Tajul Zulkarnain: Dari Tanah Ke Tanah (Bhg. 2)

Assalam, admin FS yang dikasihi dan dihormati, saya letak chapter kedua pulak. Harap admin dan warga FS sudi membaca cerita ini.

#2

“EH, kalau ya pun duduklah dulu. Tak senonoh betullah perangai! Awak tu dah besar panjang, bukannya budak-budak lagi. Dah layak jadi bapak budak pun. Pegawai pulak tu! Duduklah, Li. Tak suka betul mak tengok kamu makan macam tu,” bebel Fatimah bila melihat Ali makan cekodok pisang yang dimasaknya sambil berdiri. Sebelah tangan Ali memegang cekodok, sebelah lagi memegang cawan. Berselera sungguh anaknya itu makan cekodok bodohnya.
“Tak sempat.” Sengaja Ali menjawab begitu supaya emak membebel lagi. Bebelan emak bak muzik di telinganya.
“Duduk mak kata! Haih, kamu ni. Kenapa degil sangat ni? Tak reti nak duduk ke? Ada Tuhan bagi p******g tak nak duduk. Tak mensyukuri nikmat langsung!” Bagai bertih jagung mulut Fatimah berleter.
“Tahu p******g ni untuk duduk tapi Ali kena keluar awal pagi ni. Nak jumpa kawan dulu sebelum masuk kerja. Kalau dah duduk memang lambatlah Ali bangun,” kata Ali lagi, mengekek dalam hati melihat muka ketat emak bila mendengar jawapannya.
Sambil menyakat emak, dia tidak henti-henti melihat jam tangannya takut terlewat. Terlewat bermakna terlepaslah peluang yang dirancangnya sejak beberapa hari yang lalu. Dia tidak mahu membuang masa membuat rancangan baru.
“Kawan kamu tu lelaki ke perempuan?” Fatimah merisik maklumat.
“Mak teka?”
“Perempuan!”
Ali tersenyum sahaja. Mengiakan tidak, menafikan pun tidak. Biarlah jawapan itu menjadi rahsianya seorang. Dia memeriksa jam tangannya sekali lagi. Sambil mengunyah, dia menghirup kopi panas dengan perlahan dan berhati-hati, takut tertumpah terkena baju kemeja lengan panjang berwarna putih yang dipakainya. Kemudian tengok jam balik, mengunyah balik, hirup kopi panas balik.
Banyak yang perlu dikejarnya pagi itu; trafik, LRT, komuter, masa. Dia harus berada di pejabatnya tepat pada pukul 8 pagi. Harus tunjuk kepimpinan melalui teladan, barulah staf bawahan menghormatinya.
“Haih, budak bertuah ni. Sakit mata aku nengoknya. Cer duduk! Kamu tahu kan tak baik makan sambil berdiri. Cekodok tu terus je masuk ke kaki kamu tak sampai ke perut. Untut kaki kamu tu nanti baru kamu tahu!” leter Fatimah lagi sambil melangkah ke dapur hendak mengambil bekas mengisi makanan.
“Pandai-pandai je mak ni buat teori. Apa pun mesti lalu perut dululah, mak baru boleh sampai ke kaki.” Ali membalas senyuman sinis ayahnya, walaupun Abdul Muttalib tidak memandang ke arahnya. Abdul Muttalib sedang ralit membaca akhbar tetapi telinganya mendengar usik-mengusik antara anak dengan isterinya.
“Menjawab nombor satu kamu ni! Cepatlah kamu kahwin, Ali! Terurus sikit hidup kamu. Mak dengan ayah ni bukannya lama lagi,” omel Fatimah.
Abdul Muttalib berdeham kecil. Ali tersenyum sambil mengunyah. Ali tahu ayah menegur emak. Ayah tidak suka emak memaksa-maksa Ali mendirikan rumah tangga sedangkan jelas, Ali masih belum bersedia. Ayah tahu, Ali kekasih pun belum ada lagi sebab Ali tidak pernah sebut. Yang selalu Ali sebut-sebut ialah hutang kereta dan hutang rumahnya yang ingin dilangsaikannya dahulu sebelum dia mengambil langkah menjaga anak orang. Ayah mahu emak memahami maksud yang tersirat dalam kata-kata Ali itu.
“Tu lagilah tak sempat, mak! Nak kahwin macam mana? Calonnya pun takde.”
Mengherot ke bawah bibir Abdul Muttalib. Ali yang memerhati gelagat ayahnya, sekali lagi menyimpul senyuman.
