Kasyaf: Kunci Pertemuan Cahaya

KASYAF: KUNCI PERTEMUAN CAHAYA

AMARAN KERAS: Kisah ini adalah sebuah kisah benar yang difiksyen beberapa plot untuk tujuan keselamatan penulis dan pencetus idea yang dirahsiakan. Diklasifikasikan sebagai umum, dan berunsur islamik. Kisah ini cuba mempertengahkan unsur muhasabah diri dalam menghadapi dunia akhir zaman yang penuh dengan muslihat dan tipu daya ‘tangan-tangan’ di belakang tabir.

Lapangkan dada, kosongkan minda. Tidak semua yang ditulis itu, perlu dipercaya bulat-bulat. Juga diharap tiada yang taksub dengan warkah ini. Terima dengan hati yang terbuka. Jauhi, jika anda tidak percaya. Sebarkan, jika anda rasakan ini suatu pengajaran. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Mulakan dengan bacaan bismillah. Semoga bermanfaat.


Sinar pagi belum bangkit dari ufuk timur. Pagi Jumaat yang hening, masih kelam kelihatan dari tingkap bilikku. Aku masih terbaring kaku di pembaringan. Membelai uraian halus anak rambut si manja yang tidur di sebelahku. Anak sulung yang masih belum pulih sepenuhnya. Demam, terjangkit daripada sang isteri. Entah apalah yang melanda. Seminggu lebih mereka dihantui wabak sakit ini.

Adakah benar jalan yang aku ambil ini? Adakah dengan mempertaruhkan nyawa untuk mendedahkan semua ini, akan ada yang akan merana? Bagaimanakah dengan nasib anak isteriku?

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, padah akibatnya, getus hati songsangku.

Tegakkan kebenaran, walaupun pahit. Dunia ini hanya sementara, pujuk satu lagi desakan hatiku.

Aku yakin, semua ini, ada hikmahnya. Bukan satu masalah besar bagiku, sekiranya ini menjadi tujuan lahirnya aku di muka bumi ini. Mereka yang dekat dengan aku, mesti faham. Jika ini suatu jalan syahid di muka bumi ini, maka biarkanlah berlaku. Mengangkat pedang dan senjata untuk menegakkan jalan Yang Satu, pasti bukan itu cara yang mampu aku lakukan. Rindukan syahid? Rindukan pengakhiran di jalan Yang Benar? Sudah tentu. Menjadi keinginan hakiki di hatiku. Bagaimana pula dengan mukmin yang lain? Adakah mereka benar-benar sanggup menggalas tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini?

Pagiku berjalan seperti biasa. Membantu persiapan anak-anak untuk ke tempat pengasuh, dan membawa mereka bersama isteri ke destinasi masing-masing. Mesej kedengaran masuk ke dalam telefon bimbit tatkala aku sedang memandu ke tempat kerja, usai menghantar yang tersayang ke tempat kerjanya. Mesej bertalu-talu, penting agaknya. Aku biarkan sahaja terlebih dahulu. Sesal kemudian, tidak berguna.

Hati kecilku mahu membuka sepantas mungkin mesej dari aplikasi Whatsapp itu. Namun, aku tiba di tempat kerja sedikit lewat, tiada masa untuk meneruskan hajat tersebut. Memandangkan aku sebagai pengalih bahasa untuk General Manager di syarikat, tugasku tidak ubah seperti pengerusi majlis setiap pagi. Menyampaikan arahan dan kata-kata beliau di dalam mesyuarat ringkas harian, sebelum bermula kerja di pagi hari. Mesej itu masih kubiarkan tidak dibaca, atas desakan tugas.


9:00 pagi, Jumaat yang sama.

“Pek, assalamualaikum. Aku sudah baca coretan kisah itu, seperti yang kau janjikan.”

“Tak salah aku pilih penulis. Jadi, mahukan sesuatu yang lebih fasal kisah aku?”

“Ada lagi yang kau perlu tahu. Mungkin berguna untuk mereka semua, sebelum aku mati.”

Aku mengeluh. Tiga mesej ringkas daripada Hadi, yang menjadi penandang pagiku tadi. Aku bukan mengeluh kerana enggan, tetapi untuk bertemu dengannya, lalu bercerita tentang ini, memerlukan masa yang sangat banyak, dan tenaga berfikir yang tinggi untuk menghadam segalanya.

Tiada tugasan yang mudah untuk kita. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Jangan pedulikan semua tu. Bahaya kisah si Hadi ni. Kau mahu hidup lama, bukan?

Pemikiran bercanggah di dalam kotak fikiran. Tidak membantu untuk aku membuat keputusan. Apa rasa hati? Sudah pasti, aku teruja dengan semua ini. Tidak pernah terlintas perasaan takut untuk aku hadapi. Mungkin, tiada sebarang amaran secara fizikal, atau halus, yang aku alami setakat ini, membuatkan aku rasa tiada sebarang masalah untuk aku terima tugasan seterusnya ini.

Aku, Ahmad, bersumpah, dengan nama Allah, bahawa ilham dan manfaat daripada pemikiranku, akan aku gunakan sebaik mungkin, untuk menghidangkan segala mesej yang baik untuk pembacaku. Sebagai satu harapan, umat manusia akan sedar betapa perlunya mempersiapkan diri untuk menghadapi mati. Mati yang normal, atau mati untuk memperjuangkan agama yang dipercayai. Ad-Din, yang mengagungkan Tuhan Yang Esa.

Ingatkan aku, jika aku terpesong. Terimalah aku, jika aku masih di jalan yang benar. Seiring sejalan kita ke arah redha Ilahi.

“Boleh. Malam nanti, kita interview lagi. Tak laratlah nak ke tempat kau sekali lagi. Mesej sajalah, boleh?”

“Tak ada masalah. Nanti roger,” ringkas jawapan Hadi. Menutup perbualan secara mesej pada pagi itu.


Aku sudah bersedia. Anak-anak dipersiapkan dengan apa yang perlu terlebih dahulu. Masa untuk menemu ramah Hadi Al-Hafeez.

“Assalamualaikum, Di. Jom, aku dah free.”

“Waalaikumussalam. Sebelum tu, kita tetapkan niat, agar tidak terpesong.”

