Aku, Ayie Dan Siapa?

Kisah ini berkisar pada tahun 2006 di mana ketika itu aku bersama sepupu rapat yang aku namakan Ayie sedang leka menonton rancangan yang mendendangkan filem aksi kegemaran kami. Entah kali ke berapa filem itu diulang tengok dan setiap kali itu juga kami berteriak penuh teruja.

Namun pada kali ini Ayie tidak seperti selalu. Wajahnya terlihat sugul dan hanya berdiam diri. Kelihatan aku pula seperti seekor badut gila yang terkinja-kinja seorang diri. Aku jadi bimbang lalu lantang menegurnya, “weh Ayie! Kau ni apehal? Senyap je dari tadi?”

“Shhh….. diam-diam! Kau dengar tak?” Ayie dengan lagak serius menjawab pertanyaanku dengan pertanyaannya pula.

Aku lantas terus terdiam sambil mengamati bunyi apakah yang Ayie maksudkan. Adakah bunyi kentut aku tadi, tapi aku yakin hanya bau yang dikeluarkan, bukan berbentuk bunyi.

“Uuuuu… uuuu. Uu. Uuu….” jelas sekali bunyi seperti seorang wanita sedang menangis hiba. Waktu itu jam menunjukkan pukul 11:30 malam. Di rumah bujang itu hanyalah tinggal aku dan Ayie. Tambahan pula rumah kampung, kedudukannya pula agak jauh dari rumah-rumah lain.

Volume di TV aku kurangkan, untuk mendengarkan lebih jelas bunyi tangisan tadi. Tiba-tiba, PRANG!!!!!!!. bunyian kaca berderai sangat kuat seperti betul-betul di hadapan kami berdua. Aku dan Ayie tercari-cari kalau-kalau tingkap rumah yang pecah namun satu kesan pun tiada, apatah lagi serpihan kaca, langsung tak kelihatan.

Bulu tengkuk dan segala buluan dibadan terus sahaja memacak. Aku bingkas bangun dan TV ditutup dengan kadar segera. Rumah usang ini pula ada bilik di tingkat atas. Aku mengajak Ayie terus ke tingkat atas untuk segera tidur.

Di sini lah segalanya bermula…..

Aku dan Ayie berlari anak menuju ke tingkat atas. Deretan tangga kami pijak terasa seperti memijak awan, meluru terus ke dalam bilik. Pintu kami kunci dengan selak besi. Masing-masing duduk terpinga di dalam bilik.

Ayie dengan sambil mata terbeliak memandang ke arah aku seraya bertanya,” dengar lagi kan?”

Aku mengangguk resah. Memang jelas sangat bunyinya seperti betul-betul berada di tepi tingkap, ” uuuuu… uuuuuuuu… uuuuuuuuuu.. uuuu… uuuuu..”. Tangisnya sangat hiba. Seperti seorang balu menangis kematian anak sulong.

Disebabkan kami berdua yang mendengar, jadi ada sedikit kekuatan untuk aku. Kalau salah seorang sahaja yang mendengar, tentunya sudah berkelubung di dalam selimut. Jadi aku bersuara,” Ayie, aku rasa aku nak buka la tingkap ni, aku nak tengok la boleh tak?”

” jangan la bodoh, kau dah gila ke? Buatnya benda tu masuk dalam bilik ni, kau nak tanggung?” Ayie dengan nada keras cuba menghalang hasratku.

“Kita kan berdua, apa nak takut?” Walaupun jauh di sudut hati aku perasaan takut masih lagi tinggi berbanding berani, aku nekad nak melihat apakah makhluk tuhan yang cuba menggangu gugat anak jantan kampung ini.

“Boleh lah Ayie, tak apa biar aku yang buka tingkap. Kau duduk je belakang aku biar aku yang tengok”, aku cuba lagi meminta persetujuan Ayie.

Ting.. ting… ting…. tiba-tiba terbunyi selak besi yang aku kunci tadi terjatuh dari pintu. Kuaaakkkkk….. Perlahan daun pintu bilik terselak sedikit.

Masing-masing terpandang satu sama lain. Tergamam. Kaget. Langsung kaku terdiam. Bunyian tangis tadi pula sudah terdengar sayup-sayup di hujung telinga.

“Weh, kau tahu tak, orang cakap kalau bunyi benda tu kuat, makna kata dia jauh dengan kita. Kalau bunyinya sayup-sayup, maknanya dia dekaaaatttt dengan kita”, Ayie memecah sunyi dengan satu pernyataan yang sangat membuatkan hati aku berdegup laju selaju Azizulhasni Awang.

Mata aku berkaca, menahan rasa takut yang amat sangat sehingga mahu tertitisnya air mata jantan. Perasaan sedikit berani tadi sudah hilang jauh. Sekelumit pon tiada lagi. Hanya takut.

