ADIK DISIHIR SETERU

“Anak Haji ni disihir orang ni, tapi bukan seorang yang melakukannya dan bukan satu jenis sihir sahaja yang dihantar.”

Aku lihat air mata Abah mengalir mendengar penjelasan Pawang Kahar. Memang dari awal ketika Abah menelefon aku memberitahu yang Hairi, adik bongsu aku jatuh sakit muntah muntah d***h, aku sudah mengagak dia kena buatan orang. Abah telah membawa Hairi ke klinik kesihatan, namun Doktor Azhar sendiri yang mengesyorkan supaya Hairi dirawat ‘cara kampung’. Aku mencadangkan untuk memanggil Pawang Kahar, bomoh di kampung seberang untuk mengubati Hairi.

Bergegas aku balik ke kampung dengan bas pada petang itu kerana isteri aku harus menggunakan kereta untuk bekerja. Isteri aku tidak dapat mengikut aku balik ke kampung kerana beberapa minggu sebelum itu dia telah mengambil cuti untuk balik ke kampung. Semasa di kampung juga isteri aku mengadu yang dia tercium bau busuk di dapur rumah Abah. Bila dicari cari dari mana datangnya bau itu, tidaklah isteri aku menjumpai apa apa. Tong sampah juga bersih kerana sampah telah dibuang. Tapi bau busuk yang diciumnya itu tetap ada. Yang peliknya hanya isteriku sahaja yang dapat menghidu bau busuk itu.

Maria, isteri Hairi bercerita kepada isteri aku yang mereka seolah olah tidak boleh bertentang mata, mesti bergaduh. Mereka hanya berpura pura tidak bermasalah di hadapan Abah. Isteri aku menceritakan kisah mereka kepada aku. Hairan, tidak ada angin ribut tiba sahaja bergolak. Jadi aku syak pasti ada gangguan. Kalau tidak kepada Hairi, pasti ada pada Maria.

“Pawang pasti bukan saka?” aku bertanya kerana teringatkan Mak Long Senah, sepupu Abah yang rumahnya di hujung kampung jatuh sakit kerana dikatakan diganggu saka keturunan yang sudah lama ditinggalkan tapi sekarang muncul dan mula mencari waris.

“Kalau saka tok nenek kau yang cuba dekat dengan Senah tu memilih Hairi, teruk dikerjakan orang orang yang cuba ‘buat’ adik kau ni.” jawab Pawang Kahar sambil mengeluarkan keris yang dibawanya.

Hairi hanya terbaring lemah di hadapan kami. Maria dan anak tunggal mereka Raikal pula telah aku minta supaya ke rumah keluarganya di Kupang, Kedah. Takut takut dia lemah semangat. Malam itu hanya aku, Abah, dan Pak Tam, adik arwah Mama sahaja yang akan menyaksikan rawatan Pawang Kahar kepada Hairi di rumah. Pak Tam ni sebaya dengan aku, dan dia juga tahu untuk merawat orang yang terkena sihir. Rawatan itu kami lakukan di ruang tamu luar rumah.

“Hairi ni dia dibuat 2 jenis sihir. Satu pemisah, dan satu lagi ada barang yang ditanam dalam kawasan rumah ni untuk buat dia sakit…Tapi sakit yang ditanggungnya ni amatlah sakit.” terang Pawang Kahar, matanya dipejamkan. Dia memulakan dengan membaca Surah Fatihah lalu menghunus kerisnya kearah Hairi beberapa kali seterusnya menyarungkan kembali keris itu dengan sarungnya.

Pawang Kahar meminta Abah dan Pak Tam untuk membacakan Surah Yasin dengan kaedah “Yasin 7 Mubin”. Sementara aku diminta untuk membacakan surah An Nas, Al Falaq dan Al Ikhlas berulang kali.

“Ingat, apa pun yang berlaku…Jangan kalian berhenti membaca bacaan kalian tu.” pesan Pawang Kahar mengingatkan kami sebelum memulakan rawatan. Dia akan memulakan dengan menyingkirkan sihir pemisah dari Hairi terlebih dahulu.

