Malaysia. Ketika ini adalah giliran peserta dari Universiti Utara Malaysia. Diana melihat jam di tangan, mujurlah mereka sempat. 30 minit lagi akan tiba giliran Ora.
Mereka berjalan kaki sahaja kerana padang memanah tidak jauh dari pusat sains. Donat sempat juga membeli makanan sampingan. Pantang melihat makanan.

“Maaf.” Seorang lelaki bersuara apabila dia tidak sengaja melanggar Donat.

“Engkau ke Akmal.. tak apa, tak ada hal.” Donat mengangkat ibu jari.

Akmal cuma senyum sambil menggaru dahinya yang tidak gatal. Lelaki itu berbadan tegap dan berbaju T-shirt pendek. Dia melirik ke arah Diana. Kali terakhir dia melihat gadis itu di hospital selepas terselamat dari lemas. Walau mereka dari pusat sains yang sama tetapi mereka jarang berjumpa.

“Hai Diana. Apa khabar?” Akmal memandang Diana.

“Baik saja.” Diana mengangguk.

“Saya pergi dulu, jumpa lagi Diana.” Akmal tersenyum memandang Diana. Senyuman yang manis. Seolah-olah orang sedang di lamun cinta.

“Akmal macam minat kat kau je Diana.” Donat bersuara selepas yakin Akmal sudah pergi jauh daripada mereka.

“Tak ada la, biasa la tu.” Diana menyangkal.

“Tengok cara dia pun dah boleh tahu Diana, jangan-jangan dia secret admire kau yang bagi ros putih tempoh hari.”

Diana dan Donat duduk berhampiran dengan tempat Ora sedang berada sambil menjerit nama Ora bersama sepanduk yang cantik hasil buatan mereka sendiri. Ora berpaling lalu melambai ke arah mereka. Diana meninjau sekeliling seperti mencari seseorang kemudian kembali fokus ke arah peserta yang sedang bertanding.

“Kau cari apa Diana?” Donat toleh ke arah Diana.

“Aku cari Rayyan. Dia kata nak datang sekali.”

“Nanti dia datang la tu. Eh! Kau ada apa-apa ke dengan Rayyan tu?” Donat mendekatkan wajahnya kepada Diana.

“Ish.. tak ada la. Rayyan ajak datang sekali. Ora kan kakak dia. Mesti la dia nak bagi sokongan.”

“Okey, alasan di terima.” Donat tersengih lalu kembali melihat pertandingan yang berlangsung.

Ora memandang langit yang cerah. Jam 12.35 Suhu sekeliling makin panas kerana matahari berada tepat di atas kepala. Hari ini memang sedikit panas berbanding hari-hari biasa. Mujurlah tidak hujan, jadi boleh la pertandingan ini dijalankan dengan lancar. Ora menekap wajahnya yang basah dengan peluh yang luar biasa banyak berbanding orang lain. Moga dia boleh bertahan.

“Nur Aurora Peserta daripada Universiti Teknologi Antarabangsa, di minta bersedia.”

Kedengaran nama Ora di panggil. Dia menarik nafas panjang menghilangkan gelisah. Moga dia mampu melakukannya dengan baik dalam keadaan kurang selesa kerana terik mentari yang mula membakar. Ora sekali lagi mengelap wajahnya dengan tuala yang dibasahkan dengan air ais.

Papan bulat yang mempunyai dua warna iaitu putih dan merah di tenung lama. Matanya tajam merenung sementara tangan memegang busur panah. Ora kelihatan fokus tetapi sebenarnya jantungnya berdegup laju tetapi bukan kerana debaran pertandingan tetapi kerana menahan panas yang membahang seolah-olah berada di dalam ketuhar panas. Kulitnya yang putih kelihatan merah-merah dengan ruam yang mula muncul. Ora melepaskan busur panah. Dia mendengus geram. Anak panah tidak mengenai sasaran.
Deria penglihatan dia selalunya tajam. Jarang tersasar ke tampat lain. Ora adalah antara peserta yang di geruni. Tetapi hanya kerana cuaca tumpuannya hilang. Dia menarik nafas mencari kekuatan. Kulit di pipi dan tangan mula merah. Ruam makin banyak muncul.

