Tangan berbulu di rumah buruk.

Assalamualaikum. Namaku S, ini kali ketiga aku hantarkan karya di ‘Page Fiksyen Shasha’ ini. Terima kasih kepada ‘Admin’ sebab dah siarkan kisah pertama yang saya kongsikan iaitu “Lumba lari dengan Pocong”. Dan juga kisah kedua “Pocong atas bumbung’. Maaf sebab dalam posting kedua tersebut ada beberapa kesilapan ejaan. Maklumlah nak cepat sangat. Terima kasih juga kepada yang sudi respon dan komen.

Seperti yang aku pernah beritahu cerita yang aku kongsikan ini adalah cerita Fiksyen tetapi berdasarkan kisah benar. Bermakna, nama, watak, tempat dan latar masa juga telah di ubah suai sedikit supaya sesuai dengan jalan cerita.
Baik, sudilah baca kisah ketiga yang bakal aku kongsikan ini. Harap anda terhibur. Selamat membaca.

Tangan berbulu di rumah buruk.
Dalam kampung aku ni ada sebuah rumah buruk yang sudah lama di tinggalkan oleh penghuninya. Sebenarnya bukan di tinggalkan, tetapi apabila pemilik terakhirnya meninggal dunia tiada siapa daripada kalangan warisnya sudi mahu menduduki rumah tersebut sebab di katakan rumah tersebut berhantu.

Rumah tersebut berbentuk rumah Kolonial lama. Khabarnya pemiliknya yang terdahulu adalah pegawai tentera British sebelum di beli oleh beberapa orang dan akkhirnya jatuh kepada pemilik terakhir yang sudah meninggal dunia. Pemiliknya pula katanya meninggal dunia akibat membunuh diri.

Oleh kerana sudah lama sangat di tinggalkan maka rumah tersebut mula di liliti pohon menjalar dan menyeramkan sesiapa sahaja memandang. Rumah buruk tersebut terletak dalam sebuah dusun durian. Dusun durian ini pun tiada siapa pun yang berani mengambil buahnya waima untuk di curi kerana katanya sesiapa yang ambil akan di ganggu sepanjang malam dengan pelbagai gangguan.
Antaranya rumah di cakar sepanjang malam dan juga bumbung di baling batu sepanjang malam. Paling teruk di ganggu dengan jelmaan beruk besar berbulu dan bermata merah.

Aku macam biasalah, bila geng dengan budak-budak nakal. Mana makan saman dengan semua kisah-kisah seram yang orang kampung heboh ceritakan. Bagi kami seramai lima orang yang kami gelar geng jambul (sebab semua rambutnya berjambul ala Elvis Presley). Jadi kami ni berlagak sedikit. Bab hantu syaitan ni manalah percaya sangat.

Rumah buruk dalam dusun durian ini terletak di hujung kampung tetapi sebelah utara. Kampung kami terbahagi kepada 4 arah. Utara menghala ke arah sungai dan berakhir di tepi sungai. Selatan menuju ke jalan utama. Timur pula menghala ke kampung sebelah dan selatan pula menghala ke Hutan. Jadi kedudukan kampung kami di tengah-tengah yang menghubungkan 4 jalan utama ke arah yang berbeza.

Projek kami bila dah habis idea adalah mahu merembat durian yang gugur di kebun yang tidak begitu di jaga oleh tuannya. Jadi dalam pada itu timbul idea mahu merembat durian di kebun yang terletaknya rumah buruk tersebut. Memandangkan kedudukannya yang jauh di hujung kampung dan jarang pula di masuki orang, maka kami ambil keputusan untuk buat projek di situ.
Jadi dalam kumpulan jambul ini tentulah ada ketua. Ketuanya aku gelar Mat Jambul. Bendahari kami Usin jambul, dan yang lain Dol jambul, Ustaz jambul dan aku sendiri Din Jambul. (Ustaz jambul ni kami panggil ustaz sebab rajin juga pergi surau) tapi perangai nakal macam setan juga.

Jadi setelah bermesyuarat kami pun berpakat. “Kita rembat malam sabtu depan” beritahu Mat jambul.
“Alah..malam jumaat lah. Orang kampung kat surau buat yaasinan. Sampai pukul sepuluh. Jadi tiada yang perasan” Ustaz jambul bagi idea.
“Eh…mana boleh. Pantang besar tu” sampuk Dol jambul.
Kami semua pandang dia. “Pantang apanya Dol?” soal Usin.
“Malam jumaat banyak hantulah. Aku takut jumpa hantu. Kebun tu kan keras” ujar Dol dengan muka seriau.

Aku dah gelak dah. “Habis kita ni buat perangai malaikat ke?”
Yang lain tergelak sama. “Yelah hantu pun takut dengan kita agaknya. Apa jer kerja merembat dalam kampung ni kita tak buat?. Ayam Tok Imam pun kita bedal” Mat sudah menyampuk dengan tergelak besar juga.

