ADIK 3

Assalamu’alaikum
Terima kasih kerana membaca kisah adik dan anak buah aku Sha sebelum ini. Kali ini juga bukan pengalaman aku. Bak kata laki aku, aku ni jenis ‘tak nampak setan’. Semoga kekal lah sampai bila-bila. Cukup le setan nampak aku. Entri kali ini aku akan ceritakan pengalaman ahli keluarga aku yang misteri. Ni hasil sesi bercerita malam tadi kat rumah ibu aku, haha.

Kisah 1 – Adik
Aku mula dengan kisah adik aku – pak imam tu. Adik aku mula nampak macam-macam waktu dia masih sekolah rendah lagi. Kali pertama tu waktu di rumah kami. Adik aku ni rapat dengan makcik aku yang duduk di rumah sebelah. Kadang-kadang dia tido kat rumah makcik. Tapi entah kenapa malam tu dia teringat nak balik rumah. Tapi bila sampai rumah aku – yang cuma beberapa meter jaraknya – dia dapati pintu kunci. Hahaha, padan muka. Sapa suruh tak balik rumah awal-awal.

Setelah percubaan membuka pintu tak berjaya, dia berpaling menghadap jalan raya di depan, konon-konon nak fikir apa langkah seterusnya. Tak sempat berfikir, dia nampak satu makhluk besar tinggi, lebih tinggi daripada pokok kelapa berdiri di halaman rumah. Katanya saiz lembaga tu macam Transformers. Adik aku terus menyorok di sebalik tembok rumah. Sesekali dia jengukkan kepala, masih ada lagi jin tu. Waktu tu katanya memang menggigil-gigil. Nak masuk rumah pintu kunci, nak lari ke rumah makcik, takut makhluk tu nampak. Akhirnya bila dia jenguk, tengok dah tak ada, baru dia lari sekuat hati ke rumah makcik.

Ada satu ketika dulu lepas kena sampuk jin, adik aku tinggal di kampung aku di Muar. Di sana memang rumah saudara-mara aku keliling. Satu malam, adik aku bawak motor ke rumah pak Ngah. Rumah pak Ngah ni unik sikit. Kedudukannya jauh ke dalam dusun. Kalau hati kau tak sekeras Roy, memang mintak mahap, takde la nak merayap seorang diri pergi ke rumah dia malam-malam. Adik aku ni dah biasa, jadi dia seorang diri dalam pukul 10 malam pergi ke rumah pak Ngah. Tapi bila dia belok masuk ke jalan kecil menuju rumah pak Ngah, perjalanannya terhenti. Dia tengok ada satu lembaga yang besar tinggi melepasi pokok menghalang laluan. Tinggi dan besar. Di sebelahnya pulak ada satu kain putih terampai-ampai terbang melayang-layang. Boleh buat usahasama pulak dua ekor jin ni.

Adik aku masa tu belum cukup ilmu, masih belasan tahun. Dia pun termangu-mangu apa benda la nak buat ni. Ada road block pulak. Tiba-tiba deruman motor buruk pak Ngah aku kedengaran dan terpacul pak Ngah di laluan yang gelap tu. Lembaga dua ekor tadi terus zup! menghilangkan diri. Lega hati adik aku. Tak tau apa ilmu yang pak Ngah aku guna. Tapi pak Ngah aku ni imam, dan dia orang yang berpuasa sepanjang tahun. Bukan orang biasa-biasa yang boleh tinggal dalam rumah diperbuat daripada buluh di tengah-tengah kebun.

Adik aku pernah nampak pak Ngah aku menebas rumput di celah-celah pokok yang tergantung sarang penyengat dengan penyengat berterbangan. Kalau ikut logik, dah lama kena sengat tu. Tapi adik aku tengok pak Ngah aku sikit pun tak disengat. Dalam hati dia terdetik, “Eh, pak Ngah ni tak kena sengat ke?” Terus pak Ngah berpaling dan tersenyum. Dia keluar dari celah-celah pokok tu sambil berkata, “Kena sengat pulak pak Ngah ni,” seraya menyapu leher. Padahal adik aku kata takde nampak pun kesan sengatan. Dan dia macam tau-tau je apa yang ada dalam fikiran adik aku.