“You can do it Nur Aurora.”

Kedengaran Diana dan Donat memberi semangat. Ora sempat memaling ke arah mereka dengan senyuman.

“Doakan aku Diana.” Bisik Ora perlahan.

Tiba giliran kedua Aurora.
Kali ini Ora mula fokus. Warna mata ambernya bertukar sedikit gelap bercampur merah. Sekelip mata anak panah mendarat di tengah bulatan. Kedengaran suara menyorak gembira sambil menepuk tangan. Kepedihan kulit yang terbakar bahang mentari membuatkan Ora mula pitam. Ruam merah mula mengeluarkan d***h dan kulitnya mula mengelupas. Gadis itu kemudian melutut ke tanah menahan sakit.

“Ora??”

Diana dan Donat menjerit.
“Bawak saya ke kereta.” Suara Ora terketar-ketar sebaik dia di papah masuk ke dalam.

Diana yang berada di tempat duduk pemandu memandang Ora yang tidur lena. Pendingin hawa di buka hingga maksimum. Mujur kereta Ora di pasang cermin tinted yang gelap mampu menghalang cahaya matahari masuk ke dalam. Kurang sedikit panas, rasa selesa. Donat pula sudah dihantar pulang beberapa jam tadi. Tinggal Diana yang setia menanti Ora. Kereta mereka berhenti di tepi kaki bukit. Pokok-pokok besar di kedua belah kiri dan kanan turut membantu menghalang cahaya matahari menjejak lantai bumi. Tidak sangka gadis cantik dan bergaya seperti Ora mempunyai masalah kesihatan. Kulit Ora mengalami radang jika terdedah dengan cahaya matahari dalam masa yang lama.

Setiap manusia mempunyai pelbagai ujian dan masalah. Kadangkala ada masalah yang mereka alami tidak dapat di terima logik akal. Ada juga beberapa penyakit yang tidak masuk akal tetapi jika mencari di google atau mana-nama buku rujukan dalam perubatan pasti ada maklumat saintifik tentang penyakit aneh. Diana memandang Ora. Tak tahu pula dia, wujudnya penyakit alahan dengan matahari.
Cermin diketuk dari luar. Kelibat Rayyan muncul sedikit memeranjatkan Diana yang hampir sahaja terlena. Seperti di janjikan Rayyan muncul. Sehingga kini Diana kurang faham mengapa Rayyan meminta Diana membawa kakaknya itu menunggunya disitu. Dia tidak membenarkan Diana membawa Ora ke hospital mahupun ke rumah mereka. Pelik.

“Ora.. Ora..” Diana menepuk bahu Ora yang lena tidur.

Pintu kereta sebelah Ora dibuka Rayyan dari luar sebaik sahaja Diana membuka kunci kereta.

“Kak.. kak bangun.” Rayyan bertinggung menghadap Ora. Lembut sahaja suaranya memanggil.

Diana memerhati. Kelihatan pipi Ora yang merekah dan mengelupas masih belum sembuh. Kasihan dan simpati terbit dalam hati. Ora bangun lemah lalu dicempung oleh Rayyan yang berbadan kecil. Kuat juga lelaki itu.

“Diana terima kasih.” Ucap Ora lemah
Diana mengangguk dengan senyuman.

“Diana kau balik elok-elok ye. Kau jaga kereta Ora ni dulu. Kami pergi dulu. Terima kasih Diana.” Rayyan bersuara lalu menghilang di celah-celah pokok-pokok besar.

Pelik sungguh adik-beradik ini.

Sepasang mata memerhati dari jauh di celah-celah rimbunan daun pokok. Melihat dengan rasa menyampah. Menunggu sahaja masa yang sesuai.

Siapakah Ora sebenarnya??

-Bersambung…

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

1 thought on “Tajuk: Lelaki Sebalik Kabus Bab 3”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.