“Sihir ini berat kepada Hairi, isteri dia hanya menerima kesan sahaja.” kata Pawang Kahar lalu membuka ikatan kain semutar dari kepalanya dan melibas ke badan Hairi. Hairi yang tadinya terbaring lemah dengan sendirinya bangkit dan duduk bersila. Matanya terbeliak kemerah merahan memandang Pawang Kahar.

“Kenapa Pawang kacau kerja kami?” suara Hairi garau ketika bertanya kepada Pawang Kahar. Ini bukan adik aku ni, fikir aku di dalam hati. Pak Tam mencuit peha aku dan mengelipkan matanya berkali kali. Aku paham maksud Pak Tam, dia menyuruh aku memejamkan mata.

Aku memejamkan mata namun tidak memutuskan bacaan surah yang sedang aku baca. Aku mendapat bayangan seorang lelaki botak berpakaian seperti sami sedang memegang sekeping gambar dan diperasapkan di atas bara kemenyan didalam bilik gelap yang hanya disinari dengan cahaya dari lilin yang banyak serta perca perca kain yang berselerakan dan ada banyak gambar gambar bergantungan di dalam bilik itu.

Sedang mulutnya terkumat kamit membaca mantra, muncul Pawang Kahar dan terus menamparnya dengan kuat. Terpelanting kebelakang lelaki botak itu. Pawang Kahar seperti mengamuk dengan menyepak bekas kemenyan dengan kakinya, dia juga merampas gambar dari tangan lelaki botak. Lelaki botak kelihatan takut dengan Pawang Kahar.

Pawang Kahar menghentak kakinya lalu muncul percikan percikan api yang membakar kain yang berselerakan didalam bilik itu. Api kian marak dan lelaki botak itu melutut di hadapan Pawang Kahar. Aku lihat Pak Tam juga disitu, Pak Tam tersenyum memandangku dan menganggukkan kepalanya. Aku kembali membuka mata, namun aku lihat Pak Tam dan Abah masih lagi membaca surah Yasin.

“Berani kau nak mengusik budak ni ya?” tanya Pawang Kahar, kain semutarnya dilibas lagi ke badan Hairi. Hairi meraung kesakitan. Aku jadi marah melihat adik aku terseksa menanggung kesan sihir itu, namun cepat cepat aku beristighfar didalam hati.

Pawang Kahar menepuk lantai lalu ada sesuatu jatuh melayang ke lantai, ianya sekeping gambar. Gambar yang dirampasnya tadi dari lelaki botak dalam bayangan yang aku lihat tadi. Aku perhatikan gambar itu, ya itu gambar Hairi dan Maria sewaktu persandingan mereka yang telah diconteng dengan rajah rajah dan tulisan yang aku tak paham. Barangkali tulisan siam.

“Tolong…Jangan bakar tempat aku…” rayu Hairidengan suara garau, aku pasti itu suara lelaki botak tadi yang telah diupah seseorang untuk menyihirnya.

“Siapa yang menyuruh kau menyihir budak ini?” bentak Pawang Kahar sambil melibas lagi kain semutarnya. Dengan cepat Abah memegang Pawang Kahar dan menggelengkan kepala. Aku tahu yang Abah tidak mahu tahu siapa pengirim sihir pemisah itu. Takut nanti kami berdendam dan mahu membalas perbuatan itu.

“Nasib dia baik sebab ayah budak ini tak mahu tahu siapa dia. Tapi aku nak kau sendiri bagitahu kepada yang mengupah kau ini yang mereka ini sudah tahu siapa dia!” kata Pawang Kahar.

“Baik lah….Baik lah….Tolong jangan bakar tempat aku, aku merayu…” rayu lelaki botak yang berada dalam tubuh Hairi. Pawang Kahar membacakan ayat kursi dengan diulang ayat terakhir ”wala yaudu hifzuhuma wahual aliyyul azim” sebanyak 3 kali dengan kuat dan melibas kain semutarnya ke kepala Hairi. Hairi kembali rebah, sempat aku merangkul tubuh adikku itu dari jatuh. Kebetulan pula dalam pada masa yang sama, Abah dan Pak Tam telah pun menghabiskan bacaan Surah Yasin mereka.