Suatu ketika, adik aku pernah juga jumpa perkampungan jin di rumah pak Ngah aku ni. Dalam bahasa Perancis, perkampungan bunian katanya. Masa dia pergi rumah pak Ngah dalam perjalanan masuk tu, tiba-tiba katanya seperti dia berjalan dalam satu kampung yang sedang buat persiapan kenduri. Adik aku pelik, sebab pakaian mereka macam pakaian Melayu dulu-dulu. Dan takde seorang pun yang adik aku kenal walhal adik aku memang kenal orang kampung. Mulanya adik aku ingat kot la termasuk jalan lain ke, tapi mustahil sebab dah memang itu jalan ke rumah pak Ngah. Adik aku kata riuh bunyi orang tengah kenduri kat situ. Malah bila dia dah sampai rumah pak Ngah pun dia masih boleh dengar bunyi keramaian jin tu. Bila dia bagitau pak Ngah, pak Ngah senyum je.

Kisah 2 – Nenek sakit
Kisah ni terjadi kepada ibu dan adik aku yang nombor 3. Waktu ni nenek aku di Muar sakit. Jadi tiap-tiap malam ibu aku berulang alik dari rumah aku di Merlimau. Bila balik tu dah tengah malam atau dah menginjak ke pagi. Ibu aku kata waktu tu memang sangat banyak dugaan. Mungkin dugaan atau ujian untuk seorang anak yang nak menjaga ibunya. Hampir setiap malam ibu aku berteman dengan adik aku memandu ke rumah nenek. Ayah aku dah meninggal dunia 4 tahun lepas ketika ni.

Waktu tu ibu aku berada di rumah nenek. Dia datang rumah nenek lepas habis kerja, jadi lebih kurang waktu Maghrib baru ada kat sana. Setelah dia selesaikan urusan nenek, dia duduk di depan rumah, atas tangga. Mula-mula tak ada apa berlaku. Tapi tiba-tiba dia dengar bunyi tapak kaki orang berjalan. Dia ingatkan ada adik beradik dia yang nak keluar rumah. Tapi tak ada pulak nampak orang.

Tiba-tiba ibu aku terpandang tanah di depan tangga. Waktu tu ibu aku duduk atas tangga. Tangga rumah dulu kan tinggi-tinggi. Dia masih dengar bunyi tapak kaki, tapi tiba-tiba dia tengok tanah di depan dia tu pun ada kesan tapak kaki seperti orang berjalan. Jelas kelihatan tapak kaki tu satu satu melangkah di atas tanah. Ibu aku pun tak tunggu lagi, terus pecut naik ke atas. Dah macam Invisible Man tengah berjalan. Tapi ibu aku takde la nak tanya apa, buatnya nanti dia jawab pulak sapa dia, naya.

Ada Satu malam tu, ibu memandu pulang, dengan berteman adik aku di sebelah. Setibanya di Parit Derhaka, kawasan Sungai Rambai, ibu aku terkejut melihat seekor anjing nak melintas depan kereta. Anjing itu agak besar dan kelihatan seperti baru nak melangkah melintasi jalan. Tapi yang buat ibu aku seram tu, bila dia brek, anjing tu memalingkan muka tengok ibu aku. Dan jelas mata anjing tu merah menyala-nyala. Pandangannya pulak bukan macam pandangan binatang, tapi memang betul-betul tengok ibu aku seperti manusia. Seketika kemudian anjing tu hilang, dan ibu aku meneruskan perjalanan.

Malam seterusnya, dugaan untuk adik no 3 pulak. Dia masih belum ada lesen memandu ketika tu jadi dia duduk sebelah je lah, jadi co-driver. Ketika tu dia melayan perasaan mengantuk. Sesekali menguap tengok jalan. Lebih kurang di kawasan sama dengan ibu aku nampak anjing tu, tiba-tiba dia ternampak ada seseorang melintas jalan menaiki basikal. Masalahnya, penunggang basikal tu hanya separuh badan je. Sambil kaki mengayuh ni, tapi bahagian pinggang ke atas takde apa-apa. Kosong. Adik aku puas menenyeh mata, tapi penunggang basikal tu buat rileks pisang melintas jalan. Waktu ni ibu aku takde nampak apa-apa. Tapi adik aku terus hilang mengantuk, baca ayat Kursi sampai ke rumah.

