Aku dan Sesuatu#2-Hijab Terbuka & Gangguan Jin/Saka-2

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca FS, terima kasih admin sudi siarkan sambungan kisah “Aku dan Sesuatu”#2 –Gangguan jin/saka-2. Sebelum ni, dalam Aku dan Sesuatu#1 aku ada ceritakan tentang hijab terbuka dan gangguan jin/saka (gangguan h**d dan migrain). Kali ni, aku nak ceritakan gangguan jin/saka tentang mimpi-mimpi pelik yang aku alami selama hampir 17tahun sebelum aku berubat. Untuk pengetahuan pembaca FS, kisah dan pengalaman sebenar aku selama hampir 3 dekad ni bukan semuanya berunsur seram namun lebih kepada ikhtibar yang boleh diambil jika ada di antara pembaca atau orang terdekat yang mempunyai kisah hidup seperti aku dan masih belum terlambat untuk anda sedar apa yang terjadi kepada anda bukan sesuatu yang normal tapi sebaliknya.

Ustaz Sharhan Shafie ada terangkan tanda-tanda jin/saka dalam badan dapat dikesan melalui mimpi-mimpi yang kita alami di antaranya; mimpi binatang seperti ular, mimpi jatuh dari tempat tinggi, mimpi berada di awangan, mimpi dikejar binatang dan dipatuk ular, mimpi budak kecil, mimpi berada ditempat kotor, mimpi hantu, mimpi yang menakutkan dan banyak lagi tanda-tanda sewaktu tidur dan jaga. Aku alami semua mimpi-mimpi tersebut semenjak aku mula datang h**d sehinggalah selama hampir 17tahun. Untuk makluman pembaca, saka akan mula berdamping dengan anak/cucu/cicit perempuan bila saat mula datang h**d, itulah yang terjadi dekat aku semenjak aku berumur 13 tahun, tetapi semuanya ketara (gangguan) sejak berumur 15 tahun lagi.

Bila bercakap soal mimpi-mimpi pelik, dalam sebulan tu memang tak terkira aku mimpi yang pelik-pelik, yang merupakan tanda ada gangguan jin/saka dekat aku (aku tak tahu lagi masa tu). Kebiasaannya, aku bermimpi dalam keadaan aku kena tindih terutamanya bila mimpi makhluk yang menakutkan seperti hantu, lembaga atau suasana seram dan ada juga hijab terbuka bila mana aku tersedar dari tidur (dalam keadaan masih ditindih) aku dapat melihat/merasa makhluk yang ada dihadapan aku (aku akan ceritakan detail nanti ikut tajuk/kisah). Sebelum tu, aku nak cakap pasal mimpi ular, macam-macam aku pernah mimpi pasal ular,ada yang seekor, ada banyak ekor, ada yang kejar aku, ada yang patuk aku dan warna ular pun bermacam-macam tapi kebanyakan darinya berwarna hitam dan ada saiz kecil ada yang saiz besar. Bukan aku tak pernah ceritakan mimpi aku pada orang-orang tua atau tok aku, tapi dalam nada gelak mesti akan kata, “ha ada yang nak mai meminang lah tu” ermmm aku masih sekolah menengah lagi masa tu dan sampai ke universiti pun aku asyik dengar benda yang sama, kalau mimpi ular saja mesti berkaitan jodoh.

Tapi selepas bertahun-tahun, baru aku tahu sebenarnya mimpi ular ni tanda amaran, tanda supaya kita berhati-hati sebab mungkin ada perkara yang tidak baik akan berlaku pada kita sama ada gangguan jin/sihir/saka dan sebagainya. Alhamdulillah, aku dah lama tak mimpi ular dan mimpi-mimpi pelik yang lain selepas berubat setelah 17 tahun aku lalui macam-macam gangguan jin/saka. Adakah anda sering alami mimpi-mimpi pelik dan ditindih ketika tidur macam aku? Mimpi-mimpi pelik yang lain aku takkan cerita detail cukup anda mengetahui jenis-jenis mimpi yang menandakan ada gangguan jin/saka pada anda. Aku cuma akan ceritakan detail kisah yang aku alami semasa ditindih ketika tidur dan hijab kembali terbuka (maaf aku tak pandai nak karang cerita sebenar aku ni dalam mode seram).

