‘Bippbipp’
WhatsApp menjerit.
“Uii.. Farha! sudah kau baca FS hari ni?”
“Belum lagi. Kenapa?”
“Ada tu satu cerita kena post tadi. Bikin meremang bulu roma. Pasal tunang dia kasi guna-guna.”
“Apa tu tajuk? Nanti saya save dulu supaya senang baca ni malam.”
“Angkara sayang, cemburu dan dendam.”
“Aiii? Sudah kena post kaitu?”
“Maksud kau?”
“Saya ba tu tulis.. Hahaha.. Baru saya send tadi.”
Berbunga-bunga rasa dihati. Kisah aku diterima dan dipublish.
“Biar betul kau ni? Cerita siapa tu?? Bila kau ada masa menulis ni??”
“Hahaha.. Sikit-sikit saya kasi siap. Ada laa.. Mana boleh saya kasitau kau. Rahsia ba.”
“Bah, kalau begitu kau mau ka 1 kisah lagi?sebab tu cerita kan lebih kurang macam cerita saya dulu. Kau tau kan saya pernah putus tunang?”
“Mau eh! Kalau kau sudi share, saya sudi tulis. Jangan kau risau, saya tidak kasi ketara juga tu.”
Bagai pucuk dicita, ulam mendatang. Aku gian menulis lagi. Kisah ini kusampaikan agar menjadi pedoman. Pengalaman sahabatku sendiri. Sungguh sukar untuk dipercaya. Namun bagi sesiapa yang merasai, pasti menjadi ingatan abadi. Seperti biasa, nama, watak, jalan cerita dan situasi ada yang ditokok tambah juga diubahsuai agar tidak menyinggung mana-mana pihak.
Isha, seorang gadis berdarah kadazan dan Brunei. Ayahnya seorang kadazan mualaf. Manakala ibunya berketurunan Brunei. Sememangnya gabungan dua bangsa ini melahirkan keturunan yang cantik, wajah Isha dan adiknya persis anak kacukan. Memiliki rupa paras cantik, hati yang baik, perwatakan yang menarik. Siapa saja yang tidak suka pada Isha.
Tamat STPM. Isha mendapat tawaran UiTM. Sebagai seorang anak gadis kampung yang tidak pernah berhijrah apatah lagi jauh dari keluarga, menyulitkan sedikit kehidupan Isha di bumi Shah Alam. Risau, takut, bimbang, rindu segalanya bergolak dalam satu masa yang sama. Natijahnya, Isha demam sepanjang minggu suai kenal.
Seorang gadis polos kini di fakulti. Juan, pelajar tahun akhir. Kebetulan Juan juga berasal dari Sabah, hanya berlainan daerah. Juan terserempak dengan Isha ketika Isha terkial-kial mencari kelasnya. Dia tidak kenal selok belok fakulti itu. Juan perasan Isha panik, nasib baiklah Juan bersikap peramah dan sedia membantu. Begitulah bermula perkenalan mereka, yang akhirnya membuatkan keduanya jatuh cinta.
“Ada sudah tiket kau balik KK?”
Isha sedar pengajian Juan sudah berakhir. Tidak lama saja lagi bakal bergraduasi. Hatinya bagai disiat kerana bakal berjauhan dengan buah hati.
“Ada sudah. Minggu depan, hari Isnin.”
Sayu.
“Kita tunang?”
Juan segera memberi cadangan.
“Kau gila?! Kalau bapa saya tau pasal kau, kena pukul m**i la saya.”
“Saya sayang kau, Sha.”
Perasaan Juan bercampur baur, bersungguh cuba meyakinkan. Benar-benar mahu memiliki Isha.
“Kalau kita tunang, ada alasan saya sama mama supaya boleh cari kerja di sini.”
“Saya mau selalu dekat sama kau.”
Giliran Isha pula serba salah. Isha akui dia meronta mahu Juan sentiasa di sisi. Selama ini dia bergantung terlalu banyak pada Juan.
“Iya la. Nanti saya call mama.”
Cuti semester bagi UiTM. Isha pulang Sabah setelah hampir 1 tahun setengah tidak menjejakkan kaki dibumi itu. Isha dan Juan selamat ditunangkan.