“Aku bersumpah, dengan nama Allah, akan kucoretkan kisah ini, menulis dengan kebenaran, untuk menyampaikan kebenaran, dan menutup yang perlu ditutup, agar semua pihak tidak terkesan dengan musibah.” Sumpah ditulis, sebagai praktis rutin kami berdua.

“Aku juga bersumpah, kisah ini adalah yang benar belaka, demi Allah, untuk hamba-hambaNya.”

Mesej Hadi masuk lagi.

“Sebenarnya, aku ada terbau satu kematian, semasa temuramah pertama kita. Bukan untuk menutup kematian kau, tetapi untuk serasikan hidup aku dengan bau ni.”

“Maksud kau, si mati itu, dekat dengan kau?” Soal aku.

“Oh, tidak. Sekalipun betul dia meninggal, mungkin dia jauh daripada aku. Kalau betul-betul rapat dengan aku, waima kau sekalipun, aku akan rasa sangat sakit. Sesak nafas, dan sakit-sakit lain. Aku turut berasa sakitnya, walaupun tak sekuat sakaratul maut.” Aku cuba menghadam mesej Hadi, kerana dia memberi contoh aku. Aku cukup waspada dengan sebarang mesej daripada si Hadi, tetapi aku meneruskan sahaja rentak perbualan ini.

“Apa petanda yang kau dapat tentang kematian itu?”

“Perempuan. Itu saja. Aku tak pasti lagi siapa. Tapi, aku harap, bau ini tidak bersangkutan dengan apa yang aku tahu. Aku harap, hanya kebetulan.”

“Perempuan? Siapa?”

“Aku tak pasti. Mungkin, masih ada bauan, tetapi aku sudah tak kuat untuk terima ‘signal-signal’ yang lain untuk mengenal pasti siapa yang terlibat. Mungkin juga, macam aku tulis tadi, kebetulan.” Hadi, masih cuba menidakkan keupayaannya. Aku tahu, dia tidak mahu. Kuasa sebegitu, sanggupkah kita untuk menerimanya?

“Bau yang perempuan ni, tak kuat. Mungkin, ikatan kami tidak seutuh mana,” tambah Hadi lagi.

“Baik, kita teruskan dengan isi asal interview ni, Hadi.”

“Aku sebenarnya, dah tak sihat.” Ringkas, tetapi aku tahu, berat untuk diluahkan.

“Kenapa? Apa yang dah berlaku?” Cuba mengambil tahu sebab sakitnya si Hadi.

“Aku, pernah melalui zaman gelapku. Cuba menidakkan segala ilmu kasyaf ini, dengan cara melupakan amalan hakiki kita sebagai umat Islam. Zikir, doa, solat pun aku kadang-kadang khilaf dalam hal tu.”

Lama aku tunggu, susulan mesej daripada Hadi. Mungkin cuba untuk mengingati kisah-kisah lamanya. Mungkin juga, dia berasa bersalah kerana lalai dengan tanggungjawab sebagai insan muslim yang diwajibkan setiap hari, menunaikan solat yang lima sekurang-kurangnya. Ah, tiada beza juga mana-mana manusia yang bergelar Islam. Aku juga, pernah lalui semua ini.

“2013, selepas dua tahun aku cuba buang segala yang aku alami ni. Aku dapat rasa aroma dan petanda mula menghilang, dengan cara melalaikan diri dengan dunia. Aku boleh tenang dengan tidur tanpa sebarang gangguan, jika kita rasa itu sebagai gangguan, tanpa mimpi atau khayalan pelik. Cuma…”

“Cuma?” Soalku, tidak sabar.

“Cuma, aku diberi khabar, seperti dejavu, sebelum aku diracun. Oleh siapa, wallahuaklam. Racun batiniah. Sakit.”

Aku mendiamkan mesej. Menunggu susulan mesej bertalu-talu daripada Hadi. Aku tahu, panjang kali ini penulisannya.

“Satu hari Jumaat, tahun 2013, bulan 5, aku ketika itu sudah lalai dengan kehidupan duniawi, kosong dengan amalan untuk dihisab di kemudian hari. Aku tak dapat hidu kehadiran benda bahaya seperti sihir, dan sebagainya. Masa tengah makan di satu kedai, aku dapat nampak dejavu sebenarnya. Seperti nampak apa yang aku tengah lakukan, beberapa saat sebelum kejadian, yakni makan. Namun, aku abaikan. Aku tetap makan.”

“Lepas tu?” Singgah mesejku, sekadar mahu menunjukkan aku masih di dalam perbualan.

“Dunia terus berputar. Aku tak boleh bangun. Aku seperti tercekik. Dada panas sampai ke kepala. Aku minta air kosong segelas, dan baca beberapa ayat yang sempat. Nafas tersekat di rongga. Aku hampir rebah.”

“Aku sebut kepada kawanku, agar pulang segera. Mengajak untuk pulang. Tetapi aku tak mampu, kerana aku menunggang motosikal. Kawan aku tanya, okay atau tidak. Aku katakan okay, tetapi sebenarnya dia tahu, aku tidak.”

“Siapa kawan kau?”

“Aku akan ceritakan fasal dia nanti. Aku sambung dahulu kisah sakit aku dulu.”

“Baik.”

“Pulang sahaja, aku didatangi satu lagi dejavu. Aku teringat akan sehelai baju yang aku rasakan telah hilang, tiada di dalam wardrobe. Aku cari semula. Selongkar apa yang ada. Benar, tiada baju itu dalam simpanan. Sungguh, ada sesuatu yang telah berlaku.”

Aku diamkan lagi sampukan mesej. Pasti ada yang masuk lagi, melihatkan status typing… tertera pada nama Hadi.

“Melalui itu, aku dapat tahu, itulah hari permulaan sisah hidup aku. Dejavu, sebuah kematian. Kematian aku yang lalai. Setiap malam, aku melihat kematian sendiri. Kematian yang menyeksakan. Aku tak rasa lagi apa itu kematian, tetapi saat aku diam, tidak bernafas di dunia nyata, ketakutan mati itu mula menguasai diri. Sebab aku tahu, aku lihat apa yang telah terjadi, dan akan terjadi.”