” Ayie, tolong tutupkan balik pintu tu boleh tak?”, aku seolah berbisik ke arah Ayie, dengan cakapan yang tersangkut-sangkut.

” aku takut…..”, Ayie membalas sayu dengan mata dan kepalanya menunduk ke bawah. Aku tahu Ayie juga sama sepertiku, takut untuk melihat di sebalik daun pintu yang terbuka itu. Jika benar pernyataan Ayie tadi, bermaksud ianya tidak mustahil untuk benda tu sudah berada dekat dengan kami, dengan erti kata lain mungkin berada di sebalik pintu bilik!

Kreeeeekkkkkk… Bunyi papan lantai seolah-olah dipijak orang. Memang lazimnya rumah orang dulu-dulu lantainya hanya papan. Jadi kalau ada yang memijak, pastinya berbunyi.

Kreeekkkkkk…. krekk.. kreekk.. dua tiga kali berbunyinya lantai seolah dipijak orang. Bunyinya berada di sebalik daun pintu bilik. Tambahan pula pintunya terselak sedikit, jadi bunyinya sangat jelas kedengaran.

Bunyinya seakan-akan sengaja dipijak secara perlahan-lahan. Aku sudah tidak lagi memandang ke arah Ayie, apatah lagi ke arah pintu. Aku hanya mampu duduk tunduk ke bawah. Mahu sahaja aku menjerit meroyan tetapi perasaan takut membekukan segala tindak tanduk aku.

“Hik… hik… hik….uhuk… uhukk.. huuuuuu. Uuuuuuwuhuuuuu” bunyi menangis seperti seorang lelaki garau tiba-tiba terdengar sangat kuat! Betul-betul di tepi telinga aku!

Apa lah pula kali ini, aku sudah seperti orang tak siuman. Seram sejuk menyelubuhi seluruh anggota tubuhku, menggigil. Takutnya bukan kepalang.

Akan tetapi aku teringat kata-kata Ayie tadi, kalau bunyinya kuat, dia jauh. Jadinya aku beranikan diri mengangkat kepala untuk memandang ke arah Ayie.

RUPA-RUPANYA aku sedang melihat AYIE yang menangis tersedu sedan sambil air mata berjurai jatuh membasahi pipi dan bajunya. Patutlah suara tadi macam sangat aku kenal. Celaka kau Ayie, tapi mujur lah dalam takut-takut itu Ayie mampu memberi aku sedikit lucu. Teringat pula Ayie, yang di mana orang-orang kampung menggelarnya Ayie Tiger dek kerna kegagahannya dan kebengisannya kini sedang tersedu sedan menangis seperti anak kecil meminta susu ibu. Tiger lah sangat.

Bam! BAm! BAM! GEDEGANG!!!!!!!!!! bunyi larian berdetap sambil pintu ditendang tanpa bayang bergegar dari arah sebalik pintu. Terkopak daun pintu, ternganga luas bilik.

Aku yang dari tadi ada sedikit senyum, terkejut sambil terkentut. Dalam samar-samar gelap terlihat berdirinya satu sosok tubuh seperti beruk gergasi, tingginya lampai mencecah syiling sampai dirinya membongkok sedikit ke hadapan, berbulu hitam lebat menutup seluruh tubuhnya. Matanya yang semerah biji saga tepat memandang ke arah aku.

“ALLAHU AKBAR!!!!!!!”, teriakku disusuli air kencing yang mengalir dari kemaluan. Semuanya terjadi di luar kawalan. Ini lah kali pertama sejak 16 tahun aku terkencing di dalam seluar. Mujur lah Ayie tak tahu, jadi aku masih boleh berbangga dengannya. “Makkkkkk…. Ayie takut makkk…. wuhuuuuu…. Ayie takut makkk”, Ayie meraung macam orang naik sawan.

“Nawaitu Souma Ghadin ‘An Ada-i Fardhi Syahri Ramadana Hazihis Sanati Lillahi Ta’ala!!!!!!!!!!!!”, terkumat kamit mulut Ayie lancar membaca doa. Suaranya lantang sekali walaupun terdengar serak-serak basah. Ikhlas sekali suaranya meminta pertolongan dari Yang Maha Esa.

Bangkai punya Ayie. Aku pun bukanlah handal benar dalam mengaji dan ayat-ayat suci Al-Quran, tapi tahu dan yakin lah aku yang itu niat berpuasa Ayie oiiiiii. Sudahlah aku ini dalam keadaan tak berwudhuk, air kencing bertaburan di dalam seluar, ditambah ketakutan bukan kepalang, Ayie pula boleh selitkan irama lucu dalam situasi genting seperti ini. Dia pun bukannya pula rajin berpuasa, selalu saja makan curi-curi di belakang rumah. Hairan aku.