“Sihir pemisah telah aku patahkan, sekarang tinggal sihir yang itu sahaja.” kata Pawang Kahar sambil membetulkan duduknya. Gambar yang jatuh dilantai tadi diambilnya. Selepas mencucuh rokok daun, Pawang Kahar membakar gambar persandingan Hairi dan Maria yang disihir itu.

“Nak aku teruskan atau sambung esok Haji?” tanya Pawang Kahar kepada Abah yang. Abah meminta supaya ditamatkan penderitaan Hairi malam itu juga. Pawang Kahar meminta aku dan Pak Tam untuk membantu memegang Hairi dalam posisi duduk. Kami berdua duduk di kiri dan kanan Hairi. Pawang Kahar kemudian meletakkan satu baldi dihadapan .

“Bisa sihir akan keluar melalui muntah dia nanti.” terang Pawang Kahar.

“Aku nak minta bantuan Haji untuk baca Surah Yasin lagi boleh Haji?” tanya Pawang Kahar kepada Abah, Abah setuju dengan permintaan pawang itu.

“Kau orang berdua bolehlah aku harapkan membantu mana yang boleh.” katanya lagi kepada aku dan Pak Tam, kami mengangguk serentak. Sempat Pak Tam membisikkan kepadaku, jika nak melihat lagi aku perlu memejamkan mataku.

Pawang Kahar memulakan rawatan kedua keatas Hairi malam itu dengan membaca Surah Fatihah sekali dan Surah An Nas 3 kali, dia memejamkan matanya lalu diletakkan tapak tangannya di atas kepala Hairi.

Dengan tiba tiba, aku merasakan badan Hairi menjadi panas. Pak Tam membacakan Ayat Kursi lalu dihembusnya ke telinga Hairi, aku yakin dia juga dapat merasai kepanasan pada tubuh Hairi. Tubuh Hairi mula bergerak gerak, dia bangun dari keadaan duduk dan mula mencangkung. Kami menekan bahunya ke bawah, risau dia melompat.

Muka Hairi kemerah merahan, matanya terbeliak, dan menanyangkan giginya. Dia kelihatan amat marah dengan Pawang Kahar yang sedang memegang kepalanya. Aku memejamkan mataku setelah melihat Pak Tam memejamkan matanya. Aku mendapat bayangan makhluk berbulu hitam yang besar dengan wajah yang mengerikan seakan b**i berdiri di hadapan kami.

Makhluk itu cuba mencakar cakar Pawang Kahar namun berjaya dielaknya. Aku juga dapat melihat ada rantai yang diikat pada makhluk itu dan rantai itu dipegang oleh dua bayangan tidak jauh dari kami. Aku kurang cam dan tidak pasti siapa dua bayangan itu.

Tiba tiba aku melihat Pak Tam menetak rantai itu sehingga putus dengan sebilah pedang lalu dua bayangan tadi hilang. Makhluk hitam berbulu itu pula mula bertindak lebih agresif dengan melompat ke kiri dan kanan Pawang Kahar.

Pawang Kahar tidak menunggu lama, dia terus menerkam dan mencekak leher makhluk hitam itu. Makhluk itu menjerit dengan suara yang keras. Terus Pawang Kahar menikam dengan kerisnya di bahagian dada makhluk itu, makhluk itu menjerit dengan suara yang lebih keras. Dilepas cengkamannya, makhluk hitam itu berguling guling beberapa kali menahan sakit akibat bisa dari keris Pawang Kahar. Pawang Kahar meludah kepada makhluk itu, lalu makhluk itu bertukar menjadi seperti asap dan menghilang. Aku kembali membuka mata.

“Syaitan itulah dihantar untuk membuat Hairi sakit.” terang Pawang Kahar. Dia menepuk nepuk belakang Hairi, dan Hairi terus muntah kedalam baldi. Muntahnya bercampur ketulan d***h dan ada segumpal rambut yang aku perasan di dalam baldi itu. Abah memberi Hairi minum air mineral yang telah dia sediakan lebih awal.