“Mulai hari itu, aku mula terima kembali. Aku ‘pulang’ kepada jalan yang sepatutnya. Kuasa itu, aku terima seadanya. Sebab itu aku pernah cakap, ada orang sangat merindukan kematian. Sebab dia mahu jumpa Yang Maha Esa, dia nak balik ke alam ‘nyata’ yang sebenar. Sedangkan ada juga yang tidak pernah terlintas di hati, dia akan mati esok. Walaupun besar mana petanda diberikan. Itulah, dunia.”

“Masa kematian, belum tahu?” Hadi sekadar menjawab dengan emoticon tidak.

“Sebenarnya, bagi aku, kematian aku sudah lepas. Mungkin, sudah lepas. Mungkin, masih belum berlalu.”

“Ha?” Bingung aku dengan penyataan si Hadi.

“Kau pernah baca tentang kematian yang ditangguhkan oleh Allah?” Aku cuba menggapai memori tentang kematian yang aku tahu.

“Pernah. Catatan sebuah kematian, aku pernah baca masa sekolah menengah.”

“Bukan itu. Itu, wallahuaklam. Aku tak pernah baca. Ini kisah zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Daud, tentang anak muda yang ditangguhkan kematiannya.”

“Okay, mohon ulasan. Aku tak pernah baca.”

“Aku terbaca artikel-artikel berasingan ini, dan dikuatkan dengan satu kisah pertemuan dengan seorang gila yang ‘menyampaikan’ untuk aku.”

“Teruskan.” Aku memberi ruang penulisan panjang untuk Hadi jelaskan.

“Di zaman Nabi Ibrahim, pernah datang malaikat Izrail bertanyakan tentang seorang pemuda. Lalu, dikhabarkan kepada Nabi Ibrahim, bahawa pemuda itu bakal mati, pada malam itu. Sedangkan, hari itu adalah hari perkahwinan pemuda tersebut.”

“Lalu, diteruskan perkahwinan, tetapi Nabi Ibrahim tidak mengkhabarkan kematian itu kepada bakal penghuni kubur tersebut. Namun, hari demi hari, pemuda tersebut masih sihat, tiada tanda sebarang kematian. Tiada berita tentang kematiannya.”

“Lalu Nabi Ibrahim bertanya lagi kepada Izrail,’Wahai Izrail, adakah kamu menipu perkhabaran tentang kematian si fulan bin si fulan pada tempoh hari?’”

“Dijawabnya Izrail,’Demi Allah, tiada sebarang kelewatan untuk aku mencabut nyawa seseorang manusia, tetapi pada saat nyawanya hendak kuambil, turun perintah pengharaman untuk aku mencabut nyawa si manusia itu.’”

“Kesimpulannya, ada amalan kita di muka bumi ini, yang dapat memanjangkan umur, Pek. Aku kaitkan dengan kisah aku.”


Hari demi hari, aku buntu mencari cara untuk memanjangkan umur. Jujurnya, aku masih belum bersedia untuk mati. Namun, siapalah aku untuk menolak sebarang kematian yang bakal menjengah, terutamanya jika mati itu milik aku.

Aku mencari dan mencari, dalil dan hujah di dalam Al-Quran dan hadis, tentang cara untuk menjauhkan diri daripada kematian. Maaf, salah ayat itu. Cara untuk diampunkan Allah, lalu dipanjangkan umur untuk terus beribadat di dunia yang fana ini. Aku pernah baca tentang kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Daud, tetapi aku tiada dalil jelas untuk mengukuhkan pendapat ini.

Mungkin, cara penerimaan maklumat yang Allah mahu berikan kepadaku, bukan dengan cara mencari. Mungkin, Allah menggunakan asbab lain untuk aku menerima maklumat tentang misteri sebuah kematian. Aku, bersama-sama rakan yang pernah bersamaku ketika kisah makan bersihir itu (aku namakan dia Masri), berjalan-jalan di kota raya untuk menghabiskan masa senggang yang ada.

Kelihatan seorang lelaki kusut masai, menjerit-jerit di tepi jalan kotor itu. Aku sekadar melihat, manakala Masri, menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Kesian, gila isim.”

Aku melihat lagi perlakuan si gila itu.

“Ahadun Ahad!” Itu jeritan berulang yang si gila itu jeritkan. Yang Satu-satunya, dalam Bahasa Melayu. Terjemahan dari Bahasa Arab.

Aku pandang pada mata si tua gila itu. Aku dapat rasakan, dia bukanlah lagi seorang manusia bernafsu. Nafsu dalam diri sudah mati. Bila nafsu sudah mati, tiada ungkapan yang berbaur kepentingan semata-mata. Aku cuba mendekati, untuk berbicara dengan si gila ini. Entah, gerak hati cuba bersoal, tentang sesuatu yang masih membelenggu hidup aku.

“Pak cik, mati tu memang tak boleh tangguh ke?” Soalku, penuh cermat. Agar tiada rasa tersinggung di hatinya. Ah, dia sudah gila! Apa lagi yang perlu dia singgungkan.

“Siapa cakap?! Kau Allah ke?!” Herdikan terhambur dari ruang mulutnya. Tangan seperti meminta sesuatu. Dua jari ditunjuk-tunjuk ke arah Masri.

“Apa benda pulak dah ni? Dua ringgit ke, Di?”

“Rokoklah, rokok! Kau kasi dia sebatang,” balasku. Masri menghulurkan sebatang rokok yang ada. Bagai pengeras untuk bercerita lagaknya.

“Pak cik, orang cakap, dan ada ayat diterangkan mengatakan mati itu tidak akan lewat dan cepat sesaat pun.”

“Sedekah!” Laung si tua. Terhambur kepulan asap rokok bersama-sama dengan jeritan itu.

“Doa!” Jeritan kedua, seraya asap naga membanjiri ruang pernafasan yang ada di persekitaran itu.

“Itu semua boleh panjang umur. Kau akan mati ikut waktu yang tertulis di Luh Mahfuz, jika kau tidak berdoa dan memohon. Jika semua orang kata,’Dah tertulis di Luh Mahfuz’, buat apa Allah suruh berdoa?!”

Aku terpempan di situ. Masri menghulurkan sebatang lagi rokok kepada si tua itu, melihatkan seperti ada banyak yang si gila ini mahu khabarkan. Rokok yang pertama sudah sampai ke akhir hayat. Dibakarkan pula yang kedua.