Tapi aku juga tak salahkan Ayie, walaupun aku berniat nak betulkan Ayie, tapi aku juga buntu untuk memilih ayat apakah yang lebih sesuai untuk menggantikan niat berpuasa dari Ayie. Segala doa-doa yang aku pernah hafal semuanya hilang dari ingatan. Satu pun aku dah tak ingat. Jadi aku biarkan saja niat berpuasa berkumandang dari mulut Ayie. Allah Maha Mengetahui. Jadi Allah pasti tahu niat kami.

Dalam tiga minit mendengar Ayie terkumat kamit, aku diberi petunjuk untuk melaungkan azan. Aku bingkas bangun menghadap kiblat, dengan mata yang masih tertutup rapat, nafas aku tarik dalam-dalam, aku mulakan azan. “ALLAHU AKBAR ALLAHU AKBAR!!!! ALLAHU AKBAR ALLAHU AKBAR!!!!!”. Sangat kuat azan aku laungkan, seperti mahu mengajak seluruh umat kampung bersama-sama mengimarahkan masjid. Kalau lah di hari-hari biasa aku boleh melaungkan azan seperti ini, pastinya aku diangkat menjadi bilal kampung. Belum sempat aku meneruskan rangkap azan yang seterusnya tiba-tiba,

“Oiiiii!!!!!. Kau ni dah kenapa azan tengah-tengah malam?!!!!! Mazhab mana kau pakai?????!!!!! Waktu solat mana kau ikut????!!!!”, Ayie menjerit memaki hamun. Mukanya yang seperti meminta susu ibu tadi berubah menjadi muka bengis seorang ayah yang menegur anaknya.

Allahu akbar Ayie. Tahukah dikau azan bukanlah semata-mata untuk mengajak orang ramai mengerjakan solat, tetapi azan juga boleh dilaungkan untuk mengusir syaitan dan menolak bala. Apa lah setan sangat kau ni Ayieeeeee. Sudah sehabis baik aku tidak menegur bacaan niat berpuasanya tadi, dimakinya pula aku melauangkan azan. Siapa lah yang sudi berkawan dengan manusia sejahil ini.

Tanpa mempedulikan herdikkan membuta tuli orang jahil seperti Ayie, aku meneruskan laungan azan. Biarlah semua ini selesai dahulu sebelum aku menerangkan kepadanya manfaat azan. Aku teruskan sampai habis,” LA ILAHA ILLALLAH…….”.

Lantas segera aku memandang ke arah pintu bilik yang terpampang luas, dengan harapan suara lunak dari azan aku tadi mampu menakutkan makhluk tuhan yang tak diundang ini. Ayie pula masih gigih meneruskan dengan niat berpuasanya. Suka hati engkau lah Ayie, harap penuh lah puasanya selepas ini bila tibanya Ramadhan.

Alhamdulillah. Kelibat binatang berbulu hitam tadi sudah tiada. Aku menoleh pula untuk melihat keadaan Ayie.

ALLAHU AKBAR!!!!! Binatang berbulu hitam tadi berada betul-betul di belakang Ayie!!! Besar!!!! Sangat besar ya tuhan!!!!!

“AYIE!!!!!!! LARI AYIE LARI!!!!!!!!!”, berteriaknya aku macam mahu terkeluar anak tekak. Bergegar satu rumah dan tanpa menoleh lagi ke belakang aku berlari turun ke tingkat bawah. Lari semahu-mahunya lari sampai ke luar perkarangan rumah.

“Nasib baik sempat Ayie, benda tu betul-betul dekat belakang kau tadi, aku tak tahu la binatang apa tapi besar gila weh”. Aku dengan keadaan tercungap-cungap menunggu respon Ayie tapi dibalas bisu. Rupa-rupanya Ayie tidak bersama aku!! Allahu akbar Ayie tak sempat lari ke tadi. Ya Allah ya tuhan Kau selamatkanlah Ayie. Walaupun ilmu agamanya kurang tapi berilah dia waktu untuk bertaubat. Dia seorang anak yang baik, selalu berbakti kepada kedua orang tuanya. Dia juga selalu belikan Kinder Bueno untuk adik-adiknya. Dia juga masih teruna ya Allah.

Aku bingung. Jam waktu itu menunjukkan hampir pukul satu pagi. Mana lah ada orang yang masih belum tidur. Kalau aku pergi meminta bantuan sekalipun, aku risaukan keadaan Ayie. Kalau aku pula berpatah balik, silap haribulan aku pula dibaham binatang tadi.