Pawang Kahar kemudiannya mengajak aku ke belakang rumah di kawasan dapur. Di belakang kawasan itu adalah kebun Abah. Pawang Kahar menuju ke sebatang pokok rambai yang rendang. Ada bau yang amat busuk menusuk hidungku. Mungkin inilah bau yang isteri aku hidu pada minggu lepas.

Dia menikam kerisnya ke tanah berdekatan akar pokok itu. Apabila Pawang Kahar menarik kembali kerisnya, ada satu bungkusan kain hitam melekat pada hujung mata keris.

“Kau k***t daun pisang tu untuk alas barang haram ni” arah Pawang Kahar. Aku tidak menunggu lama terus mengambil sehelai pelepah pisang pada pokok pisang tidak jauh dari pokok rambai itu. Bungkusan hitam itu diletakkan diatas pelepah pisang.

“Mari, ada lagi satu tempat barang tu ditanam.” kata Pawang Kahar. Kami menuju pula ke arah hadapan rumah. Satu lagi bungkusan kain di korek dari dalam pasu bunga berdekatan pagar rumah. Bungkusan yang kedua lebih besar dari bungkusan yang ditanam bawah pokok rambai tadi.

Kedua dua bungkusan kain itu diletakkan diatas pelepah pisang dan di bawa ke ruang tamu di luar rumah. Hairi, Pak Tam dan Abah sedang duduk dikerusi. Hairi sudah sedar dan boleh duduk walaupun nampak dia keletihan.

“Barang apa tu Pawang?” tanya Abah kehairanan.

Pawang Kahar membuka bungkusan yang kecil dahulu, mulutnya terkumat kamit membaca doa. Kami melihat ada satu botol kecil lutsinar yang dalamnya ada seketul tulang. Bahagian penutupnya dililit kain merah.

“Ini tulang b**i yang sudah dicalit minyak mayat. Ini untuk buat si Hairi ni sakit.” terang Pawang Kahar, dia membungkus kembali bungkusan itu lalu membuka pula bungkusan kedua. Terkejut aku melihat objek seakan kepala manusia.

“Kepala kera, kasihan makhluk Allah ni kena seksa sampai macam ni.”

“Menurut firasat aku, orang ni tanam kepala kera ni dahulu. Tapi kau ada buat sesuatu yang mematahkan sihir ni. Mungkin dia ingat kau mencabar dia. Ditanam pula tulang b**i. ” kata Pawang Kahar kepada Hairi. Hairi mengaku bahawa sebelum ini dia terasa ada gangguan, lantas dia menggunakan sabun kemuning hitam yang dibelinya di internet keluaran satu persatuan perubatan islam di utara tanah air dan berhasil melawan gangguan itu.

“Betul lah tu, dia ingat kau mencabar dia. Sebab tu dia tambah lagi dengan tulang b**i yang bersalut minyak mayat tu.” kata Pawang Kahar lagi.

Setelah semuanya selesai, Pak Tam menghantar Pawang Kahar pulang ke rumahnya di kampung seberang. Sempat Pak Tam menasihati Hairi supaya berhati hati dalam kerjayanya, maklumlah bekerja dengan orang politik. Ada sahaja orang yang berhasad dengki tidak kira dari pihak lawan mahupun rakan daripada parti yang sama. Semuanya boleh dikira seteru politik. Hairi menganggukkan kepalanya tanda paham.

Abah mengucapkan syukur kerana semuanya telah selesai. Aku pun pulang pada keesokan harinya ke Kuala Lumpur dengan mengambil tiket bas pagi. Tak berapa lama selepas itu aku dapat tahu daripada Hairi yang dua orang staff di pejabatnya telah berhenti kerja serta merta tanpa sebarang notis. Fahamlah aku siapa yang telah mengenakan sihir tuju kepada Hairi, cuma yang menghantar sihir pemisah itu kekal menjadi misteri sehingga ke hari ini.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

A.R Qaseh

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 26 Average: 5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.