“Penawar segala penyakit, dan segala-galanya, ada pada ‘hati’ Al-Quran! Kun fayakun! Baca ayat tu, dan niat dalam hati seikhlas mungkin! Yakin itu wajib, kepada Allah!”

Sebelum dia pergi, si gila itu berpesan kepadaku, jangan dibaca Al-Quran sekadar dibacak. Lihat juga di sebalik rahsia. Itulah pelengkap kehidupan kita. Aku sekadar mengucap selamat tinggal dengan pandangan mata.

“Ah, siot! Habis rokok aku dia sedut. Dahlah tinggal dua batang.” Aku tersenyum melihat telatah Masri. Baru sahaja diceramah tentang sedekah. Betul-betul kena sedekah gamaknya.

“Sedekahkan sajalah, niatkan macam tu. Nanti aku ganti.” Masri mahu membuang kotak rokok tersebut, tetapi dirasakan berat. Tidak kosong seperti yang sepatutnya.

“Weh, Di. Ko tengok ni, Di.” Kotak rokok ditunjukkan kepadaku. Aku terkejut. Kotak penuh berisi rokok, walaupun sudah terbuka plastiknya. Bagaikan diprogram reaksi kami, kami berdua menoleh ke arah jejak langkah si tua gila tadi. Tiada lagi di situ. Ah, siapakah pula yang bertandang?


Aku terdiam. Aku juga, seperti Hadi, sedang berfikir tentang siapa sebenarnya si tua itu. Kesahihan juga tidak dapat dipastikan, menurut rujukan Al-Quran dan hadis yang jelas. Aku bukan tidak mahu percaya. Aku perlukan rujukan.

Masri. Mungkin Masri boleh menjadi pengesah kepada segala kejadian yang telah berlaku.

“Di, nak contact Masri boleh? Best juga kalau boleh jumpa dia, cerita fasal pengalaman dia berkawan dengan kau.”

“Kalaulah dia masih hidup, aku dah bagi, Pek.” Terdiam aku. Innalillah.

“Sakit apa? Sihir juga?”

“Ya. Sakit, kan? Aku juga terbau aroma kematian kawan paling rapat dengan aku. Sebelum dia meninggal, aku call dia. Cakap minta dia bersabar, dan aku masih belum pasti. Kau tahu apa dia jawab?”

“Apa?”

“Aku redha, Di. Aku dah cukup bersyukur selama mana kita berkawan ni. Aku dapat tengok keajaiban, iaitu benda yang tak terfikir dek akal, jadi nyata. Ayat itulah, aku tak pernah lupa apa si Masri ni jawab kepada aku.”

“Dia tahu dia nak mati dah?”

“Ya. Dia pesan, jangan maklumkan abang dia. Dia tak mahu susahkan abang dia. Mungkin tak sempat tengok esok pun hayat Masri, masa tu. Aku masih rasa perlu untuk diberitahu. Aku call abang dia, Dayat.”

“Apa jadi?”

“Aku berkias. Aku cakap,’Assalamualaikum, Dayat. Kat mana? Ni ha Masri baru call, dia cakap esok belikan dia Nasi Ambang’. Aku terus letak, tak tunggu jawapan. Aku dah menangis masa tu. Aku ingatkan abang dia faham, maksud nasi ambang tu.”

“Apa maksudnya?” Soalku lagi. Aku juga tidak arif tentang itu.

“Ikut adat orang Jawa, nasi ambang tu tandanya kenduri arwah. Aku ingat, Dayat tahu aku bagi hint. Dia betul-betul tak faham rupa-rupanya.”

“Nak buat macam mana, bukan salah kau pun. Orang tak faham.”

“Apapun, Pek. Kematian itu rahsia Allah. Hebat manapun kau, dapat baca Luh Mahfuz sekalipun. Hak untuk mengambil roh kau semula, itu hak Allah. Cepat lambat itu, untuk konteks Izrail melaksanakan tugasnya mengikut arahan Yang Satu.”

“Baik, aku faham. So, bagaimana kau sekarang? Masih sakit?”

“Basically, aku hanya jasad yang mereput, sikit demi sikit. Aku redha,” ringkas penerimaan mesej daripada Hadi. Dia sudah menerima kematiannya. Aku? Mampukah aku sekuat dia?

“Bagi kuasa kasyaf aroma, dan petanda-petanda, adakah satu kuasa yang sama dimiliki oleh orang yang berbeza? Maksud aku, beberapa orang?” Giliran aku yang bertanya, sebelum dia menjelaskan lebih panjang tentang setiap persoalanku.

“Tak ramai, beberapa orang sahaja. Kenapa?”

“Kalian tak mahu berjumpa?” Duga aku. Aku juga ada penyelidikan sendiri tentang mereka. Mereka yang dikurniakan ‘cahaya’.

“Aku ceritakan satu lagi benda, tentang pertemuan, Pek. Sebenarnya, ada satu lagi watak, beberapa orang juga, yang diburu oleh puak-puak ni.” Hadi memulakan kisah baru. Aku semakin tidak sabar dengan kisah baru ini.

“Watak yang berkuasa seperti kalian semua?”

“Oh, mungkin tidak. Malah, ada juga yang tidak tahu, dialah ‘kunci’. Kunci pertemuan kami. Sudah ditulis tentang mereka, akan menjadi titik pertemuan kepada orang yang berkuasa kurniaan Allah, seperti kami. Tugas pemburu, memburu mereka. Agar tidak bertemu.”

“Kenapa mereka tidak boleh bertemu?” Soalku lagi, kehairanan.

“Jika hanya satu yang diperlukan, mereka tidak perlu susah-susah memburu. Mereka lebih kuat, kerana mereka itu mungkin satu organisasi, bukan? Kenapa kita diberi ganjaran pahala lebih apabila bersolat jemaah?”

“Kita bersatu, dalam saf yang sama. Kita lebih kuat?” Aku menduga.

“Kita kuat, dan dipimpin oleh siapa?”

“Si imam.”

“Kunci ini, bagaikan imam. Hidup mereka, mendorong agar bertemu, menjadi kuat cahaya itu ke arah jalan yang sebenar. Dia mungkin tiada anugerah, dia juga kemungkinan tidak tahu dialah kunci, tetapi sudah tertulis bahawa dia akan menemukan golongan seperti kami. Jika kau mahu berjumpa kami, ikutlah dia. Itu kesimpulannya.” Aku berpeluh dingin. Adakah benar ada lagi watak penting sebegini? Adakah, AKU juga tergolong dalam watak kunci pertemuan cahaya-cahaya ini?

