Hai assalamualaikum dan selamat sejahtera. Nama aku L. Aku pernah post cerita pasal “Aku Pekerja Baru”. Sebelum baca cerita ni, tolong baca cerita tu dulu ya, baru korang faham. Lama tak muncul kat sini, dekat 7 tahun dah rupanya. Lama betul aku peram cerita aku. Ish, lama sangat-sangat la. Aku dah siap karang kisah aku yang kedua ni, tapi tak post-post pun kat FS. Hari ni aku kena post jugak.
Siapa yang dah baca cerita aku sebelum ni, terima kasih sebab sudi baca cerita aku yang tak seberapa. Siapa yang bagi kata-kata semangat dan doa pada aku, terima kasih jugak aku ucapkan. Semoga doa-doa tu berbalik semula pada kalian. Dan, siapa yang suruh aku berhenti kerja tu, maaf sebab aku masih bekerja disini. Sebelum terlupa, maaf sekali lagi sebab aku tak inform jantina dalam cerita sebelum ni. Aku seorang perempuan ya kawan-kawan.
Ok, sekarang aku nak cerita kesinambungan selepas aku cuti tu. Untuk pengetahuan, cuti punya cuti, rupanya hampir 2 bulan aku cuti tak masuk kerja. Ya, memang lama. Entah la mana perginya semangat aku time tu. Tak mudah nak pulihkan semangat kita yang hilang sebab kena kacau dengan makhluk halus ni.
Lepas 2 bulan aku cuti, aku mula masuk kerja macam biasa. Tak banyak yang berubah keadaan office aku. Masih nampak sama, meja aku masih di tempat yang sama, radio lama masih ada. Alhamdulillah, selama aku bekerja semula, office dalam keadaan baik, tiada lagi gangguan. Ni bos aku yang kata, dan aku percaya.
Dan, ada satu penambahan bilik. Bilik kecik iaitu bilik untuk solat. Sebelum ni memang takde buat bilik untuk solat. Kalau sesiapa nak solat pun, selalu masuk bilik meeting. Bilik meeting bersih. Kalau nak masuk pun kena bukak kasut. Satu lagi, aku dah ada kawan baru. Bos hire seorang lagi pekerja baru dan dia seorang perempuan. Namanya Ida.
Selama aku takde, Ida la yang take over kerja-kerja aku. Bila aku dah masuk semula, dia jadi assistant aku. Maknanya aku dah tak berseorangan lagi, alhamdulillah. Tapi, yang tak berapa bestnya, tentang perangai Ida. Entah la dia ni manusia jenis apa. Yang penting bagi aku, dia ni menakutkan. Macam mana bos aku boleh ambik dia bekerja pun aku tak tau.
Basic information tentang Ida. Berusia 24 tahun, lagi muda dari aku. Fizikal sederhana baik dari segi rupa atau bentuk badan. Tapi mata dia sejenis mata kucing. Maksud aku bentuk mata dia macam mata kucing yang hujung mata tajam tu. Suka menyanyi. Kadang-kadang ceria dan kadang-kadang tidak. Kadang-kadang lembut, kadang-kadang kasar. Suka bercakap sorang-sorang sambil pandang penghadang antara meja aku dan dia (kadang aku ingat dia tengah cakap dengan aku, sebab mengadap aku walaupun ada penghadang).
Ni kejadian masa December 2017. Baru aku tau, kalau hujung tahun, mostly diaorang akan cuti terus sampai new year. Disebabkan aku dan Ida ada, maka diaorang pun ambil la kesempatan cuti sekaligus. Tinggal la aku berdua dengan Ida. Tak dapat aku bayangkan kalau aku sorang je yang tinggal walaupun office tu dah clear dari sebarang gangguan.
Bila yang lain dah cuti, aku la yang akan bukak office dan aku juga yang akan tutup office. Sebab aku selalu sampai awal. Kadang-kadang Ida pun boleh bukak sebab dia ada kunci jugak. Selalunya bila Ida dah sampai baru aku akan bukak. Masuk sekali, senang. Takde la aku sorang-sorang.
Aku masih ingat tarikh dan hari. Kejadian tak lama pun, tapi untuk aku nak hadap orang yang macam tu, terasa sangat lama.