“Ayah pakai kereta kamu beli sarapan tadi,” ujar Abdul Muttalib sambil melipat akhbar yang sedang dibacanya.
“Pakailah, yah. Takpe.”
Bila-bila masa ayah hendak menggunakan keretanya pun Ali tidak kisah. Dia takkan berkira dengan ayah sendiri, ayah yang telah banyak berjasa membesarkannya sehingga menjadi orang yang berjaya. Dia bukan seperti segelintir kawan-kawannya yang melayan ibu bapa masing-masing dengan teruk.
Salah seorang kawannya bercerita tentang bagaimana dia – kawannya itu – selalu memukul ibu bapanya. Baru dua hari lepas kawannya itu bercerita dengan angkuh dan bangga. Menggigil tubuh Ali mendengar pengakuannya. Jika dia tiada iman, mungkin sudah duduk di hospital kawannya itu dibelasahnya.
Kawannya itu gilakah apa? Ali kenal ibu bapanya. Mereka sangat baik terhadap anak mereka, malah mereka baik terhadap Ali juga sehingga Ali menganggap mereka itu seperti orang tuanya sendiri. Atas sebab apa kawannya itu memperlakukan ibu bapanya seperti haiwan, tidak pula diceritakannya kepada Ali tetapi kawannya itu adalah seorang anak yang tidak tahu mensyukuri nikmat Allah kerana tergamak memperlakukan ibu bapa sendiri sehina itu, sedangkan ramai lagi manusia di luar sana yang tidak merasa punya ibu bapa dan sangat mendambakan kasih sayang ibu bapa.
Ketahuilah, ibu bapa adalah tiket mudah untuk ke syurga. Berbaktilah pada mereka kerana doa mereka akan memudahkan urusanmu di akhirat kelak.
“Lupa pulak. Terima kasih tolong belikan sarapan, yah,” ucap Ali kerana ayah sanggup keluar dalam suasana gelap dan sejuk untuk membeli sarapan, sedangkan membeli sarapan itu tugas Ali tetapi disebabkan dia terlewat bangun pagi itu, tugas itu tergalas di bahu ayah.
Cekodok pisang keempat dikunyahnya dengan laju.
“Alah, bukan susah mana pun.” Abdul Muttalib tersenyum, menerima ucapan terima kasih anaknya dengan besar hati. “Ayah parking jauh sikit. Jiran sebelah parking kereta dia senget pulak tadi. Makan ruang.”
“Biasa dah macam tu, yah. Dah tegur banyak kali tapi dia buat bodoh je.”
Ali mengeluh dalam diam demi mengelak keluhannya daripada sampai ke telinga emak tetapi perangai jirannya memang sentiasa mendidihkan darahnya. Setiap pagi, begitulah keadaan yang terpaksa dihadapinya. Perempuan itu pergi mana? Jadah apa kalau setakat mengeluarkan keretanya yang sebuah itu dari dalam pagar rumah dan meletakkan kereta itu di hadapan pintu pagar rumah jiran? Jadah apa? Sengaja cari gaduh?
Pagi semalam punya cerita, sampai ke hujung lot barulah Ali dapat tempat kosong untuk memarkirkan keretanya selepas balik dari membeli sarapan. Orang di situ kaya-raya belaka, kebanyakannya mempunyai tiga atau empat buah kereta. Penuh bahu jalan dengan kereta mereka. Tetapi jiran di sebelah rumah Ali hanya ada sebuah kereta sahaja. Parkir sahajalah keretanya itu dalam laman rumah sendiri. Yang parkir di hadapan pintu pagar rumah orang lain, apa cerita?
Merungut-rungut Ali. Hanya kerana seorang perempuan bodoh yang suka mementingkan diri, dia terpaksa menapak jauh untuk balik ke rumahnya. Sudahlah gelap sebab semua lampu jalan di lorong itu belum dipasangkan lagi.
Sudah banyak kali Ali menegur tetapi bukan secara berdepan kerana perempuan itu tidak berani bersemuka dengannya. Biasalah! Orang buat salah memang bacul! Selepas beberapa kali Ali menekan loceng rumah perempuan itu namun tidak langsung dijawab oleh tuan rumah, Ali terpaksa menulis nota rayuan agar perempuan itu bertimbang rasa dan menghormatinya sebagai jiran. Nota itu diletakkannya di dalam kotak pos jirannya itu.