Ibu aku kata, ini mungkin dugaan untuk dia dalam nak menjaga ibunya yang sakit. Mungkin dia diuji, nak ke tidak buat kerja ni setiap malam. Berulang-alik sampai waktu nenek aku meninggal dunia. Alhamdulillah ibu aku berjaya mengharunginya walaupun setiap malam ada gangguan.

Kisah 3 – Sha
Ini kisah anak buah aku yang aku berjaya korek sikit. Seperti yang aku cerita, Sha memang biasa nampak makhluk halus sejak kecil. Aku tanya bila kali pertama dia nampak benda-benda ni? Dia kata seingat dia masa dia sekolah rendah, waktu pak Ngah aku meninggal dunia. Rumah pak Ngah aku ni kan dalam dusun. Kami biasanya naik kereta sampai ke laman rumah dia. Tapi pak Ngah aku ni bekas cikgu, jadi bekas anak murid dia memang ramai. Jadi bila sampai ke rumah dia, jalan masuk dah dipenuhi kereta. Abang aku parking kereta kat depan simpang masuk, dan mereka berjalan kaki masuk dalam, lebih kurang 200 meter.

Masa tengah berjalan tu Sha tiba-tiba terpandang sesuatu atas kepala ibu dia. Katanya macam asap atau kabus putih yang terawang-awang. Masalahnya benda tu ikut kakak ipar aku berjalan. Sha mulanya takut dan nak bagitau kakak ipar aku. Tapi dia ubah fikiran, nanti ibu takut katanya. Jadi, dibiarkan asap tadi berlegar-legar atas kepala ibunya sampai la bila dah dekat dengan rumah pak Ngah, ia menghilang.

Sha kata itu bukan kali pertama dia nampak. Cuma yang sebelum-sebelum tu dia tak ingat sebab masih kecil. Dulu aku tinggal dengan abang aku di Bangi. Rumah kami sewa tu rumah lama, yang mana tangganya jenis tangga kayu sekeping sekeping. Kat dinding depan pulak ada lubang angin. Daripada luar boleh nampak tangga tu melalui lubang angin. Adik aku pernah duk melepak kat luar, terpandang rumah sebelah yang dah lama tak berpenghuni. Nampak pulak melalui lubang angin tu orang tengah turun naik tangga. Dia buat tak tau je lah sebab dah biasa. Lagipun benda tu memang duduk situ.

Mengikut cerita ibu Sha, masa Sha kecik-kecik dulu, Sha beberapa kali cakap ada ‘kakak’ duduk kat tangga tu. Kakak ipar aku tak tanya lebih lanjut, takut tersadung kat ‘kakak’ tu pulak. Nasib baik la Sha baru cerita kat aku. Kalau tak agaknya dulu memang tak turun tangga aku malam-malam, haha. ‘Kakak’ pun takde la kacau Sha. Mungkin main-main sesekali je.

Sha ni baru lepas habis SPM. Dia ni tinggal di asrama. Kebetulan adik aku warden di asrama dia. Sesekali Sha melepak rumah warden, menyalah guna kuasa. Ada satu masa tu adik ipar aku terkena beberapa gangguan di rumah. Adik aku selalunya duduk di luar, berurusan dengan budak-budak asrama. Jadi dia jarang berada dalam rumah. Ketika tu adik ipar aku kadang-kadang terdengar suara kanak-kanak kecil. Takkan students sebab students bukannya duduk belakang rumah warden. Lagipun students sekolah menengah, bukannya prasekolah. Ada sekali masa dia solat, waktu sujud tu dia perasan ada benda tengah tengok dia. Dia nampak dari ekor mata waktu sujud macam ada budak jenguk. Tapi adik ipar aku ni pun ustazah, jadi dia buat tak tau dan teruskan solat. Cuma tentulah dia pun rasa seram jugak. Jadi dia ajak Sha tido di rumah dia.