“Katakanlah, ada yang menulis mengaku tentang dia juga ada kuasa seperti kau, Hadi. Kau percaya? Kau percaya adanya manusia seperti kau, selain kau? Menghubungi aku?”

“Kenapa tidak? Aku sendiri sudah dikhabarkan, ada pengganti aku selepas ini. ‘Dia’ yang akan meneruskan perjuangan, selepas aku mati kelak. Bayangan seorang wanita, sudah sampai kepadaku.”

“Bukan, dia lebih terdahulu daripada kau. Dia juga wanita.”

“Seriuslah, Pek? Ada yang menghubungi? Badan sedang-sedang, 160 hingga 168cm ketinggian. Putih orangnya?” Hadi tampak ingin tahu. Aku juga ingin tahu, tetapi tentang yang lain. Siapakah aku?

“Aku tak boleh jelaskan semua tu. Rahsia dia. Dia tak mahu berjumpa dengan kau pun, sebenarnya. Katakanlah, aku dapat yakinkan untuk kalian berjumpa, adakah aku kunci kepada cahaya untuk bersatu?”

“Mungkin, Pek. Mungkin. Kita kena faham juga, maksud pertemuan yang sebenar. Betul-betul berjumpa bertentang mata, atau saling mengetahui kewujudan, sudah dikira bertemu. Kenapa? Kau mahu jadi kunci kepada pertemuan kami?” Duga si Hadi pula.

Aku meremang bulu roma. Tidak aku sangka, ada juga watak sebegini. Walaupun bukan aku, dan mungkin juga aku, bermakna, watak ini juga ada kepentingannya.

“Aku tahu, Pek. Kau ragu-ragu. Kau kena faham juga risikonya. Mereka yang memburu, bukan sekadar hidup seperti kita, makan, minum, bersuka ria. Mereka akan tetap memburu, walau dengan apa cara sekalipun. Kalau kau salah seorang daripada kunci itu, maka bersiap sedialah dengan sebarang kebarangkalian. Ingat ini salah satu dakwah, dan berpegang teguh kepada keyakinan terhadap Allah. InsyaAllah, yang benar, tetap akan menang akhirnya.”

Aku tahu, Hadi. Aku tahu. Jika benar akulah kunci, maknanya aku sudah perlu bersedia untuk menghadapi mati. Sudahkah cukup amalan aku, untuk menghadapi mati? Adakah syahid seperti ini, dikira syahid? Sudah pasti aku perlu menyediakan diri aku sebaik-baiknya, sebelum menghadapi kematian sendiri.

“Hadi, kalau ada bau kematian aku, jangan disorok-sorok. Aku sedia mendengar,” jawab aku, tanpa menjawab kesanggupan atau tidak, sekiranya aku menjadi kunci kepada si penerima anugerah seperti mereka. Cukuplah dengan kata-kata itu, menjadi jawapan kesanggupanku.

“No problem. Kita dalam jalan yang sama, dengan objektif yang sama?”

“Ya, Di. Aku anggap ini dakwah kita.”

“Aku setuju saja, untuk tidak bertemu. Biarlah aku yang sakit ini, tidak terus berjuang secara berhadapan. Cukup sekadar di belakang tabir. Biarlah generasi penerima anugerah Allah yang baru itu meneruskan perjuangan, sehinggalah mereka bertemu Imam Mahdi kelak. Kita sebagai makhluk yang sudah ada sekarang, hanya menyampaikan mana yang patut. At least, tak terbeban kepada kau bukan, tentang persoalan sama ada kau itu kunci atau tidak?”

“Ya, cukuplah dirahsiakan tentang dia, daripada pengetahuan kau. Lagipun, kebenaran bercerita sampai itu sahaja. Aku pun, hanya kenal tiga daripada kalian. Pertama yang datang menulis tentang cahaya ini, dia tiada kuasa aroma. Mungkin juga ada, tetapi dirahsiakan. Si aroma kedua seperti kau, dia memang tak mahu tahu lagi tentang yang lain. Cukuplah sampai sini, ‘pertemuan’ kalian. Di dalam penulisan aku.”

“Baik. Ada apa-apa lagi yang kau nak tanya? Aku cukup selesa bekerja macam ni. Apa kata, novelkan saja kisah-kisah dari aku?” Tiba-tiba, usul cadangan Hadi mengejutkan aku.

“Apa yang ada dalam fikiran kau, Hadi?”

“Aku sebenarnya berminat untuk menulis, tentang kematian, dalam bentuk novel. Namun, ada sahaja halangan. Sebab itulah, untuk kisah ini, aku hanya menyampaikan, tidak menulis sendiri. Aku harap, melalui kau, kita dapat menyampaikan apa yang patut disampaikan, seperti RAM, mungkin? Atau Tamar Jalis?”

“Dah kenapa lejen-lejen disebut pula?” Bangkang aku.

“Sebab, penulisan mereka, ada memberi hint, atau klu-klu penting, tentang kami. Mungkin, mereka salah seorang daripada kami. Mungkin, mereka pernah berjumpa dengan golongan-golongan seperti kami. Jadi, tidak mustahil juga, kunci itu, adalah penulis. Mereka menyelidik, kemudian memberi amaran kepada yang mahu membaca. Seperti yang diturunkan dalam Islam, ayat terawal. Bacalah!”

Meremang lagi bulu romaku. Memang, tidak mustahil. Namun, aku hanya penulis picisan. Mana mungkin coretanku dapat tersebar seantero luasnya.

“Aku bukan penyanyi, menyampaikan melalui populariti. Bukan mudah untuk mencapai tahap penulis-penulis hebat seperti yang kau sebut.”

“Boleh. Aku yakin pada kau. Ikhlaskan hati, betulkan niat. Jangan diletakkan harga semata-mata dalam usaha kau. InsyaAllah, akan berjaya.” Dorongan Hadi, menguatkan semangatku.

“Kau juga penulis. Apa kata, kau tulis, aku sunting. Lebih mudah begitu, bukan?”