Dia tulis nota rayuan. Guna ayat merayu yang lembut bahasanya, ayat meminta belas kasihan tetapi ada perempuan itu kisah? Kau rasa?
Seminggu Ali menunggu namun tidak ada perubahan yang berlaku. Malah, semakin teruk cara perempuan itu memarkirkan keretanya di hadapan pintu pagar rumah Ali. Jenis tidak boleh orang cakap baik-baik dengan dia agaknya. Lagi kita berlembut, lagi banyak setannya keluar.
Sekali lagi Ali menulis nota yang sama lalu nota itu diselitkannya pada pengelap cermin depan kereta jirannya, alang-alang kereta itu terparkir di hadapan pintu pagar rumahnya. Namun, jirannya tetap menunjukkan sikap keras kepala. Tidak makan saman langsung.
‘Jangan fikir engkau tu perempuan, orang takkan marah bila kau buat sesuka hati. Zaman sekarang ni orang tak kira lelaki ke perempuan. Kau buat hal, nyusahkan orang, orang balas lagi teruk balik kat kau. Baiklah kau berhati-hati,’ dengus hati Ali.
Ali tahulah dia baru sahaja berpindah ke situ. Tetapi takkanlah disebabkan itu dia dibuli. Ini bukannya sekolah menengah, di mana pelajar senior sesuka hati membuli pelajar junior yang baru masuk. Ini kawasan perumahan yang ada kelas. Kalau tidak ada kelas, takkan berpagar dan ada pos pengawal di situ!
Sayangnya, sikap perempuan itu tidak melambangkan dia punya sifat dan pemikiran yang ada kelas. Mentalitinya kuno. Atau mungkinkah perempuan itu sengaja ingin menguji kejantanan Ali? Mungkin perempuan itu fikir dia ada kabel besar berderet-deret di belakangnya, makanya dia tidak takut pada sesiapa.
‘Buku belum bertemu ruas lagi, cik kak. Dah jumpa esok, baru kau menyesal tak sudah,’ omel hati Ali.
Sekali lagi Ali memeriksa jam tangannya. Masih ada masa untuk melantak sebiji lagi cekodok pisang yang sedap itu. Masakan emak tidak pernah tidak menyelerakan walaupun hanya cekodok pisang bodoh emak.
“Air dalam radiator pun ayah dah isi. Dah dekat nak habis. Kamu tak cek ke? Tersadai kat mana-mana kan leceh. Kamu tu dahlah selalu keluar malam. Bahaya,” kata Abdul Muttalib lagi.
“Terlupa.”
“Kena cek selalu. Cepat rosak kereta tu nanti kalau kamu tak jaga. Dahlah kereta mahal. Jangan membazir walaupun kamu berduit,” nasihat Abdul Muttalib lagi.
“Okey, yah.”
Terharu Ali menerima nasihat ayahnya itu. Dipandangnya Abdul Muttalib yang sedang leka membaca dengan penuh kasih sayang. Dia akan menjaga ayah dan ibunya buat selama-lamanya. Biarlah apa orang hendak kata, dia nekad menjaga mereka.
“Nah, mak bekalkan kamu nasi lemak yang ayah beli kat kedai tadi. Dua bungkus cukup?” Fatimah meletakkan bekas berisi dua bungkus nasi lemak daun pisang di atas meja. Elok pula di kawasan bandar itu ada orang menjual nasi lemak daun pisang. Yang dalam bekas polisterin itu tidak sedap. Tidak terasa lemaknya.
“Cukup sangat-sangat. Terima kasih, mak.”
“Kahwinlah cepat, Ali. Ada isteri, lagi teratur hidup kamu,” gesa Fatimah.
Abdul Muttalib berdeham lagi.
“Janganlah paksa, mak. Ali muda lagi.”
“Hurm… yalah tu,” keluh Fatimah. “Balik awal tak malam ni?”
“Macam biasa kut. Napa, mak?”
“Ada kuliah kat surau tu hah.”
“Oh… takpe. Mak dengan ayah pergi ajelah. Ali ada kunci spare.”
“Orang nak ajak dia pergi sekali,” omel Fatimah.
“Insya-Allah, mak. Kalau sempat Ali ikut sama,” ujar Ali. Dia membasuh tangan, bersalam dengan emak ayahnya dan bergegas ke hadapan.