Cuti semester berakhir. Isha harus segera kembali ke fakulti. Sekali lagi Isha demam rindu pada keluarga yang jauh, juga pada Juan yang tidak lagi kembali ke Shah Alam. Tahun kedua pengajian Isha lebih mudah dan lancar. Mungkin kerana dia sudah punya beberapa orang teman sekuliah, Isha lebih tenang dan bersahaja. Isha mula sibuk dengan jadual kuliah dan mengikuti beberapa aktiviti.
“Kau pi mana sehari tidak angkat call? Sms pun kau tidak balas!”
Suara Juan dicorong telefon.
“Sorry Juan. Saya ikut dorang Hana daftar Club Xtreme tadi. Lepas tu terus pula ada perjumpaan. Itu yang jadi lama.”
“Siapa suruh kau pandai-pandai ikut? Masa saya di sana tidak pula kau aktif. Macam dua club sudah kau join ni!”
“Yang sukan tu sebab dorang bawa saya main bola jaring. Club tadi tu seminggu sekali saja aktiviti dia.”
Isha memberi penerangan.
“Saya tidak peduli la! Sekali ka dua kali! Kenapa kau maw buat-buat sibuk di sana? Kalau pergi balik kelas saja m**i ka juga?? Atau ada lelaki yang kau pi bubut(kejar) situ?!”
Juan bersuara kencang. Sejak balik Sabah, Juan sering marah dan cemburu. Ada saja yang tidak kena. Bila diajukan pertanyaan tentang kerja di Shah Alam, Juan berdolak dalih. Katanya ibu ayah di kampung memerlukan dia. Juan harus bekerja dekat dengan keluarga. Isha tidak memaksa, dia tahu Juan perlu berbakti pada orang tuanya. Namun Juan sering menyalahkan Isha, sengaja mencari punca pergaduhan kerana Juan gagal bekerja di Shah Alam. Isha sering saja mengalah, tiada guna berbalah.
Cuti semester tiba lagi. Isha tidak balik Sabah. Kali ini Isha mengikuti program menaiki Bukit Berinchang anjuran universiti. Selepas itu dia bercadang untuk ikut Hana balik kampung. Bagi Isha, alang-alang berada di semenanjung, lebih baik terus bercuti melihat negeri orang selagi ada peluang.
“Saya kasi beli kau tiket. Kau mesti pulang!”
Marah Juan tatkala Isha girang berkongsi cadangannya. Ibu ayah Isha juga tidak melarang.
“Mama bapa kau tu bodoh! Suka hati saja kasi biar anak. Baru belajar U, belum pun habis!”
Isha gegas meletak telefon. Kali ini dia terasa hati. Juan telefon berkali-kali, Isha mematikan telefonnya. Serabut!
Isha tidak kisah Juan sering memarahi dirinya, juga dia sedar Juan mengongkong. Isha faham mengapa Juan cemburu. Jarak memisahkan, Isha tahu Juan sayang. Justeru Isha tidak peduli semua, hatinya tetap setia. Namun kali ini Juan benar-benar berlebihan. Dibiarkan segala panggilan dan sms tanpa jawapan. Berhari-hari.
Balik dari Bukit Berinchang, Isha demam. Badannya panas tetapi kerap menggigil kesejukan. Nasib baiklah musim cuti, Isha menumpang dirumah sewa Hana.
“Lain macam demam kau ni Sha. Takut pulak aku tengok kau tak dapat bangun macam ni. Kau tak nak bagitau mak ayah kau ke?”
Hana tidak sedap hati. Isha menolak kerana tidak mahu ibu ayahnya susah hati.
Malam itu Isha terasa panas sekali. Petang tadi Hana baru saja keluar. Hendak balik kampung, menaiki bas jam 9 malam menuju ke pantai timur. Isha tidak jadi turut serta, tidak mahu menyusahkan keluarga Hana. Lampu tidur dipasang, Isha bersedia untuk tidur. Kepalanya pusing.
Pintu bilik dibuka.
“Eh? Hana.! Tertinggal bas ka? Hahahahaa…”
Seloroh. Isha geli hati melihat wajah muram Hana. Pasti tidak sempat menaiki bas tadi.
“Awal sudah kau keluar tadi. Camana boleh terlepas?”
“Entah la. Aku rindu kau kot. Taknak pisah dengan kau. Hahaha..”
Isha juga ketawa. Kepalanya berat, dia tidak dapat melayan cerita Hana.