Akhirnya setelah berpakat-pakat kami set lepas maghrib malam jumaat tu pergi menyusup masuk kebun. Usin di arah bawa guni. Kami bercadang durian yang kami pungut tu akan kami sorok di tepi sungai sebelum kami punggah esok. Kepala dah merancang nak jual durian tu sebab nak cari duit poket untuk tengok wayang di pekan. Sambil-sambil tu harap dapat usha amoi jual tiket wayang yang cun melecun tu.

Maka selepas maghrib hari yang di janjikan kami pun meredah masuk kebun durian tersebut. Kawasan kebun tu sunyi sepi sahaja. Hanya bertemankan lampu picit kami mula menyuluh bawah pokok. Kami senyap sahaja sebab tak mahu suara kami di dengar dek orang. Walaupun kebun tu sebenarnya jauh dari rumah orang. Tapi namanya buat kerja tak betul kami takut sendiri sudahnya.
Malam itu rezeki kami murah betul. Dah hampir lima guni penuh dengan durian. Kami agak sebab tiada siapa pernah kutip maka bersepahlah buah durian tu tanpa siapa endahkan.

Tiba-tiba si Mat berbisik. “Din kau Nampak taka da lampu dalam rumah buruk tu?” dia cuit aku sambil tunjuk rumah buruk tersebut. Hanya beberapa kaki sahaja dari tempat kami semua berdiri.
“Haah lah, siapa pulak tu?” sampuk Ustaz. Dol dengan Usin masih leka memungut durian. Tak sedar kami bertiga sudah terhenti sebab ternampak cahaya malap dari rumah buruk tersebut.
“Psttt…Usin, Dol mai sini” Gamit Mat. Tapi Usin dan Dol seperti tak mendengar. Mereka masih leka memungut durian.

“Kita tengoklah kejap” aku bagi idea. Mat dan ustaz mengikut dari belakang. Kami berjalan terhendap-hendap. Sampai sahaja berhampiran rumah buruk tersebut cahaya tadi padam. Suasana jadi gelap gelita sebab kami bergerak tadi dengan memadamkan lampu suluh.

Kelam kabut Mat mahu menghidupkan lampu picit. Malangnya tidak menyala. Puas di ketuk pun masih gagal menyala. “Mat apahal?” Ustaz bertanya cemas.
“Entah, lampu picit ni tak mahu hiduplah” balas Mat.
Kemudian kami mendengar bunyi seakan benda jatuh terhempas dalam rumah tersebut. Damm!!!! Kuat bunyinya sampaikan lampu picit di tangan Mat tercampak sebab terkejut.
“Apa tu?” aku tertanya-tanya. Dalam gelap kami bertiga saling memandang. Hanya bertemankan cahaya bulan yang suram sahaja.

Dalam keadaan masih terkejut kami mendengar dentuman guruh di langit sayup-sayup. Sekejap sahaja sudah gerimis. Sudah!. Kami tiada pilihan terus berlari masuk ke dalam rumah buruk tersebut. Rumah batu zaman colonial tetapi sudah begitu uzur keadaannya. Hujan gerimis jadi lebat. Kami terlupa dengan Usin dan Dol yang asyik mengutip durian. Dalam kerlipan cahaya dari panahan kilat kami dapat melihat dalam rumah tersebut.

Kosong, tetapi di penuhi dengan perabot yang sudah rosak. Dengan rasa berani-berani takut kami masuk. Bunyi tingkap berayun di tiup angin menjadi rancak pula. Gedagang gedegung..sesekali bunyi seperti jeritan siamang menyinggah telinga. Muka Mat, Ustaz dan aku sudah mula berpeluh. Hujan tapi kami semua sudah rasa semacam.

Aku memandang ke arah tangga naik ke tingkat atas yang sudah roboh. Sekali imbas aku seperti Nampak encik pocong berdiri di tangga. Kemudian hilang. Bulu tengkuk dah meremang. “Aku tak sedap hatilah” bisikku pada Mat. Tapi senyap sahaja. Aku menoleh. Hairan Mat dan Ustaz tiada. Sudah mana pula setan dua ekor ni pergi seranahku sendiri.

Baharu hendak berpusing mencari mereka aku rasa ada sesuatu yang berbulu menyentuh tengkuk. Melingas aku menoleh kiri dan kanan. Tiada sesiapa. Angin dan hujan saling bertingkah semakin kuat dan lebat. Sudah seperti ribut pun ada. “Mat..Ustaz..” aku meneriak nama mereka.
Senyap. Tiada jawapan. Berpusing-pusing aku melilau mencari mereka. Pelik takkan sekelip mata mereka mengghilang. Aku dah tak sedap hati. Entah macammana aku tertarik hendak naik ke tingkat atas. Berpandukan cahaya dari kilat yang memancar aku memanjat naik ke atas.

Baharu separuh sahaja aku sudah terpandang sesuatu yang aneh. Aku Nampak sepasang tangan berbulu yang amat besar. Ya amat besar seperti sedang menjulur keluar dari tingkat atas. Tangan sebesar pintu dengan bulu kasar berwarna hitam legam dan kuku-kuku yang runcing. Tangan ini seperti memanjang dan mahu mendapatkan aku.