“Aku dah sebut dulu. Aku tidak boleh menulis tentang apa yang aku tahu. Ini juga cara untuk mengelakkan diri daripada dikesan. Jika penulisan kau dapat sampai kepada pembaca, dan penulis-penulis lain, boleh jadi mereka akan berhati-hati untuk menangani kau. Sebab, kau sudah dikenali. Mereka akan lebih sukar untuk menghapuskan manusia yang terkenal. Kau ada perlindungan di situ. Katakan sesuatu berlaku kepada kau secara misteri, pasti peminat, pembaca, dan rakan penulis tidak akan berdiam diri.”

“Aku macam mencari keuntungan daripada idea orang lain. Aku tidak suka macam ni.”

“Anggap saja sedekah daripadaku. Moga panjang umur,” ujar Hadi, meyakinkan aku.

“Panjang umur, huh…” Aku berkata-kata sendirian. Tidak mampu untuk mematahkan hujah Hadi lagi.

“Cerita apa yang kau ada untuk disajikan? Aku rasa sudah cukup dua sesi interview, tiada yang lain lagi.” Aku menulis bertanyakan kepada Hadi, apa lagi yang perlu aku tulis untuk menyampaikan kisah daripadanya.

“Adalah. Isi panjang, yang akan membuatkan orang lain ingin tahu. Bukan fasal aku, bukan fasal cahaya. Lebih besar daripada itu. Rahsia satu kawasan.” Jauh di dalam lubuk hatiku, aku berminat untuk bekerjasama. Jika itu apa yang diinginkan oleh Hadi.

“Sekarang, aku ada cerita untuk kau fikirkan. Pengalaman aku, Hadi. Sudi membaca?”

“Dipersilakan,” balas ringkas Hadi.


Aku pernah ceritakan pengalaman kisah ini dalam cerpen Asrama. Kisah pendek, gangguan tidur. Aku harapkan sekadar gangguan mimpi tidur semata-mata. Rasanya, amat terkesan di hati.

2014, petang sebelum Asar.

Aku tiba di suatu tempat dalam mimpi ini, setelah ‘ditarik’ masuk ke dalam suatu alam separa sedar. Suara tangisan manusia-manusia yang ingin meminta tolong, telah menarik aku ke alam mimpi entah di mana. Aku bangun, lagak seorang pahlawan. Tiga belas pahlawan, termasuk aku, sedang mengelilingi satu jasad asing yang besar. Jin, getus hatiku.

Tatkala aku masuk ‘berperang’, jin tersebut sudah terbakar. Aku sangkakan jin tersebut jin berasal daripada api, tetapi mungkin ‘pertarungan’ sudah separuh jalan. Aku juga tidak mengira berapa ramai pahlawan yang turut sama menentang, tetapi aku terus tahu di dalam mimpi itu. Tiga belas semuanya, termasuk aku.

Baca zikir diteruskan. Bacaan Al-Quran bersilih ganti. Jin itu meneruskan jeritan sukmanya, menembusi langit mimpiku itu. Sangat menggerunkan. Mungkin, kegerunan di hati aku, menyebabkan aku lemah. Aku menjadi mangsa.

Jin tersebut bergerak pantas mencekikku yang sedang berzikir. Entah bagaimana, aku terpaku. Cubaan mengazan dilakukan. Malang sekali, aku sudah dicekik. Laungan Allahuakbar tinggal Alla…

Aku bagaikan tersekat di antara mimpi dan realiti. Aku nampak aku sedang terbaring mencari nafas di dunia nyata, juga bayangan jin berapi sedang terbakar itu turut kelihatan dalam pandangan mata. Masih utuh mencekik aku. Aku turut terdengar, dari tubuh badanku yang asal, perkataan huakbar berulang-ulang dalam versi pelat, tidak jelas dalam pendengaran manusia yang mendengar.

Ya, ada manusia yang mendengar. Rakan karibku, Jaudat, ragu-ragu untuk mengejutkan aku. Dia yang sedang menggunakan komputer riba di atas katil, gusar dengan apa yang sedang berlaku terhadap tubuh badanku. Bergetar-getar dengan bahasa yang tidak difahami. Dibiarkan sahaja aku, kerana dia juga tidak tahu apa perlu dibuat. Aku tidak salahkan dia. Siapa sahaja akan berasa gentar atau gerun, jika melihat sesuatu yang pelik berlaku di hadapan mata.

Aku berjaya ‘pulang’ ke tubuh asalku. Bermandi peluh, bersulam aroma kepenatan sendiri. Aku beristighfar. Bersyukur kerana masih dipanjangkan umur. Aku tidak tahu, kesudahan peperangan di ‘sana’.


“Kau mahu tahu kesudahan peperangan itu, Topek?” Tiba-tiba, Hadi menyoal tentang kisahku itu, sebaik sahaja aku tamat bercerita.

“Sudah pasti. Sudah selesai, atau belum?”

“Hmm…Jin itu licik. Entah sudah mati, atau masih hidup. Tapi, dalam perang tu, dia disahkan terbakar habis. Kalian menang.”

“Macam mana kau boleh tahu? Mimpi benar?”

“Kisah lama. Kisah ini ada diceritakan kepada aku. Aku tidak ingat siapa yang ceritakan. Yang pasti, sebelum kita bertemu lagi, sudah aku dikhabarkan kisah ini, oleh orang lain. Dia juga bermimpikan yang sama.” Satu jawapan yang menaikkan rasa ingin tahuku lagi. Namun, kubiarkan sepi persoalan di hati. Apa yang penting, ‘kami’ telah menang dalam pertarungan itu.

“Ada satu hamba Allah turut serta membantu, selepas satu tumbang. Tumbang itu, kaulah rasanya.” Ada rasa satu tamparan sinis kurasakan. Sedangkan aku tahu, bukan itu niat Hadi.

Aku masih lemah dari segi itu. Perlu diperkuatkan lagi kekuatan dari segi batiniah.

“Kaukah hamba Allah yang membantu itu?”