——————–
21 December 2017, Khamis
Pagi tu aku tunggu Ida depan office macam biasa. Dari jauh aku nampak dia meloncat-loncat dengan riangnya sambil bawak sesuatu kat tangan. Aku fikir mungkin dia bawak bekal makanan. Makin lama makin dekat, rupanya ya dia bawak bekal. Tapi ada dua bekas. Aku bukak dan masuk office macam biasa. Meja Ida ni sebelah je dengan meja aku cuma ada penghadang kat tengah-tengah tu (meja cubicle bentuk T).
Waktu aku tengah on pc, Ida pelawa makan bekal yang dia bawak tu. Bila bukak je, perghhhhh bihun goreng. Sedap gila bau. Aku makan kat meja je, tak pergi pantry pun. Tiba-tiba Ida tarik kerusi dia, nak duduk makan dengan aku sekali kat meja aku. Aku on jela, nak makan kan, apa la sangat.
Tapi yang tak onnya, setiap suapan dia ke mulut tu, dia tenung je aku. Kita mesti dapat rasa kan bila ada orang tenung-tenung kita. Dari situ aku dah rasa sikit tak selesa. Tak kenyang la aku makan nanti ni. Aku pun tegur la dia.
“Kenapa tenung-tenung akak?”
“Kita suka tengok kakak. Hehehe.” Tersengih-sengih dia jawab.
“Kalau ye pun suka, makan jela dulu macam biasa. Nanti-nanti boleh tenung.” Sambil aku cakap tu mata aku pandang makanan.
Tiba-tiba dia bangun dari kerusi, siap tepuk meja sambil tinggi suara kat aku.
“Sukahati aku la nak tenung sekarang ke tak! Aku dah cakap suka tu suka la!”
Terkejut beruk aku. Terus putus selera nak makan. Lepas tu dia ambik makanan aku, dia campurkan dalam bekas makanan dia, bawak pergi meja dia sendiri. Dia sambung makan. Lajunya jantung aku berdegup time tu. Tiba-tiba je kot, siapa tak terkejut. Rasa macam kena marah dengan mak tiri pun ada (walaupun aku tak pernah rasa pengalaman ada mak tiri, mintak dijauhkan hehe).
Aku pun terus la buat kerja macam biasa. Tak pandang dia dah. Tak terasa hati pun, sebab aku jenis tak kisah, malas nak ambik port. Tengah-tengah aku belek file tu, Ida datang terus peluk aku dari belakang.
“Kakak, kita sayang kakak sangat-sangat!” Dengan nada ceria.
“Rosak tudung akak ni. Jangan peluk kuat sangat. Ye akak tau, terima kasih Ida.” Aku senyum je sambil-sambil tahan tudung aku sebab dah tertarik dengan tangan Ida.
“Kakak lagi sayang tudung dari Ida!” dengan nada tengking terus dia sentap tudung aku.
“Ya Allah Ida, sakit la Ida sentap tudung akak macam tu.” Muka aku dah berkerut sebab tahan sakit. Aku pakai selendang time ni. Bayangkanlah kalau dah lilit satu kepala, tetiba kena sentap apa rasa.
Ida terus pergi dekat meja dia sambil hentak-hentak kaki. Kuat gila. Kalau dia jenis yang debab, mau gegar bangunan ni.
Sampai waktu lunch, aku ajak dia makan kat kedai melayu seberang jalan sana. Mula-mula aku panggil tu, dia tengok je muka aku. Aku pun tak tau apa makna reaksi muka dia tu. Macam takde perasaan pun ada, macam kosong. Aku lambai-lambaikan tangan aku depan muka dia sambil panggil nama. Terus dia berubah jadi ceria sambil cakap.
“Kita nak makan kakak. Hahahahaha!”
Aku ingat dia main-main, aku layan la balik sambil gelak-gelak.
“Ida ni suka buat lawak. Makan akak tak kenyang la, nanti kena makan berkali-kali pulak.”
“Biarlah, lagi kita suka. Mula-mula makan perasaan kakak, lepas tu jiwa kakak. Nanti lama-lama satu badan kakak kita makan, hehehe.”
