ADA YANG TUMPANG

Assalamualaikum wbt. Dan Salam Sejahtera semua followers Fiksyen Shasha.
Kali pertama saya cuba berkongsi di sini, terima kasih in advance kepada admin sekiranya diterima untuk dipublish. Mohon izin saya bahasakan diri ‘aku’ ye.

Kisah yang ingin aku kongsi ni terjadi lebih kurang dalam tahun 2013 atau 2014. Aku bekerja dengan salah sebuah agensi kerajaan. Salah satu tuntutan kerja aku adalah program bersama-sama student universiti. Bukan jadi penceramah, cuma sebagai pegawai pengiring kepada penceramah dan ada satu slot aku bersama-sama student di akhir program…

Dipendekkan cerita, pada masa tu program diadakan dengan student sebuah universiti awam di Seri Iskandar, Perak. Biasanya untuk program sebegini hanya seorang pegawai pengiring terlibat. Oleh sebab kali ini jumlah student agak ramai dan perlu dibahagikan kepada dua kumpulan, seorang lagi pegawai diminta ikut serta. Aku namakan member aku Kak Az ye.

Dengan excitednya kami memulakan perjalanan dari KL seawal lepas subuh. Aku drive dengan happynya. Ye la, biasanya drive sorang lebih-lebih pun menyanyi je la. Bila ada kawan berborak, macam-macam la plan dan ceritanya.

Seingat aku masa tu kami baru lepas signboard susur keluar Tapah, dan tpoik kami adalah Kellie’s Castle. Aku bercerita pada Kak Az yang aku tak pernah singgah Kellie’s Castle tu walaupun selalu lalu (aku memang akan ke universiti itu 2 kali setiap tahun untuk program yang sama). Oleh kerana program hanya setengah hari sehingga waktu lunch, kami dengan gembiranya merancang untuk singgah ke Kellie’s Castle seusai habis program pada petang nanti.

Selesai sahaja plan dipersetujui, tiba-tiba terdengar bunyi ketukan di bumbung kereta. Bunyinya tap..tap..tap..secara sekata dan agak kuat. Aku dan Kak Az hanya berpandangan, masing-masing dengar, tapi tak berani berkata apa-apa. Aku masuk ke susur Gopeng dan bunyi tersebut masih mengekori kami dengan rentak dan tempo yang sama.

Oleh kerana aku dah agak selalu ke universiti ini, aku memang tidak memerlukan Waze atau Google Maps, cukup dengan signboard yang ada.

Pensyarah yang menyelaras program menelefon aku untuk bertanya dah sampai di mana. Oleh sebab aku tengah drive, Kak Az yang tolong jawab : depan Kedai Nasi Ayam Kukus XXX. Memang ada satu kedai Nasi Ayam Kukus yang agak besar di situ, dan sepatutnya jarak untuk sampai ke univeristi itu lebih kurang 15 minit dari situ. Aku meneruskan pemanduan, memang dari tadi kami lebih banyak diam sebab bunyi ketukan atas kereta masih mengekori.

Lebih kurang 10 minit, tiba-tiba aku terperasan sesuatu….. “Kak Az, rasanya kita tak pernah sampai kat kawasan ni” kataku. (Aku orang Johor, memang bahasakan diri ‘kita’). Untuk makluman, sepatutnya selepas kedai Nasi Ayam, dalam 5 minit akan adalah Bandar Baru Seri Iskandar yang memang meriah. Tetapi, kawasan kami berada adalah kawasan yang agak berhutan dan sunyi, tapi masih jalan besar yang elok berturap. Sumpah, memang aku tak pernah lalu situ selama ni.

Tanpa melengahkan masa, aku berhenti ke tepi jalan dan terus setkan Google Maps untuk ke universiti itu. Lebih kurang 25 minit untuk sampai. Aku terus memandu selaju-lajunya ikut arahan Google Maps. Segala selekoh dan bonggol jalan semua aku redah. Memang jalan sunyi dan tak ada kereta lain. Kami lalu kawasan berhutan, masuk ladang kelapa sawit dan di penghujungya ada sedikit perumahan.

Masa tu dah lega sangat sebab ada bertembung dengan 1-2 kereta. Sampai di satu simpang 3, Google Maps arahkan kami ke kiri. Aku terhenti sekejap, sebab kiri tu jalan m**i, memang nampak cuma kawasan lapang sahaja dan tak berturap. Aku nekad offkan Google Maps dan ikut kata hati, belok kanan dan teruskan perjalanan. Lagipun, kami dah nampak kawasan rumah dan bandar dari jauh.

Dalam lebih kurang 3 minit daripada simpang tersebut, nampaklah signboard universiti tu di sebelah kanan kami. Ya Allah, leganya..(walaupun masih tertanya-tanya kami dari mana ni, sebab sepatutnya jalan biasa aku lalu, universiti tu ada di sebelah kiri). Yang paling lega, lepas sahaja simpang 3 tadi, bunyi ketukan atas bumbung kereta dah tiada.

