Akibat Eksplorasi Hutan

Kisah pada kali ini adalah pengalamanku sendiri bersama 3 orang sahabatku yang bernama Apek, Zuhri dan Rafiq pada suatu malam ketika kami berkhemah di sebuah kawasan air terjun di utara tanah air. Kawasan perkhemahan kami itu boleh dikatakan agak terkenal dan selalunya akan penuh apabila tiba musim cuti sekolah. Pada hari pertama kami berkhemah di situ, segala yang kami rancangkan pada awalnya berjalan dengan lancar termasuk aktiviti mandi air terjun, bbq dan juga memancing. Namun segala kebosanan mula dirasai apabila malam menjelma tatkala kami semua kehabisan idea bagi mengisi aktiviti pada malam tersebut. Jadi bagi menghilangkan bosan Zuhri mencadangkan pada kami untuk melakukan aktiviti eksplorasi hutan di sekitar kawasan perkhemahan kami tersebut.

Aktiviti eksplorasi hutan kami pon dimulakan dengan eksplorasi kami di kawasan air terjun tersebut yang dikelilingi oleh hutan dan dusun buah-buahan milik penduduk kampung di kawasan tersebut. Pada malam itu, kami mulakan perjalanan ketika jam hampir menginjak waktu 12 malam dan kami mula dengan menyelusuri kawasan denai hutan yang menghala ke kawasan dusun. Perjalanan kami diketuai oleh Zuhri yang paling tinggi dan tegap diekori oleh aku, Apek dan diakhiri oleh Rafiq di dalam satu barisan kerana denai yang dilalui adalah kecil dan kami tidak mahu terkeluar daripada kawasan denai kerana dikhuatiri akan bertembung dengan ular atau makhluk hutan yang berbisa.

Sepanjang perjalanan kami pada malam itu, suasana yang dirasai adalah amat sunyi dan sejuk. Ketika perjalanan itu dapat kami lihat di kawasan kiri dan kanan kami tersergam pepohon hutan dan juga pohon buah-buahan yang menjulang tinggi dengan bunyian geseran dedaun yang ditiup angin menambah lagi rasa seram di dalam diri kami berempat. Setelah hampir 30minit berjalan kami kemudiannya tiba di kawasan kaki bukit yang berbatuan dan landai. Kami mengambil keputusan untuk berehat di kawasan itu dan mula membahagikan tugas untuk menyalakan api. Kami berpecah kepada 2 kumpulan setelah Zuhri dan Apek bertugas untuk mengumpul kayu api manakala aku dan Rafiq akan mencari tapak yang sesuai sebagai based-camp sementara.

Ketika aku dan Rafiq meninjau kawasan sekitar, kami dapat menghidu sebuah bauan yang amat wangi persis bauan bunga hutan dan kami pun berusaha untuk mencari punca bau itu kerana seperti semua sedia maklum bunga-bunga hutan seperti bunga seri pagi dan dahlia hutan mempunyai harga yang tinggi jika dijual pada nurseri ataupun peminatnya yang tersendiri. Tetapi semua itu hanya sia-sia kerana tiada walau sebatang pokok yang berbunga disitu. Hal ini menimbulkan kehairanan kerana bau wangi tersebut terlalu kuat dan masih boleh dihidu dan perkara ini mula mendatangkan perasaan seram dalam diriku kerana bau wangi secara tiba-tiba selalunya menandakan kehadiran makhluk halus.

Belum lama perasaan seram itu hadir, tiba-tiba terdengar suara Zuhri dan Apek memanggil kami di kaki bukit yang kami berhenti tadi. Kami pun melupakan hasrat kami dan terus bergegas ke kaki bukit dan kami melihat mereka berdua bersama dengan 2 biji buah durian yang sebesar bola ragbi di tangan masing-masing. Mereka menjumpai buah tersebut ketika dalam usaha mengumpul kayu api dan bukan itu sahaja, menurut mereka lagi terdapat juga sebuah pondok kira-kira 50meter dari kawasan kami sekarang yang berkemungkinan sebuah pondok menunggu yang dimiliki oleh tuan punya dusun di kawasan ini. Kami pun mengambil keputusan untuk ke pondok tersebut kerana kami dapat berehat dengan lebih selesa dan tidak perlu bersusah payah untuk memasang ungun api lagi. Setibanya kami di sebuah kawasan berpohon rendang, secara tidak semena-mena bulu roma di tengkuk aku terasa meremang. Ada sesuatu yang membuatkan aku berasa seram sejuk. Dengan tiba-tiba Zuhri menjerit terkejut apabila dia terlihat satu lembaga melintas sepantas kilat di hadapan kami berempat menuju ke kawasan pohon yang rendang di kawasan itu.