Terus berubah riak muka aku. Aku malas nak fikir yang bukan-bukan walaupun aku memang dah fikir benda tu. Aku ajak dia lagi sekali pergi makan kat kedai tu. Terus dia bangun ambik handbag sambil senyum-senyum, lepas tu kami terus pergi makan. Jalan kaki je.
Sampai kedai makan, aku ambik nasi putih, lauk ikan keli belado dan ulam ulaman. Ida pun ambik menu yang sama macam aku. Lepas tu aku macam nak telur masin, dia pun sama nak jugak. Aku letak balik telur masin tu sebab rasa macam ulam tu dah banyak. Eh dia pun letak balik. Kau dah kenapa Ida oiii. Tapi aku diam je. Perhati je apa dia buat. Adeh.
Sepanjang perjalanan dari kedai makan sampai nak naik ke office, dia asyik pegang je tangan aku sambil usap-usap. Lepas tu cium-cium tangan aku. Lepas cium tangan dia cuit-cuit hidung, cuit-cuit pipi aku. Aku takde lah tegur-tegur dia, risau kena tengking lagi. Tapi orang dok pandang-pandang. Ingat aku lesbian agaknya.
Masuk je office, buat kerja macam biasa. Tak lama tu, aku dengar dia ada menyanyi satu lagu ni. Aku tak tau la lagu apa, tak pernah dengar. Sebab bahasa yang dia guna pun aku tak faham. Aku saja la nak mengintai tengok dia. Betapa terkejutnya aku rupanya dia menyanyi tu, muka dia letak betul-betul kat cermin cubicle tu. Astaghfirullah, nak luruh jantung aku. Ida bersuara.
“Kakak terkejut ke? Kita memang saja nak bagi kakak terkejut, hehehe!” Muka dia masih melekat kat cermin penghadang meja tu.
Aku tak faham betul la Ida ni perangai yang jenis macam mana. Risau esok lusa aku pulak yang jadi tak betul.
——————–
22 December 2017, Jumaat
Aku tunggu Ida macam biasa kat bawah sebelum naik sama-sama. Tapi jam dah nak pukul 9, dia masih tak sampai-sampai. Sudahnya aku masuk dulu sorang-sorang. Kalau ingat cerita aku yang sebelum ni, bila grill bukak mesti akan ada bunyi tett. Tapi elok je aku buat kerja kat tempat aku, tetiba aku dengar bunyi yang orang menaip kat keyboard. Siapa pulak yang menaip ni. Aku bangun slow-slow nak tengok keadaan sekeliling. Dan tempat pertama yang aku tengok, of course tempat Ida sebab meja dia sebelah meja aku.
Terbeliak biji mata aku bila aku nampak Ida tengah menaip kat tempat dia. Bila masa dia naik? Dari start masuk kerja, aku memang kat tempat aku. Tak pergi tandas, tak pergi pantry. Di saat dan waktu bilakah Ida masuk? Bunyi tett kat grill bawah pun langsung takde bunyi.
Aku terus turun bawah saja nak try bunyi grill tu rosak ke apa ke, tapi elok je macam biasa. Berbunyi je. Masa ni hati aku nak sangat naik nak tengok apa Ida buat, tapi kaki tak nak melangkah. Peluh dah menitik kat dahi. Nak tak nak aku memang kena naik, beg aku, handphone aku semua kat atas. Nanti apa-apa hal, macam mana aku nak contact orang.
Tengah slow-slow aku naik tangga tu, tetiba berbunyi grill tu. Tak sanggup aku nak pusing kepala pandang belakang. Dibuatnya yang baru masuk tu Ida yang betul, siapa pulak yang kat atas tu.
Dalam aku tengah berfikir kejap, bahu aku kena cuit. Tak memasal aku tercarut orang yang cuit aku tu. Rupanya bos aku. Haishh, dia tak boleh tegur aku ke, cakap apa-apa ke. Rupanya dia sakit tekak, takde suara. Aku terus naik atas follow bos aku dari belakang.
Sampai je atas, aku tengok Ida masih kat meja dia. Macam biasa, dia menyanyi lagi, masih mengadap cermin meja cubicle aku dengan dia. Tiba-tiba Ida tegur aku.