“Bisuk lah kau cerita. Mau tertidur sudah aku. Baru aku telan ubat tadi. Kau belum mau tidur ka?”
“Takpe, kau tidur la dulu. Biar aku jaga kau malam ni.”
Hana mengambil posisi sebelah Isha, hanya berbaring sambil memicit-micit kepala Isha.
Dalam lena, Isha terjaga. Pelik, dia tidak dapat menggerakkan tubuhnya. Dicuba berkali-kali untuk berpaling. Tubuhnya terasa berat. Dalam samar dia melihat Hana masih duduk di kerusi berdepan meja belajar.
“HANA!!!! HANA!!!!”
Isha menjerit sekuat hati. Suaranya tidak kedengaran. Terbenam di dalam kerongkong. Airmata mulai mengalir. Dia tahu ada sesuatu menghimpit, tidak kelihatan. Fikirannya kosong, buntu. Hanya mahu melepaskan diri. Dia tahu dia perlu bacakan surah atau apa saja ayat suci. Tapi fikirannya kosong. Tiada satu pun yang terlintas. Al-Fatihah! Baca al-Fatihah! Otaknya memberi arahan. Tapi al-Fatihah itu bagaimana?bacaannya bermula dengan apa? Lupa!
Hampir 10 minit bergelut.
“ALLAH!!! ALLAHUAKBAR!!! ALLAHUAKBAR!!!”
Terpancul perkataan itu keluar dari peti suara. Seraya badannya dapat digerakkan. Terbaring namun masih kaku. Didepannya kini jelas satu lembaga berbulu. Hitam dan beruban, atau mungkin bias lampu, entah tidak tahu. Terasa tubuhnya makin dihimpit, wajah berbulu itu semakin dekat. Jelas! Matanya merah, air liur meleleh menitis di tengkuk Isha. Isha menjerit sekuat hati. Seperti tadi, sunyi. Suaranya tersekat lagi.
Isha menangis semahunya sambil hatinya menyebut Allahuakbar tanpa henti. Tiba-tiba dia membaca ayatul qursi dalam hati. Mulutnya cuba dikumat kamit. Perlahan suara Isha semakin kedengaran. Isha terus membaca dalam nada yang tinggi sehinggalah bacaannya jelas kedengaran seperti menjerit.
Hilang! Sekelip mata saja sudah tiada. Turun naik dada Isha bernafas kencang. Seperti baru saja menghabiskan larian keliling padang. Pinggangnya sakit. Hana, mana Hana? Tidak berdaya untuk bangun mencari, Isha akhirnya tertidur dalam kepenatan.
‘Bripp bripp… Bripp bripp..’
Gegaran telefon Isha mengejutkannya seawal 7 pagi. Isha sambut tanpa melihat paparan skrin. Matanya sukar dibuka, tubuhnya juga masih sakit.
“Assalamualaikum, Sha. Aku dah sampai. Ni baru sampai rumah. Kau macamana? Ok tak?”
Mata Isha kekal terpejam. Fikirannya ligat. Hana?
“Waalaikumsalam. Kau sampai mana? Bila kau keluar?”
“Eh kau ni. Tidur lagi ke? Aku dah sampai rumah la, kat kampung. Kau ok tak ni?”
Hana masih risau. Dia tahu Isha kurang sihat semasa ditinggalkan.
“Aku ok, alhamdulillah. Kirim salam famili kau. Jangan lupa balik nanti bawa ole-ole.”
Isha masih mampu berseloroh, menyembunyikan perasaan bingungnya. Siapa yang balik semalam?
Perut Isha tiba-tiba beragam. Digagahkan kaki untuk berdiri keluar ke bilik mandi.
“Oih.. Baru bangun ke? Besar perut kau?? Macam pregnant 6 bulan!”
Teman serumah Hana menegur. Isha kira ianya hanya gurauan, Isha senyum dan ketawa.
“Mengandung tahi. Mau pi beranak la ni. Pinjam jamban!”
Sempat membalas gurauan. Isha gegas ke tandas. Isha tunduk. Besar betul ka? Dia membelek dirinya di depan cermin. Benar! Perutnya besar. Jantung Isha berdegup laju, berpeluh.
“Ma, saya mau balik KK boleh?”
“Bila kau mau pulang? Kami pun rindu juga sama kau ni. Beli la tiket. Nanti mama kasi bank in kau duit.”