Malam tu Sha teman adik ipar aku di rumah. Dia pun duk baring-baring tengok tv kat ruang tamu. Rumah warden ni kecik je. Jadi di bahagian ruang tamu ni ada dua bilik. Kedua-dua bilik ni tak ditutup pintu, hanya dipasang langsir. Tengah syok-syok tengok tv, Sha rasa dia diperhatikan. Dia lirikkan mata ke arah bilik utama. Nampak ada sepasang mata besar jenguk dia dari sebalik langsir. Bahagian badan lain tak nampak. Hanya mata tu je tak berkelip tengok Sha, macam ada orang duduk belakang langsir dan mengintai dari dalam bilik. Sha tarik nafas dan tengok semula tv. Buat-buat tak tau, kot la ada yang nak tengok tv sekali kan. Ada beberapa siri gangguan lagi lepas tu di rumah adik aku. Tapi akhirnya menghilang.

Masa SPM Sha dan kawan-kawan dia selalu tido di bilik Prep. Bilik Prep ni berada di tingkat bawah sekali. Satu malam tu Sha terjaga dari tido. Dia tengok keliling kawan-kawan tengah syok membuta. Tiba-tiba dia dengar bunyi tapak kaki di luar. Sha pandang ke arah tingkap, dia nampak seperti ada orang sedang berjalan. Di celahan bawah pintu pun ada nampak kaki berjalan. Mak guard kot? Tapi dia pelik sebab bayang-bayang di tingkap tu berjalan dengan perlahan. Takkan Mak guard jalan slow slow macam tu. Beberapa ketika Sha melihat bayangan tu berjalan melintasi tingkap dan akhirnya Sha tido semula.

Esoknya Sha pergi jumpa mak guard, dia tanya ada tak makcik jalan kat bilik Prep. Mak guard kata dia kalau jalan kawasan tu pun untuk pergi clocking. Tapi clocking tu bukan kat bilik Prep, kat belah belakang bangunan. Jadi mak Guard biasanya memang tak berjalan depan bilik tu. Lagipun buat apa dia nak jalan slow slow macam tu. Sha diamkan aje, tak cerita pada kawan-kawan. Nanti kang takde sapa nak join dia study. Dah la masing-masing baik punya last minute study.

Lepas Sha habis SPM hari tu, kami berkumpul di PD untuk family day. Aku sewa satu banglo besar di sana untuk kami menginap selama 3 hari 2 malam. Banglo ni rasanya dibina tahun 80 an dulu. Selalunya kalau tempat yang boleh menyebabkan aku diganggu, aku akan rasa lain macam. Tapi kali ini ok je so lega… tapi aku rasa Sha ni setidak-tidaknya mesti akan nampak sesuatu. Betul pun tekaan aku.

Malam kedua kami di sana, Sha dan anak-anak perempuan aku kena berkumpul depan ibu aku untuk diuji mengaji dan hafazan ayat-ayat Al Quran. Mereka berempat aje yang dah remaja, yang lain-lain tu budak-budak kecik lagi. Sha masa ni lambat turun. Yang lain-lain dah ada di bawah mengadap ratu, Sha masih di bilik air, mandi. Bilik air tu agak besar. Ada tingkap kat bahagian atas. Sedang Sha basuh muka, dia terpandang tingkap di cermin. Tiba-tiba dia nampak ada rambut panjang menjurai masuk melalui tingkap tu dan turun perlahan-lahan ke lantai. Sha terpana seketika dan dia terus sudahkan urusan, ambik tuala dan keluar dari bilik air. Sha terus turun ke bawah dengan wajah takut. Bila dia cerita kat ibu aku, Sha kena tazkirah ebb turun lambat-lambat sedangkan Wan dah lama panggil mengaji. Kena sedebik, hahaha. Agaknya tu time jin nak basuh rambut. Lama sangat Sha guna bilik air, dia nak mintak tolong cucikan rambut sekali.