Kisah 1: Perempuan Tua Terapung-apung
Pada suatu malam, aku masih dirumah kakak dan berkira-kira hendak balik ke rumah walaupun dah hampir tengah malam. Jarak dari rumah aku dengan rumah kakak agak jauh sebab berlainan mukim lagipun aku menunggang motosikal. Rumah kakak di tepi bendang (sawah) dan jalan ke rumah kakak boleh dikatakan agak gelap dan yang pasti akan melalui jalan kampung dan jalan raya yang dikelilingi hutan sebelum sampai ke pekan, namun itu bukan satu masalah bagi aku untuk balik pada waktu sebegini sebab boleh dikatakan aku seorang yang berani, ntah dari mana datangnya keberanian tu aku sendiri pun tak pasti tambahan pulak aku seorang perempuan. Aku ambil keputusan nak balik rumah walaupun jam dah menunjukkan pukul 12 malam.

Sepanjang perjalanan, aku tak rasa apa-apa yang pelik atau yang menakutkan dan setelah sampai ke rumah aku terus masuk ke bilik tanpa membersihkan diri terlebih dahulu. Disebabkan terlalu mengantuk aku terus terlelap sebaik saja aku baring atas katil. Walaupun aku hanya terlelap seketika, tiba-tiba aku terasa tubuh aku berat sangat seperti ditindih sesuatu dan aku kuatkan diri untuk baca apa-apa ayat al-quran dan sehabis daya aku cuba menyebut kalimah Allah untuk lepaskan aku dari terus ditindih sesuatu. Namun, perlahan-lahan aku hanya mampu bukakan mata tapi aku masih lagi ditindih sesuatu, hanya mata aku sahaja yang terbuka, kepala aku langsung tak boleh bergerak dan seluruh anggota badan aku kaku.

Disebabkan lampu bilik masih terpasang semasa aku terlelap tadi, memang amat jelas apa yang aku nampak didepan mata pada ketika tu, dengan badan kaku ditindih dan mata terbuka, aku nampak ada susuk tubuh seorang perempuan tua dalam keadaan melentang terangkat keluar perlahan lahan dari tubuh aku sehinggalah aku nampak badannya terapung-apung didepan mata. Aku tak mampu berbuat apa-apa hanya melihat dengan penuh rasa terkejut, nafas aku seolah-olah tersekat bila dengan jelas sekali aku nampak perempuan tua yang tidak bergerak seperti mayat itu dalam keadaan terapung-apung selepas keluar dari tubuh aku, keadaan perempuan tua itu agak menyeramkan seperti mayat yang sedang mereput, rambutnya nipis, beruban, rambut panjang berjurai hampir ke lantai, pakaiannya pudar dan lusuh seolah olah baju kedah dan kain batik yang dipakai olehnya seperti berlumut, kepalanya pula hampir menyerupai tengkorak disebabkan hanya sedikit isi yang ada pada kepala dan wajahnya.

Aku tenung lagi ke arah perempuan tua tu, kulit pada anggota badannya berwarna kelabu kehitaman, isi badan terlalu nipis seperti hanya ada tulang dan kulit, matanya tertutup rapat dan badannya kaku dan masih lagi terapung-apung didepan mata aku. Aku tak boleh nak pejamkan mata, aku pandang jelmaan makhluk terapung-apung itu dan akhirnya hilang dari pandangan apabila aku berjaya jugak menyebut kalimah “Allah” dan akhirnya tubuh aku perlahan-lahan boleh bergerak semula. Aku cepat-cepat turun panggil tok aku dan ceritakan apa yang aku alami tadi, tok aku pun naik ke bilik aku dan tengok keadaan bilik dan tanya aku “ mana dia, mana dia?” aku cakap dah hilang tadi dan tok aku mulalah berleter itu ini, “balik bukan nak basuh kaki, tidoq bukan nak baca doa, ayat qursi, 3 qul, bismillah 21x…..”!!. Aku diam sajalah sebab betul apa yang tok aku cakapkan tu. Sehingga hari ni, aku masih lagi dapat membayangkan perempuan tua itu dengan jelas sebab tak mungkin aku dapat lupakan jelmaan perempuan tua tu untuk cuba masuk ke dalam badan aku dan aku terfikir mungkin ada sesuatu yang menghalangnya dari masuk, itu aku tak pasti jika diri aku ada pendamping atau saka yang menjaga.

Kisah 2: Makhluk Atas Kerusi Di Uitm
Kisah ni berlaku semasa aku di universiti di sebelah utara tanah air. Kejadian ni semasa minggu orientasi bagi pelajar semester 1. Semasa tahun 2000, kawasan sekeliling U masih lagi dipenuhi hutan dan pokok getah, maklumlah U baru dibuka dan masih belum ada batch yang grad. Hanya terdapat 1 blok asrama lelaki dan 1 blok asrama perempuan. Pelajar akan ditempatkan seramai 4 orang dalam 1 bilik. Kedudukan bilik kami betul-betul di laluan masuk ke ground floor. Malam tu masing-masing keletihan, semua tidur bila dah jam 12 tengah malam, aku tidur katil atas, double decker. Di antara pukul 2.30 hingga 3 pagi, aku bermimpi tapi aku tak ingat apa yang aku mimpi dan yang pasti dalam mimpi tiba-tiba ada lembaga datang semakin dekat menghampiri aku dan tiba-tiba aku terbangun dalam keadaan aku menjerit serentak dengan mata terbuka.

Pada ketika tu, aku terlihat ada lembaga hitam berbentuk seperti kepulan asap tebal keluar dari badan aku lalu bertembung dengan lembaga/hantu yang nak mendekati tubuh badan aku dalam mimpi tadi, aku terjaga dan menjerit semasa dua lembaga ni bertembung. Lepas kedua-dua makhluk tu bertembung kemudian terus tak kelihatan, hilang macam tu saja. Dalam keadaan aku masih terkejut, aku rasa suasana sunyi sepi sangat dan aku masih terpinga-pinga apa yang terjadi tadi, siapa yang menjerit tadi dan dalam masa yang sama tekak aku terasa sakit, aku pandang ke bawah, rakan-rakan aku nyenyak tidur, aku cuba bangun dari katil, tiba-tiba aku terpandang ke bawah berhampiran meja study, ada satu lembaga seolah-olah mayat hidup duduk di atas kerusi dalam keadaan kaki menyilang sambil memandang tepat ke arah aku. Aku terdiam pada waktu tu dan tak jadi nak turun dari katil, lembaga tu masih memandang aku dengan pandangan yang begitu tajam tapi nampak seperti seolah-olah tersenyum pada aku.

Disebalik cahaya lampu diluar bangunan yang samar-samar aku masih dapat lihat lembaga itu masih berada di kerusi. Walaupun aku dalam keadaan agak takut ketika tu, tapi aku beranikan diri pandang ke arah makhluk tu dan dia masih lagi memandang tepat ke arah aku. Aku nampak tubuh badannya begitu kurus kering hanya dibaluti oleh isi-isi yang kecut, kulit pula berkedut seolah-olah mayat yang hamper mereput. Hanya bawah mata yang hitam lebam saja aku nampak tapi biji matanya tak kelihatan, nampak seperti bahagian mata telah berlubang seolah-olah biji matanya telah dikorek. Aku mulai rasa seram sejuk dan berharap aku dapat bersuara untuk mengejutkan rakan-rakan namun aku tak berdaya kerana aku kaku sebaik saja terpandang makhluk yang menyeramkan tu.

Kepala makhluk itu pula nampak seperti tengkorak hidup dengan cebisan isi yang melekat di kepala, rambut pulak hampir tidak kelihatan kerana terlalu sedikit yang ada dikepalanya tetapi panjang hampir ke paras pinggang. Aku saling berpandangan dengan lembaga tu sejak dari tadi sehinggalah tiba-tiba terdengar suara seorang kawan yang beranikan diri bertanya” kenapa menjerit tadi?” serentak dengan pertanyaan tu, makhluk tu pun hilang. Sebenarnya semua rakan aku terjaga semasa aku menjerit tadi tapi masing-masing diam sebab takut. Aku turun dari katil, aku cuma cakap aku tak pasti kenapa aku menjerit dan aku akan ceritakan apa yang berlaku esok pagi. Kami rapatkan tilam dan tidur berempat dibawah.

Selepas kejadian malam tu, sekali lagi hijab terbuka semasa belajar di U, masa tu aku dengan kawan-kawan nak ke dewan makan nak bersahur lebih kurang pukul 4 pagi, memang kebanyakan pelajar akan berjalan dalam berkumpulan sebab keadaan gelap, suasana sunyi dan cahaya lampu yang malap sepanjang laluan pejalan kaki ke dining room. Masa kami tengah berborak dan hampir tiba ke dewan makan, aku perasan ada seorang pelajar perempuan, memakai baju lengan panjang berwarna putih, berseluar hitam dan bertudung hitam berjalan dengan laju memintas group kami (dalam hati aku, dia agak berani sebab berjalan sorang-sorang) dan aku memang perhati saja dia berjalan sehingga dia memintas pulak group lain seramai 3 orang yang berjalan dihadapan tidak jauh dari kami.

Sebaik saja dia memintas, aku renung ke arah group tadi tapi hanya 3 orang yang aku nampak dihadapan kami, “eh, mana dia pergi???”. Hilang macam tu saja, so aku beranikan diri tanya kawan-kawan, “ eh ada nampak tak budak yang pintas kita tadi? bila dia pintas group depan tu, aku tengok dia dah hilang dan tak mungkin selaju tu dia berjalan”. Kawan aku cakap, “hang jangan main-main, ni bulan posa mana ada benda-benda tu, memang tak dak sapa lalu pun tepi kita”. Aku hanya diam saja bila kawan aku cakap macam tu. Aku cuma terfikir sampai bila aku akan terus diperlihat makhluk halus. Selepas kejadian tu, aku malas dah nak fikir apa-apa Cuma dalam fikiran aku di mana-mana pun akan ada benda-benda tu.

Hampir terlupa aku nak ceritakan kisah roommate aku (su) di bilik kami, malam tu kami bertiga tidur dibawah, kawan aku Su tidur ditengah-tengah, ntah sebab apa dia tersedar dari tidur lewat pagi, dan bila nak bangun dia beralih ke kiri dan ke kanan, dia tengok muka aku dengan muka seorang lagi rakan (azie) yang tidur disebelahnya berwajah sama. Maksudnya dua badan tapi wajah yang sama (wajah aku), kemudian Su berulang kali toleh ke kiri dan kanan untuk dapatkan kepastian apa yang dia nampak, kenapa azie pun berwajah aku? akhirnya perlahan-lahan dia nampak wajah azie berubah daripada wajah aku menjadi wajahnya semula. Fuh, memang terkejut dan takut kawan aku ketika tu. Mungkin dah jadi perkara biasa gangguan di mana-mana asrama atau universiti. Tak sedikit juga yang pernah terkena gangguan dan ada yang hijab terbuka diperlihatkan kepada mereka makhluk halus.

Untuk pengetahuan pembaca FS, selain daripada gangguan-gangguan jin/saka yang aku dah ceritakan dari part 1 & 2, aku juga alami gangguan-gangguan lain seperti insomnia sejak dari alam persekolahan dan aku pernah juga alami halusinasi tapi aku takkan ceritakan detail, cukup sekadar pembaca ambil ikhtibar segala yang berlaku bukan semuanya secara kebetulan begitu juga mimpi yang kita alami bukan semuanya kebetulan tetapi itu adalah sebahagian dari petunjuk. InsyaALLAH, jika diizinkan aku akan sambung semula kisah dan pengalaman sebenar aku “Aku dan Sesuatu”, aku tak mampu nak habiskan semua kisah aku di sini sebab ada lagi kisah hijab terbuka, hantu raya dan pengalaman disihir selepas berumahtangga sehinggalah aku mendapatkan rawatan secara perubatan tradisional dan perubatan Islam. Semoga pembaca mengambil ikhtibar dari kisah sebenar aku ini.

Cik Nescafe

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

3 thoughts on “Aku dan Sesuatu#2-Hijab Terbuka & Gangguan Jin/Saka-2”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.