Isha tidak tahu harus mengadu bagaimana. Dia malu melihat perutnya semakin membesar. Berbaki 3 minggu lagi sebelum cuti semester berakhir. Bagaimana mahu kembali ke fakulti? Juan pula masih dibiarkan tidak dilayan. Haruskah bagitahu dia? Isha bingung.
Keluar dari perut pesawat. Isha berdebar. Perutnya jelas kelihatan. Bagaimana penerimaan ibu dan ayahnya nanti?
“Ma…!”
Isha meluru laju. Menangis semahunya. Ibunya juga mengalirkan airmata. Menepuk-nepuk belakang Isha, memberi semangat. Hanya ibu dan adiknya menjemput dia dilapangan terbang.
“Besar juga perut kau kak?!”
Terkejut. Adiknya yang menunggu di kereta hairan melihat keadaan Isha yang sarat.
“Sudahlah sudahlah. Nanti dirumah kita cerita.”
Naluri ibu. Seakan mengerti beban anak yang dikasihi. Isha menangis lagi.
“Sumpah ma, pa. Saya tidak bunting!”
“Tiada saya buat bukan-bukan disana. Tiba-tiba saja perut saya besar ni minggu lepas.”
Airmata menjadi teman setia.
Ayah Isha berang. Susah benar Isha mengaku. Jauh disudut hati, ayahnya kecewa dan tidak percaya anaknya yang diberi didikan agama sempurna boleh kembali membawa perut yang sarat.
“Ada kau scan sudah ka? Sudah jumpa doktor?”
“Belum. Saya takut sendiri-sendiri.”
“Kau ada pi mana-mana ka disana satu orang? Atau sama kawan-kawan? Ada kau pengsan?”
Ayah bersoal siasat. Kalau betul Isha tidak melakukan perkara salah, boleh jadi dia dikhianat atau diperkosa tanpa sedar.
“Tiada, pa. Balik dari Berinchang tu saya terus stay rumah sewa kawan. Tiada keluar jalan-jalan.”
“Bukan baru ni, 6 7 bulan lalu. Kalau tinguk perut kau ni, bukan lagi 4 5 bulan punya gaya!”
“Esok mama bawa kau pi klinik. Sudah la, benda sudah jadi, kita marah-marah pun tiada guna. Bukan saya maw kasi menang si Isha, takut betul sudah dia tu. Sudahlah.”
Isha menunduk. Apa saja cadangan yang diberikan ibu ayah, dia menurut.
“Assalamualaikum.”
Pagi itu Juan datang ke rumah. Ayah Isha sudah turun kerja. Adik Isha lah yang memberi khabar bahawa Isha pulang. Bergegas Juan mengambil cuti kecemasan, semata-mata mahu berjumpa Isha dan meluangkan masa bersama. Isha enggan keluar bilik. Malu.
“Sha! Saya tau saya buat salah. Saya tau mulut saya lancang. Sha! Sorry! Tolong la ba, saya maw jumpa kau.”
Kasihan Juan. Merayu bagai mengemis kasih. Ibu Isha tidak sampai hati, diajaknya Juan duduk berbincang diruangtamu.
“Macik ni bukan mau masuk campur hal kamu. Tapi Isha ada sebab tu tidak mau jumpa kau buat masa ni.”
Serba salah.
“Saya tau tu macik. Dia marah saya. Banyak betul saya tekan dia disana.”
“Bukan Juan. Kalau macik bagitau ni, harap kau bertenang la dulu ah. Si Isha tu macam mengandung. Tapi..”
Juan berdiri. Laju menghala ke depan pintu bilik Isha. Ibu Isha mengekori. Acapkali meminta Juan bersabar.
“Isha! Buka! Keluar! Saya mau tinguk kau!”
“Mama kau bilang kau mengandung!”
Isha buka pintu. Berdiri tepat dihadapan Juan, menunduk.
Juan gegas keluar rumah tanpa berkata walau sepatah. Isha akur.
“Jangan la fikir dulu tu Sha. Bersiap la, mama bawa kau pi hospital.”
