Uitm Sri Iskandar di hatiku.

Kalau ada rezeki maka dapat la aku kongsikan penulisan online aku yang pertama. Ada banyak kisah kisah mistik yang dapat aku kongsikan tapi memandangkan aku banyak terbaca tulisan-tulisan yang berlatarkan Uitm, jadi biarlah penulisan pertama ini bertemakan Uitm.

Aku pelajar buangan dari Matrikulasi UIA,PJ sebelum mendapat tempat di Uitm Sri Iskandar pada tahun berikutnya. Boleh aku katakan yang aku berhutang budi dengan Uitm, tanpa Uitm mungkin aku terpaksa tangguhkan hajat untuk belajar sebab Abah baru sahaja mengambil VSS. Jadi dari faktor kewangan keluarga tidak begitu stabil, tak pula Abah bagi aku ambil PTPTN, masih mampu katanya. Aku iakan sahaja.

Hari pertama aku sampai di Uitm Sri Iskandar, untuk mendaftarkan diri dalam Program Diploma Perakaunan, aku mengeluh panjang. Hutan di kiri dan kanan, bekas lombong banyak kelihatan semasa dalam perjalanan. Aku akui aku agak ‘poyo’ pada hari itu. Kononnya seorang budak KL, dan ‘bekas pelajar UIA’ (matrikulasi pon kena buang) berasakan terlalu bagus untuk tempat sebegini. Pada waktu itu memang tidak banyak pembangunan di Sri Iskandar. Ada kedai mamak Rahmat di luar pagar masuk, di dalam kampus ade Cafe Uptown (untuk cuci mata) ada lagi satu Cafe berhampiran padang untuk yang berpasang pasang bercengkerama.

Dulu kolej kediaman lelaki hanya ada 4. Blok A,B,C dan D. Terletak jauh paling ke belakang dalam kawasan kampus. Semester sebelum kami masuk, hanya blok A dan B sahaja digunakan. Memandangkan kemasukkan kami lebih ramai, maka blok C dan D dibuka untuk kami. Kamilah orang pertama yang menghuni kolej itu.

Aku duduk blok C, budak akaun memang di sini, budak seni banyak di blok D. Bilik aku kongsi 4 orang, ada dua katil ‘double decker’. Masa itu ‘roommate’ aku Mags budak skinhead V.I (kecil tapi macho) lagi 2 orang aku tak ingat siapa nama(minta maaf jangan kecam). Dalam sebulan kami di sana, kami digemparkan dengan cerita-cerita budak di blok D di ganggu makhluk halus. Ceritanya dikhabarkan seorang budak ‘fine art’ atau arkitek sedang sibuk

Membuat ‘drawing’ lewat pagi, dalam sedang tekun itu pintu biliknya diketuk oleh sesorang yang ingin menjual makanan. Memang lazim pelajar menjual di dalam kampus, tambahan pula kampus baru yang kurang fasiliti seperti kami ini. Apabila di buka pintunya itu, lalu ternampaklah sipenjual nasi lemak rasanya, cukup sifatnya cuma berwajah ‘kosong’.

Muka dia tiada, maka terpengsanlah budak itu disitu. Kemudian terjadi lagi beberapa kali senario yang sama. Kecoh ketika itu ramai yang tidak keruan dibuatnya. Ada budak yang tidak berani keluar bilik waktu lewat pagi, sanggup kencing dalam botol kerana terlalu takut. Ada yang kencing di balkoni sehingga baju yang disidai oleh orang bawah habis hancing. Jadi bagi membendung perkara ini dari terus melarat pihak pengurusan kolej membuat satu majlis bacaan doa selamat di tapak parkir antara blok C dan blok D pada waktu maghrib.

Aku ketika itu merasakan semua ini karut dan angkuh serta jahil, mengambil keputusan untuk tidur walhal aku nampak dari tingkap bilik aku budak-budak lain sedang solat maghrib dan membaca yasin. Tinggal aku seorang dalam bilik sebab yang lain semua ikut serta majlis. Aku yang sedang asyik berbaring di katil atas ‘double decker’ itu hanya menjeling ke tingkap sambil mengelamun dalam cubaan untuk tidur.

Dalam aku mengelamun itu, bulu roma tangan aku sebelah kiri meremang. Pelik bukan? Biasanya apabila bulu roma kita meremang, selalunya satu badan meremang. Ini tidak, hanya tangan kiri aku sahaja meremang. Di kiri aku tangga untuk turun katil, di kanan aku dinding. Selang sekejap, meremang, kemudian reda, kemudian meremang kemudian reda. Aku pelik tetapi ketika itu tidak merasa takut lagi sehinggalah aku membayangkan entah-entah ada ‘sesuatu’ menjenggah di kiri aku.

Aku membayangkan kuku yang panjang sedang mengusik usik tangan kiri aku itu. Aku terus pusingkan badan dan berpaling menghadap dinding. “Arh karut!” Aku cuba menenangkan perasaan dan Alhamdulillah tangan aku tidak lagi meremang. Tidak berapa lama aku sudah hampir lena, aku terdengar bunyi macam ada orang baring dekat katil bawah. Ya lah kita tidur atas katil ‘doubledecker’ ni biasalah, kalau orang bawah bergerak, kita yang di atas mesti terasa.

Dalam aku yang hampir lena tu, tiba-tiba aku terfikir “budak-budak tu x balik doa selamat lg kan? X pulak aku dgr dorg cakap-cakap. Sape yang baring bawah ni?. Pada masa dan ketika yang sama, bila aku terfikir begitu, bulu roma aku meremang satu badan, dan aku takut dalam berani memang nak palingkan muka ke arah kiri, tetapi belum pun sempat aku berpaling, “kenapa resah sangat?”…………. Di bisik halus suara perempuan di telinga kiri aku.

Bayangkan perasaan aku masa tu. Memang tak cakap banyak, aku terus lompat dari atas katil dan keluar bilik. Lari ke bilik rakan yang lain, menggeletar sambil meminta rokok untuk bertenang. Jahil, bukan beristighfar, tapi cari rokok. Aku terfikir sendirian, mungkin sebab aku terlalu angkuh, mungkin aku terlalu jahil, dan aku di ajar erti rendah diri dalam tak sedar.

Ini hanya permulaan perjalanan misteri aku dekat Uitm Sri Iskandar. Kalau di izinkan Admin, andai ada peluang, nanti aku kongsikan lagi sambungannya.

 

Ollie

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 4]

8 thoughts on “Uitm Sri Iskandar di hatiku.”

  1. Sy msuk bulan 6 2014.. budak akaun apa smua ada lgi kt uitm sri iskandar tpi cuma utk mggu orientasi or utk 1 sem jea *x ingat* lpastu bru msuk uitm tapah

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.