Masa Sha cerita ni adik aku yang imam tu ada sekali. Adik aku senyum je. Dia kata jin yang Sha nampak tu memang penghuni kawasan tu. Masa dia sampai rumah tu, dia dah bagi warning kat abang kawasan supaya jangan ganggu sesiapa, ini semua ahli keluarga aku, katanya. Dan sebelum kami tidur dia dah pagar rapi kawasan tu. Tapi disebabkan mata ketiga Sha ni dah terbuka, dia akan nampak, sedangkan orang lain takde masalah. Rileks je kami membuta sampai ke pagi. Tapi adik aku kata jangan risau, sebab dimensi kita dan jin ni berbeza. Macam ada cermin lutsinar di tengah-tengah. Walaupun kita nampak, tapi tak boleh disentuh dan tak boleh menyentuh. Cuma, kalau dalam kumpulan yang ramai dan semua dalam kumpulan tu nampak, maknanya jin tu dah berada dalam dimensi kita. Yang tu kita boleh la panik sekejap, haha.

Sha ni makin lama makin banyak nampak macam-macam. Kadang-kadang dia ok, kadang-kadang dia rasa takut. Jadi adik aku ajar macam mana cara nak menghilangkan rasa takut dia. Mungkin boleh juga diguna pakai oleh orang-orang lain yang macam Sha. Adik aku pun dulu sampai resah masa dia baru-baru boleh nampak pelbagai jin di keliling, hinggalah dia belajar macam mana nak tutup suis mata dia tu.

Pertama kita kena ingat, dalam Al-Quran Allah menyebut “Innallaha ‘ala kulli syaiin qadir” – Sesungguhnya Allah maha berkuasa atas segala sesuatu. Itu ayat yang kita kena yakinkan dalam diri kita bahawa tiada ada satu makhluk di dunia ini yang berkuasa melainkan Allah s.w.t. Insya Allah, kita akan rasa tenang dan kurang rasa takut.

Kemudian, adik aku kata, selepas setiap kali solat, baca Ayat Kursi, boleh baca sekali, atau lebih baik 7 kali. Masa baca tu kita bayangkan kita selimut diri kita dengan cahaya yang dengan izin Allah melindungi kita. Niat dan mohon kepada Allah s.w.t, “Ya Allah, lindungi aku daripada segala kejahatan oleh segala makhluk – jin, syaitan dan manusia”. Yakin bahawa Allah akan lindungi kita. Tak ada satu makhluk dalam dunia yang boleh apa apakan kita tanpa izin Allah s.w.t.

Menurut adik aku, Sha mungkin susah sikit nak tutup mata ketiga dia sebab dia masih belum boleh kawal lagi, tapi dia boleh hilangkan rasa takut dan bimbang. Ingat semua ini adalah makhluk Allah. Mereka pun ada tempat di muka bumi Allah ini sebagaimana kita manusia. Cuma hanya manusia tertentu saja yang boleh nampak mereka. Jadi, adik aku dan Sha tergolong dalam golongan ni. Nanti bila-bila pakcik ajar macam mana switch off mata ketiga ni katanya. Nak ajar switch off boleh, tapi jangan mintak ajar macam mana nak switch on. Nanti kalau kau tak tido malam asyik ada je yang datang nak berkenalan, jangan nanges.

Semalam habis bercerita pun dah dekat pukul 1. Jadi aku pun berdebar-debar la balik ke rumah kot ada anjing separuh badan ke melintas jalan. Alhamdulillah tak ada apa-apa. Setakat ni suis makngah masih off, haha. Insya Allah, kalau ada sesi misteri nusantara yang seterusnya, aku cerita lagi. Terima kasih kerana membaca. Assalamu’alaikum

Nana

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 2]

2 thoughts on “ADIK 3”

  1. Jap nak tanya. Muar kat area mana? sebab kampung atok aku kat lenga. atok aku ada cerita jugak pasal bunian ni sebab ada sorang orang kampung ni kahwin dengan bunian. Lagi satu kampung aku ni dekat dengan perkampungan bunian, nama tempat tu bukit raja. tapi tak sure sekarang ada lagi ke tak buniannya.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.