Hari yang sangat memenatkan. Kaki Isha bengkak, persis ibu mengandung yang terlalu banyak berjalan. Isha yang ditemani ibu dan ayahnya baru saja selesai urusan di hospital kerajaan dan 3 hospital swasta. Jawapan yang sama, ya! Isha mengandung! Tetapi hasil scan mencurigakan. Anak dalam kandungan tidak kelihatan walaupun ujian ultrasound mengeluarkan bunyi degupan jantung. Isha diminta untuk kembali ke hospital pada keesokan hari untuk membuat ujian lebih terperinci.
“Kak. Minta maaf kak. Kami pun tidak tau mau teruskan macamana.”
Ibu ayah Juan datang kerumah. Malam itu juga Juan mengambil keputusan memutuskan pertunangan. Juan dan keluarganya malu.
Isha redha. Malam itu, atas sejadah. Isha meraung menyesali segala yang terjadi. Jika dirinya diuji kerana semakin menjauhkan diri dengan Allah, Isha seikhlasnya memohon ampun dan bertaubat. Isha yakin dia bukan mengandung. Perutnya juga membesar tiba-tiba, namun tiada siapa yang percaya.
Perut Isha mengeras. Rasa tidak selesa. Isha keluar masuk bilik, berulang ke tandas. Perutnya memulas. Ibunya tersedar kerana sesekali terdengar suara Isha mengerang di luar. Ibunya pantas keluar bilik.
“Kenapa Sha? Ok ka?”
“Tidak tau la ni ma. Sakit perut balik-balik. Sekejap datang sekejap hilang.”
“Kau maw beranak ini Sha….!”
Ibunya panik. Isha menangis.
“Ma, demi Allah. Kalau saya menipu selama ni, saya sendiri berdoa minta Allah cabut nyawa saya dalam keadaan saya melahirkan. Saya minta maaf ma, saya memang banyak buat salah dan dosa, tapi saya tidak menipu ma. Saya bukan mengandung. Demi Allah ma, kalau bukan mama, siapa lagi maw percaya saya?
Isha memeluk ibunya. Kesungguhan Isha menguatkan hati ibunya untuk percaya kali ini.
“Mama percaya kau Sha. Mama percaya!”
Isha menangis teresak. Ibunya juga sudah yakin, mahu membawa Isha berubat diperubatan Islam sebagai ikhtiar. Pengsan!
“Bang!!”
Teriak ibu Isha. Isha tidak sedarkan diri.
Menurut adik Isha, malam itu ibu dan ayah mereka sempat berkelahi. Ibu berkeras mahu membawa Isha ke rumah Pak Amat, seorang pengamal perubatan Islam yang tinggal tidak jauh dari rumah Isha. Ayah pula tetap mahu membawa Isha ke hospital.
“Anak kau ni bunting! Jangan begitu, yang. Kesian anak kita. Kita bawa pegi hospital dulu kasi sedar dia!”
Ayahnya merayu. Ibunya tetap tidak mahu. Terngiang-ngiang ditelinga ibunya, Isha merayu minta dipercaya. Ayahnya mengalah. Daripada langsung tidak mendapat rawatan, akur sajalah. Mereka bergegas membawa Isha.
“Assalamualaikum.. Assalamualaikum..”
Ayah Isha memberi salam sedikit kuat dan keras. Pak Amat menjenguk keluar.
“Waalaikumsalam. Naik-naik.”
Isha separa sedar sewaktu dalam perjalanan. Airmatanya jatuh tatkala ayahnya mengerah tenaga mendukung dan mengangkat dia menaiki anak tangga untuk masuk ke rumah Pak Amat. Ramai tetamu Pak Amat. Kebetulan malam itu mereka adakan sesi belajar ilmu perubatan Islam.
Perut Isha memulas lagi. Berguling-guling menahan kesakitan.
“Astagfirullahaladzim…. Berapa lama sudah begini ni?”
Dahi Pak Amat berkerut.
“Baru balik dari semenanjung dia ni bang. Dia bilang dalam seminggu lepas tiba-tiba perut dia besar. Itu yang dia pulang sini. Kami ni ingat dia menipu bang. Tapi m**i-m**i dia suruh percaya.”
Pak Amat mengangguk.
Ayah Isha yang masih tidak percaya membatukan diri. Baginya itu semua mengarut, Isha sememangnya mengandung.
“Busung ni Jah, Sim. Bahaya kalau dibiar lama.”
Keluarga Isha terkejut. Ayahnya lantas memandang Isha yang berguling-guling ke kiri kanan sedari tadi. Isha tentu sangat sakit. Ayahnya istigfar berkali-kali.
“Bang, tolonglah anak kami ni. Buatlah apa-apa yang dapat kasi sembuh dia.”
“In Syaa Allah, Sim. Jangan berhenti berdoa, minta Allah berikan kita jalan dan petunjuk.”
Pak Amat memulakan sesi perubatan dibilik rawatan. Sahabat dan pelajarnya juga melihat dan memerhati. Mulutnya berkumat kamit membaca ayat suci. Isha masih begitu, menahan kesakitan.
“AAARRRGHHHHHHH…!!!!”
Isha berteriak. Kakinya terkangkang persis wanita yang sedang ingin melahirkan. Tubuhnya basah bermandikan peluh. Menangis dan meraung, suara Isha memenuhi ruang.
“Dia rasa sakit sebab tengkorak tu dihala ke api.”
Tegas Pak Amat sambil kedua tangannya terhulur ke depan seperti sedang menghalang dan menolak sesuatu.
“Orang itu melawan. Dia tau kamu datang sini.”
“AAARRRGHHHHHHH…!!!!”
“Istigfar nak. Ingat Allah. Kuatkan hati, minta Allah bantu.”
Isha mengerang lagi. Sesekali meneran.
“Kesian anak kamu ni. Sengsara dia. Macam orang beranak anak pertama. Selalunya memang payah, mengambil masa.”
Ayah ibu Isha hanya menggelengkan kepala. Sesekali bersuara memberikan Isha semangat.
“AAARRRGHHHHHHH…!!!!”
Isha menangis dalam meneran. Kesakitan seakan tidak mampu ditanggung.
“Ya Allah. Dia benam sudah dalam api. Tidak boleh jadi ni. Tidak tahan ni anak ni kalau begini. Bagi sakit betul cara dia ni. Apa yang dia marah betul!”
Pak Amat buntu. Jika dibiarkan berterusan, Isha mungkin akan lebih sakit lagi. ‘benda’ itu harus dikeluarkan segera. Caranya sama seperti melahirkan bayi, sebelum tengkorak yang dibakar menjadi abu.
“Piyah, kau boleh ganti?”
“Bolehlah Pak Amat. Kesian anak ni.”
Pak Amat mahu memindahkan ‘penyakit’ itu kepada seorang sahabat perawatnya. Kak Piyah, dia punya pendinding diri. Juga berpengalaman melahirkan 3 orang anak. In Syaa Allah dipermudahkan bagi kak Piyah membantu Isha.
Kak Piyah duduk ditepi Isha yang sedang mengerang. Matanya dipejam, mulutnya membaca sesuatu. Tidak sampai 30 saat, Kak Piyah terbaring. Mukanya berkerut menahan kesakitan. Kuasa Allah, Perut Kak Piyah tiba-tiba saja membesar. Seperti ditiupkan belon. Isha pula boleh menarik nafas panjang, diarahkan menarik nafas dalam-dalam. Perut Isha semakin mengecil, kembali normal. Isha bangun dan duduk bersila. Berzikir dan diberikan air bacaan ruqyah. Wajah Isha segar.
“Pergilah duduk sama bapa mama kamu.”
Pak Amat senyum. Polos anak ini, hati Pak Amat berbicara. Isha duduk diantara ibu dan ayahnya. Belum sempat berbual kerana masih memerhati Kak Piyah yang kesakitan. Pak Amat meminta Kak Piyah meneran jika terasa kontraksi. Kak Piyah masih berguling ke kiri kanan. Belum masanya lagi.
“Nak, Ni lah sakit kamu yang kamu tanggung berminggu tu. Orang ni sakit hati betul sama kau ni. Dia mau buat kau malu, sampai hilang maruah. Kau ada terbuat salah apa-apa ka? Cuba fikir dengan tenang. Apa yang kamu ada terbuat atau terambil. Minta Allah berikan petunjuk.”
“AAARRRGHHHHHHH…!!!! ADOOOIIIII..!!”
Kak Piyah mengerang.
“Sekarang Piyah!”
Seraya arahan Pak Amat, Kak Piyah meneran semahunya.
“ALLAHUAKBAR..!!! ALLAHUAKBAR..!!!”
Jerit Kak Piyah. Dia meneran sekuat hati.
“Bruuuppp!”
Kak Piyah kentut. Air kencingnya mengalir.
“Ya Allah. Terkencing ni!”
Kak Piyah lesu keletihan. Nafasnya laju. Malu dan ketawa sendiri. Isteri Pak Amat segera menghulurkan kain batik.
“Alhamdulillah. Selesai. Istigfar Piyah, tarik nafas dalam-dalam.”
“Alhamdulillah. Yang lain mari kita kumpul diruangtamu. Biarlah Piyah bersihkan diri dulu.”
Mereka masih ketawa mengingati bunyi kentut Kak Piyah tadi. Isha juga turut geli hati.
“Memang lucu. Tapi itulah bisa penyakit tu. Kalau tertahan dalam perut, boleh bawa maut.”
Semua sunyi. Menanti Pak Amat meneruskan bicara.
“Ada sesiapa yang bermain difikiran kamu, nak?”
“Tiada juga Pak Amat.”
“Tidak mengapalah. Orang tu sendiri nanti datang cari kamu.”
“Yang tadi tu niat dia acah-acah saja sebenarnya. Saja dia mahu kamu sakit. Dia main-main tengkorak tu atas bara api. Bila dia sedar kamu berubat, dia humban saja tu tengkorak dalam api. Takut identiti dia terbongkar.”
Sebenarnya, sejak peristiwa ditindih lembaga hitam berbulu, fikiran Isha hanya terbayangkan Juan. Setiap malam juga dia bermimpikan mimpi yang sama. Juan datang mendukung bayi. Apabila diserahkan kepada dirinya, bayi itu bertukar nisan. Setiap kali mimpi itu datang, Isha pasti akan menggigil ketakutan. Namun, Isha sedar syaitan itu boleh saja menyerupai sesuatu makhluk. Nalurinya ingin sekali menolak itu perbuatan Juan. Isha masih sayang.
Lalu, angkara siapa?
Dua hari selepas Isha pulih, Juan telefon.
“Saya mau balik sama kau. Kita jumpa. Please.”
“Tidak la Juan. Saya selesa sudah begini. Biar la kita bagi masa untuk diri masing-masing dulu.”
“Saya tau saya buat silap. Saya tidak patut layan kau begitu. Saya janji berubah, Sha.”
“Bukanlah. Bukan salah kau. Saya yang tidak pandai jaga diri.”
“Kalau begitu bagi la saya jaga kau. Saya masih sayang kau.”
“Kalau ada jodoh, balik juga tu kita. Tapi bukan sekarang.”
“Kenapa? Sebab kau sudah tau??”
Isha menamatkan panggilan. Sebolehnya Isha tidak mahu dengar. Hati Isha sekerasnya menafikan ianya Juan punya angkara, dia masih sayang. Biarlah luput dimamah masa.
Sms bertandang.
“Isha, kalau saya tidak dapat kau, orang lain pun jangan mimpi dapat kau. Yang ko rasa tu sikit saja, sayang. Kau terima saya balik atau sampai tua la kau bujang! Lagipun kau lupa ka sayang? Malam tu kita dua sudah sama-sama. Saya datang jaga kau demam…..!”
Wallahualam….
-whj-
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI
wowwwww
fuhh.. seram… penulisan yg baik.. teruskan berkarya.. saya suka.. im your new fans… good luck..
wei benda kalau dah sayang sangat apahal sampai nak sakitkan perempuan tu. pastu minta getback eeeiii dasar
Jahatnyaaa!!! Sian Ishaπ’π’π’
Bergenang airmata baca cerita ni. Sedih dan kesian bercampur. Harap “Isha” baik-baik saja.
WAIT. maknanya dia isha kena rogol dengan ‘benda’ tu ??!
bikin takut si juan tu . penulisan yg baik mandak π
Sayang apa camtu… ceh… dasar jantan dayus… memalukan kaum adam saja…
Dear isha… jgn sesekali terima juan lahanat tu… don’t worry… Allah SWT maha kaya.. maha mengetahui… jodoh isha pasti sampai.. bykan doa… tabah ye…
Setakat kau takut dia ada laki lain bah disana kau sanggup buat isha macmtu.laki dayus kau.
Ei babinya yg main sihir2 ni. Ko igt ko hidup selama2nya ke setan. Makin menjadi2 plk geng setan ni. Dh nk kiamat gamaknya.