Aisyah

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kepada admin FS sekiranya cerita saya disiarkan. Bagi lebih santai jadi aku bahasakan diri sebagai aku. Maaf andai kisah ini tidak seseram yang kalian harapkan, tapi ia mungkin akan dijadikan pengajaran bersama kerana kisah ini adalah benar dan mungkin akan ada yang akan menyalahkan kami kenapa tidak membela Aisyah.

Kami dah lakukan yang terbaik, tapi ayah sendiri pun seperti tidak mempunyai rasa di hati.

Baiklah, aku mulakan dengan jalan cerita tentang dia (Aisyah) dahulu, kemudian baru kisah mistik.

Cerita yang hendak aku sampaikan berlaku ketika aku dan keluarga menyewa di suatu perkampungan di Klang, Selangor. Aisyah merupakan anak kepada jiran aku dan seingat aku, Aisyah sebaya usia aku (tapi kami berlainan sekolah). Untuk penerangan, rumah sewa kami merupakan sebaris rumah panjang yang mempunyai 15 pintu rumah. Tapi yang tinggal menyewa hanya tiga buah rumah sahaja yang diduduki (termasuk rumah aku dan Aisyah). Jarak antara rumah aku dan aisyah terpisah oleh tiga buah rumah. Depan, belakang dan hujung belah kanan rumah kami adalah hutan. Rumah si Aisyah ni nombor tiga dari kawasan hutan belah kanan tu. Eh, tiba-tiba aku baru perasan banyak pulak nombor tiganya (haha).

Ketika itu aku berusia dalam tujuh tahun. Aisyah tinggal bersama ayah dan ibu tirinya. Aisyah sering didera oleh ibu tirinya ketika ayahnya tiada di rumah. Aku dan mak aku tempat dia mengadu nasib. Korang tahu tak jenis tingkap rumah dulu-dulu yang besi bertingkat-tingkat (nako) tu? Dia boleh loloskan badan dia untuk masuk dalam rumah masa balik dari sekolah sebab terlampau takut dengan ibu tiri dia (ibu tiri dan ayahnya bekerja) akibat tertinggal kunci rumah.

Mak aku pernah juga pujuk dia supaya duduk rumah kami sampai ayahnya balik, tapi dia tak nak sebab takut. Sampaikan makan dekat rumah kami pun dia suruh mak aku rahsiakan. Ibu tiri dia tak bagi dia bercampur atau bermain dengan orang; cuma boleh duduk dalam rumah sahaja. Pernah kepala dia diketuk dengan sudip sebab tak masak (berlekuk kepala). Memang betullah orang cakap, mak tiri selalu jahat (tapi bukan semua).

Baiklah, aku pendekkan cerita, bermulalah kisah mistik di mana Aisyah hilang. Ayah aku dulu ada sebuah lori tiga tan. Pada suatu senja ketika ayah aku tengah sibuk bersihkan lorinya, dia nampak Aisyah balik dari mengaji. Tapi ayah aku perasan terdapat sesuatu yang pelik dekat Aisyah; Aisyah berjalan menyusun tapak (bukan melangkah jalan seperti biasa, tapi melangkah tiada jarak, kaki rapat ketika berjalan). Ayah aku tak adalah cakap apa-apa. Dia sambung buat kerja. Tak lama selepas tu azan berkumandang masuk waktu maghrib dan ayah aku fikir si Aisyah dah masuk rumahnya. Tapi pada pukul lapan malam, kecoh dikatakan Aisyah tak balik lagi. Ayah aku pun ceritalah apa yang ayah aku nampak. Maka malam tu bermulalah operasi mencari Aisyah secara besar-besaran bersama ustaz.

Merata diorang mencari Aisyah dalam hutan, tak jumpa. Waktu pun hampir ke subuh dan last sekali ikhtiar diorang adalah: azan.

Lepas azan tu, korang tahu Aisyah keluar dari mana? Dari celah-celahan pokok pisang bersama sebatang batang ubi yang dililit hujungnya daun pisang. Ada pula yang turut serta mencari ketika itu memaklumkan yang dia dah banyak kali lalu situ, tapi tak nampak pun Aisyah.

Setelah keadaan reda, Aisyah cerita yang dia pergi bermain dan ada yang memberinya makan (apa dan siapa yang memberi makan, itu hanya Allah yang tahu). Yalah, mungkin ada makhluk Allah yang lain bersimpati atas nasib si Aisyah ini. Itu sebab diorang ambil. Itu pun nasibbaik dipulangkannya Aisyah. Tapi ibu tirinya masih tidak serik. Mungkin sudah hilang kasih sebagai ibu.

Tak lama lepas tu Aisyah dikatakan dihantar pulang ke kampung.

Maaf andai cerita aku membosankan dan tidak seram. Ia sekadar untuk berkongsi pengalaman dan pengajaran bersama. Sekian, terima kasih dan assalamualaikum.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

feyffa

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 7 Average: 3.4]

32 thoughts on “Aisyah”

  1. Tak seram,.. Tapi sedih. Kesian Aisyah. Semoga mak tiri dia dapat balasan setimpal. Jadi manusia pn jahat. Rasa nak tumbuk jek. Grrrrrr

    Reply
  2. kesiannya asihah.. ape jd ngn nasib dia kat kg.

    eiii geram ak ngn apaknya… takkan x hidu ape2 ngn sikap bini yg aniaya Aisyah?

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.