Belum sempat Zuhri bersuara untuk kami berhenti tiba-tiba suluhan lampu Rafiq yang menghala di bahagian kanopi pohon disitu terlihat dengan jelas oleh kami ada sesuatu di atas pokok. Makhluk yang sukar untuk kami lupakan itu dengan rupa yang sungguh mengerikan, kelihatan seperti sedang menjamah sesuatu dengan rakus hingga mengeluarkan bunyi yang cukup mengerikan. Kelihatan seperti sebuah ketulan daging dirobek dengan giginya yang panjang dan runcing ditambah pula mulutnya yang berlumuran d***h. Makhluk itu mencangkung diatas dahan dengan rambutnya panjang dan mengerbang sehingga menjadikan kepalanya yang lonjong itu kelihatan besar. Kulit wajahnya yang menggerutu berwarna hitam kemerahan dan terdapat lubang-lubang yang mengeluarkan lendir kekuningan pekat yang menitik hingga ke dagu menambah rasa takut dan mual bagi sesiapa yang memandang.

Tiba-tiba sahaja makhluk itu berhenti menjamah. Dia menunduk dan memandang ke bawah di mana kami berempat masih terkaku dalam keadaan cemas. Makhluk itu kemudiannya memandang kami dengan tajam dan terus menjerit dengan satu jeritan yang cukup nyaring dan bergema di kawasan itu. Pergerakkannya seolah-olah ia sedang cuba hendak turun daripada pokok yang tegak meninggi itu menyebabkan kami berlari sekuat hati kearah pondok yang sudah tidak jauh dari kawasan itu. Kami terus meredah segala pohon renek, belukar dan setiap akar yang berselirat walaupun tersungkur dan luka, tidak kami hiraukan dan teruskan kerana makhluk tersebut semakin menghampiri kami. Walaupun kami terlebih dahulu melarikan diri namun makhluk itu yang melayang dari pohon ke pohon yang lain digunakan sebagai kelebihan untuk mendekatkan jarak.

Semakin dekat dengan kami, dapat kami dengar dengan jelas bunyi nafasnya yang yang kuat seperti haiwan buas yang mengejar mangsanya. Walaupun hati masih gusar dan ketakutan kerana masih dikejar kami pun meneruskan larian dan akhirnya pondok tersebut mula dapat dilihat dengan jelas oleh kami kerana di kawasan laman pondok tersebut dipasang pelita yang menerangi persekitaran pondok tersebut. Sebaik saja kami memasuki kawasan terang yang dikelilingi cahaya pelita, bunyi nafas makhluk tersebut terus hilang dan keadaan kembali tenang apabila makhluk itu tidak kelihatan lagi oleh kami. Kami kemudiannya menarik nafas lega, masing-masing kemudianya terbaring di lantai hutan bagi melepaskan penat dan tidak semena-mena kami berempat terdengar sayup-sayup suara meminta tolong dan akhirnya kami terlihat susuk seorang lelaki berumuran dalam 60-an sedang tertiarap di penjuru pondok berhampiran pintu.

Kami menghampiri ke arah lelaki yang masih tertiarap itu. Sekali sekala terdengar dengusan yang kasar dari suaranya. “Boleh kami bantu pakcik?” Tegur aku. Mereka yang lain hanya memerhatikan pada mulanya dan mula membantu apabila melihat aku cuba mengangkat pakcik itu. Lelaki tua itu mengangkat muka. Memandang kami berempat bersilih berganti. “Tolong pakcik nakk….? pakcik tak boleh nak berjalan lepas terjatuh tadi. Tolong pimpinkan pakcik?” Pinta lelaki tua itu dengan suara menggeletar. Tubuhnya turut menggigil dan kelihatan terlalu lemah walaupun agak tegap. Seolah-olah sudah tidak makan beberapa hari, kulitnya yang berkedut-kedut menyeliputi tubuh itu dalam keadaan yang bersih walaupun pakaiannya kotor dan dibasahi peluh. Rambutnya yang beruban itu ditutup dengan topi kebun. “Pakcik nak ke mana?” Tanya Zuhri. Terketar-ketar tangan dan kaki lelaki tua itu ketika dia cuba hendak berdiri. “Pakcik nak ke depan sana saja. Ada motor pakcik letak di belakang tu. Tolong ya, nak?” lelaki tua itu menjuihkan bibir menunjuk ke arah belakang pondok.

Lelaki tua itu kemudian, tersengih memandang kami. Wajahnya sedikit menyeringai dengan menampakkan barisan giginya yang tadi berwarna putih kini bertukar menjadi tajam berwarna kehitaman dan mengeluarkan bau yang teramat busuk. Serentak dengan itu, Apek dan aku yang sedang memimpin tangannya agak terkejut kerana tiba-tiba sahaja tangan itu sejuknya seperti ais batu dan kulitna mula menjadi keras dan mengerutu. Dalam sekelip mata kami semua dikejutkan dengan kejadian mengerikan apabila lelaki itu berubah watak. Dia mula meraung dan ketawa tanpa henti. Rambutnya yang tadi kemas rapi kini mengerbang ditiup angin yang kencang. Kedua-dua belah kakinya tidak jejak ke tanah lagi. Matanya turut bertukar warna. Merah menyala seperti biji saga dan tangannya memanjang sehinga menyentuh tanah dihiasi dengan kuku yang runcing bagai mata pisau. “Astaghfirullahalazim….!!!” Serentak ucapan itu keluar daripada mulut kami berempat setelah melihat lelaki tua itu berubah menjadi makhluk yang mengejar kami sebentar tadi, kami berempat terus berlari ke arah belakang pondok sebelum kembali meredah hutan.