“Kakak! Kakak pergi mana? Lama kita tunggu tau. Dari tadi lagi.” Cerianya gaya dia tanya aku tu, macam orang takde masalah langsung.
“Akak turun kejap, saja nak tengok-tengok.”
“Yeke ni? Bukan kakak cari kita ke kat bawah tu?” Sambil senyum sinis dia tanya aku.
“Eh takde la. Ida kan dah memang ada kat sini, buat apa akak nak cari lagi.” Aku pun jawab sambil tersengih-sengih kerang busuk tu. Sebabnya dia ni macam tau-tau je apa aku rasa.
“Kita ada je kat mana-mana. Sentiasa ada.” Terus dia berpaling buat kerja.
Perasaan aku? Entahlah susah nak kata. Sebelum ni Ida okey je, takde pun apa-apa perangai pelik yang aku nampak kat dia. Mungkin sebab sebelum-sebelum ni staff lain ada, so dia tak boleh tunjuk perangai dia yang menakutkan tu. Bila duduk berdua dengan aku, macam-macam pulak dan aku la yang jadi mangsa dia.
Hari esoknya Sabtu, aku cuti. Kerja aku ni weekend memang cuti. Masuk kerja Isnin sampai Jumaat je. Isnin tu cuti sebab krismas. So aku masuk kerja hari seterusnya, Selasa.
——————–
26 december 2017, Selasa
Pagi tu aku nak pergi kerja, dari rumah aku dah rasa berdebar. Jantung aku tiba-tiba laju. Dalam kepala aku mungkin sebab nak gaji kot, tu yang berdebar. Tapi apa kena mengena dapat gaji dengan jantung berdebar ni? Ish, tak faham lah. Aku buat tak tau je sampai lah aku dah naik masuk dalam office.
Pagi tu aku tengok office dah bukak. Maknanya Ida dah ada. Masuk kerja macam biasa dan macam biasa jugak bos aku belum sampai. Aku nampak Ida dekat tempat dia. Saja la aku tengok dia sekali imbas macam tu, dia tak pandang aku pun. Elok je aku letak p******g, Ida tegur.
“Kakak curi-curi tengok kita ke tadi?”
Tersentak kejap aku. Macam mana pulak dia boleh tau aku tengok dia. Aku pun jawab la apa dia tanya tu.
“A’ah, saja la nak tengok Ida. Hari ni macam cantik semacam je.” Sambil senyum-senyum tengok muka dia.
Tetiba Ida dengan seriusnya sound aku.
“Kakak jangan macam-macam dengan kita, kita lempang kakak nanti!”
Apalah salah dan silap aku pagi ni. Aku rasa takde pun aku salah cakap. Tak lama tu Ida panggil aku.
“Kakak, kakak jangan la marah kita ye. Kita sayang kakak tau. Kita tak boleh marah kakak. Kakak selalu la ada dengan kita ye.” Lembut je dia cakap kat aku masa ni. Aku senyum jela yang mampu.
Ida bangun datang kat aku terus salam aku. Lepas tu tangan dia kiri kanan pegang muka aku. Aku ingat dia nak buat apa, rupanya dia dok tenung muka aku. Tak berkelip langsung mata dia. Aku cuba nak turunkan tangan dia, tapi dia cengkam muka aku. Kuat, sakit.
“Lepas la Ida, sakit muka akak ni.” Aku jadi susah nak bercakap sebab dia tekan bahagian pipi aku kuat.
“Biar, biar kau rasa sakit macam yang aku rasa!” Dia cakap sambil ketap gigi. Aku tengok mata dia macam nak merah.
Airmata aku bertakung, menahan sakit dengan takutnya lagi. Akhirnya airmata aku jatuh. Lepas airmata aku jatuh, Ida terus berubah. Dia cepat-cepat lepaskan tangan dia, dia minta maaf kat aku dan terus pergi kat tempat duduk dia.
Masa aku tengah urut-urut bahagian muka aku tu, Ida datang dan buat sekali lagi macam tadi. Tapi kali ni, dia cium muka aku! Cium kelopak mata, kening, dagu, hidung, pipi, semua la. Yang paling aku geli sekali, dia siap jilat! Jilat dengan air liur yang meleleh.