“Entah. Mungkin ya, mungkin tidak. Ha, ha, ha! Apa yang pasti, Pek, PEPERANGAN SUDAH LAMA BERMULA!” Aku tidak tahu akan jawapannya. Sudah pasti, hanya Allah yang tahu. Ada perkara yang tidak perlu aku ketahui, agaknya. Cukuplah ada yang tahu tentang kisah ini. Bukan bermakna itu gangguan mimpi semata-mata. Dunia yang terlindung, aku juga pernah jejaki. Samada aku yang sebenar, atau aku memasuki mana-mana pemikiran yang lain untuk menjadi pahlawan. Wallahuaklam.

Ya, peperangan sudah bermula. Kita bertatih dahulu, berperang dengan diri sendiri. Kemudian, kita turut serta dalam ‘peperangan’ itu. Peperangan memerangi yang mungkar, walaupun sudah tahu apa itu kebenaran.


4:40 petang, Isnin 12/2/2017.

Aku tamatkan kisah tentang temuramahku dan Hadi, kali kedua, di sini. Aku harapkan yang terakhir berkenaan cahaya ini, dan kunci-kunci pertemuan cahaya. Mungkin, jika ada susulan, berlapanglah dada. Bermaksud, ada perkhabaran lagi yang tercicir daripada penulisan Hadi, yang perlu ditambah. Atau, aku terlupa untuk memasukkan. Kisah seperti ini, tidak semua dapat dikeluarkan, untuk menjaga hati-hati yang terlibat. Lebih-lebih lagi, aroma kematian. Semuanya melibatkan manusia yang Hadi kenal. Sudah pasti banyak yang sudah dihidu, dan banyak yang perlu dia lalui. Tidak semua yang dia mampu ceritakan, dan aku mampu persembahkan dalam nota picisanku ini.

Akukah kunci? Siapakah kunci-kunci pertemuan mereka? Adakah dengan kematian mereka, kita, umat Islam akan kalah? Satu lagi persoalan aku. Adakah kunci itu hanya tertakluk kepada manusia semata-mata? Bukan haiwan, bukan tumbuhan. Juga bukan penulisan?

Aku tidak katakan penulisanku hebat. Nauzubillah. Mohon dihindarkan ketakburan sebegitu. Aku juga yakin, ada penulis di kalangan manusia ini, mempunyai ilham yang datang mencurah, tidak lari dari ilmu-ilmu yang ada di langit, dan di bumi. Datang ilham itu, untuk dilentukkan secantik rupa. Agar dapat dihadam ke dalam kotak pemikiran sebangsa dan sebangsa, yakni manusia lain. Agar dapat dilenturkan kata-kata kepada penulisan tajam berbentuk pedang, menusuk hati dan kalbu setiap yang membaca. Justeru, mendekatkan lagi ketakwaan kepada Yang Satu.

Penulisan itu satu tanggungjawab bagiku. Menghibur, memberi peringatan, mengisi masa terluang, dan menerima apa yang ditegur. Satu kitaran cantik, untuk satu keindahan hubungan manusia sesama manusia. Aku tidak nafikan, aku menulis untuk menambah pendapatan. Aku juga tidak nafikan, aku menulis untuk mendapatkan perhatian. Semua ini, untuk warkah masa hadapan. Ganjaran untuk menghadapi mati. Itu yang utama. Itu yang perlu aku perbetulkan, dalam niatku dahulu. Sebelum aku perbetulkan minda-minda terpesong umat manusia di sekelilingku.

Andai kata, penulisanku ada terpesong, tercacat cela, terutamanya dari segi informasi, lalu bercanggah dengan konteks asal keislaman dan saintifik, tegurlah aku. Aku sedia menerima, asalkan berhujah. Aku juga manusia biasa, yang mengharapkan redha Ilahi. Aku, Hadi, kau, mereka semua, tiada bezanya. Hanya iman dan takwa yang membezakan kita di alam barzakh kelak.

Andai kata, nama Gongpal Topek ini tergantung sepi tanpa berita, carilah kesudahanku yang sebenar. Andai kata aku ‘hilang’ secara misteri, dan tidak kembali lagi, khabarkan pada angin,

“Wahai angin, sampaikanlah doa kami, kepada Allah Yang Esa. Sampaikanlah doa ini, mendoakan kesejahteraan dia. Agar diletakkan sebaris dengan orang yang beriman”.

Andai kata penulisan ini mati tanpa sebarang berita, tahulah kalian apa yang berlaku. Aku berharap, musafir di tanah sementara ini, bakal mati syahid, dengan cara tersendiri.

Aku doakan yang terbaik untukmu sahabat, ‘Hadi Al-Hafeez’.


Mesej masuk dari aplikasi Whatsapp, tertera nama Hadi.

“Assalamualaikum, Pek. Sudah ada perkhabaran siapa yang meninggal. Perempuan yang pergi mengadap Ilahi, rakan sekolah aku dulu. Innalillah.”

Daripada Dia kita datang, kepada Dia kita kembali. Innalillah.


TAMAT

Nota kaki:

1) ‘Hadi’ berpesan, jika berhajat untuk merawati sihir atau sebagainya, ikhtiarkan dengan bacaan Yassin seperti di bawah.
– Bacakan Yassin seperti biasa, tujuh kali.
– Ada tujuh tempat di dalam Yassin, menyebut perkataan ‘mubin’. Setiap kali tiba perkataan itu, ikhlaskan hati, niatkan hajat. Yakin kepada Allah. Bacaan diteruskan seperti biasa.

2) Link tentang usaha memanjangkan umur:

-http://www.silaturahim.co.id/umur-panjang-karena-sedekah

-https://m.facebook.com/KataDanHikmah/posts/379869805479752

  • Kredit kepada pemilik link website tersebut. Moga-moga bermanfaat kepada semua.

  • Walau bagaimanapun, kesahihan tentang ditangguhkan kematian, masih tidak jelas, tanpa dalil yang terang dan nyata. Berdasarkan pengetahuan penulis, Nabi Isa, Dajjal, iblis, dan Ashabul Kahfi. Wallahuaklam. Penulis menulis tentang ini, tetapi penulis tidak menyarankan pembaca untuk percaya bulat-bulat tentang ini. Juga bebas untuk beranggapan bahawa kisah ini fiksyen, walaupun 90 peratus isi adalah penerimaan temuramah sebenar.

3) Penulis memohon maaf sekiranya ada tersinggung dengan penulisan kali ini, dan sebelum-sebelumnya. Moga kita dapat beramal dengan perkataan ‘Iqra’ yang disarankan dalam Islam, yakni ‘Bacalah!’