“Eh, nasi lemak ni!” Fatimah mengejar Ali ke pintu. “Tak nak bawak ke?”
“Nak! Terlupa. Terima kasih, mak.” Ali mencium pipi emaknya. Teringatkan sesuatu, Ali menyerahkan semula bekas makanan itu kepada emaknya. “Pegang jap, mak.”
“Nak ke mana pulak tu? Kata nak cepat tadi,” tegur Fatimah.
“Nak ke dapur kejap.” Berlari anak dia ke dapur demi mengejar masa.
“Hah, kenapa pulak ni?” soal Abdul Muttalib. Diperhatikannya Ali yang berada dalam keadaan stres dari belah atas bingkai cermin matanya.
“Nak cek barang kejap.”
Ali ke stor barang yang terletak bersebelahan dengan dapur. Hanya satu sahaja tujuannya ke situ, hendak memastikan stok kapur barusnya masih banyak lagi. Benda selalu guna, kena pastikan stok mencukupi. Dia tidak suka kelam-kabut di belakang hari. Takut semasa dia sibuk dengan urusan pejabat, semasa itu jugalah dia kena menambah stok kapur baruslah, itulah, inilah…
Alhamdulillah stok kapur barusnya masih banyak, cukup untuk dipakai selama dua minggu lagi. Dia ke dapur pula, tengok stok serbuk kopi. Pun masih banyak. Jadi dia bergegas ke depan semula, sempat menepuk bahu ayahnya yang masih duduk di meja makan sambil lalu.
“Pergi dulu, yah.”
“Hurm!” balas Abdul Muttalib.
Sesudah memakai kasut, Ali mengaktifkan penggera.
“Ali pergi dulu, mak,” ucapnya kepada Fatimah seraya menutup daun pintu. Dia bergegas ke pintu pagar. Kereta Toyota Vios jirannya yang terparkir senget di situ diperhatikan. Kereta mahal tetapi otak tuannya diletakkan di lutut!
Terasa seperti dirinya pula sedang diperhatikan, Ali menoleh ke belakang. Ternampak bayangan bentuk badan jirannya itu di balik langsir nipis yang masih bergerak-gerak setelah dilepaskan dari pegangan.
“Nak ngintai, tutuplah lampu dalam rumah tu dulu! Ni mesti kes tak sempat habis belajar skodeng, cikgu dia m**i,” ujar Ali dengan suara yang sengaja dikuatkan. Biar perempuan itu dengar.
Perempuan itu tahu dia buat salah, mengintai buat apa? Takut keretanya kena goreskah?
‘Kalau takut, alihkanlah kereta awak tu supaya tak nyusahkan aku,’ sungut hati Ali.
Pintu pagar dibuka. Ali keluar. Semasa memangga selak pintu pagarnya, dipandang ke arah tingkap rumah jirannya. Dilihatnya perempuan itu masih berdiri di balik langsir. Bayangannya tegak tidak bergerak. Sengaja hendak mengelirukan Ali, barangkali. Kononnya, bayangan yang Ali nampak itu bukan dia.
‘Huh! Macamlah aku tak tahu.’ Ali tersenyum sinis. ‘Kadang syok jugak duduk sebelah rumah orang gila ni,’ desis hatinya.

Bersambung…

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Tajul Zulkarnain

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

45 thoughts on “Tajul Zulkarnain: Dari Tanah Ke Tanah (Bhg. 2)”

  1. best!!
    tapi aku risau kalau cerita yg sebetul nya, penulis tinggal sebatang kara je sbnrnya..mak ayah dah tak ada..
    ni semua imaginasi dia je..
    hopefully tak lah..

    Reply
  2. Urmm.. Ok je,, bahasa bole difahami & susunan ayt kemas… Cuma dlm ni hanya scene makan……?

    TZ aku nak tanya, cite ni ko share sini sampai habis sbijik novel or org kena beli novel kau kalo nak tau kesudahan??
    Cer jawab… Cer jawab.. ?

    Reply
  3. Oleh kerana sampai episod 6 je, lbh baik aku stop baca. Bro, byk sgt dialognye, xstraight to the point. dah macam drama lak sesi sembang sarapan je utk episod ni. Episod sudah jam loceng, episod sudah sudah mencarut, kurang pahala aku baca ko mencarut. Anyway, May Good Luck Follows U.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.