Masa ni aku sudah tidak mahu menunggu. Terlupa terus dengan Mat, Ustaz, Dol dan Usin. Aku berlari keluar dari rumah buruk tersebut seperti orang tak cukup tanah. Tak kiralah hujan, ribut atau petir aku lari dah tak cukup nafas. Perasaan takut begitu menguasai sehingga aku lari tunggang langgang dan tersungkur beberapa kali.

Malah aku dapat rasakan ada makhluk besar seperti sedang melompat-lompat dari pokok ke pokok seperti mengejar aku yang sedang berlari ketakutan itu. Bunyi pekikan nyaring seperti jeritan siamang menambah rasa takutku.

Menggigil rasa bila terbayangkan tangan berbulu sebesar pintu itu menjalar keluar seperti mahu memeluk aku. Entah tangan makhluk apa. Seram sungguh. Sampai di rumah aku yang kuyup dan luka-luka senyap-senyap masuk pintu belakang. Lepas bersihkan diri aku terus masuk bilik. Tapi rasa seram dan menggeletar masih bersisa. Sepanjang malam itu aku tidak mampu tidur lena sebab terasa-rasa seperti di cakar dan di tindih makhluk berbulu.

Esoknya heboh tentang Mat, Usin, Dol dan Ustaz hilang. Maklumlah senakal-nakal kami memang tak pernah tak balik rumah. Bila semua orang dah kecoh terpaksalah aku beritahu Tok Imam kami buat projek mencuri dalam kebun durian di tepi sungai itu. Melihat keadaan aku yang lebam sana sini dan kelihatan tidak terurus mereka hanya menggeleng kepala.

Emak pula membebel dan marahkan aku sebab buat kerja tak senonoh begitu. Ayah pula jengilkan mata. Hendak di beduknya aku sudah bujang. Akal ada tetapi lebih suka mengikut kehendak dan darah muda sahaja. Aku diam sahajalah bila kena sembur menyusahkan orang tua.

Bersama-sama orang kampung kami terpaksa mencari kawan-kawanku yang hilang itu. Walaupun kebun tersebut kecil dan kami semua berulang kali cari di tempat yang sama kami masih tak jumpa bujang berempat tersebut. Akhirnya Tok Imam bersama seorang ustaz terpaksa azan dan membaca sedikit doa.

Hampir tengahari baharulah satu persatu kawan-kawan aku di temui. Usin kami jumpa tidur elok sahaja bawah pokok durian. Padahal sudah entah berapa puluh kali kami tawaf di pokok tersebut. Dol pula berhampiran sungai. Nyaris-nyaris lemas tetapi tersangkut pada daun pokok nipah. Manakala Mat dengan Ustaz dalam bilik-bilik kosong di rumah buruk tersebut. Selepas peristiwa itu jenuh jugalah budak berempat itu berubat sebab katanya asyik mimpi di peluk makhluk berbulu.
Paling terkesan tentulah ustaz.

Selepas peristiwa tersebut dia jadi lebih baik. Kerja-kerja merembat durian atau mencuri ayam sudah dia tinggalkan. Hanya aku Mat, Dol dan Usin masih tak serik-serik. Tapi bila Dol dan Usin masuk askar dan Mat pula masuk polis tinggallah aku terkotang-kating.

Kata Mat masa dalam rumah tu dia tiba-tiba ternampak muka aku macam hantu. Dia ketakutan dan lari. Tapi tak jumpa pintu keluar. Lepas tu dia tak ingat apa dah sebab pengsan. Tapi aku tahu ada cerita lain yang dia tak ceritakan sebab masa kami jumpa bau dia hancing. Sah terkencing dalam seluar.

Lain pula cerita ustaz. Dia kata kena kejar dengan beruk beruk kecil yang tiba-tiba sahaja muncul hendak gigit dia. Beruk-beruk tu garang. Dia terpaksa melarikan diri sebelum merempuh dinding bilik dan pengsan.

Bagi Usin dan Dol, rupanya masa kami panggil mereka tu mereka dah hilang dulu. Mereka kata seronok sangat sebab banyak dapat durian. Lagi banyak di kutip lagi banyak durian yang gugur. Berdabak debuk jatuhnya. Bila dah terasa penat kutip baharulah mereka terfikir nak berhenti. Tapi masa tu mereka hairan sebab dan tak Nampak rumah buruk tu atau jalan keluar. Hanya pokok durian yang bersusun rapat macam pokok pisang.

Kelam kabut mereka berdua cari jalan keluar. Masa itulah mereka nampak harimau. Usin lari ke kiri dan Dol lari ke kanan. Lepas tu dah tak ingat apa dah sebab mereka sedar pun bila orang kampung jumpa.

Kira aku jelah nasib baik dapat lari. Itu pun kalau ingat-ingat mahu rasa nak demam. Siapalah yang boleh bertahan kalau melalui pengalaman seram begitu. Bila semua dah bawa diri aku pula minta kerja estet. Nak masuk askar ke, polis ke aku tak layak sebab rendah. Itulah secebis pengalaman aku tahun 1970an dulu.

.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.