Penceramah (datang kereta berasingan) dah memulakan program dan kami teruskan program seperti biasa. Masa makan tengahari, aku berborak dengan pensyarah, cerita yang kami terlambat tadi sebab sesat. Bila cerita lanjut tentang jalan yang kami lalui, ada yang jawab..”ooo, ikut jalan kubur. Kenapa jauh sangat pergi situ. Selalu datang lalu mana?” Tapi aku perasan pensyarah lain yang mendengar borak tu berpandangan sesama sendiri. “Kat situ ada area kubur lama, kubur sejarah.. (ada la dia cerita lanjut yang aku tak ingat, dah 7 tahun kut)”. Aku dan Kak Az sengih je, alhamdulillah kami tak perasan pun area kubur tu. Masing-masing fokus pandang depan sebab panik dan peluh dingin masing-masing masa tu.

Bila program berakhir, kami pun memulakan perjalanan balik. Mula-mula semua ok, siap cakap agaknya ada yang nak tumpang sampai simpang 3 tadi tu. Kami singgah satu stesen Petronas yang agak besar untuk bersolat. Selesai solat, kami terus memulakan perjalanan kembali.

Aku tanya Kak Az “jadi tak singgah Kellie’s Castle?”
“Ok je, awal lagi ni” jawab Kak Az

Aku pun setkan Google Maps, dan mula memandu. Dalam masa kurang dari 3 minit drive, BUNYI KETUKAN KEMBALI!!! Kami berpandangan dan terdiam lagi.
Aku terus memandu, kali ini lebih ekstrim gangguannya. Aku dengar seperti bunyi air berkocak di belakang telinga aku. Kebetulan Kak Az memang sedang menyusukan anak kecil, jadi dia membawa peralatan pam susu dan termos untuk simpanan stok susu bersama.

Aku tanya Kak Az “dalam beg susu akak tu ada botol air ke?” Dia kata tak ada. (Boleh bayangkan tak bunyinya, macam botol air besar diisi separuh penuh dan berkocak sebab kereta beralun ikut alunan jalan tu). Masalahnya bunyi tu betul-betul di belakang telinga aku dan kuat, sedangkan beg pam susu Kak Az diletakkan di bahagian bawah kaki seat belakang aku.

Sampai sahaja di parking Kellie’s Castle, aku terus keluar, tak tutup pintu kereta dan terus buka pintu belakang tempat beg pam susu tu. Konon nak check ada botol air tak. Memang tak ada la kan. Lepas tu spontan aku bukak pintu belakang lagi sebelah dan pintu bonet kereta. Aku tak tahu kenapa aku buat macam tu, cuma fikir apa benda pun yang ada dalam tu, aku bukakan pintu sila keluar.

Yang lawaknya Kak Az yang tulus tu terus tolong tutup satu-satu pintu yang aku buka tadi. Dia kata risau sebab kawasan public kan, dengan beg tangan masing-masing dan laptop dalam kereta (lepas-lepas tu kami ada bersembang, katanya dia ingat aku lupa nak tutup pintu kereta masa tu).

Kami pun meneruskan niat melawat ke Istana Kellie’s tu. Panas berdenting pukul 3 petang kat situ. Tapi seronok la sebab tak pernah masuk sebelum ini. Dalam perjalanan balik kami memang diam dalam debaran. Borak sikit-sikit, alhamdulillah tiada apa-apa bunyi mengiringi. Bila sampai sempadan Perak-Selangor baru aku berani tanya Kak Az “rasanya dah selamat dah kan kak, akak pun tak ada dengar apa-apa lagi kan?” Kak Az mengiakan dan kami pun kembali borborak ceria.

Sampai di hentian rehat Sungai Buloh, aku belok masuk untuk ke toilet. Niatnya, kalau ada apa-apa yang masih mengikut, biarlah sampai sini saja. Aku minta Kak Az pergi toilet juga, kata aku buang apa-apa yang patut. Oleh kerana Kak Az memang betul-betul tulus orangnya, dia jawab dia tak ada apa-apa nak buang. Aku dah garu kepala, last-last aku bagitahu nak rehatkan enjin kereta dan minta dia tunggu di gerai makan hentian. Lepas aku ke toilet, kami duduk minum dan lepak sekejap di gerai itu kira-kira 15 minit sebelum mulakan perjalanan balik.

Alhamdulillah, kami tiba di Gombak dengan selamat, aku hantar Kak Az ke rumahnya dan tiba di rumah sendiri lebih kurang lepas waktu maghrib. Oleh sebab aku ni duduk seorang di rumah, sepanjang malam aku memang tak tutup lampu. Takut ooo..

Tak ada apa-apa rentetan lepas dari gangguan tu, alhamdulillah. Cuma bila duduk bercerita balik dengan Kak Az, dia bagitahu memang tak dengar bunyi kocakan air tu. Sepanjang gangguan tu dia cuma dengar bunyi ketukan atas bumbung je. Patut la dia blurr je bila aku tanya pasal botol air tu. Untungla Kak Az oii, tak dengar bunyi tu.

Sekian cerita aku, terima kasih pada yang sudi membaca. Ada masa aku cuba karang pengalaman lain pula ye.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Ina

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 11 Average: 4.6]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.