Tapi dalam hati aku kuat mengatakan aku mesti selamatkan Ayie. Aku langsung tidak yakin niat berpuasanya tadi mampu menghalang jembalang sebesar itu. Biarlah apa pun yang bakal terjadi, Ayie sepupu aku, juga kawan karib aku. Kalau m**i biar bersama Ayie!!!

Aku dengan berat langkah berjalan perlahan masuk kembali ke dalam rumah. Teringat aku pada sebilah golok yang aku selitkan di tepi pintu belakang. Aku segera capai dan menggenggam erat. Walaupun tahu aku bakal menjadi arwah malam ini, tetapi sekurang-kurangnya aku bukanlah bermati katak. Biarlah matiku bermaruah. Tikus pun kentut dulu sebelum m**i.

Sampai di tangga penghubung untuk ke tingkat atas, aku berhenti. Aku panggil perlahan,”Ayieeee.. Ayiee.. kau ok ke Ayie….”. Senyap. Sunyi. Sepi. Tiada sahutan. Hanya bunyi titisan air dari sinki bawah. Memang paip di sinki tu ada sedikit bocor. Pak Talib janji mahu perbetulkan minggu lepas, tapi dia cakap dia mahu sudahkan dulu paip sinki di rumah janda Esah. Tak apa nanti dia datang lah tu.

Aku semakin resah gelisah. Kenapa Ayie tak membalas sahutan aku tadi. Dengan langkah perlahan aku turuti anak tangga satu persatu. Satu persatu sampai lah tangga yang di atas sekali. Aku panjangkan leher untuk mengintai keadaan bilik kami tadi. Langsung tak kelihatan bayangan Ayie mahupun jembalang tadi. Keadaan masih sunyi sepi.

Lampu di antara bilik kami dan tangga pula dalam keadaan malap. Dalam teraba-raba aku berjalan menuju ke bilik.

Sampai sahaja di muka pintu, aku melihat keadaan bilik seperti dilanda badai. Berterabur barangan berselerak ke semua tempat. Tingkap bilik yang satu terbuka luas. Angin malam sepoi-sepoi melibas ke muka aku. “Pasti Ayie bergelut kuat bersama jembalang tadi, tapi tiada pula kesan d***h. Mungkin juga Ayie ditelan hidup-hidup. Ya Allah Kau peliharalah Ayie,” aku bermonolog sendiri mengenangkan nasib Ayie.

Kakiku menggeletar secara tiba-tiba. Rebah lutut aku ke lantai. Mungkin kekuatan yang aku bawa untuk naik ke atas tadi sudah kehabisan. Tambahan pula mengenangkan nasib Ayie, aku jadi lemah. Bagaimana hendak aku menerangkan kepada orang tuanya, secebis mayat Ayie pun aku tak jumpa.

Aku bangun. Menuju ke tangga dan turun semula ke tingkat bawah. Aku mesti maklumkan kepada orang kampung perihal kejadian ini supaya tiada lagi mangsa lain selepas Ayie.

Rumah pertama aku pergi mestilah ke rumah orang tua Ayie. Aku perlu khabarkan berita ini secepat mungkin untuk menghormati roh Ayie. Boleh la terus bacaan yassin dan tahlil disempurnakan sesegera mungkin.

Sesampainya aku ke rumah orang tua Ayie, dapat aku lihat lampu di bahagian dapur bercahaya terang. Salam aku beri dua kali, disahut oleh seorang lelaki. Apabila pintu rumah dibuka, berdiri di hadapanku seorang yang sangat aku kenal, Ayie!!!!!

Aku semakin bingung. Ayie dengan siap berkain pelikat tidak berbaju memandang aku pelik. “Weh aku baru nak ke rumah bujang kejap lagi, tapi perut tetiba lapar aku bantai la makan megi dulu. Kau nak jugak megi?”. Ayie bertanya selamba.

Aku diam. Apa yang sebenarnya terjadi ni. Siapa yang tadi bersama aku. Binatang berbulu tadi? Suara tangisan tadi? Fikiranku berkecamuk.

“AHAHAHAHAHA”. Tiba-tiba Ayie tergelak besar. “Kau ni, aku main-main jelah. Lepas kau berteriak suruh lari tadi, aku pun apa lagi lompat la keluar tingkap terus balik ke rumah. Tapi serius cuak dowh tadi”.

Sial punya Ayie. Aku bergolok bergadai nyawa tadi kononnya nak selamatkan dia, boleh pula dia balik rumah melantak megi. Tapi kalau ikut cerita Ayie, dia hanya mendengar suara tangisan perempuan, tidak pula nampak binatang besar berbulu hitam seperti mana yang aku nampak. Apa sebenarnya tu? Sampai sekarang perkara itu masih belum mampu aku jawab.

TAMMAT

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Jakar Bakar

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 53 Average: 4.1]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.