Dalam kekalutan itu, kami yang sedang ketakutan dan panik ketika melarikan diri daripada pondok tersebut tanpa sedar telah terpisah dengan Rafiq di suatu kawasan yang berselirat dengan akar pokok yang berjuntaian. Kami hanya menyedari kehilangan Rafiq ketika kami tiba di suatu kawasan yang agak lapang di kaki dalam hutan tersebut. Disebabkan oleh keletihan dan masih dalam ketakutan pada waktu itu, kami mengambil keputusan untuk pulang ke kawasan tapak perkhemahan dan meminta bantuan orang ramai bagi mencari Rafiq, namun ketika kami hendak memulakan perjalanan pulang secara tiba-tiba kami terdengar teriakkan Rafiq bergema di kawasan itu. Teriakkan itu kedengaran sangat kuat namun masih tidak kelihatan susuk tubuh Rafiq di mana-mana. Kami kemudiannya dikejutkan lagi dengan kemunculan makhluk yang mengejar kami, namun apa yang membuatkan kami lebih terkejut adalah di tangan kanannya memegang tangan susuk tubuh yang amat kami kenal iaitu Rafiq. Rafiq yang seperti dipukau melihat kami semua dengan pandangan kosong dan wajahnya yang pucat seperti mayat.

Renungan tajam dan dengusan nafas daripada makhluk itu tidak kami hiraukan apabila melihat tangannya perlahan-lahan melepaskan tangan Rafiq kemudiannya sedang mencengkam kepala Rafiq sehingga kukunya yang panjang itu menyentuh bahagian rahang bawah dan dagu Rafiq sebelum makhluk itu ghaib secara tiba-tiba. Rafiq mula berkelakuan seperti orang diserang histeria sebelum mula menyerang kami secara liar. Kekuatannya amat luar biasa kerana mampu untuk menghumban kami bertiga termasuk Zuhri yang berbadan besar dan tegap ketika kami sedang memeluk dan menahannya daripada bertindak lebih jauh. Sesuatu yang amat luar biasa jika dibandingkan dengan saiz badan Rafiq yang kurus dan tinggi. Di mulutnya juga meleleh buih-buih dan terkumat-kamit dengan bahasa yang tidak dapat difahami.

Dalam tempoh kami bertiga sedang bergelut dengan Rafiq kemudiannya kami terdengar bunyi jeritan manusia dan bunyi tapak kaki beserta suluhan lampu suluh menghampiri kami. Terdapat sekumpulan lelaki beruniform yang dipercayai anggota renjer datang membantu kami menahan Rafiq dan kemudiannya berkumandang azan di kawasan tersebut bagi mententeramkan Rafiq. Disebabkan masih terdapat perlawanan daripadanya, terpaksa kami mengikat Rafiq sebelum diangkut menaiki kenderaan pacuan empat roda yang tiba tidak lama selepas itu. Kami kemudiannya terus dibawa ke masjid yang berdekatan bagi merawat Rafiq yang masih dalam keadaan histeria. Ketika Rafiq dirawat, kami telah disoal siasat oleh pasukan renjer dan orang kampung namun dilepaskan setelah terbukti kami bukan pemburu atau pembalak haram.

Alhamdulilah berkat bantuan orang kampung dan pihak renjer Rafiq berjaya dipulihkan namun percutian kami di dalam kawasan hutan terpaksa ditukar kepada percutian di Masjid kerana Rafiq masih perlu dirawat selama beberapa hari lagi di situ. Hendak dijadikan cerita kawasan dusun yang dicerobohi oleh kami secara tidak sengaja itu adalah milik seorang bomoh yang telah meninggal. Sejak itu, tanah kawasannya dikatakan sering dihantui oleh belaannya dan sering dilihat oleh pekebun yang memiliki tanah berdekatan tanah bomoh tersebut. Nasib kami berempat memang baik kerana tanah itu juga berdekatan dengan kawasan Tanah Hutan Simpan Negeri yang sering dilakukan rondaan oleh pasukan Penguatkuasa. Sedikit nasihat kepada para pembaca terutama sekali bagi mereka yang gemarkan aktiviti yang melibatkan hutan, sentiasalah berhati-hati dan menjaga adab ketika di tempat orang terutama sekali di dalam hutan kerana setiap kawasan ada sejarahnya yang tersendiri yang perlu sentiasa dihormati dan diambil perhatian. Sekian wallaualam.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Amyrul Hadi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 92 Average: 4.3]

3 thoughts on “Akibat Eksplorasi Hutan”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.