4) Hindari perbuatan syirik. Berpegang kepada tali Allah. Moga kita selamat-selamat hendaknya.

47 thoughts on “Kasyaf: Kunci Pertemuan Cahaya”

  1. Satu lg naskah dr Gongpal yg sgt menarik utk dibaca & dihadam intipati2nya. Menunjukkan betapa kerdilnya kita sebagai manusia di sisi-Nya. Bacalah!

    Teruskan berkarya Bro.

    Reply
  2. nasib harini kerja tak brapa bnyk sgt dpt juga menghabiskn story ni alhamdulillah..papepon bnyk ada yg dah tahu and ada yg baru tahu lps baca kisah di ats ni so wallahu’ alam yg pnting kita tak lari dari pegangan itu sahaja 😉

    Reply
  3. Kata-kata dari orang ‘gila’ tu sungguh terkesan di hati, Alhamdulillah. ” Jika semua orang kata,’Dah tertulis di Luh Mahfuz’, buat apa Allah suruh berdoa?!” . Thank you for sharing. semoga kita semua ditetapkan hati pada jalan yang benar.

    Reply
  4. berbelit otak nak hadam satu2 ayat yg di karang.kosa kata berdarjat terlalu tinggi.. tapi mata tak boleh lepas dari terus membaca.. ada masej yg wajib di fahami. karangan perlu di bca sampai noktah terakhir.. atau hati meronta nak tahu kesudahan.. syabas penulis. intipati yg sgt berguna.. menginsafkan dan mengingatkan..

    novel asrama yg dimaksudkan tu.. karya Muhammad fatrim ke atau ada karya lain yg wujud?

    Reply
  5. Dah mcm baca naskah the da vici code la pet coretan ko ni..penuh dengan klu² yg tersembunyi..puas aku mengkajinya..tq pek utk info ni..ada masa leh lepak minam..roger fud..kwn dia ni..respek lu bro..

    Reply
  6. Mungkin kita sebenarnya penah singgah di demensi yang lain tapi kita abaikan dan anggap itu semua adalah mimpi semata-mata. Semoga bermanfaat ilmu yang disampaikan. Terjentik seketika, kebenaran memang susah untuk dihadam.

    Reply
  7. Bukan kali petama baca roh bejalan sampai beperang tu, ni cerita ke 3 sy baca dari penulis tak pasti sama atau tidak. Roh terbang pergi meeting dgn beberapa org, beperang dgn jin sampai pokok2 ada bantu. mcm LOTR punya cerita tu.

    Reply
      • tidak mengapa , saudara ..
        sekadar bertanya .

        apa – apa pun , moga saudara serta sahabat sentiasa dalam lindungan ILAHI ..

        saya nak berkongsi sedikit pengalaman yang pernah dialami oleh saya sekeluarga berkaitan sedekah dan panjang umur ..

        akhir september lepas , kami dalam perjalanan dari johor menuju ke kelantan .. dah menjadi kebiasaan , sebelum pergi mana – mana ( perjalanan yang jauh ) , kami bersedekah terlebih dahulu sebelum bertolak ke destinasi dan begitulah sebaliknya jika kami ingin bertolak pulang .. masih saya ingat hingga ke hari ni waktu itu , kami hampir – hampir kemalangan .. apabila ada sebuah kereta yang dipandu sangat laju dari arah bertentangan memasuki laluan kami , sehingga menyebabkan kami hampir terbabas dan hampir – hampir melanggar pembahagi jalan namun kuasa ALLAH , DIA selamatkan kami , alhamdulillah ALLAH melindungi kami dari kemalangan .. ayah saya sempat mengelak walau keadaan waktu itu agak mencemaskan dan mendebarkan .. walau kejadian ini mungkin dianggap biasa bagi orang lain , namun ianya adalah satu rahmat yang besar buat kami sekeluarga . alhamdulillah wa syukurillah , ALLAH masih panjangkan umur kami ..
        benarlah kata orang , bila kita tolong orang atau mana mana makhluk NYA , ALLAH tolong kita balik dan pertolongan itu lebih dari yang kita jangkakan ..

        wallahua’lam . seandainya ada tersalah kata , mohon betulkan saya .. terima kasih saudara atas perkongsian .

        Reply
        • bukan sekali itu je , adav banyak lagi yang pernah dialami .. tapi panjang sangat nak taip pun ..
          dan ada satu lagi peristiwa yang takkan saya lupa .. perkampungan saya waktu tu dilanda banjir besar .. yang berlaku pada kampung kami .. persekitaran kami waktu itu , semua rumah rumah jiran dibelakang dan kanan rumah dinaiki air , namun berlainan pula bagi rumah kami .. sikit pun air banjir tidak naik . malahan rumah kami juga waktu tu telah dijadikan tempat perlindungan untuk jiran yang rumah dinaiki air .. sekali lagi keajaiban ALLAH yang tidak disangka – sangka .. dan saya dapat tahu , sehari sebelum kejadian , salah seorang ahli keluarga saya , telah bersedekah .. ALLAHU …
          walau sekali kita tolong orang , berbondong – bondong bantuan ALLAH tiba .. wallahua’lam

          Reply
          • Wallahuaklam. Terima kasih kerana berkongsi kisah pengalaman keluarga anda.

            Moga-moga bermanfaat kepada yang lain juga

    • Ayat awal ii tu pun dah buat pembuka cerita yang menarik… teruskan menulis kan cerita ii dekat “fs” ni… penulisan yang sangat lancar dan penkongsian yang mudah difahami …terima kasih 😁。◕‿◕。

      ⭐⭐⭐⭐⭐

      Reply
  8. mana yg baik blh diambil pengajaran….ade serba sedikit saya was2 dlm story ni….tpi tkpe laaa…okaylaa sbb ade pengajaran jgk….thanks share story ni….

    Reply
  9. Allahuakbar! Satu perkongsian yang amat memberi impak yang besar pada diri saya. Sesungguhnya kita manusia cma hamba Allah yang kerdil. Keep on sharing Tuan Topek!

    Reply
  10. Saya doakan saudara dan sahabat saudara sentiasa berada di dalam keadaan sihat mental dan fizikal. Semoga perjuangan kalian boleh diteruskan.

    Reply

Leave a Comment