“Arrgggghhhhhhh!!!” Aku terus menjerit sebab dah rasa tak tahan sangat.
Pangg! Ida lempang muka aku. Berpusing kejap la rasa kepala ni.
“Jerit lagi kakak! Jerit la, hahahahaha! Kita suka. Cepatlah kakak, jerit!” Ida macam dah tak normal. Dia tinggikan suara sambil gelak-gelak.
Aku terus tolak Ida sekuat hati aku, dia jatuh. Aku lap muka aku cepat-cepat. Masa ni aku tak fikir apa dah. Aku dah tak tahan. Aku ambik handbag aku, aku nak keluar.
“Jangan kacau aku!” Aku jerit kuat-kuat dalam office tu sambil kaki melangkah nak keluar pintu. Terserempak pulak dengan bos aku.
“Apa yang bising-bising ni? Tu pegang handbag nak pergi mana?” Bos tanya aku dengan muka dia yang berkerut.
Tak sempat aku nak bukak mulut, Ida menyampuk.
“Kakak gurau-gurau tadi bos. Hehehe. Kakak, tolong kita kejap. Kita tak faham la yang ni. Please kakak.” Tersengih-sengih dia jawab. Lepas tu buat muka merayu.
Aku tengok muka bos. Dari gaya bos tu aku tau dia nak suruh aku tolong Ida. Tapi, sorry bos, aku terus blah. Bos panggil-panggil aku, aku buat tak tau. Aku terus start kereta balik rumah. Sepanjang perjalanan, handphone aku tak berhenti berdering. Memang aku saja biarkan tanpa tengok siapa yang call. Aku tension.
Sampai rumah aku tengok handphone ada miscall dari bos 2 kali, dari Ida 20 kali. Malas aku nak layan. Aku dah macam reda je kalau kata bos nak pecat aku. Aku terus mandi bersihkan diri. Terutamanya bahagian muka. Aku sental kuat-kuat. Terbayang-bayang lagi air liur Ida tu kat muka aku. Eeee, aku geli!
Esoknya aku tak masuk kerja. Aku cuma inform bos aku malas. Membebel jugak la dia masa tu. Tapi dalam tengahari tu, aku call bos, aku nak jumpa bos kat luar. Tak nak kat office. Nanti mesti aku nampak muka Ida. Ada benda kena bincang. Penting sangat-sangat.
Dapat je jumpa bos, aku tak tunggu lama. Aku terus cerita A to Z apa yang jadi pada aku sejak dua menjak tu. Aku perasan bos angguk-angguk je. Dia ni kisah ke tak pasal staff dia?
“Awak cuti dulu untuk 2, 3 hari ni. Biar saya pantau dia untuk sementara waktu ni.”
“Baiklah. Bos tolong buat apa yang patut. Saya risau kalau saya hadap orang macam tu berterusan, saya yang gila.”
——————–
Aku terus cuti sampai new year. Bos pun takde kacau, nak tanya itu ini. Dan aku tak tau apa yang jadi kat office tu selama aku takde. Cumanya sehari sebelum new year tu, bos inform aku yang Ida MIA. Takde hantar surat resign ke apa. Tau-tau je meja dia dah clear.
And selepas dari kejadian tu hari-hari aku berjalan seperti biasa. Aku cerita kat colleague apa yang jadi selama diorang cuti. Masing-masing menganga je mulut. Tak sangka Ida macam tu sebab masa dengan diorang semua okey. Duduk berdua dengan aku, aku yang seksa.
Alhamdulillah untuk yang kesekian kalinya, aku dah tak berjumpa dengan Ida. Tak tau dimana keberadaannya dan tak nak ambik tau. Nanti aku sakit otak, hahaha. Syukur sangat-sangat sebab bos aku ni aku rasa yang terpaling baik dan prihatin. Kalau aku kerja tempat lain rasanya takkan dapat layanan macam bos aku yang sekarang ni bagi. Dan, di tahun 2024 ni aku masih lagi bekerja di sini dan happy. Apa-apa pun, terima kasih sebab baca kisah aku yang tak berapa nak seram ni.
hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI