Zaman muda, zaman gila. Begitulah ungkapan yang sering dikongsikan padaku, setiap detik aku habiskan mengimbau kenangan bersama kawan-kawan, dan ini kenangan yang tidak mungkin aku lupakan. Kenangan yang bukan berdasarkan sebuah kisah benar, mahupun kenangan yang dibuat-buat. Lebih kepada sebuah mimpi ngeri, izinkan aku untuk menceritakan pengalaman aku, menceroboh dan menjalankan lawatan ke Highland Towers, Kuala Lumpur.
Seperti yang kita tahu, Highland Towers, merupakan sebuah tragedi yang mengegar negara tidak lama dahulu. Akibat daripada kejadian runtuhan ini, penduduk yang tinggal di Highland Towers pada masa itu bertindak untuk keluar serta-merta, meninggalkan barangan peribadi, dan ruangan yang cukup luas untuk diisi makhluk-makhluk Allah yang boleh dilihat dengan mata kasar, dan yang tidak.
Seringkali dimomokkan cerita-cerita tentang Highland Towers, aku mengambil tindakan malam kejadian, Malam Jumaat, Ogos itu untuk mencabar keberanian sendiri dan kawan-kawan untuk singgah ke Highland Towers. Kerana kami lima sekawan telah pun rapat sedari zaman taska Islam lagi, mereka tanpa berfikir panjang setuju dengan pelan aku malam itu. Aku, Faisal Khan, Didi Mazril, Pejo dan Ikhwan, secara berjemaah menaiki Myvi pinjaman bapaku untuk bersama naik ke pangsapuri mewah kosong itu.
Perjalanan kami dijalankan dalam keadaan berhati-hati dengan Pejo bertindak sebagai pemandu yang mahir, memacu kenderaan kompak itu menaiki bukit yang tinggi sebelum sampai ke destinasi. Diiringi hilai tawa dan gurauan-gurauan kasar, kami mula senyap separuh jalan menuju ke kawasan Highland Towers.
“Nak sampai dah ni gais! Excited tak?” “Tak sangka, akhirnya aku sampai juga ke sini,” ujar Faisal Khan. Peminat cerita hantu, mana tak teruja kerana bakal menerokai destinasi seram top di Kuala Lumpur!
Setibanya di lokasi, Didi Mazril sudah mula beristighfar panjang, barangkali merasai betapa seramnya kawasan Highland Towers yang kini dikelilingi pagar-pagar zink, menandakan bahawa kawasan itu kini kawasan terlarang.
Dengan tiba-tiba, Faisal Khan bertindak membuka pintu kereta dan lari masuk ke kawasan larangan tersebut.
“FAISAL! KO DAH GILA KE?” Begitulah pekik Didi yang terkejut dengan tindakannya. Masak dengan perangainya yang suka bermain-main, Didi terus memanggil Faisal untuk kembali ke kereta, menyatakan bahawa ini bukan benda yang boleh buat main-main.
Tidak lama selepas itu, Faisal keluar dari kawasan berkenaan dan terus memasuki kereta kami. Didi, tanpa melengahkan masa, mula memberikan syarahan yang pedas ke Faisal.
“Sorry gais, sorry. Aku saja je tadi masuk. Nak buat gempak. Sorry eh Didi…gais.” Memandangkan tidak ada kejadian tambahan lain yang terjadi, kami pun memilih untuk memandu pulang ke UiTM, kerana rumah sewa kami tidak jauh dari universiti itu. Mula je kami menuruni bukit berkenaan, Faisal sekali lagi bersuara.
“Gais, aku tertinggal barang la kat atas.” “Ha dah mula dah buat hal. Kau serious la weh. Jangan main-main.”
Mengangguk sahih, dalam keadaan marah Pejo mula patah balik naik ke Highland Towers. Dalam pendakian kami, tidak semena-mena telefon bimbit aku dihubungi oleh, tidak lain tidak bukan, Faisal sendiri.
“Eh kenapa kau call aku Faisal? Fon kau ke yang tertinggal kat atas tu? Masaklah kot kot polis ke yang jumpa.” Bertindak mendiamkan diri, aku menjawab panggilan fon misteri itu.
“Uuuuuu….uuuuuu…gais gais. Kenapa korang tinggalkan aku doe? Aku takut weh! Serious la korang tinggalkan aku macam tu je kat sini.”
Tergamam, mata aku meliar mencari kelibat Faisal yang kini hanya senyum di tempat duduk belakang. Yang paling kesian Ikhwanlah kerana beliau kini yang berlaga bahu dengan Faisal.
“Korang dah tahu kan?” Diiringi hilai tawa, setibanya kami di Highland Towers, ‘Faisal’ keluar dari kereta dan masuk ke perkarangan pangsapuri itu sambil digantikan dengan Faisal yang sedang menangis teresak-esak. Diam seribu bahasa, kami turun semula melalui jalan yang sama.
“Korang ke mana tadi?” Pertanyaan pegawai polis kepada kami yang hanya dibalas dengan lidah kelu tidak berbahasa. “Highland Towers tu off limits ye. Kalau ada apa-apa jadi pun kami tak boleh bantu. So, tak perlulah korang nak jadi orang-orang kejar hantu-hantu ni semata-mata nak viral.”
Perjalanan kami ke Highland Towers itu, akan selamanya tersemat di hati kami, especially aku dan Ikhwan yang siap berkomunikasi dan bersentuhan dengan makhluk mister itu.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit